Stade Roland Garros

Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.
Pergi ke pandu arah Pergi ke carian
Stade Roland Garros
RG log inst cou Q.jpg
ND DN 2006FO.jpg
Nikolay Davydenko membuat servis kepada David Nalbandian di Gelanggang Suzanne Lenglen, Terbuka Perancis 2006
LokasiDaerah 16, Paris, Perancis
Dibuka1928
Permukaan"Tanah liat" (lihat bawah)
Kapasiti15,000 (Court Philippe Chatrier)
10,068 (Court Suzanne Lenglen)
5,000 (Court Simonne Mathieu)
Penyewa
Fédération Française de Tennis

Stade Roland Garros (Sebutan bahasa Perancis: [stad ʁɔlɑ̃ ɡaʁos]; "Stadium Roland Garros") merupakan sebuah kompleks gelanggang tenis yang terletak di Paris, Perancis. Kompleks ini terkenal dengan penganjuran Terbuka Perancis, juga dikenali Roland Garros, yang merupakan sebuah kejohanan Grand Slam yang diadakan secara tahunan pada Mei dan Jun. Kompleks tersebut dinama sempena nama juruterbang Perancis Roland Garros, dan dibina pada 1928 untuk menganjurkan perlawanan Perancis dalam Piala Davis, yang menyaksikan pasukan Perancis mempertahankan tempat mereka sebagai juara buat kali pertama.

Kompleks yang berluas 13.5-hektar (34 ekar) ini mempunyai 20 gelanggang,[1] termasuklah tiga stadium yang berkapasiti besar; Les Jardins de Roland Garros, sebuah restoran besar dan kompleks bar;[2] Le Village, kawasan akhbar dan VIP; Pusat Latihan Kebangsaan Perancis (CNE); dan Tenniseum, sebuah muzium multimedia tentang sejarah tenis.

Penamaan[sunting | sunting sumber]

Kompleks ini dinamakan sempena nama Roland Garros, seorang juruterbang Perancis yang menjadi individu pertama untuk menerbang secara solo merentasi Laut Mediterranean,[3] jurutera (pencipta mesingan pesawat yang menembak ke arah hadapan),[4] dan wira Perang Dunia I yang telah menembak empat buah pesawat musuh (walaupun orang ramai mempercayai bahawa beliau telah menembak lima buah pesawat).[5] Garros dibunuh dalam sebuah pertempuran udara pada Oktober 1918.

Sejarah[sunting | sunting sumber]

Monumen di Place des Mousquetaires yang mencatatkan kemenangan Perancis dalam Piala Davis (1927–1933). Stade Roland Garros dibina untuk menganjurkan perlawanan Piala Davis pada 1928.

Perancis merupakan salah satu kuasa utama dalam tenis ketika separuh pertama abad ke-20 disebabkan oleh dominasi Suzanne Lenglen dalam 1910-an dan 1920-an, serta les Quatre Mousquetaires ("Empat Musketeer")—Jacques "Toto" Brugnon, Jean Borotra ("Bouncing Basque"), Henri Cochet ("Magician"), and René Lacoste ("Crocodile")—pada 1920-an dan 1930-an. Pada 1927, Perancis mengalakan Amerika Syarikat dan memenangi Piala Davis, sebahagian besarnya disebabkan oleh usaha keempat-empat Musketeer. Stade Roland Garros telah dibina sebagai tempat bagi perlawanan bertahan bagi Perancis pada tahun yang berikut, di mana Perancis turut menang.[6] Perancis kekal memenangi Piala tersebut sehingga 1933, kejayaan tersebut juga sebahagian besarnya disebabkan oleh Empat Musketeer. Sebuah monumen bagi enam Piala yang dimenangi oleh Perancis dalam kejohanan itu terletak di tengah-tengah Place des Mousquetaires, sebuah laman berbentuk bulatan yang berdekatan dengan pintu masuk kompleks ini.[7]

Pada Oktober 1939, berikutan pencetusan Perang Dunia II, kompleks tersebut telah digunakan sebagai pusat tahanan bagi "indésirables", yang kebanyakannya terdiri daripada orang Hungary, Rusia, Itali, Poland, dan warganegara yang disyaki merupakan komunis.[8] Wartawan dan bekas komunis Arthur Koestler melaporkan bahawa ketika beliau ditahan, poster bagi perlawanan tenis terakhir di kompleks tersebut, antara Cochet dan Borotra, masih kekal di situ.[9]

Permukaan[sunting | sunting sumber]

