Francis Xavier

Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.
(Dilencongkan dari St. Francis Xavier)
Santo Francis Xavier
Barat: Hawari Timur
Lahir7 April 1506
Xavier, Navarre, Sepanyol
Meninggal3 Disember 1552
Pulau Shangchuan, China
Dihormati olehGereja Roman Katolik, Gereja Anglikan, Gereja Lutheran
Dibeatifikasikan25 Oktober 1619 oleh Paus Paul V
Dikanunkan12 Mac 1622 oleh Paus Gregory XV
Tempat keramatBasilica Dom Jésus, Goa, India
Hari perayaan3 Disember

sunting
Lihat pendokumenan templat ini
Lihat pendokumenan templat ini


Santo Francis Xavier ataupun nama asalnya, Francisco de Jaso y Azpilicueta (7 April 1506, Navarre, Sepanyol - 3 Disember 1552, Pulau Shangchuan, China) adalah seorang mubaligh perintis Gereja Katolik Rom yang dilahirkan di Navarre, Sepanyol. Xavier merupakan seorang daripada pelajar Santo Ignatius Loyola dan salah satu daripada kalangan tujuh pengasas Persatuan Yesus (juga dikenali sebagai Tarikat Jesuit) di Montmartre, Perancis pada tahun 1534 [1]. Xavier merintis misi Gereja Katolik ke rantau Asia, terutamanya di wilayah-wilayah Empayar Portugis dan berpengaruh di dalam penyebaran dan pelestarian ajaran Katolik di Goa, India. Xavier juga memelopori misi Gereja Katolik ke wilayah-wilayah yang sebelum ini belum pernah dikunjungi oleh mubaligh-mubaligh Katolik seperti Melaka, Borneo, Kepulauan Maluku dan Jepun.

Kehidupan awal[sunting | sunting sumber]

Francis Xavier dilahirkan di istana keluarganya di kota Xavier (Sepanyol: Javier, Catalan: Xavier, bahasa Basque: Xabier) berdekatan dengan kota Pamplona, Navarre. Xavier dilahirkan di dalam keluarga bangsawan kerajaan Navarre dan merupakan anak bongsu kepada Juan de Jaso, penasihat kepada baginda John III, Raja Navarre.

Pada tahun 1512, negeri Navarre ditempur dan berjaya ditawan oleh bala tentera Castille dan Aragon yang diketuai Fadrique Álvarez de Toledo. Abang-abang Francis Xavier mengambil bahagian di dalam usaha bersama kerajaan Perancis-Navarre untuk menawan kembali wilayah yang ditakluk tetapi gagal dan akibatnya tanah-tanah keluarga Francis Xavier disita dan benteng istana keluarganya diroboh. Ayah Xavier meninggal dunia pada tahun 1515 semasa beliau hanya berumur sembilan tahun.

Francis Xavier menjadi seorang pelajar di Universiti Paris dan beliau tamat dengan lulusan licence ès arts (ijazah tiga tahun dari tradisi pendidikan tinggi Perancis yang sama tarafnya dengan ijazah Sarjana Muda Sastera) pada tahun 1530. Xavier meneruskan pendidikannya di dalam jurusan teologi dan pada masa itu berkenalan dengan Ignatius Loyola. Pada 15 Ogos 1534, Xavier bersama dengan Ignatius dan lima orang yang lain mengunjungi sebuah gereja kecil di Montmartre berdekatan kota Paris dan di situ ketujuh-tujuh tokoh ini melafazkan kaul kemiskinan, kesucian dan kepatuhan. Ini merupakan peristiwa pengasasan Tarikat Jesuit. Xavier bersama-sama dengan pengasas-pengasas Tarikat Jesuit ini bertolak ke kota Venice, Itali di mana mereka telah ditahbiskan sebagai paderi Katolik pada 24 Jun 1537. Tujuh sekawan ini tiba di kota Bologna pada bulan Oktober 1537 di mana mereka berkhidmat di dalam sebuah hospital. Selepas itu, Xavier berkhidmat sebagai setiausaha Ignatius di kota Rom untuk seketika waktu.

