Silat Lincah Malaysia

Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.

Silat Lincah di Malaysia diwakili oleh Pertubuhan Seni Silat Lincah Malaysia yang telah diasaskan oleh Yang Mulia Mahaguru Tan Sri Datuk Wira Haji Omardin bin Mauju dan telah didaftarkan secara rasmi pada tahun 1969. Pertubuhan ini kemudian telah mendapat kelulusan pada Sabtu, 9hb Januari 1971 bersamaan 13 Zulkaedah 1390 H.

Gelanggang pertama Silat Lincah ialah di Kampung Puah, Gombak, Kuala Lumpur, yang bermula dengan hanya 5 orang anak murid pada tahun 1963. Kini, Silat Lincah mempunyai keahlian seramai 840,000 orang dan telah diktiraf sebagai pertubuhan yang mempunyai ahli teramai oleh Malaysia Book of Records.

Bendera dan lambang Silat Lincah[sunting | sunting sumber]

Bendera Silat Lincah
  • Kuning - Tanda kebesaran, kedaulatan dan kesetiaan kepada Raja
  • Hijau - Asas lambang pertubuhan yang menunjukkan unsur Islam sebagai agama rasmi dan diamalkan oleh ahli PSSLM
  • Merah - Unsur kepahlawanan dengan sifat gagah berani selain tanda tegas menegakkan keadilan dan kebenaran
  • Hitam - Terdapat pada keris bersilang yang membawa maksud sifat kepahlawanan dan perjuangan serta simbol rahsia dalam gerak laku seseorang ahli
  • Tangkai padi - Adalah simbol kekuatan dan perpaduan ahli manakala beras adalah makanan asasi orang Melayu dan penduduk Malaysia
  • Keris - Senjata utama dalam Silat Lincah
  • Tulisan Jawi "Semangat Jebat" - Sebagai lambang semangat bagi anak-anak Lincah dengan darah dan semangat kepahlawanan Datuk Hang Jebat.
  • Bara - Tempat bara adalah lambang pusaka masyarakat Melayu turun temurun dan adat istimewa pahlawan Melayu

Cawangan[sunting | sunting sumber]

Dalam negara:

Selangor, Kuala Lumpur, Pulau Pinang, Kedah, Perlis, Perak, Negeri Sembilan, Johor, Sarawak, Melaka, Sabah, Pahang, Kelantan.

Luar negara:

Belgium, England, New Zealand, Belanda, Perancis, Arab Saudi, Jepun, Hong Kong, Madagascar, Korea Selatan.

Perkembangan[sunting | sunting sumber]

Silat Lincah adalah satu aliran perguruan seni silat tempur di Malaysia dengan nama PERTUBUHAN SENI SILAT LINCAH MALAYSIA. Sesuai sebagai pertubuhan silat yang bukan sahaja mengutamakan gerak langkah dan semangat tempur ‘Hang Jebat’, ahli-ahli juga disisipkan amalan-amalan diri sebagai menguatkan pendirian ahlinya. Pertubuhan yang dipimpin oleh DATUK HAJI OMARDIN BIN MAUJU ini yang bergerak aktif sejak didaftarkan pada tahun 1969, bukan sahaja dikenali di Malaysia sebaliknya berjaya mengembangkan sayap ke beberapa negara luar termasuk England, Belgium, New Zealand, Holland, Perancis, Madagascar dan yang terbaru di Korea Selatan, sehingga kini mencapai 30,000 keahlian di luar negara. Dengan keunggulan kepimpinan Datuk Mahaguru Haji Omardin, kini PSSLM sudah pun mempunyai keanggotaannya seramai lebih dari 800 000 orang ahli di pelusuk tanah air dan tercatat dalam buku Malaysia Book Of Record terbitan tahun 1998 yang dilancarkan oleh Perdana Menteri Malaysia ketika itu, Dato’ Seri Dr. Mahathir bin Mohammad pada Disember 1998, sebagai sebuah pertubuhan ilmu mempertahankan diri yang mempunyai “Keanggotaan Terbanyak dan Terunggul”.

