Silat Ezhar

Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.

Perkembangan Silat Ezhar mempunyai kaitan rapat dengan pergerakan Kesenian EZHAR. Silat ini berasal dari sebuah kampung yang bernama Banten di Jawa Barat, Indonesia. Ia diasaskan oleh Munaji bin Muhammad juga dikenali sebagai Kang Munaji. Kemudiannya, di zaman pendudukan Jepun semasa Perang Dunia Kedua, Silat ini telah dibawa oleh Munaji ke Bukit Radin Mas, Tanjong Pagar, Singapura.

Setelah beliau meninggal dunia, Silat ini telah diteruskan oleh anak muridnya Jasmani bin Abdul Rahman atau lebih dikenali sebagai Kang Jasman. Di Singapura, Jasmani telah menubuhkan kesenian kompang bagi tujuan mengisi masa lapang terutamanya selepas latihan silat. Rentak dan paluan kompang EZHAR ini diilhamkan daripada rentak dan paluan kompang yang sedia ada di Singapura pada masa itu. Zikir-zikirnya pula dipetik dari kitab Diwanul Hadrah dan kitab Berzanji.

Perkataan EZHAR adalah singkatan dari perkataan Suci / Setia Hati ( S dan H ). Dalam bahasa Indonesia S disebut Esh dan H disebut Ha. Lama-kelamaan ia disebut EZHAR. Sejak itu Silat Ezhar telah bergerak dibawah naungan Kesenian Ezhar.

Diantara anak murid Kang Jasman ialah Haji Ramli bin Haji Dawam dan Muhammad bin Khalil. Haji Ramli, kemudiannya telah membawa Kesenian EZHAR ini dari Singapura ke Kampung Sungai Duyung, Melaka. Dari Melaka, kesenian ini dibawa oleh Haji Ramli ke Kampung Chendana, Kuala Lumpur, dan dari situ berkembanglah Kesenian Kompang EZHAR dan Silat Ezhar ini ke seluruh Semenanjung Malaysia.

Rujukan[sunting | sunting sumber]

  • Majalah Seni Beladiri, Januari 1999, m/s 50