Perkhidmatan mubaligh[sunting | sunting sumber]

Francis Xavier mengabdikan sebahagian besar hidupnya bagi kerja misi di negara-negara asing. Pada tahun 1540, Xavier diutuskan ke istana Portugal oleh Ignatius bagi memenuhi hasrat John III, Raja Portugal, yang inginkan mubaligh-mubaligh Jesuit dihantar ke Hindia Timur Portugis kerana baginda mempercayai bahawa nilai-nilai Kristiani di kalangan peneroka-peneroka Portugis semakin terhakis di wilayah-wilayah tersebut, terutamanya di Goa. Xavier bertolak dari kota Lisbon pada 7 April 1541 bersama-sama dengan dua orang mubaligh Jesuit yang lain dan Martim Afonso de Sousa, seorang bangsawan yang dilantik sebagai Wizurai Hindia Timur yang baru dengan menaiki kapal yang bernama Santiago. Xavier tinggal sementara di Mozambique dari Ogos 1541 sehingga Mac 1542 sebelum tiba di kota Goa pada 6 Mei 1542. Jawatan rasmi Xavier di Goa adalah sebagai Nuncio Apostolik (ataupun Duta Besar Takhta Suci Kota Vatikan) dan beliau menggunakan Goa sebagai pusat operasinya untuk bagi tiga tahun berikutnya.

Pelayanan di India[sunting | sunting sumber]

Pada 20 September 1543, Francis Xavier memulakan kerja misinya dikalangan kaum Parava, sebuah masyarakat yang menduduki persisiran pantai timur India selatan sebelah utara Tanjung Comorin. Pada tahun 1544, Xavier tinggal di dalam sebuah gua laut di Manapad selama tiga bulan sambil menjalankan katekisme untuk kanak-kanak Parava. Xavier juga berusaha berdakwah kepada raja Travancore dan mengunjungi Ceylon (Sri Lanka). Oleh kerana Xavier kurang berpuas hati dengan hasil pelayanannya, beliau membuat rancangan untuk mengembangkan usahanya kearah Timur dan menyusun rencana perjalanan ke Makassar di Sulawesi pada tahun 1545.

Sebagai mubaligh Jesuit yang pertama di India, Francis Xavier menghadapi kesukaran di dalam usahanya untuk mengembangkan ajaran Katolik. Pendekatan Xavier yang tidak menyetempatkan ajaran Kristian menurut tradisi setempat seperti mana yang dilakukan oleh Matteo Ricci di negeri China mengurangkan keberkesanan ajaran yang dibawanya. Namun demikian, tugas utama Xavier seperti yang dititahkan oleh Raja John III adalah untuk memulihkan akidah dan keimanan Kristiani dikalangan peneroka-peneroka Portugis. Ramai diantara peneroka-peneroka Portugis ini telah bersumbang salah dengan wanita-wanita setempat dan Xavier giat berusaha untuk memulihkan kemoralan sambil menjalankan katekisme dikalangan kanak-kanak yang ramai dilahirkan diluar nikah.

Pelayanan di rantau Nusantara[sunting | sunting sumber]

Francis Xavier tiba di Melaka pada Oktober 1545 dan melayani masyarakat setempat di kota itu sambil menunggu kapal untuk membawanya ke Makassar. Setelah tiga bulan sia-sia menunggu, Xavier membatalkan niatnya untuk ke Makassar dan pada 1 Januari 1546 telah bertolak ke Pulau Amboina dimana beliau telah tinggal sehingga bulan Jun. Xavier kemudian mengunjungi pulau-palau yang lain di Kepulauan Maluku seperti Ternate dan Morotai. Tidak lama selepas hari Paskah pada tahun yang sama, Xavier kembali ke Amboina dan kemudiannya kembali semula ke Melaka. Pada masa ini, Xavier telah mengutuskan surat kepada Raja John III yang menceritakan kehampaannya terhadap golongan elit di Goa dan meminta supaya Pasitan (bahasa Inggeris: Inquisition) dimulakan di Goa. Namun demikian, Pasitan Goa hanya dimulakan lapan tahun selepas Xavier wafat.

