Seni Gayung Fatani

Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.
(Dilencongkan dari Silat Seni Gayung Fatani)
Seni Gayung Fatani
Logo Seni Gayung Fatani Malaysia
Logo Seni Gayung Fatani Malaysia
Nama lainGayung Fatani
Tarikh penubuhan14 September 1976
Negara asalMalaysia Malaysia
PengasasAnuar Abdul Wahab (1945–2009)
Ketua terkiniAminuddin Anuar (sejak 2013)
Jenis beladiriSilat
Laman web rasmiPertubuhan Seni Gayung Fatani Malaysia

Seni Gayung Fatani atau Pertubuhan Seni Gayung Fatani Malaysia (PSGFM) merupakan aliran Silat Melayu yakni silat tempatan atau Seni Silat Melayu Tradisi Semenanjung dari yang serumpun dan sebenih dengannya, seperti yang diamalkan oleh masyarakat Melayu di Semenanjung Tanah Melayu dan daerah yang sempadan dengannya, dikenali sebagai Silat Pulut atau Gayung Pulut.

Nama "Gayung Fatani" adalah gabungan dua istilah iaitu "Gayung" yang bermaksud "ilmu silat" atau "ilmu penjurit", manakala "Fatani" bermaksud "bijaksana" yang diambil dari perkataan arab iaitu "Fathonah". Secara amnya nama "Gayung Fatani" boleh difahamkan sebagai "Ilmu silat adalah kebijaksanaanku".

PSGFM telah berjaya meningkatkan mutu pendidikan silat tradisi gelanggang bangsal kepada kurikulum silat yang telus dan setara serta[1] mengekalkan keaslian Silat Melayu versi Malaysia. Silat ini telah didaftarkan dengan nam Pertubuhan Seni Gayung Fatani Malaysia. Perkhidmatan pendidikan silat PSGFM telah melalui evolusi iaitu bermula dengan kurikulum silat tradisi gelanggang bangsal, pada 1986 Kurikulum Baru PSGFM dan pada 2002 diperkenalkan Kurikulum Seni Silat Malaysia (KeKKWa/KPM/Pesaka Malaysia) yang diasaskan dan disusun oleh Tn.Hj. Tn.Hj.Anuar Abd.Wahab AMN)[2]. Kurikulum silat ini telah disusun semula dan diperturunkan kepada PSGFM, dinamakan kurikulum silat PSGFM moden piawai 2002.

Kurikulum silat ialah ilmu silat atau kandungan pelajaran silat yang disusun bagi mewujudkan sukatan pelajaran silat 7 tajuk pada 7 peringkat. 7 tajuk pada ialah Bunga Silat, Jurus Silat, Belebat Silat, Tapak Silat, Buah Silat, Tempur Seni dan Tempur Bela diri. Tujuh peringkat ialah Anak Gelanggang, Pesilat Remaja, Pesilat Perkasa, Pesilat Muda, Pesilat, Pendekar Muda dan Pendekar.

Kurikulum silat meneruskan amalan pergendangan silat Melayu (muzik silat baku Malaysia) dan mengekalkan gerak, kaedah, rupa dan bentuk keaslian silat Melayu tradisi Semenanjung. Dengan itu kurikulum silat dapat mengisi seluruh aktiviti, pengetahuan dan kemahiran bersilat seperti silat pulut, silat buah, silat tempur, silat sukan dan Silat Kerohanian. Kurikulum seni silat Malaysia pernah diperturunkan kepada lebih daripada dua 200 guru silat[nyatakan menurut siapa?] dari perlbagai perguruan silat di Malaysia dan 33 orang daripadanya telah mencapai peringkat Pendekar Muda (bengkung merah). Mulai tahun 2008 seluruh gelanggang tradisi, gelanggang umum atau kelas silat PSGFM hanya menggunakan satu sistem perkhidmatan pendidikan silat iaitu kurikulum silat PSGFM moden piawai 2002.

Selepas pemergian Tuan Guru Hj.Anuar Abd.Wahab AMN pada tahun 2009, PSGFM diteruskan oleh Tuan Guru Aminuddin Haji Anuar (anak sulung Tuan Guru Hj. Anuar Abd. Wahab) yang ditabalkan sebagai Guru Utama pada tahun 2013.

Pada tahun 2013 juga PSGFM didaftarkan semula di Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (JPPM) dengan nombor pendaftaran PPM/033/10/14032013. Tiada lagi pendaftaran pertubuhan seni beladiri di Pejabat Pesuruhjaya Sukan Malaysia (PJS). Namun terdapat beberapa pihak menyalahi undang-undang negara dengan menyalahgunakan nombor pendaftaran lama di PJS.

