Masya Masyitah

Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.
(Dilencongkan dari Siti Nur Masyitah)
Masya Masyitah
Nama lahirSiti Nurmasyitah binti Mohd Yusoff
Kelahiran (2000-01-19) 19 Januari 2000 (umur 24)
Kulim, Kedah, Malaysia
Genre
PekerjaanPenyanyi
InstrumenVokal
Tahun aktif2009–2023 & 2024— Kini
Syarikat rakaman
Rocketfuel Entertainment
Pengkarya berkait
Jeryl Lee, Iqbal Iqnada, Ara Johari, Putera Muhammad, Sufi Rashid

Siti Nurmasyitah Mohd Yusoff (lahir 19 Januari 2000) atau lebih dikenali sebagai Masya Masyitah merupakan seorang bekas penyanyi wanita Malaysia.[1][2] Kerjayanya dalam bidang muzik bermula apabila beliau dinobatkan sebagai juara pertandingan Ceria Popstar musim kedua di Astro Ceria pada 2014.[3] Selain itu, beliau juga ialah naib juara Bintang Kecil anjuran RTM. Masya merakamkan single sulungnya, "Teman Bintang" pada 2014, namun paling dikenali menerusi lagu "Halimunan" (2018). Pada tahun 2020, beliau dinobatkan sebagai juara Yippi Star Quest 2020 dengan menewaskan 3000 peserta seluruh Asia.[4]

Kerjaya[sunting | sunting sumber]

Masya Masyitah mula menunjukkan minat terhadap muzik sejak berusia sembilan tahun.[5] Pada tahun 2011, Masya terpilih sebagai salah seorang peserta rancangan TV realiti kanak-kanak Bintang Kecil terbitan Radio Televisyen Malaysia (RTM) dan dinobatkan sebagai naib juara.[6] Tiga tahun kemudian, iaitu pada 2014, beliau menjadi salah seorang peserta rancangan TV realiti Ceria Popstar musim kedua di Astro Ceria di bawah bimbingan penyanyi Hazama Azmi dan dinobatkan sebagai juara, ketika itu beliau berusia 14 tahun.[3]

Selepas tamat Ceria Popstar, Masya bersama enam finalis rancangan itu muncul dengan album kompilasi Ceria Popstar 2 terbitan Warner Music Malaysia. Album ini dikeluarkan pada November 2014.[7]

Beliau berhasrat untuk melebarkan kerjayanya ke Tanah Besar China.[8][9][10] Ini terbukti apabila beliau menjadi naib juara Festival Muzik Antarabangsa Hong Kong 2016.[10][11]

Masya menandatangani kontrak bersama Rocketfuel Entertainment dan seterusnya muncul bersama single sulungnya bersama label itu, "Mawar Terbiar",[12] diikuti oleh single kedua, "Halimunan".[13][14] Sebelum "Mawar Terbiar" dan "Halimunan", Masya terlebih dahulu merakamkan single pertama, "Teman Bintang".[15]

Pada 7 Oktober 2018, Masya membuat kemunculan bersama Sufian Suhaimi di Anugerah Bintang Popular Berita Harian ke-31 dengan mempersembahkan lagu "Di Matamu". Persembahan mereka mendapat pujian daripada penonton.[6]

Beliau menjadi satu-satunya wakil Malaysia dalam rancangan realiti nyanyian China, The Coming One musim ketiga yang berlangsung pada Mei 2019. Selain itu, Masya turut diundang menjayakan program ulang tahun ke-45 kempen Hubungan Diplomatik Malaysia-China anjuran Kedutaan Republik Rakyat China di Malaysia.[16]

Pada Ogos 2019, Masya bersama-sama dengan artis-artis Rocketfuel Entertainment, juga dikenali secara kolektif sebagai Rocketfuel All Stars telah merakamkan lagu bertajuk "Oh Malaysiaku" sempena meraikan ulang tahun kemerdekaan Malaysia ke-62.[17]

Masya juga telah dicalonkan dalam Top 5 Anugerah Bintang Popular Berita Harian ke-32 bagi kategori Artis Baharu Wanita Popular.[18] Beliau terpilih mewakili China di Festival Lagu-lagu China yang berlangsung pada 17 September 2019 di Nanning, China.[19] Beliau turut menjayakan konsert jelajah Mysista bersama Jeryl Lee yang diadakan pada Oktober dan Disember 2019 di Genting Highlands, Pahang.[20] Masya juga telah memenangi Anugerah Muzik Asia 2019 bagi kategori Artis Muda Paling Berpotensi, yang berlangsung di Shenzhen, China.[21][22][23]