Usaha pelayanan Francis Xavier di Kepulauan Maluku membawa impak yang besar dikalangan masyarakat setempat sehingga beliau digelar sebagai Hawari Timur (bahasa Inggeris: Apostle of the East). Hasil daripada pelayanan Xavier dari tahun 1546-1547 dikalangan penduduk Pulau Amboina, Ternate dan Morotai, agama Kristian bertapak di wilayah-wilayah tersebut dan kini menjadi agama terbesar di wilayah Nusa Tenggara Timur, Indonesia (91% penduduk wilayah ini beragama Kristian) [2].

Pada bulan Disember 1547, Francis Xavier bertemu dengan Anjiro, seorang samurai Jepun yang berasal dari Kagoshima yang pada masa itu sedang berteduh dibawah lindungan Portugis kerana dituduh membunuh di Jepun. Anjiro telah mendengar khabar tentang Francis Xavier dan berusaha untuk bertemu dengan beliau. Hasil daripada perbualan diantara Francis Xavier dengan Anjiro, Xavier sedar bahawa masyarakat Jepun mempunyai budaya yang agak maju dan beliau meminta supaya Anjiro membantunya sebagai pengantara dan penterjemah beliau untuk pelayannya di Jepun. Anjiro dibaptiskan oleh Francis Xavier dan mengambil nama baru, Pablo de Santa Fe.

Sebelum bertolak ke Jepun, Francis Xavier berangkat pulang ke Goa pada bulan Januari 1548 bagi membantu menyesuaikan mubaligh-mubaligh Jesuit yang baru tiba. Pentadbiran Kolej Teologi Santa Fe di Goa dialihkan kepada mubaligh-mubaligh Jesuit dan dibawah pentadbiran Francis Xavier, menjadi pusat latihan katekis dan paderi tempatan dari Keuskupan Goa yang pada masa itu merangkumi wilayah-wilayah diantara Tanjung Harapan, Afrika Selatan sehingga ke negeri China. Xavier juga telah menghantar dua orang mubaligh Jesuit, Francisco Peres dan Roque de Oliveira, ke Melaka untuk mengasaskan sebuah sekolah di kota tersebut yang kemudian dikenali sebagai Kolej St. Paul (Portugis: Colégio de São Paulo dan bahasa Inggeris: St. Paul's College). Kolej ini berfungsi sehingga kejatuhan Melaka ke tangan Belanda pada tahun 1641 [3] [4].

Pada 15 April 1549, Francis Xavier bertolak dari Goa ke Jepun bersama-sama dengan dua orang mubaligh Jesuit, Cosme de Torrès dan João Fernandes, Anjiro berserta dengan dua orang lagi berbangsa Jepun yang dibaptis olehnya. Mereka sempat bersinggah sementara di Melaka dan mengunjungi kota Canton, China semasa perjalanan mereka.

Pelayanan di Jepun[sunting | sunting sumber]

Francis Xavier tiba di Jepun pada 27 Julai 1549 tetapi hanya berjaya menurunkan kakinya di Kagoshima, Satsuma yang terletak di pulau Kyushu pada 15 Ogos. Sebagai wakil rasmi Raja Portugal dan Takhta Suci Kota Vatikan, Xavier pada mulanya diterima baik oleh Daimyo wilayah Satsuma. Namun demikian, tidak lama kemudian Daimyo wilayah tersebut tersinggung dengan sikap saudagar-saudagar Portugis yang mula berdagang di Hirado di wilayah yang bersaing dengannya. Daimyo Satsuma mengharamkan ajaran Kristian di wilayahnya dan Francis Xavier berpindah ke Hirado pada bulan Ogos 1550 [5].