Silat Lincah terus mencipta sejarah. Sejak tahun 1963, dengan lima orang anak muridnya yang asal, Omardin membuka beberapa gelanggang di sekitar Kampung Puah, Selangor dan sekitar Wilayah Persekutuan dan dari masa ke semasa, Silat Lincah terus berkembang di seluruh pelusuk tanah air sehinggalah pada tahun 1969, perguruan Silat Lincah yang sebelumnya di kenali dengan nama “Silat Tarah” didaftarkan di Negeri Selangor dengan menjadi sebuah pertubuhan ilmu mempertahankan diri yang sah atas nama “Pertubuhan Seni Silat Lincah Malaysia”.

Mahaguru Haji Omardin juga mengadakan beberapa siri persembahan Silat Lincah di luar negara termasuk di Indonesia, Singapura, Thailand, Filipina, Brunei, Hong Kong, Jepun, Korea Selatan, Pakistan, India dan Mekah.

Walaupun Silat Lincah telah mencipta nama, jiwanya tidak pernah merasa puas. Agenda perjuangannya tidak pernah ada penghujungnya, apatah lagi melihat ratusan perguruan silat yang bertaburan di seluruh pelusuk tanah air hidup segan mati tak mahu, terbiar seperti melukut di tepi gantang, tidak boleh ditoleh dan tidak disilau tanpa pembelaan.

Atas kesedaran ini, pada 1hb Mac 1975, dengan usaha dan perbelanjaan sendiri, satu pertemuan dengan semua guru di seluruh pelusuk tanah air telah diadakan di Kelab Sultan Sulaiman, Kampung Baru, Kuala Lumpur serta disaksikan oleh beberapa perwakilan dari Indonesia, Thailand, Singapura, Filipina dan Brunei. Dalam pertemuan ini telah tercipta satu lagi sejarah gemilang perjuangan Omardin di mana badan-badan silat perlu berada dalam sebuah badan gabungan di peringkat Kebangsaan dan Antarabangsa. Malah dengan idea dan susah payahnya juga, a khirnya terbinalah Majlis Silat Negara yang kini dikenali sebagai Persekutuan Silat Kebangsaan Malaysia (PESAKA), yang mana menjadi tunjang kepada semua pergerakan seni silat di Malaysia.

Disebalik kejayaannya itu, Omardin melalui idea dan pandangannya berjaya menarik beberapa buah badan gabungan silat untuk bergabung di Peringkat Rantau ASEAN. Tidak cukup dengan itu, usaha beliau untuk menubuhkan gabungan silat diperingkat antarabangsa juga turut menjadi kenyataan dengan tertubuhnya Federasi Silat Antarabangsa yang kini dikenali Persekutuan Pencak Silat Antarabangsa (PERSILAT), bertanggungjawab bukan sahaja terhadap badan-badan silat di Negara Asean malah badan-badan silat di seluruh dunia.

Usaha Dato’ Haji Omardin bukan setakat itu sahaja malah dengan menggunakan perbelanjaan sendiri yang begitu banyak, kemuncak kejayaan beliau adalah menghimpunkan Pertubuhan Seni Mempertahankan Diri dari seluruh dunia melalui Demonstrasi Seni Mempertahankan Diri Peringkat Dunia Pertama yang diadakan pada 04hb Disember 1976 bertempat di Stadium Negara, Kuala Lumpur, dirasmikan oleh DYMM Sultan Haji Ahmad Shah, Timbalan Yang DiPertuan Agong pada ketika itu, telah disertai oleh 42 pesilat dari negara-negara Asean, Timur Jauh dan Timur Tengah.

Silat Lincah terus menggegarkan dunia pesilatan melayu ketika itu dengan sekali lagi mencipta nama apabila Mahaguru Haji Omardin dan ratusan anak muridnya terbabit menjayakan, Filem Dokumentari ONE STEP TO THE BEYOND atau SELANGKAH KE ALAM BATIN yang bukan sahaja ditayangkan mengenai Dunia Silat Melayu, malah kegemilangan Silat Lincah akhirnya mengangkat Omardin sebagai Pejuang Silat Melayu.

Amalan yang diijazahkan kepada ahli-ahli Lincah di sempurnakan sendiri oleh Mahaguru Haji Omardin berdasarkan keistimewaan dan kesanggupan dari segi persilatan dan perjuangan setiap ahli. Amalan ini diperakui tidak akan membawa sebarang penyelewengan dari apa-apa aspek.