Walaupun permukaan Stade Roland Garros disifatkan sebagai "tanah liat merah", permukaannya sebenarnya merupakan batu kapur butih yang dilitupi oleh habuk bata merah yang bertebal beberapa milimeter. Dibawah lapisan batu kapur berliang yang bertebal 3-inci (7.6 cm) ialah batu gunung berapi yang bertebal 6 inci (15 cm), diikuti dengan lapisan pasir yang bertebal 3 kaki (91 cm), kesemua lapisan ini berada di atas sebuah bidur konkrit. Bata terhancur telah ditekan ke dalam permukaan batu kapur itu dengan penggulung, dan kemudiannya dibasahkan dengan air. Proses ini diulangi beberapa kali sehinggalah menghasilkan sebuah lapisan yang tipis dan padat. Bata terhancur itu adalah cukup mendalam untuk menunjukkan jejak dan tanda bola, tetapi cukup cetek untuk mengelakkan gelanggang itu menjadi mampung atau licin. Semasa sebuah kejohanan, pekerja akan melicinkan permukaan tersebut sebelum dan di antara perlawanan dengan meleret mata rantai yang berbentuk segi empat merentasinya. Habuk bata merah itu akan ditambah apabila diperlukan (secara harian semasa kejohanan utama).[10]

Permukaan Stade Roland Garros merupakan penyelesaian yang terbaik bagi masalah terbesar yang dihadapi oleh gelanggang tanah liat semula jadi: penyaliran yang buruk. Ketika itu, keadaan gelanggang tanah liat akan menjadi basah tidak sesuai untuk mengadakan permainan selama dua hingga tiga hari selepas berhujan. Permukaan gabungan batu kapur dan bata terhancur ini yang berasal dari Britain adalah hampir sama dengan gelanggang tanah liat dan tidak mempunyai isu penyaliran.[11] Sejak itu, beberapa permukaan "cepat kering" dan tanah liat sintetik telah dicipta. Gelanggang yang mempunyai permukaan yang hampir serasi dengan permukaan tanah liat semula jadi ini dikategorikan secara kolektifnyya sebagai "gelanggang tanah liat". Perbezaan dalam komposisi pemukaan "tanah liat" di seluruh dunia telah mewujudkan keragaman dalam sifatnya. “Semua gelanggang tanah liat adalah berbeza”, Venus Williams pernah berkata, “[Permukaan Roland Garros] adalah yang terbaik”.[10]

Gelanggang[sunting | sunting sumber]

Gelanggang Philippe Chatrier[sunting | sunting sumber]

Gelanggang Philippe Chatrier sebelum projek pengubahsuaian pada 2019

Gelanggang Philippe Chatrier dibina pada 1928 sebagai stadium utama Stade Roland Garros dan status itu kekal sehingga kini. Sebelum projek pengubahsuaiannya pada 2019, gelanggang itu mempunyai kapasiti tempat duduk sebanyak 15,225.[12] Gelanggang ini asalnya hanya digelar sebagai "Gelanggang Utama" (Court Central) sehingga 2001, apabila gelanggang ini dinama semula sempena nama presiden Fédération Française de Tennis (FFT) yang bantu memulihkan status tenis sebagai acara Olimpik pada 1988.[13]

Keempat-empat granstan di gelanggang itu dinama sempena "Empat Musketeer" —Brugnon, Borotra, Cochet, dan Lacoste—sebagai penghormatan kepada kejayaan Piala Davis mereka yang menyebabkan pembinaan stadium ini.[6] Sebagai penghormatan selanjutnya, trofi yang dianugerahkan kepada juara perseorangan lelaki dalam Terbuka Perancis digelar sebagai La Coupe des Mousquetaires.[7]

Selepas tamatnya Terbuka Perancis 2018, gelanggang ini telah dirobohkan hingga ke asasnya dan dibina semula dengan granstan yang lebih cerun sebelum menganjurkan Terbuka Perancis 2019.[14] Bumbung boleh tarik dan lampu limpah telah dipasang sebelum Terbuka Perancis 2020 yang telah ditangguh hingga September tahun itu disebabkan oleh pandemik COVID-19.[15][16]

Gelanggang Suzanne Lenglen[sunting | sunting sumber]

Gelanggang Suzanne Lenglen

Dibina pada 1994 dan asalnya digelar sebagai "Gelanggang A", Gelanggang Suzanne Lenglen merupakan gelanggang sekunder dalam kompleks tersebut dengan kapasiti tempat duduknya sebanyak 10,068.[17] Gelanggang ini dinama sempena nama pemain bintang tenis wanita pertama yang telah memenangi 31 kejohanan utama termasuklah enam kejuaraan Terbuka Perancis dan enam Kejohanan Wimbledon antara 1914 dan 1926. Digelar sebagai La Divine dan La Grand Dame, beliau juga merangkul dua pingat emas Olimpik di Antwerp pada 1920. Sebuah timbulan bes gangsa bagi Lenglen yang diukir oleh pengarca Itali Vito Tongiani terleka di pintu masuk timur gelanggang itu. Trofi yang dianugerahkan kepada kepada juara perseorangan wanita dalam Terbuka Perancis digelar sebagai La Coupe Suzanne Lenglen. Gelanggang ini mempunyai sistem penyaliran bawah tanah yang pertama di dunia untuk mengawal tahap kelembapan permukaannya.[7]