Pelayanan Francis Xavier di Hirado agak berjaya dan sebuah jemaah kecil diasaskan. Jemaah ini ditinggalkan dibawah asuhan Fr. Torrès dan Xavier berangkat ke kota Yamaguchi pada bulan Oktober 1550. Menjelang hari Krismas, Xavier mulakan perjalannya ke kota Kyoto tetapi gagal di dalam usahanya untuk mengadap Maharaja Jepun. Xavier kembali ke Yamaguchi pada bulan Mac 1551.

Francis Xavier teruskan pelayanan beliau di wilayah Nagate dan Bungo dan pada hujung tahun 1551, beliau membuat keputusan untuk pulang sementara ke Goa. Jemaah-jemaah yang diasaskan di Jepun diletakkan dibawah asuhan Torrès dan Fernandes. Di dalam perjalanan pulang, kapal yang dinaiki Xavier terpaksa berteduh seketika di sebuah pulau berdekatan dengan kota Canton dan di situ beliau bertemu dengan seorang saudagar Portugis, Diego Pereira, yang juga merupakan rakan lamanya dari Cochin. Pereira menunjukkan Xavier sepucuk surat daripada warga Portugis yang ditahan di kota Canton dimana mereka menyeru supaya Duta Besar Portugal dihantar untuk berunding dengan Maharaja China tentang nasib mereka. Justeru itu, Xavier singgah di Melaka pada 27 Disember 1551 dan akhirnya tiba di Goa pada bulan Januari 1552.

Wafat[sunting | sunting sumber]

Pada 17 April 1552, Francis Xavier bersama-sama dengan Diego Pereira bertolak dari Goa ke China di atas kapal Santa Cruz. Xavier berpegang dengan jawatan Nuncio Apostolik manakala Diego berjawatan Duta Besar Raja Portugal. Setiba kapal Santa Cruz di Melaka, Xavier didatangi oleh Álvaro de Ataíde de Gama, Capitão-mor (gelaran pentadbir tertinggi setaraf dengan Gabenor) kota Melaka yang telah mengambil alih kuasa di kota tersebut. de Ataíde yang mempunyai dendam terhadap Pereira enggan mengiktirafkan pangkat Xavier sebagai Nuncio dan memaksa Pereira untuk meletakkan jawatan sebagai Duta Besar.

Setelah berunding selama sebulan, Francis Xavier mengemukakan watikah perlantikannya sebagai Nuncio Apostolik yang beliau sembunyikan selama ini. Namun demikian, de Ataíde masih enggan berganjak dan cuma membenarkan Xavier bertolak ke China tanpa Pereira. Anak-anak kapal Santa Cruz juga terpaksa ditukar dan hadiah-hadiah yang asalnya dibawa untuk Maharaja China disita.

Pada bulan Ogos 1552, kapal Santa Cruz berlabuh di Pulau Shangchuan berdekatan dengan kota Taishan, Guangdong. Pada masa itu, Francis Xavier cuma diiringi oleh seorang pelatih Jesuit, Álvaro Ferreira, seorang lelaki China bernama Antonio dan seorang pembantu dari Malabar bernama Christopher. Pada pertengahan bulan November, Xavier mengutuskan sepucuk surat melalui Ferreira kepada Uskup Goa menyatakan bahawa beliau telah berjaya mendapatkan perkhidmatan seorang saudagar yang sanggup menyeludupkannya ke kota Canton. Dengan pemergian Ferreira, Xavier cuma diiringi oleh Antonio.

Pada November 21 1552, Francis Xavier pengsan setelah menyambut Misa. Dia beransur uzur dan menghembuskan nafas terakhir pada 3 Disember 1552 tanpa menjejakkan kakinya di tanah besar China.

