Stigma sosial berkaitan pandemik COVID-19

Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.

Memandangkan pandemik koronavirus (COVID-19) yang masih melanda, individu kadang-kadang boleh dilabel, stereotaip, diskriminasi, diperlakukan secara berasingan atau mengalami kehilangan status kerana dikaitkan dengan penyakit ini.[1] Akibat layanan tersebut, mereka yang dijangkiti atau dianggap dijangkiti penyakit ini serta penjaga, keluarga, teman dan masyarakat mereka mungkin mengalami stigma sosial.[2]

Akibat stigma sosial, beberapa individu dan golongan telah mengalami xenofobia dan perkauman dan jenayah kebencian termasuk serangan fizikal. Golongan yang terbukti paling kerap mengalami stigma sosial ialah orang Asia khususnya yang berasal dari Asia Timur dan Asia Tenggara. Ini juga termasuk individu yang telah melakukan perjalanan ke luar negara, individu yang baru sahaja menghabiskan tempoh kuarantin, petugas kesihatan dan pekerja perkhidmatan kecemasan. Individu yang memakai atau enggan memakai pelitup muka juga menjadi subjek keada stigma.[2] Wujudnya stigma sosial seperti itu[2] dan kesan negatifnya telah didokumentasikan pelbagai organisasi dunia termasuk Tabung Kanak-kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNICEF), Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) dan Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit (CDC).[3][4][5][6]

Punca dan kesan stigma sosial[sunting | sunting sumber]

Tahap stigma terhadap mereka yang dijangkiti COVID-19 adalah disebabkan oleh pelbagai faktor. Virus ini baru dan ada banyak penularan yang tidak diketahui puncanya serta kemungkinan penyembuhannya. Ramai individu tidak dapat mengakses ujian dan[7] pembangunan ubat untuk rawatan masih dalam kajian. Sementara itu, terdapat banyak maklumat yang tidak tepat mengenai penyakit ini, di mana pelbagai kumpulan dan aktivis dalam talian telah menyebarkan teori konspirasi dan dakwaan yang tidak terbukti. Antaranya termasuklah bahawa kononnya virus itu diciptakan di makmal; virus itu "dirancang"; dan bahawa virus itu disebabkan oleh rangkaian 5G dan seumpamanya.[8][9]

Dalam konteks budaya ini, penyakit itu sendiri tidak diketahui—dan, menurut banyak pakar kesihatan antarabangsa, orang berasa takut ketika berhadapan dengan penyakit yang tidak diketahui. Dalam keadaan seperti itu, mereka dapat mengatasi rasa takut ini dengan menyalahkan "pihak lain"[2] yang mungkin merangkumi golongan tertentu, kerajaan atau institusi. Persekitaran ini dapat mendorong stereotaip yang berbahaya. Akibatnya, kohesi sosial terganggu dan mungkin terdapat peningkatan stigma sosial terhadap golongan yang terkesan. Dengan stigma sosial ini, individu mungkin cenderung untuk mendapatkan bantuan atau perkhidmatan perubatan, mengambil langkah berjaga-jaga yang diperlukan atau mencari perkhidmatan sosial kerana bimbang akan diskriminasi. Ini boleh menyumbang kepada keadaan di mana virus lebih cenderung menular yang mengakibatkan masalah kesihatan yang teruk dan kesukaran untuk mengawal penularan.[2] Selain itu, beberapa individu juga boleh mengalami kekerasan fizikal[3] dan jenayah kebencian.

Mengatasi stigma sosial[sunting | sunting sumber]

Untuk mengatasi stigma sosial, adalah penting untuk menanam kepercayaan terhadap perkhidmatan dan nasihat kesihatan yang boleh dipercayai, menunjukkan empati kepada golongan yang terkesan serra mengambil langkah praktikal yang berkesan untuk menjaga keselamatan orang ramai.[2] Langkah-langkah berikut disyorkan untuk mengatasi stigma sosial oleh UNICEF:[2]