Asal-usul[sunting | sunting sumber]

Seni Beladiri Melayu telah wujud sebelum kehadiran pengaruh luar di alam Melayu yang dikenali sebagai Ilmu Hulubalang atau Ilmu Parajurit[perlu rujukan] yang menjadi penting untuk mengkuhkan pertahanan kerajaan Melayu tradisi seperti kerajaan Melayu Champa, Funan, Langkasuka, Kedah Tua dan Pattani yang meliputi Semenanjung Tanah Melayu.

Sejak kejatuhan kerajaan Melayu Tradisi di Semenanjung, silat telah terpinggir daripada istana dan pertahanan negara telah diperkenalkan dengan sistem pertahanan barat. Orang perang dan pahlawan telah kembali ke desa dan terus mengembangkan Ilmu Seni Perang Melayu atau institusi pendidikan kepahlawaan Melayu. Bagi mengelakkan ilmu kepahlawanan itu daripada pengetahuan penjajah lalu dijadikan satu permainan tradisi yang di dalamnya terdapat serang dan beladiri, dinamakan Silat.

Oleh sebab silat ini diamalkan oleh orang Melayu di Semenanjung Tanah Melayu dan daerah yang bersempadan dengannya, maka dinamakan Silat Melayu. Oleh sebab ramai ulama yang mengajarkan silat terdiri daripada orang Pattani yang berhijrah ke Semenanjung Tanah Melayu maka Silat Melayu tersebut dikenali sebagai Silat Patani.[perlu rujukan]

Kurikulum Silat Gayung Fatani adalah berdasarkan kandungan pelajaran Silat Melayu yang diasaskan Syeikh Abdul Rahman Tahir. Kemudian kurikulum ini disusun oleh Tn. Haji Anuar Bin Abd Wahab.

Sheikh Abdul Rahman menurunkan ilmu Silat Melayu kepada anaknya juga seorang guru agama iaitu Haji Ramli bin Abdul Rahman yang dikenali sebagai Tok Yah Ramli. Syeikh Abdul Rahman juga mengajar kepada beberapa murid yang lain termasuk Tuan Haji Pak Teh Mohd Ali.


Pak Teh Ali kemudian menurunkan ilmu ini kepada Haji Imam Mansor Bin Ismail. Kemudian Haji Imam Mansur menurunkan ilmu kepada Pak Andak Embong kemudian menurunkan ilmu ini kepada Tuan Haji Anuar Bin Abd Wahab pada tahun 1965. Tuan Haji Anuar Bin Abd Wahab kemudiannya melengkapkan pelajaran silat dengan Tuan Haji Ramli Bin Abdul Rahman. Dan sekarang ini merupakan Pengasas dan Guru Utama, Pertubuhan Seni Gayung Fatani Malaysia.

Anak murid Haji Ramli Bin Abdul Rahman bernama Haji Abdullah Darus dan Haji Mat Isa(Awang Pendekar) telah membuka dan mengembangkan ilmu persilatan ini ke Batu Kurau, Perak dalam tahun 1948. Diantara anak murid Haji Mat Isa ialah Mohamad bin Mahat(Pak Long Aji).Tuan Haji Pak Teh Mohd Ali telah melahirkan Guru Tua Seni Gayung Fatani Perak iaitu Tuan Haji Imam Mansur Bin Ismail. Pak Andak embong, Guru Tua negeri Selangor telah melahirkan Tuan Haji Anuar Abd Wahab selaku Guru Utama dan Pengasas pertubuhan ini.


Untuk makluman, Seni Gayung Fatani tidak sama atau tidak terkait dengan Silat Seni Gayong Malaysia dimana terdapat banyak perbezaan ketara dari sudut rupa bunga, buah dan pakaian. Keduanya mempunyai identiti yang tersendiri.

Perkembangan[sunting | sunting sumber]

Gayung Fatani berkembang di Eropah

Pada 14hb September 1976, silat ini dan didaftarkan sebagai pertubuhan rasmi dibawah Akta Pertubuhan,1966, PPP.S1886/28/76/(26) hasil usaha Tuan Haji Anuar bin Haji Abdul Wahab yang merupakan Guru Utama. Kemudian didaftarkan dibawah Akta Pembangunan Sukan 1997 dengan no pendaftaran PPS.0452/98/06/01/68-1(5). Selepas pemergian Tuan Guru Hj.Anuar Abd.Wahab AMN pada tahun 2009, PSGFM diteruskan oleh Tuan Guru Aminuddin Haji Anuar (anak sulung Tuan Guru Hj. Anuar Abd. Wahab) yang ditabalkan sebagai Guru Utama pada tahun 2013. Pada tahun 2013 juga PSGFM didaftarkan semula di Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (JPPM) dengan nombor pendaftaran PPM/033/10/14032013. Tiada lagi pendaftaran pertubuhan seni beladiri di Pejabat Pesuruhjaya Sukan Malaysia (PJS). Namun terdapat beberapa pihak menyalahi undang-undang negara dengan menyalahgunakan nombor pendaftaran lama di PJS.

