Skandal kapal tempur pesisir Malaysia

Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.
Pergi ke pandu arah Pergi ke carian

Skandal kapal tempur pesisir Malaysia atau skandal LCS (Bahasa Inggeris: LCS Scandal) merujuk kepada satu skandal yang sedang berlangsung di Malaysia yang melibatkan pembinaan enam kapal tempur pesisir (LCS) untuk kegunaan Tentera Laut Diraja Malaysia semasa pentadbiran Najib Razak. Namun begitu, setakat Ogos 2022, tiada kapal LCS telah disiapkan, walaupun kerajaan Malaysia telah membayar RM6 bilion untuk projek tersebut. Projek tersebut digantung pada 2019 dan disambung semula pada 2022.

Skandal tersebut didedahkan berikutan siasatan oleh Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC), Parlimen Malaysia pada Ogos 2022. Laporan jawatankuasa itu mendedahkan bahawa projek itu telah diberikan kepada Boustead Naval Shipyard (BNS) melalui rundingan terus dan syarikat itu dibayar RM6 bilion oleh kerajaan, tetapi tiada kapal dihantar. Laporan itu juga mendedahkan bahawa syarikat itu telah menggunakan wang itu untuk membeli peralatan daripada pengeluar peralatan asal, menyebabkan kos pembelian meningkat berlipat kali ganda.

Latar belakang[sunting | sunting sumber]

Projek membina enam kapal tempur pesisir (LCS) telah dianugerahkan kepada anak syarikat Boustead Heavy Industries Corp Bhd (BHIC) pada tahun 2011. Projek itu telah dibelenggu dengan lebihan kos dan kelewatan, tanpa satu kapal dihantar setakat Ogos 2022. Perbincangan mengenai pesanan variasi projek dan kos tambahan menjadi tumpuan berikutan pertukaran kerajaan kepada Pakatan Harapan pada 2018. Projek itu digantung pada tahun berikutnya, sementara menunggu hasil rundingan.[1]

Pada Oktober 2019, menteri pertahanan ketika itu, Mohamad Sabu memberitahu Dewan Rakyat bahawa projek itu telah siap 55.7% pada suku ketiga 2019, berbanding sasaran siapnya sebanyak 78%. Dengan itu, kapal pertama dijangka akan dihantar tiga tahun kemudian daripada tarikh akhir April 2019. Selain itu, turut didedahkan bahawa nilai kontrak projek itu mencecah kira-kira RM9.13 bilion, dan kos tambahan untuk menyiapkan kesemua enam kapal berjumlah RM1.4 bilion, atau RM10.63 bilion secara keseluruhan.[1]

Pada Ogos 2020, menteri kanan (pertahanan) ketika itu Ismail Sabri Yaakob memberitahu Dewan Rakyat tentang rancangan untuk mengehadkan kos projek pada RM9 bilion— tetapi untuk dua kapal sahaja, yang akan dilakukan sama ada oleh BNS atau syarikat lain. Sementara itu, Boustead Holdings Bhd (BHB) mengemukakan cadangan kepada kerajaan. Ia dibentangkan pada mesyuarat kabinet pada Mei 2021. Pada Mac 2022, kerajaan memutuskan untuk meneruskan projek itu.[1]

Laporan PAC 2022[sunting | sunting sumber]

Laporan PAC Parlimen pada 4 Ogos 2022 telah mendapati bahawa kontrak projek LCS telah dianugerahkan kepada syarikat Boustead Naval Shipyard (BNS) melalui rundingan terus. Kerajaan telah membayar sejumlah RM6.083 bilion bagi projek LCS, tetapi tiada kapal LCS telah disiapkan. Syarikat BNS telah melantik Contravest Advanced Devices dan Contravest Electrodynamics Devices untuk membeli peralatan daripada Pengeluar Peralatan Asal, yang telah menyebabkan kos pembelian meningkat berlipat kali ganda. Syarat kontrak pula adalah lemah dan tidak memihak kepada kerajaan. Bayaran yang diterima daripada kerajaan oleh BNS tidak digunakan sepenuhnya untuk projek LCS, menyebabkan BNS menghadapi lebihan kos. Peralatan yang disimpan dalam simpanan untuk projek LCS dianggarkan berjumlah RM1.7 bilion dan dianggarkan 15% sudah usang.[2] Laporan PAC turut mendedahkan bahawa LCS pertama, LCS kelas Maharaja Lela, yang dilancarkan pada 2017 sebenarnya belum siap. Kapal itu hanya 44% siap pada masa pelancaran. Majlis penamaan dan pelancaran kapal itu hanyalah sekadar pertunjukan dan kos tambahan tiang yang dipasang pada LCS 1 semasa majlis itu adalah berjumlah RM400,000.[3]