Pada Julai 2020, Masya melancarkan single terbaharu, "Hapus" hasil nukilan Amy Bong dan Zimi.[24] Lagu ini berkisarkan tentang seorang lelaki yang curang di hadapan kekasihnya sendiri.[24] Muzik videonya telah diterbitkan bagi mempromosikan single ini, ia dibintangi oleh Hun Haqeem.[25]

Beliau telah mencipta sejarah tersendiri apabila telah dinobatkan sebagai juara pertandingan pencarian bakat antarabangsa, Yippi Star Quest 2020 yang berlangsung pada 24 Oktober 2020, menewaskan penyanyi Filipina, Phem sekaligus membawa pulang hadiah wang tunai sebanyak AS$40,000 (RM160,000).[26][27] Dalam pertandingan ini, beliau berjaya menewaskan 3000 peserta di seluruh Asia yang mengambil bahagian.[28][29][30]

Pada 25 Jun 2021, Masya melancarkan lagu solo berbahasa Mandarin pertamanya, "Jiu Meng Xin Su". Lagu yang berentak slow rock ini ialah hasil nukilan Kai Kai dan diterbitkan oleh Peng Chu. Masya dalam temubual bersama Berita Harian berkata lagu itu bukan berkisarkan mengenai kisah cintanya malah tiada kaitan dengannya di alam realiti. Ia merupakan lagu Mandarin keduanya selepas lagu "Zuo Jian" menampilkan duet bersama Jeryl Lee.[31]

Imej umum[sunting | sunting sumber]

Masya menerima pujian ramai dan peminat muzik kerana kebolehannya membawakan lagu berbahasa Mandarin. Ketua Label Muzik Rocketfuel Entertainment, Adam Lobo berkata: "Walaupun Masya (Masyitah) masih baru dalam industri muzik Malaysia, saya percaya dengan bakat nyanyian beliau bukan sahaja dalam bahasa Melayu, tetapi juga kebolehan beliau menyanyikan lagu dalam bahasa Mandarin yang amat mengagumkan serta mendapat pujian ramai daripada rakyat Malaysia termasuklah yang berbangsa Cina. Ini menunjukkan penerimaan yang baik tentang cara nyanyian dan paling penting setiap patah perkataan yang disebutkan kedengaran jelas dan tidak kekok".[12]

Menyifatkan hijab bukan penghalang buat dirinya, Masya berkata: "Memang saya tidak boleh nafikan ramai yang mengecam apabila seorang penyanyi bertudung seperti saya mencuba untuk berkecimpung dalam dunia seni suara. Saya tidak boleh puaskan hati semua orang. Apa yang boleh saya lakukan hanyalah buat perkara yang diminati. Pada masa yang sama, saya kena sentiasa menjaga nama baik keluarga terutamanya ibu bapa. Kecaman akan wujud di mana-mana terutamanya apabila memilih untuk bekerja dalam bidang seni".[14]

Kehidupan peribadi[sunting | sunting sumber]

Masya Masyitah dilahirkan pada 19 Januari 2000 di Kulim, Kedah. Beliau ialah bekas pelajar Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan Cina Chio Min. Masya juga fasih berbahasa Mandarin.[32][33] Beliau mendedahkan dalam satu temubual bersama mStar Online pada November 2014 bahawa beliau pernah diganggu oleh seorang lelaki tidak dikenalinya selepas menjuarai Ceria Popstar musim kedua.[7] Masya turut mendakwa lelaki itu pernah menghantar hadiah ke rumahnya dan menganggunya di sekolah semasa belajar.[7]

Masya mendedahkan telah membeli sebuah rumah berharga RM300,000 secara tunai pada usia 19 tahun pada 2019. Keseluruhan wang itu diperolehinya dari kerjayanya sebagai penyanyi.[34][35][36]

Diskografi[sunting | sunting sumber]

Album[sunting | sunting sumber]

Tahun Tajuk Catatan
2014 Ceria Popstar 2 Album kompilasi bersama 6 finalis Ceria Popstar musim kedua

Single[sunting | sunting sumber]