Pertubuhan ini juga mewajibkan setiap ahlinya mempunyai disiplin yang tinggi di semua peringkat sama ada ahli biasa, jurulatih atau pegawai-pegawainya. Antara saling menghormati satu sama lain, Mahaguru dan guru-gurunya dan tidak menderhaka kepada kedua ibu bapa.

Soal keagamaan juga di titik beratkan dalam PSSLM. Ahli-ahli sentiasa dinasihatkan mengingati Allah dengan mengerjakan yang disuruh dan meninggalkan apa yang ditegah. Justeru itu, ahli-ahli dilatih bersopan santun kerana itu adalah amalan Silat Lincah yang paling utama.

Berdasarkan semua kepercayaan ini, Silat Lincah akan terus menjadi pertubuhan silat yang dihormati di semua peringkat dan dalam masa yang sama ia dapat memainkan pelbagai peranan menjayakan aktiviti persilatan di negara ini mahupun di peringkat antarabangsa.

PSSLM berjaya mengadakan perhimpunan terbesar pada perhimpunan di Pulau Pinang 1975, ia telah menarik seramai 100 000 penonton menyaksikan perhimpunan dan demonstrasi kebatinan yang amat mendebarkan.

Bagi merealisasikan peranan yang boleh dimainkan oleh ahli-ahli seni beladiri di dalam mempastikan kedaulatan dan kemakmuran negara dipertahankan maka satu pertemuan yang amat bersejarah telah diadakan pada 10hb Mac 2001 bersama Tun Dr. Mahathir bin Mohamad, Perdana Menteri pada ketika itu di Seri Perdana, Putrajaya, sewaktu negara didesas-desuskan mengalami krisis diantara kaum. Pertemuan yang diusahakan dan diketuai oleh Dato’ Haji Omardin bersama-sama dengan 53 orang guru-guru Seni Beladiri Malaysia telah menyatakan ikrar taat setia bersama kepimpinan negara seperti yang terkandung didalam Memorandum yang telah dipersetujui bersama dan seterusnya diserahkan kepada YAB. Perdana Menteri. Ia bertujuan menunjukkan kesetiaan dan mahu mengekalkan perpaduan antara kaum yang terjalin sekian lama serta mahu menghapuskan anasir-anasir yang tidak baik dari terus menghantui masyarakat ketika itu. Ternyata usaha Omardin itu sesuatu yang dinantikan oleh pemimpin kerajaan dan memang begitu diharapkan untuk mencapai matlamat negara yang aman dan makmur.

Perjalanan ke peta dunia[sunting | sunting sumber]

Cita-cita besar Omardin yang ingin melihat silat berkembang di setiap pelusuk dunia akhirnya tercapai dimana pada tahun 1987, 2 anak muda Eropah iaitu Glenn Peter Lobo dan Chirstoper Bogerts telah diperkenalkan dengan Silat Lincah di Kuala Lumpur. Bertitik tolak dari itu, bermulalah sejarah Silat Lincah di England dan Belgium seterusnya berjaya mengembangkan sayap ke beberapa negara luar termasuk New Zealand, Holland, Perancis, Madagascar dan yang terbaru di Korea Selatan. Bagi Omardin, Silat Lincah ke Eropah bukan semata-mata kerana silat tetapi ia merupakan jambatan budaya dan watikah penebusan maruah orang Melayu yang pernah dihina orang barat tidak lama dulu. Ini terbukti ketika Majlis Penyampaian Ijazah Peringkat Dunia Kali Pertama di Kuala Selangor pada Mei 1998 yang dirasmikan oleh YAB. Menteri Besar Selangor ketika itu, Dato’ Seri Haji Abu Hassan Bin Haji Omar di mana cucu cicit Penjajah Inggeris yang menjadi jurulatih Silat Lincah menyembah dan mencium tangan para pemimpin Melayu. Bukan itu saja, proses penerapan budaya bangsa Melayu yang unggul ini juga telah diterap ketika mereka mengajar anak-anak Lincah di luar sana dengan menggunakan Bahasa Melayu terutama sekali tentang asas, buah, pukulan dan lain-lain.