PAC Parlimen juga telah mengesyorkan Kementerian Pertahanan menyahklasifikasi laporan Jawatankuasa Khas Siasatan Tadbir Urus, Perolehan dan Kewangan Kerajaan (JKSTUPKK) mengenai perolehan enam buah Second Generation Patrol Vessel (SGPV), bekeupayaan LCS Tentera Laut Diraja Malaysia, dan insiden pemilihan reka bentuk kapal LCS berubah daripada SIGMA kepada GOWIND dijadikan iktibar bagi perolehan akan datang. PAC juga telah mengesyorkan Kementerian Pertahanan membentangkan pelan perolehan kepada Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen Pertahanan dan Keselamatan dari semasa ke semasa, dan supaya pentadbiran kontrak kerajaan diperkemas untuk meminimumkan Arahan Perubahan Kerja (variation order).[2]

Reaksi[sunting | sunting sumber]

Menteri pertahanan[sunting | sunting sumber]

Menurut menteri pertahanan pada Ogos 2022, Hishamuddin Hussein, kerajaan Malaysia sedang menyiasat kemungkinan rasuah dalam projek membina kapal untuk tentera laut negara. Kerajaan telah menubuhkan jawatankuasa pentadbiran khas untuk memantau dengan teliti keadaan dan melaporkan segala perkembangan kepada Kabinet.[4]

Rafizi Ramli[sunting | sunting sumber]

Menurut timbalan presiden PKR, Rafizi Ramli, dipercayai RM890 juta telah diselewengkan daripada projek itu melalui penipuan, pemindahan wang kepada pihak dengan tujuan untuk menipu kontrak, kontrak pendua, dan penyelewengan lain. Tambahnya, Menteri Pertahanan pada masa projek itu dianugerahkan dan Menteri Pertahanan pada masa kontrak akhir ditandatangani kedua-duanya telah dimaklumkan mengenai penyelewengan itu tetapi tidak mengambil sebarang tindakan. Beliau berkata skandal ini penting kerana ia melibatkan penyelewengan dana awam dan pengabaian pertahanan negara.[5]

Rafizi turut mendedahkan bahawa pada tahun 2012, kerajaan Malaysia telah memberi kontrak Boustead Naval Shipyard (BNS) untuk membina dua kapal. BNS kemudiannya melantik Contraves Advanced Devices Sdn Bhd (CAD) sebagai subkontraktor untuk membantu pembinaan. CAD kemudiannya melantik syarikat bersekutunya, Contraves Electrodynamics Sdn Bhd (CED), sebagai sub-subkontraktor. CED kemudiannya membuat kontrak dengan DCNS, syarikat yang pada asalnya sepatutnya menjadi kontraktor utama, untuk membekalkan bahan dan kepakaran untuk pembinaan.[6]

Masalahnya, tambah Rafizi, ialah CED hanya membayar DCNS RM397 juta untuk kerja itu, walaupun kerajaan Malaysia membayar CED RM1.185 bilion. Ini bermakna seseorang sedang mengantongi komisen 200% untuk kerja yang DCNS lakukan.[6]

Ahli parlimen pembangkang[sunting | sunting sumber]

Ahli Parlimen Bukit Mertajam, Steven Sim, berpendapat Najib Razak, perdana menteri ketika itu, dan Ahmad Zahid Hamidi, menteri pertahanan, berpakat untuk memberi kelebihan kepada syarikat yang membekalkan kapal berkenaan, DCNS. Syarikat ini sudah pun terpalit dengan skandal rasuah membabitkan dua jenis kapal lain iaitu kapal selam Scorpene dan Agosta. Beliau berpendapat Najib dan Zahid tahu tentang rasuah syarikat ini dan masih memilih untuk bekerja dengan mereka.[7]

Rujukan[sunting | sunting sumber]

  1. ^ a b c Aziz, Adam; Ng, Jenny; Shanmugam, M.; May 19, Jose Barrock / The Edge Malaysia; Pm +08, 2022 14:30 (2022-05-19). "Cover Story: Tribulations of the LCS project". The Edge Markets. Dicapai pada 2022-08-07.CS1 maint: numeric names: authors list (link)
  2. ^ a b "Laporan PAC LCS" (PDF).
  3. ^ "RM400,000 untuk tiang 'mast' kapal LCS yang hanya untuk 'show'".
  4. ^ "Hishammuddin: Parties involved in wrongdoing of littoral combat ships project will not get away with it". Borneo Post Online (dalam bahasa Inggeris). Dicapai pada 2022-08-07.
  5. ^ rafiziramli (2022-08-04). "Penyelewengan Projek LCS: Sekurang-Kurangnya RM890 Juta Dana Rakyat Hangus". Rafizi Ramli (dalam bahasa Inggeris). Dicapai pada 2022-08-07.
  6. ^ a b rafiziramli (2022-08-09). "DCNS Guna Tiga Lapis Syarikat, Kos Naik Tiga Kali Ganda". Rafizi Ramli (dalam bahasa Inggeris). Dicapai pada 2022-08-09.
  7. ^ "Skandal LCS: Adakah Najib, Zahid bersekongkol beri kelebihan kepada syarikat bermasalah? | The Malaysian Insight". www.themalaysianinsight.com. Dicapai pada 2022-08-07.