Sifer silang ganti

Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.

Dalam kriptografi, sifer silang ganti (bahasa Inggeris: transposition cipher) merupakan kaedah sifer. Askara seperti abjad yang disulitkan dengan sifer silang ganti bakal diubah atau diacak kedudukannya secara silang ganti. Berbeza dengan sifer penggantian (substitution cipher), proses penyulitan menggunakan sifer silang ganti tidak mengantikan askara biasa kepada askara lain melainkan mengubah kedudukan sesebuah askara tersebut.[1][2][3] Perubahan ini dikenali sebagai pemutaraan atau pencampuran (scrambling). Kaedah sifer silang ganti bakal menyusun semula sebuah unit teks biasa yang terdiri daripada abjad atau kumpulan askara mengikut kunci yang telah diberi yang juga dikenali sebagai pilih atur untuk menghasilkan satu unit teks sifer.[1][2]

Jenis-jenis[sunting | sunting sumber]

Jenis sifer silang ganti termasuk sifer pagar rel (rail fence cipher; juga dikenali sebagai sifer zig-zag),[3][4] sifer silang ganti lajur (columnar transposition),[3][4] sifer laluan (route cipher),[3][4] sifer scytale (scytale cipher), sifer silang ganti berganda (double transposition),[4] dan sifer silang ganti Myszkowski (Myszkowski transposition).[4]

Sifer pagar rel[sunting | sunting sumber]

Sifer pagar rel (bahasa Inggeris: rail fence cipher) merupakan bentuk dalam sifer silang ganti yang mendapat nama melalui kaedahnya. Juga dikenali sebagai sifer zig-zag, sebuah teks biasa bakal disulitkan melalui abjad-abjad dalam teks biasa bakal disusun mengikut baris demi baris yang telah ditetapakan dalam kunci dan mengikut corak zig-zag. Teks biasa bakal ditulis kebawah dan menyerong secara berturut-turut kemudian bergerak ke atas apabila teks biasa tiba di bahagian ("landasan") bawah. Teks sifer yang terbentuk bakal dibaca secara melintang mengikut baris demi baris. Askara yang menyerong dianggap sebagai "pagar" manakala askara yang dibaca secara melintang dianggap sebagai "landasan atau rel".[4][5] Kunci iaitu bilangan baris yang digunakan diperlukan dalam proses persulitan dan nyahsulitan sifer pagar rel.[5]

Sebagai contoh, "WIKIPEDIA BAHASA MELAYU" bakal disulitkan dengan menggunakan kaedah sifer pagar rel, dengan kunci = 2.

W.K.P.D.A.A.A.A.E.A.U
.I.I.E.I.B.H.S.M.L.Y.

Maka, teks sifer yang terhasil ialah:

WKPDAAAAEAUIIEIBHSMLY

Sifer silang ganti lajur[sunting | sunting sumber]

Dalam sifer silang ganti lajur (bahasa Inggeris: columnar transposition cipher), sebuah teks biasa bakal disulitkan melalui menulisnya secara melintang di dalam jadual yang mendatar dengan bilangan lajur yang telah ditetapkan di dalam kunci. Kunci untuk menyahsulit teks sifer ditentukan dengan menetapkan satu perkataan. Sebagai contoh, katakan perkataan "SUNGAI" digunakan sebagai kunci. Kunci "SUNGAI" terdiri daripada enam abjad dan terdapat enam lajur perlu ada. Kemudian, pilih atur dibuat dengan mengikut susunan abjad huruf dalam kunci.[6] Dalam kes ini, susunannya ialah "5 6 4 2 1 3". Kunci amat diperlukan untuk mengukuhkan suatu teks sifer supaya tidak terbongkar. Pembacaan teks sifer menggunakan kaedah sifer silang ganti lajur dibaca secara mencancang mengikut lajur.[6]

Untuk menentukan bilangan baris yang diperlukan, rumus seperti berikut digunakan.[2]
Bilangan baris = Bilangan abjad dalam teks biasa/Bilangan abjad dalam kunci
Contoh penggunaan untuk kunci = SUNGAI, teks biasa = WIKIPEDIA PANDUAN MURID.
Bilangan baris = 21/6 = 3.5 = 4 baris

Sebagai contoh, "WIKIPEDIA PANDUAN MURID" bakal disulitkan dengan menggunakan sifer silang ganti lajur dengan kunci = SUNGAI.

S U N G A I
5 6 4 2 1 3
W I K I P E
D I A P A N
D U A N M U
R I D B C D

Disebabkan terdapat tiga kotak yang lebih, maka abjad B, C dan D digunakan bagi memenuhi ruang. Kemudian, teks sifer bakal dibaca mengikut urutan lajur dari lajur satu iaitu huruf A dituruti ke lajur enam iaitu huruf U secara menegak. Teks sifer akan dicantumkan semua abjad dari lajur satu ke lajur enam, maka terhasillah:

PAMCIPNBENUDKAADWDDRIIUI

Rujukan[sunting | sunting sumber]

  1. ^ a b John Vacca (4 Mei 2009). Computer and Information Security Handbook (dalam bahasa Inggeris). Elsevier Science. m/s. 402. ISBN 9780080921945.
  2. ^ a b c Richard E. Klima; Neil Sigmon (7 Disember 2018). Cryptology: Classical and Modern (dalam bahasa Inggeris) (ed. 2). CRC Press. Dicapai pada 2 Jun 2023.
  3. ^ a b c d George Lasry (2018). A Methodology for the Cryptanalysis of Classical Ciphers with Search Metaheuristics (dalam bahasa Inggeris). Kassel University Press. m/s. 61. ISBN 9783737604581. Dicapai pada 2 Jun 2023.
  4. ^ a b c d e f Kohei Arai; Rahul Bhatia; Supriya Kapoor, penyunting (8 Julai 2019). Intelligent Computing: Proceedings of the 2019 Computing Conference (dalam bahasa Inggeris). 2. Springer International Publishing. m/s. 789. ISBN 9783030228682. Dicapai pada 2 Jun 2023.
  5. ^ a b Denise Sutherland; Mark Koltko-Rivera (9 Jun 2011). Cracking Codes and Cryptograms For Dummies (dalam bahasa Inggeris). Wiley. m/s. 29. ISBN 9781118068472. Dicapai pada 2 Jun 2023.
  6. ^ a b Mark Stamp; Richard M. Low (15 Jun 2007). Applied Cryptanalysis: Breaking Ciphers in the Real World (dalam bahasa Inggeris). Wiley. m/s. 5–6. Dicapai pada 2 Jun 2023.