Silat Lincah hari ini[sunting | sunting sumber]

Hari ini, setelah 45 tahun Silat Lincah di pimpin oleh Mahaguru Haji Omar Din, PSSLM semakin utuh sebagai pertubuhan yang diiktiraf oleh kerajaan dan pihak lain. Kewujudan beberapa organisasi memantapkan lagi pertubuhan ini yang terus dipimpin oleh mereka yang berkaliber serta mempunyai wawasan memajukan seni silat tanah air.

PSSLM terus membuka keahlian kepada orang ramai dan selaras pindaan perlembagaan yang baru. Kini mereka berusia 7 tahun ke atas boleh menjadi ahli pertubuhan ini. Keahlian kini terdiri dari pelbagai peringkat sama ada dikalangan orang awam, polis, tentera, pegawai dan kakitangan kerajaan, pelajar sekolah, penuntut institusi pengajian tinggi termasuk dari Sabah dan Sarawak. Pengiktirafan ahli bergantung kepada kelayakan mereka menguasai amalan Silat Lincah sama ada sebagai ahli biasa mahupun jurulatih.

Terdahulu, Perhimpunan dan Penyampaian Ijazah PSSLM 2004 yang dirasmikan oleh YAB. Dato’ Seri Abdullah bin Haji Ahmad Badawi, Perdana Menteri Malaysia. Lebih membanggakan, inilah kali pertama PSSLM berjaya mengumpulkan lebih dari 15 orang Menteri di peringkat Persekutuan dan Negeri yang sekaligus menunjukkan hubungan masyarakat bersama pemimpin dapat dijalin dengan begitu baik sekali.

Tidak cukup dengan penubuhan PESAKA dan PERSILAT, Omardin melalui usahanya yang berterusan, pada 4 Februari 2005 telah berjaya menyatukan Seni Beladiri yang ada di Malaysia dibawah Majlis Seni Mempertahankan Diri Negara (MARCIL).

Festival Seni Beladiri, bandar Chungju, Korea Selatan[sunting | sunting sumber]

Festival Seni Beladiri Dunia merupakan acara tahunan yang dianjurkan oleh Kerajaan Korea Selatan. Pada tahun 2000, Pertubuhan Seni Silat Lincah Malaysia telah dijemput menyertai festival ini. Kejayaan PSSLM mengembangkan Silat Melayu di luar Negara amat membanggakan, satu-satunya silat yang diundang untuk mengambil bahagian di dalam Festival Seni Beladiri Dunia tiap-tiap tahun yang turut disertai oleh 62 jenis Seni Beladiri daripada 32 buah negara dari seluruh dunia, berjaya menjadikan silat sebagai jambatan budaya yang mengenalkan bahasa dan budaya orang melayu kepada dunia luar.

Penyertaan kali pertama membuahkan hasil yang cukup membanggakan rakyat Malaysia seluruhnya apabila PSSLM dinobatkan sebagai Juara Keseluruhan selepas memenangi kategori persembahan dan pakaian terbaik disamping pemilihan rakyat Chungju City yang mengundi PSSLM sebagai satu pasukan yang mempunyai disiplin terbaik yang mana hadiah tersebut telah disampaikan oleh Datuk Bandar Chungju sendiri.

Pada tahun 2002 , persetujuan dicapai oleh negara-negara yang menyertai festival ini untuk menubuhan Kesatuan Seni Beladiri Dunia atau singkatannya WoMOU. Malah anak melayu juga diberi kepercayaan oleh rakan anggota WoMOU sebagai Naib Presiden di dalam badan seni beladiri dunia itu. Tidak cukup di situ, lebih membanggakan pada tahun 2005 apabila wakil PSSLM, Megat Zulkarnain Dato’ Haji Omardin sekali lagi mendapat mandat dari semua negara anggota WoMOU untuk dikekalkan jawatan Naib Presiden WoMAU. Ini sudah menaikkan nama Malaysia di dunia seni beladiri antarabangsa.