Tahun Tajuk Catatan
2014
"Teman Bintang"
2017
"Mawar Terbiar"
2018
2019
"Bahu Kiri"
"Zuo Jian"
Duet bersama Jeryl Lee
"Sahabat Sejati"
Versi bahasa Melayu dari lagu bahasa Mandarin "Zuo Jian"
2020
"Hapus"
2021
"Jiu Meng Xin Su"
"Remuk"
Versi Melayu dari versi Mandarin lagu "Jiu Meng Xin Su"
"Keluarga Malaysia"
Lagu tema gagasan Keluarga Malaysia. Duet bersama Ara Johari, Putera Muhammad dan Sufi Rashid
2022
"Simpanan"
Lagu paling banyak dapat kritikan netizen, akibat fesyen tudung

Filemografi[sunting | sunting sumber]

Drama[sunting | sunting sumber]

Tahun Tajuk Peranan Saluran TV
2014 Puasa Oh Puasa Masya Astro Ceria
2015 Puasa Oh Puasa (Musim 2)

Telefilem[sunting | sunting sumber]

Tahun Tajuk Peranan Saluran TV
2014 Masya Alisya Alisya Astro Maya HD

Televisyen[sunting | sunting sumber]

Tahun Tajuk Peranan Saluran TV
2014 Ceria Popstar 2 Dirinya sendiri/Peserta Astro Ceria
2024 Big Stage Musim 6 Dirinya sendiri/Peserta Astro Ria

Kontroversi[sunting | sunting sumber]

Isu rentas negeri[sunting | sunting sumber]

Pada 15 Mei 2021, Masya menerima kecaman daripada netizen di media sosial apabila beliau memuat naik gambarnya bersama dengan ibunya merentas negeri untuk pulang beraya bersama bapanya di Kulim, Kedah. Ini kerana pada ketika itu seluruh rakyat Malaysia tidak dibenarkan untuk merentas negeri bagi meraikan Hari Raya Aidilfitri bersama ahli keluarga yang lain akibat penularan pandemik COVID-19 di Malaysia. Masya telah berkongsi perasaan gembiranya itu di media sosial dan mengatakan beliau berasa gembira dan teruja kerana dapat mengikuti ibunya pulang ke kampung halaman bagi meraikan hari raya dengan berbekalkan surat kebenaran rentas negeri ibunya. Namun, ternyata tindakannya tersebut malah telah mengundang kemarahan para netizen kerana mereka mengganggap wujudnya sistem 'double standard' diantara golongan artis kayangan dan golongan rakyat biasa dalam undang-undang meluluskan kebenaran merentas negeri. Malah, tindakan Masya tersebut juga membuatkan pihak polis kemudian memanggilnya untuk disoal siasat. Masya bagaimanapun kemudian memohon maaf secara terbuka di laman media sosialnya diatas kesilapannya memuat naik fotonya tersebut dan mengakui kesilapan beliau yang tidak sensitif terhadap perasaan orang lain yang tidak dapat pulang ke kampung untuk beraya bersama keluarga pada ketika itu.[37][38]

Isu bertudung dan memakai seluar ketat[sunting | sunting sumber]

Pada tahun 2023, Masya sekali lagi dikecam apabila memuatnaik gambar di aplikasi Instagram miliknya dimana beliau telah berpenampilan agak mencolok mata dengan imejnya bertudung namun memakai seluar ketat legging berwarna hitam sehingga menimbulkan rasa tidak senang dikalangan netizen yang melihatnya. Beliau turut didakwa seolah-olah tidak menghormati dirinya yang beragama Islam. Neyizen sempat menegur agar beliau menjaga maruah dan tatasusila sebagai orang Islam. Masyitah juga telah rasmi membuka tudung sehingga ke hari ini. Selain itu, banyak gambar beliau yang tidak berlengan (sleeveless) dipamerkan untuk tontonan awam.

Jelajah[sunting | sunting sumber]

  • The Jeryl & Masya "MY SISTA" Live in Genting (2020)[39]

Anugerah dan pencalonan[sunting | sunting sumber]

Tahun Anugerah Kategori Penerima/Karya tercalon Keputusan Ruj.
2016 Festival Muzik Antarabangsa Hong Kong 2016 Dirinya sendiri Menang [11]
2019 Anugerah Bintang Popular Berita Harian ke-32 Artis Baharu Wanita Popular Tercalon [18]
Anugerah Muzik Asia 2019 Artis Baharu Paling Berpotensi Menang [21][40]
Anugerah Perniagaan Cemerlang ASEAN 2019 Pemengaruh Media Sosial Terbaik ASEAN Menang [40]
2020 Yippi Star Quest 2020 Menang [28]