Pada 1994, laluan pejalan kaki antara Gelanggang Chatrier dan Gelanggang Lenglen telah dinamai Allée Marcel Bernard sebagai penghormatan kepada juara Perancis pada zaman 1940-an itu yang meninggal dunia pada tahun tersebut.[7]

Gelanggang Simonne Mathieu[sunting | sunting sumber]

Gelanggang Simonne Mathieu

Gelanggang ketiga baharu Stade Roland Garros yang berkapasiti 5,000 ini telah siap dibina pada Mac 2019 di tapak Jardin des Serres d'Auteuil.[18][19] Gelanggang ini dinama sempena juara perseorangan wanita Kejohanan Perancis 1938 dan 1939 yang turut merupakan seorang pemimpin Pemberontak Perancis semas Perang Dunia Kedua.[20] Gelanggang ini adalah empat meter di bawah aras bumi dan dikelilingi oleh rumah hijau. Gelanggang ini dibina untuk menggantikan Gelanggang 1 yang telah dirobohkan.[21]

Gelanggang 1[sunting | sunting sumber]

Gelanggang 1

Gelanggang 1 yang pernah merupakan gelanggang ketiga kompleks itu telah dirobohkan pada 2019. Digelar sebagai "Bullring" (gelanggang sukan lawan lembu) atas bentuk bulatnya, gelanggang ini direka oleh Jean Lovera, seorang bekas juara junior Perancis. Gelanggang ini mempunyai 3,800 tempat duduk dan terletak di sebelah Gelanggang Philippe Chatrier. Dibina pada 1980, "Bullring" digemari oleh peminat tenis yang serius kerana saiznya yang kecil itu membolehkan peminat meyaksikan perlawanan dengan lebih dekat.[22] Salah satu ciri reka bentuk yang luar biasa ialah tempat duduk akhbarnya yang terletak di baris pertama pada aras gelanggang di belakang garisan belakang selatan.[23]

Gelanggang 1 telah menyaksikan beberapa peristiwa penting dalam sejarah Terbuka Perancis, seperti kemenangan Gustavo Kuerten, seorang pemain bukan pilihan, pada pusingan ketiga apabila berlawan dengan bekas juara Thomas Muster pada 1997, dan kemudiannya menjuarai kejohanan itu;[24] serta kekalahan pilihan ketiga Gabriela Sabatini dalam perlawanan suku akhir 1993 walaupun asalnya mendahului lawannya, Mary Joe Fernandez, dengan mata 6–1 dan 5–1.[25] Pada 2004, Marat Safin tanggal seluarnya di gelanggang ini ketika meraih kejayaannya mengalahkan Félix Mantilla Botella dalam sebuah perlawanan.[26]

Perobohan Gelanggang 1 bermula selepas tamatnya Terbuka Perancis 2019 dan digantikan dengan Gelanggang Simonne Mathieu. Kini, tapak itu telah dinamai Place des Mousquetaires dan skrin video besar untuk membenarkan penonton menyaksikan perlawanan di situ.[20][27]

Tenniseum[sunting | sunting sumber]

Muzium Persekutuan Tenis Perancis

Secara rasminya dikenali sebagai Muzium Persekutuan Tenis Perancis, Tenniseum direka bentuk oleh arkitek Perancis Bruno Moinard dan dibuka pada Mei 2003. Muzium ini terletak di bekas kotaj penjaga tanah dan terdiri daripada sebuah pusat multimedia, perpustakaan media, dan pameran kekal dan sementara mengenai sejarah tenis dan Terbuka Perancis.

Antara pameran kekal termasuklah trofi-trofi Terbuka Perancis, termasuklah La Coupe des Mousquetaires dan La Coupe Suzanne Lenglen; gambar=gambar dan tulisan mengenai sejarah Stade Roland Garros; pameran yang menunjukkan evolusi baju pemain tenis; koleksi raket tenis yang komprehensif sejak pertengahan abad ke-19; serta gambar-gambar dan lukisan-lukisan yang berkaitan dengan tenis.[28]