Aktiviti yang di sertai tiap-tiap tahun ini bertujuan mengembangkan Seni Silat Lincah keserata dunia. Setelah diundang 5 tahun berturut-turut, ternyata perkhabaran yang diterima adalah sangat baik kerana World Martial Arts Festival Committee telah mengisytiharkan Malaysia merupakan antara 6 “Rakan Tetap” yang akan dijemput menyertai festival ini selagi ia diadakan.

Silat Lincah pencetus kekuatan nasional[sunting | sunting sumber]

Sejak penubuhannya lagi Silat Lincah telah memikir akan kepentingan mesyarakat terutamanya golongan melayu ketika itu. Bagaimanapun, perubahan keadaan yang menuntut perpaduan masyarakat Malaysia yang berbilang kaum telah menjadikan Silat Lincah sebagai medium untuk menyatukan perpaduan itu. Malah Silat Lincah telah membuka keahliannya kepada semua lapisan tidak kira bangsa, agama, keturunan dan warna kulit. Inilah kejayaan yang paling besar dicapai oleh pertubuhan ini di dalam membantu kerajaan menyatupadukan golongan berbilang kaum ini. Malah jolokan “Silat Lincah Pencetus Kekuatan Nasional” oleh pimpinan negara disifatkan sebagai satu pengiktirafan yang amat besar sekali sekaligus memacu semangat untuk bersatu.

Sesungguhnya PSSLM amat sedar dan memikir akan kepentingan serta tanggungjawab sosial, kebajikan dan kemasyarakatan kepada rakyat selaras menyokong kempen yang dijalankan oleh kerajaan serta menjadikan Silat Lincah bukan sahaja untuk ahli-ahlinya malah ia menjadi sebahagian dari kehidupan masyarakat Malaysia.

Dan hari ini, Silat Lincah telah tampil dengan idea-idea demi menjaga warisan melayu yang unggul ini.

Di sebalik 'Selangkah ke alam batin[sunting | sunting sumber]

Selangkah ke alam batin

Filem yang memaparkan ‘aksi sebenar’ ini diilhamkan oleh Sultan Pahang, KDYMM Sultan Haji Ahmad Shah Al Musta’in Billah Al Marhum Sultan Abu Bakar Ri’ayatuddin Al Muadzam Shah (pada masa itu Raja Muda) sekitar 1976. Baginda menyaksikan sendiri pertunjukan yang diadakan Oleh YM Mahaguru Dato’ Hj Omardin Mauju di Stadium Merdeka (ketika itu).

Kesan persembahan hebat dari Jurulatih dan anak-anak Lincah di bawah pimpinan Mahaguru, baginda telah mencadangkan agar kehebatan ‘Silat Melayu’ ini difilemkan dan dipertontonkan bukan sahaja di Malaysia malah seluruh dunia. Dengan perkenan KDYMM Baginda Sultan, lahirlah filem (dokumentari) Selangkah Ke Alam Batin atau dalam versi Inggerisnya ‘One Step To The Beyond’.

Filem yang dibiayai oleh Cathay-Keris Film Productions ini mengambil masa selama 8 tahun untuk dihasilkan iaitu mulai tahun 1976 hingga 1984. Mula ditayangkan di pawagam Malaysia pada tahun 1985. Sambutan dari masyarakat Malaysia sangat luar biasa, dimana ODEON menayangkan filem ini selama 2 minggu manakala Pawagam Colleseum menayangkan selama lebih kurang 1 bulan. Fenomena yang sama juga terjadi di pawagam seluruh Malaysia.

Kesan dari perkembangan tersebut, filem ini telah di bawa ke luar negara. Antara negara yang pernah menerima ‘kehadiran’ filem ini adalah United Kingdom, Jepun, Korea, Hong Kong dan beberapa negara lain. Sambutan yang diterima juga adalah sehebat sambutan di Malaysia.

Mengikut YM Mahaguru, hanya jurulatih dan ahli yang bertuah sahaja terpilih untuk ‘beraksi’ di dalam filem yang tidak langsung menggunakan sebarang ‘camera-trick’ ini. Jurulatih dan ahli tersebut akan dipersiapkan dengan kekuatan mental dan fizikal oleh YM Mahaguru sendiri.

“Tanpa latihan dan persiapan yang cukup, pasti tidak ada satu benda pun di dunia ini yang boleh membuahkan kejayaan,” katanya.