Rujukan[sunting | sunting sumber]

  1. ^ Nor Eryani Yusop (13 September 2020). "Masya Masyitah digelar kampung". Kosmo!. Dicapai pada 26 November 2020.
  2. ^ "#Showbiz: Gunning for the international stage" [#Hiburan: Mengintai pentas antarabangsa] (dalam bahasa Inggeris). New Straits Times. 25 April 2019. Dicapai pada 26 November 2019.
  3. ^ a b Kemalia Othman (20 Jun 2014). "Masya diumum juara Ceria Popstar 2". mStar Online. Dicapai pada 25 Oktober 2014.
  4. ^ Tahir Alhamzah (4 November 2020). "#Showbiz: Masya Masyitah beats 3,000 others for Yippi Star Quest champion" [#Hiburan: Masya Masyitah kalahkan 3,000 peserta untuk juara Yippi Star Quest] (dalam bahasa Inggeris). New Straits Times. Dicapai pada 8 November 2020 – melalui MSN News.
  5. ^ Wawann Mohd (26 Oktober 2020). "Masya Masyitah usaha keras demi penuhi impian". Sinar Harian. Dicapai pada 30 November 2020.
  6. ^ a b Najiy Jefri (13 Disember 2018). "Masya: Tidak mengalah". Harian Metro. Dicapai pada 25 Oktober 2019.
  7. ^ a b c Kemalia Othman (14 November 2014). "Lelaki ganggu Masya (Cerita Popstar 2) sehingga di sekolah". mStar Online. Dicapai pada 25 Oktober 2015.
  8. ^ Syanty Octavia Amry (13 September 2019). "Menuju China - Masya Masyitah". Harian Metro. Dicapai pada 24 Oktober 2019.
  9. ^ Zaidi Mohamad (8 September 2018). "Masya Masyitah ingin tembusi pasaran China". Berita Harian. Dicapai pada 25 Oktober 2019.
  10. ^ a b Nurul Fadila Awaludin (20 Februari 2018). "Masya Masyitah ingin tembusi China". Kosmo!. Diarkibkan daripada yang asal pada 2018-02-23. Dicapai pada 27 Mac 2018.
  11. ^ a b Annie May (23 April 2019). "Following Shila Amzah's footstep, Masya Masyitah joins China's singing show" [Mengikuti jejak langkah Shila Amzah, Masya Masyitah sertai pertandingan nyanyian China] (dalam bahasa Inggeris). Hype Malaysia. Dicapai pada 25 Oktober 2019.
  12. ^ a b "Masya Masyitah kembali dengan single baharu, Mawar Terbiar". Utusan Borneo. 23 Januari 2018. Dicapai pada 4 Februari 2018.
  13. ^ Fatin Farhana Ariffin (12 Oktober 2018). "Masya harap tuah Halimunan". Berita Harian. Dicapai pada 25 Oktober 2018.
  14. ^ a b Mohd Haikal Isa (16 November 2018). "Hijab bukan halangan Masya Masyitah". Kosmo!. Diarkibkan daripada yang asal pada 16 November 2018. Dicapai pada 4 Disember 2018.
  15. ^ Kamaruddin Razal (15 Oktober 2018). "Masya Masyitah bekerjasama dengan tiga jejaka semuanya demi..." Astro Gempak. Dicapai pada 24 Oktober 2018.
  16. ^ "Masya Masyitah bakal pindah China?". XTRA. 23 April 2019. Dicapai pada 25 Oktober 2019.
  17. ^ "Lagu Oh Malaysiaku cetus fenomena Hari Kemerdekaan". Astro Awani. 28 Ogos 2019. Dicapai pada 12 Februari 2020.
  18. ^ a b Zaidi Mohamad (20 September 2019). "Masya teringin genggam trofi ABPBH 32". Berita Harian. Dicapai pada 25 Oktober 2019.
  19. ^ Ashley Tang (14 September 2019). "Masya set her sights in China" [Masya lunaskan hasrat di China] (dalam bahasa Inggeris). The Star Online. Dicapai pada 24 Oktober 2019.
  20. ^ "Malaysian singers Jeryl Lee and Masya Masyitah take on China as pop duo My Sista" [Penyanyi Malaysia, Jeryl Lee dan Masya Masyitah ke China sebagai duo pop My Sista] (dalam bahasa Inggeris). The Star Online. 23 Disember 2019. Dicapai pada 24 Oktober 2020.