Perpustakaan media mempunyai koleksi dokumen, poster, buku dan majalah yang kaya serta satu pangkalan data bagi maklumat tenis, statistik, trivia dan rumusan perlawanan bagi semua perlawanan Terbuka Perancis sejak 1928. Pusat multimedia yang dwibahasa (Perancis/Inggeris) pula mempunyai koleksi video terdigit yang jumlahnya lebih daripada 4,000 jam, antaranya termasuklah dokumentari, temu bual dengan pemain-pemain legenda tenis dan arkib filem sejak 1897. Dua lawatan akan diadakan setiap hari dan ketika Terbuka Perancis, kemasukan adalah percuma bagi pemegang tiket kejohanan itu.[29]

Rujukan[sunting | sunting sumber]

  1. ^ "Roland Garros – Paris". Diarkibkan daripada yang asal pada 30 May 2010.
  2. ^ Eating Your Way Through Roland Garros. Gem Tennis. Dicapai pada 2010-08-17.
  3. ^ Who's Who—Roland Garros. FirstWorldWar.com Dicapai pada 2011-08-03
  4. ^ "Early Developments" WWIAviation.com Dicapai pada 2011-08-03
  5. ^ Franks, Norman; Bailey, Frank W. (1992). Over the Front: A Complete Record of the Fighter Aces and Units of the United States and French Air Services, 1914–1918. Grub Street. ISBN 978-0-948817-54-0..
  6. ^ a b A Visit to Roland Garros. Colleen's Paris Dicapai pada 2010-08-16.
  7. ^ a b c d Stade Roland Garros Venues. rolandgarros.com Diarkibkan 1 Jun 2010 di Wayback Machine Dicapai pada 17 Ogos 2010.
  8. ^ Koestler, Arthur (1941). Scum of the Earth. London: Eland. m/s. 61–91. ISBN 978-090787149-1.
  9. ^ Koestler, Arthur (1941). Scum of the Earth. London: Eland. m/s. 85. ISBN 978-090787149-1.
  10. ^ a b Branch, John (28 May 2010). "Some Rouge Dresses Up Courts at Roland Garros". The New York Times. Dicapai pada 11 June 2015.
  11. ^ Lavallee, Andrew R. "Clay Courts: What Are They Anyway?". XSports.com. Diarkibkan daripada yang asal pada 27 November 2013. Dicapai pada 11 Jun 2015.
  12. ^ "French Open in numbers". Reuters. 25 September 2020. Dicapai pada 28 September 2020.
  13. ^ "Philippe-Chatrier Court". Roland-Garros. Dicapai pada 2015-06-11.
  14. ^ "Roland Garros renovation entering 'money time' before French Open". France 24. 21 Februari 2019.
  15. ^ "French Open lights up as another tradition dies". tennishead.net. 21 September 2020.
  16. ^ Christopher Clarey (27 September 2020). "New for This Pandemic French Open: Fall Weather and Lights". The New York Times.
  17. ^ Event Guide / Map and Directions Diarkibkan 1 Jun 2010 di Wayback Machine Roland Garros – French Open
  18. ^ Eric Bruna (21 Mac 2019). "Roland-Garros : découvrez le nouveau court Simonne-Mathieu". Le Parisien (dalam bahasa Perancis).
  19. ^ Paul Myers (19 April 2019). "French Open courts glory of Simonne Mathieu". RFI.
  20. ^ a b "Court Simonne-Mathieu stunning new addition to Roland Garros". The Independent (dalam bahasa Inggeris). 2019-05-26. Diarkibkan daripada yang asal pada 24 May 2022. Dicapai pada 2019-10-01.
  21. ^ Eric Le Mitouard (7 Februari 2019). "Roland-Garros : le court des serres est prêt pour le prochain tournoi". Le Parisien (dalam bahasa Perancis).
  22. ^ Tignor, Steve (27 Mei 2010): Nothing Compares to Tennis in the Bullring. NBC Sports Diarkibkan 1 Julai 2010 di Wayback Machine Retrieved 2010-08-17.
  23. ^ Clarey, Christopher "At Roland Garros, an Olé! for the Bullring" New York Times, 29 Mei 2010
  24. ^ Robin Finn (31 May 1997). "Sampras and Muster Exit in Paris". The New York Times. Dicapai pada 2015-06-11.
  25. ^ Fernandez Turns Rout Into Rousing Comeback (2 June 1993). New York Times Retrieved 2010-08-19.
  26. ^ "Safin on mooning crowd: 'What's bad about it?". ESPN. 29 Mei 2004. Dicapai pada 2015-06-11.
  27. ^ Steve Tignor (5 Jun 2018). "Au revoir, Court 1: memorializing Roland Garros' exhilarating bullring". Tennis.com.
  28. ^ "Tenniseum website". Diarkibkan daripada yang asal pada 25 Ogos 2010.
  29. ^ "Tenniseum website". Diarkibkan daripada yang asal pada 25 Ogos 2010.

Pautan luar[sunting | sunting sumber]