Antara aksi paling menarik di dalam filem ini adalah YM Mahaguru di tanam hidup-hidup. Aksi yang mengambil tempat di Pulau Besar Melaka memaparkan YM Mahaguru ditanam selama lebih kurang 4 jam. Aksi ini juga mengundang kejutan kepada krew pengambaran bilamana salah seorang jurugambar mengalami serangan jantung kesan dari dahsyatnya apabila melihat wajah YM Mahaguru sewaktu liang dibuka.

One step to the beyond

Filem ini juga memaparkan anakanda YM Mahaguru, Tn Hj. Megat Zulkarnain sendiri diuji. Beliau menerima 25 tumbukan dari YM Mahaguru.

Mengulas ‘cakap-cakap’ di dalam media internet tentang YM Mahaguru hanya ingin menunjukkan kehebatan, beliau memberi reaksi berikut.

“Kalau kita tak tunjukkan perkara-perkara sebegini, bagaimana kita nak dunia mengiktiraf kehebatan Silat Melayu. Saya lakukan ini (filem) bukan untuk menunjuk-nunjuk atau untuk diagung-agungkan, tetapi atas niat ikhlas agar silat kita (Silat Melayu) dikenali seluruh dunia.”

Beliau juga menyatakan bahawa sekiranya kita hanya menunjukkan aksi-aksi biasa (buah, belebat dan tempur), beladiri kita adalah hampir sama tarafnya dengan beladiri-beladiri luar negara. Dalam ertikata mudah, tiada sebarang keistimewaan.

“Kenapa tidak dipersoalkan filem-filem Bruce Lee, atau filem-filem Hong Kong dan China, atau filem-filem Hollywood? Kenapa tidak persoalkan Amerika yang menyerang negara-negara tertentu sebagai cuba tunjuk hebat? Kenapa bila kita buat (filem) mereka kata kita nak menunjuk-nunjuk? Ini tak lain hanyalah cakap-cakap orang yang iri hati. Kita bersusah payah nak naikkan Silat Melayu tetapi nampaknya ‘kita’ sendiri yang memperlekehkannya” ujar beliau lagi.

Filem ini juga pada asasnya merupakan satu ‘pembuktian’ kehebatan silat asli Melayu. Ini kerana silat bukan hanya bertunjang kepada faktor fizikal semata, tetapi juga mesti disandarkan pada faktor ’spiritual’.

“Orang kata pendekar zaman dahulu ditanam tapi hidup semula, kita buktikan. Orang kata pendekar zaman dulu digantung tetapi berjaya lepaskan diri, kita buktikan juga. Malah orang kata pendekar zaman dulu diikat dan dicampak ke dalam sungai, tapi masih berjaya bolos, juga kita buktikan. Cerita pendekar zaman dulu bukan hanya dongeng, malah benar-benar terjadi. Dan kita berjaya buktikan kebenaran sebahagian besar daripadanya,” tambah beliau.

Adalah menjadi harapan YM Mahaguru untuk melihat Silat Melayu diterima seluruh dunia dan menjadi cita-cita terbesar beliau agar Silat dapat dipertandingkan dalam Sukan Olimpik.

Penubuhan Fakulti Silat[sunting | sunting sumber]

Idea oleh Dato’ Haji Omardin ini timbul setelah memikirkan kepentingan warisan unggul melayu ini iaitu silat harus di jaga kewarisanannya. Malah ilmu silat hari ini menuntut penyampaian yang lebih baik dan bukan sebagai bahan lisan sahaja untuk dipelajari. Ini sekali gus menjadikan ilmu silat wujud dari aspek akademik yang akan dipelajari di universiti-universiti secara formal dan diiktiraf malah ia juga akan menjadi pusat rujukan oleh pengkaji-pengkaji silat dari dalam mahupun luar negara. Malah idea ini telahpun sampai ke realitinya.

Silat Lincah dan RAKANCOP[sunting | sunting sumber]

Bagi program ini, Silat Lincah juga mempunyai satu Unit Khas yang telah mendaftar sebagai RakanCop. Unit ini akan bergerak sebagai badan pemantau serta mempastikan kadar dan masalah jenayah serta masalah yang berkaitan dapat dikurangkan.