Jenazah Francis Xavier pada mula-mulanya dimakamkan di Pulau Shangchuan. Pada bulan Februari 1553, jenazahnya yang masih utuh dipindahkan dari Pulau Shangchuan dan disemayamkan di Gereja St. Paul, Melaka pada 22 Mac 1553. Pada 15 April 1553, Diego Pereira tiba di Melaka dari Goa dan tidak lama kemudian memindahkan jenazah Francis Xavier ke rumahnya. Sebuah makam terbuka di runtuhan Gereja St. Paul, Melaka menandakan tapak jenazah Francis Xavier pernah disemayamkan.

Pada 11 Disember 1553, jenazah Francis Xavier dipindahkan dari Melaka dan sampai ke kota Goa pada 15 Mac 1554. Jenazah Xavier akhirnya disemayamkan di gereja Basilika Bom Jésus di Goa dan diletakkan di dalam sebuah keranda kaca bersalur perak pada 2 Disember 1637.

Kontroversi[sunting | sunting sumber]

Beberapa pihak telah mengkritik Francis Xavier kerana sikap ikonoklasme beliau dan peranan beliau di dalam memulakan Pasitan Goa. Hakikatnya Xavier yang meminta supaya pasitan dimulakan di Goa tetapi beliau tidak mengambil bahagian didalamnya kerana ia hanya bermula lapan tahun selepas beliau wafat.

Warisan[sunting | sunting sumber]

Sumbangan Francis Xavier sebagai seorang mubaligh diakui, terutamanya peranannya sebagai seorang pengelola dan perintis. Contoh yang ditunjukkannya melalui kompromi dengan masyarakat Nasrani Suryani Malabar di India menjadi rangka kaedah dakwah Jesuit yang masih digunakan oleh Tarikat Jesuit hari ini. Hasil usahanya meninggalkan satu warisan penting di dalam sejarah penyebaran agama Kristian di India, rantau Nusantara, China dan Jepun.

Terdapat banyak gereja-gereja dan sekolah-sekolah yang dinamakan sempena Francis Xavier di seluruh dunia. Di Malaysia, beberapa gereja yang dinamakan sempena Francis Xavier terletak di Petaling Jaya, Melaka dan Pulau Pinang. Beberapa buah sekolah juga dinamakan sempena beliau seperti di St. Xavier's Institution di Pulau Pinang dan Sekolah Menengah St. Francis Xavier di Keningau.

Beatifikasi dan kanonisasi[sunting | sunting sumber]

Francis Xavier diakui sebagai seorang wali dan santo oleh Gereja Katolik Rom, Gereja Anglikan dan Gereja Lutheran. Xavier dibeatifikasikan oleh Paus Paul V pada 25 Oktober 1619 dan diangkat sebagai santo melalui proses kanonisasi oleh Paus Gregory XV pada 12 Mac 1622 bersamaan dengan kanonisasi Ignatius Loyola. Hari peringatannya dirayakan pada Disember 3 [1] setiap tahun oleh Gereja Katolik dan beliau juga diakui sebagai santo pelindung bagi mubaligh-mubaligh Katolik di negara asing.

Rujukan[sunting | sunting sumber]

  1. ^ a b Attwater, Donald. (1965) A Dictionary of Saints. Penguin Books, Middlesex, England. Reprint: 1981.
  2. ^ Badan Pusat Statistik, Republik Indonesia: Penduduk Nusa Tenggara Timur menurut Kabupaten 1971, 1980, 1990, 1995, 2000 dan 2005
  3. ^ Pintado, Manuel Joaquim (1988). The Voice of the Ruins (2nd Edition). Macau (China): Instituto Cultural de Macau. Cite has empty unknown parameter: |coauthors= (bantuan)
  4. ^ Portal Rasmi TYT Melaka: Chronology of Malacca Diarkibkan 2010-08-05 di Wayback Machine
  5. ^ Astrain, A. (1909). St. Francis Xavier. In The Catholic Encyclopedia. New York: Robert Appleton Company. Retrieved March 3, 2010 from New Advent: [1]