Pergi ke kandungan

Singa batu

Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.
Sebuah patung singa memegang sebiji bola di Tokong Yonghe, Beijing

Singa batu (Bahasa Cina: 石獅; pinyin: shíshī) adalah hiasan yang lazim didapati dalam seni bina tradisional Cina. Ukiran-ukiran batu ini menggambarkan sepasang makhluk berupa singa yang dipercayai dalam anutan Buddha setempat mampu melindungi bangunan dari roh atau orang yang berbahaya dan mungkin mengancam.

Patung-patung ukiran ini banyak ditemukan bertarikh menghampiri abad keenam Masihi;[1] ia sering didapati di pekarangan istana dan makam diraja tidak sahaja di tanah besar China malah juga tersebar ke bahagian-bahagian Asia Timur lain dipengaruhi budaya sana termasuk Jepun, Korea, Tibet dan Taiwan sampai ke Vietnam, Thailand dan Malaysia.

Perkenalan

[sunting | sunting sumber]
Patung singa betina dengan seekor anak dipegangnya.
Patung singa jantan memijak sebiji bola.

Penggambaran singa ini sejajar dengan kegemaran isi kerabat istana Cina terhadap haiwan tersebut, terutamanya setelah ia diperkenalkan para utusan dari Asia Tengah dan Parsi semasa zaman Han Timur melalui perdagangan di Laluan Sutera[1] di mana haiwan ini terutamanya yang jenis Asia menjadi perlambangan kepada kekuasaan dan kemuliaan raja-raja.[2] Singa-singa ini sering dihadiahkan oleh orang-orang Sogdia, Samarkand, dan Yuezhi sebagai ufti kepada Maharaja baik yang hidup mahupun yang kulitnya.[3] Minat ini turut dikukuhkan dari penceritaan para pedagang dan guru biksu yang mendalami agama Buddha dari tanah-tanah jauh yang memberitahukan mengenai haiwan ini.[3]

Pengukiran

[sunting | sunting sumber]

Patung-patung singa diukir dari batu berharga seperti marmar dan granit mahupun dibentuk dari leburan logam seperti tembaga atau besi. Kos pemerolehan dan pengukiran bahan-bahan ini serta keperluan tenaga kerja menghasilkannya menjadikan patung-patung tersebut suatu penandaan kemewahan dan status sesebuah keluarga kaya atau elit.

Singa yang diukir sentiasa wujud secara berpasangan melambangkan keseimbangan alam di mana singa betina mewakili yīn manakala singa jantan melambangkan yáng; singa betina sering mempunyai seekor anak dipegang pada kaki kiri melambangkan kitaran hidup lalu melindungi penghuni yang hidup di dalam manakala singa jantan memijak sebiji bola (Bahasa Cina: 绣球pinyin: xiù qiú) pada kaki depan kanannya menjaga binaan rumah atau pekarangan ditanda.

  1. ^ a b Marianne Hulsbosch; Elizabeth Bedford; Martha Chaiklin, penyunting (2010). Asian Material Culture. Amsterdam University Press. m/s. 109. ISBN 9789089640901.
  2. ^ B. N. Goswamy (6 Oktober 2002). "Celebrating with the Lion Dance". The Sunday Tribune.
  3. ^ a b Schafer, Edward H. (1963). The Golden Peaches of Samarkand, a Study of T'ang Exotics. University of California Press.

Pautan luar

[sunting | sunting sumber]