Silat Lincah benci dadah[sunting | sunting sumber]

Sebagai sebuah badan bukan kerajaan, Silat Lincah menawarkan diri dan tampil untuk membantu secara lebih efektif lagi walaupun sebelum ini ia merupakan aktiviti berterusan pertubuhan ini. Malah lawatan pertama ke Pusat Serenti Bukit Mertajam pada 6 April 2006 telah menguatkan lagi azam Silat Lincah membantu golongan ini pulih sepenuhnya. Lawatan peringkat permulaan yang julung kali diadakan itu antaranya bertujuan untuk berinteraksi dan berbincang dengan pentadbiran dan penghuninya. Lebih membanggakan dalam lawatan tersebut secara rasminya Pusat Serenti Bukit Mertajam, Pulau Pinang mencatat sejarah apabila menjadi pusat pertama membuka gelanggang Silat Lincah.

PSSLM sedar bahawa perlu ada sebuah organisasi berteraskan jatidiri yang kuat khusus aspek kekuatan dalaman untuk membantu golongan seperti ini, maka dengan demikian sudah pasti Silat Lincah merupakan medium terbaik untuk mereka.

PSSLM sedia memberi khidmat kepakaran untuk membimbing penagih dadah di pusat serenti bagi mengelakkan mereka kembali ke tabiat itu melalui modul latihan khas untuk menguatkan lagi aspek jasmani, fizikal dan kerohanian sekaligus meningkatkan keyakinan diri. PSSLM juga berupaya melatih penagih bagi mengembalikan keyakinan dengan meletakkan sasaran mereka tidak menagih semula selepas keluar dari pusat serenti. Oleh yang demikian PSSLM akan menyalurkan modul ini kepada kementerian yang berkaitan dan dalam masa yang sama bersedia pada bila-bila masa untuk membentangkan modul tersebut kepada Yang Amat Dikasihi ketiga-tiga Ulul Amri Silat Lincah.

Sebagai langkah yang berterusan juga, setelah mereka mengikuti modul semasa di dalam pusat serenti, PSSLM juga rela membantu dengan mengambil mereka menyertai Akademi PSSLM apabila keluar dari pusat ini dan berusaha menyerap mereka kembali kepangkuan masyarakat melalui aktiviti kebajikan dan kemasyarakatan, berusaha mendapatkan pekerjaan dan yang lebih penting untuk mendapatkan kepercayaan masyarakat terhadap golongan ini.

PSSLM akan membantu mereka tanpa mengira bangsa, agama dan latar belakang kerana inilah teras perjuangan Silat Lincah yang mahukan segenap lapisan masyarakat mendapat manfaat yang sebaiknya dari kehebatan ilmu Silat Lincah ini kerana Ahli-Ahli Silat Lincah juga membenci dadah, sekali gus membuktikan bahawa PSSLM berupaya membantu mereka yang terjebak dalam najis berbahaya itu.

Silat Lincah dan kerajaan[sunting | sunting sumber]

Silat Lincah akan terus memberi khidmat dan membantu supaya segala rancangan kerajaan akan berjaya. Usaha ini sebagai merealisasikan hasrat murni PSSLM dan ini amat jelas apabila PSSLM dapat bekerjasama membantu kerajaan memerangi habis-habisan najis dadah dan menawarkan kepakaran memulihkan golongan penagih dengan harapan ia dapat menjadikan organisasi besar ini berpeluang dan akan mendapat manfaat dalam penyertaan kegiataannya di dalam masyarakat. Silat Lincah amat berharap segala sokongan dan dorongan dapat diberikan kepada PSSLM dalam membentuk semula insan-insan ini agar dapat menemui semula kehidupan terbaik di dunia ini. Atas dasar demikianlah hari ini Silat Lincah telah melancarkan Kempen Silat Lincah Benci Dadah peringkat kebangsaan pada 27 Jun 2006 yang lalu.