  21. ^ a b Dennis Chua (21 November 2019). "#Showbiz: Masya Masyitah wins Asian Music Awards in China" [#Hiburan: Masya Masyitah menang Anugerah Muzik Asia di China] (dalam bahasa Inggeris). New Straits Times. Dicapai pada 24 Oktober 2020.
  22. ^ "Menang artis paling berpotensi di Asia Music Awards, Masya Masyitah orak langkah di China". Astro Awani. 22 November 2019. Dicapai pada 25 Oktober 2020.
  23. ^ Salma Syahbuddin (19 November 2019). "Masya Masyitah ikut jejak langkah Sheila Amzah". XTRA. Dicapai pada 19 Disember 2019.
  24. ^ a b Asraf Adied (20 Julai 2020). "Masya Masyitah mahu ubati kerinduan peminat menerusi Hapus". Astro Gempak. Dicapai pada 25 Oktober 2020.
  25. ^ Zaidi Mohamad (17 Julai 2020). "Masya lamar Hun Haqeem jadi kekasih". Berita Harian. Dicapai pada 25 Oktober 2020.
  26. ^ Najiy Jefri (28 Oktober 2020). "Masya Masyitah juara Yippi Star Quest 2000". Harian Metro. Dicapai pada 31 Oktober 2020.
  27. ^ Khai Azfar (22 Oktober 2020). "Berjaya ke final! Masya Masyitah bersaing dengan wakil Filipina". Murai.my. Dicapai pada 19 Disember 2020.
  28. ^ a b Fatin Farhana Ariffin (4 November 2020). "Masya tewaskan 3000 peserta seluruh Asia". Berita Harian. Dicapai pada 4 November 2020.
  29. ^ Kenneth Chaw (3 November 2020). "Local singer Masya Masyitah outsings 3,000 others to win singing contest" [Penyanyi tempatan Masya Masyitah ketepikan 3,000 lain untuk memenangi pertandingan nyanyian] (dalam bahasa Inggeris). The Star Online. Dicapai pada 6 November 2020.
  30. ^ Qist (27 Oktober 2020). "Tewaskan lebih 3000 peserta dari Asia, rezeki Masya Masyitah menang AS$4000". Hijabista. Dicapai pada 19 Disember 2020.
  31. ^ Zaidi Mohamad (1 Julai 2021). "Masya tak sia-sia kebolehan bahasa Mandarin". Berita Harian. Dicapai pada 29 Julai 2021.
  32. ^ Norhayati Nordin (20 September 2020). "Fasih bertutur bahasa Mandarin". Harian Metro. Dicapai pada 24 Oktober 2020.
  33. ^ Khadijah Ibrahim (29 Ogos 2020). "Rezeki Masya Masyitah pandai bahasa Mandarin". BebasNews. Dicapai pada 24 September 2020.
  34. ^ Norhayati Nordin (26 Ogos 2020). "Umur 19 tahun, Masya Masyitah dah beli rumah tunai RM300,000". Harian Metro. Dicapai pada 25 Oktober 2020.
  35. ^ "Masya Masyitah bayat tunai kondo RM300,000 hasil tabungan". Berita Harian. 27 Ogos 2020. Dicapai pada 6 November 2020.
  36. ^ Nadia Azam (26 Ogos 2019). "Tak nak terikat dengan bank buat Masya Masyitah beli rumah secara tunai". Malaysiakini. Dicapai pada 13 Disember 2019.
  37. ^ "Kongsi kegembiraan dapat balik beraya di kampung bawa padah, Masya Masyitah kini disiasat polis". mStar Online. 15 Mei 2021. Dicapai pada 28 Mei 2021.
  38. ^ Najiy Jefri (14 Mei 2021). "Masya Masyitah mohon maaf". Harian Metro. Dicapai pada 27 Jun 2021.
  39. ^ Justin (13 Ogos 2020). "Genting to host first live concert since MCO with Jeryl & Masya" [Genting bakal menjadi hos konsert secara langsung sejak PKP bersama Jeryl & Masya] (dalam bahasa Inggeris). Hype.my. Dicapai pada 26 November 2020.
  40. ^ a b Najiy Jefri (3 Disember 2019). "Anugerah pembakar semangat". Harian Metro. Dicapai pada 24 Oktober 2020.

Pautan luar[sunting | sunting sumber]