Pertubuhan Seni Gayung Fatani Malaysia merupakan antara empat badan pendiri Persekutuan Silat Kebangsaan Malaysia (PESAKA Malaysia). Ia mempunyai gelanggang silat di seluruh 14 buah negeri termasuk Sabah dan Sarawak.

Di peringkat antarabangsa, Pertubuhan Seni Gayung Fatani Malaysia telah mengembangkan sayapnya di negara-negara luar seperti Austria, Thailand, New Caledonia, Perancis, Switzerland, Norway, Jerman, Romania dan Greece.

Pada tahun 2020, PSGFM bertindak menubuhkan Persekutuan Silat Olahraga Nasional (PESONA) dan menubuhkan World Silat Federation (WSF) bagi memperkasakan Silat Melayu aliran Malaysia di persada antarabangsa. Ini berikutan UNESCO telah mengiktiraf "Silat" adalah budaya tak tampak milik Malaysia, manakala "Pencak Silat" milik Indonesia.

Pada tahun 2022, Timbalan Guru Utama, Tuan Guru Prof. Madya Dr. Mohamad Nizam bin Mohamed Shapie telah terpilih menjadi penasihat kepada UNESCO International Centre of Martial Arts (UNESCO-ICM). Beliau diiktiraf oleh UNESCO-ICM sebagai pakar Silat dan pengkaji Silat. Sumber : http://www.unescoicm.org/eng/network/advice.php

Pencapaian[sunting | sunting sumber]

Gayung Fatani juara keseluruhan Kejuaraan Silat Kebangsaan 1994

Pertubuhan ini pernah menjadi Juara Keseluruhan Kejuaraan Silat Kebangsaan iaitu pada tahun 1991 (Melaka), 1992 (Kedah), 1994 (Pulau Pinang) dan 1995 (Kuala Terengganu). Pertubuhan ini juga berjaya melahirkan pesilat untuk negara sebagai contoh Kejuaraan Silat Peringkat Antarabangsa seperti di Sukan SEA, Terbuka Antarabangsa dan Silat Dunia.

Selain itu, kurikulum baru Pertubuhan Seni Gayung Fatani Malaysia telah dijadikan dasar untuk mewujudkan kurikulum silat. Pada April 2002, majlis Kementrian, Kebudayaan dan Pelancongan Malaysia bersama Kementrian Pendidikan Malaysia telah menjemput Persekutuan Silat Kebangsaan Malaysia (PESAKA) untuk mengadakan satu mesyuarat mengenai program ini. Oleh itu, Tuan Haji Anuar telah menerima tugas itu dan dipertanggungjawabkan untuk mengasas, menyusun dan seterusnya mengembangkannya ke seluruh negara. Di dalam mesyuarat tersebut, ahli majlis bersetuju menerima kurikulum baru Pertubuhan Seni Gayung Fatani Malaysia dijadikan dasar untuk mewujudkan kurikulum silat.

Malah menjadi juara dalam kategori persembahan berkumpulan dalam International Martial Arts Games(IMGC) pada 15-20 September 2004 di Pyongyang, Korea Utara anjuran International Taekwando Federation(ITF) yag disertai oleh 12 seni mempertahankan diri terbaik dunia dari 40 buah negara.

Menjadi juara dalam kategori persembahan berkumpulan dalam International Martial Arts Games(IMGC) pada 13-15 Mei 2005 di Perugia Itali, Anjuran World Kung Fu Wushu Championship yang disertai oleh ahli dan negara IMGC.

Rujukan[sunting | sunting sumber]

  1. ^ Anuar, Abdul Wahab. Silat: Sejarah Perkembangan Kurikulum Silat Melayu Tradisi dan Pembentukan Kurikulum Silat Malaysia Moden. Hizi Print Sdn Bhd, 2007, ms. 61.
  2. ^ Shapie, M.N.M., Elias, M.S., Anuar, A. (2016), Silat: The Heritage of Malaysia (Silat: Warisan Bangsa Malaysia), The National Department for Culture And Arts, Ministry of Tourism and Culture, Kuala Lumpur, Malaysia [In Malay]

Pautan Luar[sunting | sunting sumber]