Namun apa yang lebih membanggakan, walaupun Silat Lincah menghadapi pahit jerih, kepayahan dan pelbagai rintangan dalam mengembangkan budaya melayu ini namun Omardin telah berjaya menjadi seorang pemimpin yang dapat mempertahankan sebuah pertubuhan begitu besar selama 43 tahun tanpa berpecah belah dan hasil daripada itu maka hari ini Silat Lincah merupakan satu seni yang menjadi jambatan budaya kepada Negara luar dan bangsa asing di dalam memperkenalkan budaya utama orang melayu apatah lagi sejarah turut dicipta dengan menganugerahkan persalinan tertinggi kepada [Yang di-Pertua Negeri|Tuan Yang Terutama Tun Dato’ Seri Utama (Dr.) Haji Abdul Rahman bin Haji Abbas] sebagai Ulul Amri I PSSLM. Penganugerahan ini sekali gus menyingkap sejarah lalu bahawa Silat Lincah pernah mendapat perkenan dan sokongan dari Raja-Raja Melayu seperti KDYMM Sultan Pahang, KDYMM Sultan Kedah, KDYMM Sultan Selangor dan KDYMM Sultan Perak

Sejarah demi sejarah terus dicipta dan tercatit di dalam diari ulung Silat Lincah apabila kejayaan beliau membawa pemimpin-pemimpin Negara iaitu YAB. Dato’ Seri Abdullah bin Haji Ahmad Badawi sebagai Ulul Amri II dan YAB. Dato’ Seri Najib Bin Tun Razak sebagai Ulul Amri III.

Inilah perjuangan Mahaguru Dato’ Haji Omardin yang bukan sahaja hanya bersilat tetapi menjadikan Silat Melayu penebus maruah bangsanya bagi membina tamadun Melayu yang unggul ini di dunia antarabangsa.

Taraf/pangkat di dalam Silat Lincah[sunting | sunting sumber]

  • Selendang Hitam bengkung hitam (mahta penuh - bengkung bersongket)
  • Selendang Hitam bengkung merah (mahta penuh)
  • Selendang Hitam bengkung kuning (mahta penuh)
  • Selendang Hitam bengkung hijau (mahta penuh)
  • Selendang Merah berlis hitam bengkung merah (mahta penuh)
  • Selendang Merah berlis hitam bengkung kuning (mahta penuh)
  • Selendang Merah berlis hitam bengkung hijau (mahta penuh)
  • Selendang Merah bengkung merah (mahta penuh/separuh/tiada mahta)
  • Selendang Merah bengkung kuning (mahta penuh/separuh/tiada mahta)
  • Selendang Merah bengkung hijau (mahta penuh/separuh/tiada mahta)
  • Selendang Kuning (jurulatih muda)
  • Selendang Hijau (jurulatih kanak-kanak)
  • Hitam-Hitam (pembantu jurulatih gelanggang)
  • Merah-Hitam
  • Merah-Kuning
  • Kuning-Kuning (Pelatih baru)
  • Untuk taraf selendang hijau dan ke atas, kenaikan akan ditentukan oleh Majlis Tertinggi PSSLM yang dipengerusikan oleh Mahaguru sendiri. Pesilat akan dinilai terlebih dahulu bagi menentukan kelayakan menerima/memakai selendang.
  • PSSLM juga memberi Selendang Kehormat (biru) kepada individu-individu yang banyak menyumbang kepada pembangunan PSSLM

Lis Songkok[sunting | sunting sumber]

Untuk acara rasmi, jurulatih dan pesilat diwajibkan untuk memakai songkok. Pangkat/taraf dibezakan dengan lis yang dililit dibahagian bawah songkok.

  • Hijau Hitam Hijau - Pemangku guru muda
  • Merah Hitam Merah - Jurulatih berselendang hitam (Jurulatih Peringkat Tertinggi)
  • Merah Kuning Merah - Jurulatih berselendang merah berlis hitam (Jurulatih Kanan Malaysia)
  • Merah Kuning - Jurulatih berpakaian makhta
  • Merah - Jurulatih berselendang merah
  • Hijau - Jurulatih muda dan jurulatih kanak2
  • Kuning - Peringkat ahli

Senarai Ulul Amri[sunting | sunting sumber]

Alamat pertubuhan[sunting | sunting sumber]

No. 5, Jalan Puah Off Jalan Gombak,
53000 Kuala Lumpur, Malaysia.

Pautan luar dan sumber rujukan[sunting | sunting sumber]