  • Penggunaan bahasa sopan, yang menghormati individu dan berbicara mengenai penyakit ini dengan nada positif di semua saluran komunikasi, termasuk media, seperti:
    • Tidak mengaitkan etnik atau lokasi penyakit ini, seperti 'virus China', 'virus Wuhan' atau 'virus Asia' dan menggunakan nama rasmi iaitu COVID-19 atau Koronavirus atau Korona
    • Menggunakan istilah 'orang yang dijangkiti COVID-19' dan bukannya 'kes COVID-19' atau 'mangsa COVID-19' atau 'suspek COVID-19'
    • Menggunakan istilah seperti, orang 'mendapat' atau 'dijangkiti' COVID-19 dan bukannya orang 'menyebarkan COVID-19', 'menjangkiti orang lain' atau 'menyebarkan virus' kerana ini seolah-olah menunjukkan penularan tersebut disengajakan dan seperti menyalahkan antara satu sama lain
    • Jangan menggunakan istilah 'penjenayah' atau tidak berperikemanusiaan dengan cara yang dapat menimbulkan kesan bahawa mereka yang menderita penyakit itu telah melakukan sesuatu yang salah, sehingga memberi stigma
    • Menyebarkan fakta mengenai COVID-19 dengan tepat, berdasarkan data saintifik dan nasihat kesihatan rasmi yang terkini
    • Tidak mengulangi atau berkongsi khabar angin yang tidak mempunyai kesahihan, dan mengelakkan penggunaan istilah yang berlebihan seperti 'kiamat' untuk menerangkan pandemik ini
    • Menekankan keberkesanan langkah-langkah pencegahan dan rawatan, daripada memikirkan negatif atau mesej ancaman.
  • Menyebarkan fakta yang tepat dan terkini, seperti:
    • Menggunakan bahasa yang mudah dan mengelakkan terminologi klinikal
    • Melibatkan penggiat sosial, seperti pemimpin agama dan politik dan selebriti untuk menyebarkan mesej dengan cara yang sesuai secara geografi dan budaya
    • Berkongsi kisah dan gambar orang tempatan yang telah pulih atau menyokong orang tersayang yang pulih dari COVID-19
    • Menggambarkan pelbagai kumpulan etnik, dan penggunaan simbol dan format yang berkecuali dan tidak memberi kesan kepada mana-mana etnik
    • Mempraktikkan etika kewartawanan: Laporan yang terlalu fokus pada tanggungjawab pesakit dapat meningkatkan stigma bagi orang yang mungkin dijangkiti penyakit ini. Berita yang menyatakan sumber COVID-19 di setiap negara, misalnya, dapat meningkatkan stigma terhadap individu tersebut.
    • Menghubungkan dengan inisiatif lain yang menangani stigma sosial dan stereotaip
  • Tip menjaga komunikasi:[3]
    • Membetulkan salah faham, sambil mengakui bahawa perasaan dan tingkah laku orang lain adalah nyata, walaupun andaian yang mendasari mereka adalah salah.
    • Berkongsi kisah simpati yang memanusiakan perjuangan individu dan golongan yang terjejas
    • Memberikan sokongan untuk mereka yang bekerja di barisan hadapan

Menurut Tabung Kependudukan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu, golongan bidan memainkan peranan penting dalam mengurangkan stigma.[10]

Rujukan[sunting | sunting sumber]

  1. ^ "Social stigma associated with the coronavirus disease (COVID-19)". www.unicef.org. Dicapai pada 5 April 2020.
  2. ^ a b c d e f g "Social Stigma associated with COVID-19" (PDF). UNICEF. Dicapai pada 5 April 2020.
  3. ^ a b c "Coronavirus Disease 2019 (COVID-19)". Centers for Disease Control and Prevention. 11 Februari 2020. Dicapai pada 5 April 2020.
  4. ^ "Mental health and psychosocial considerations during the COVID-19 outbreak" (PDF). World Health Organization. Dicapai pada 5 April 2020.
  5. ^ "Asian-American Leaders Condemn COVID-19 Racism". www.colorlines.com. 13 Mac 2020. Dicapai pada 5 April 2020.
  6. ^ "COVID-19 (coronavirus): Stop the stigma". Mayo Clinic. Dicapai pada 2020-06-05.
  7. ^ Lopez, German (2020-04-10). "Why America is still failing on coronavirus testing". Vox. Dicapai pada 2020-06-05.
  8. ^ "Social media used to spread, create COVID-19 falsehoods". Harvard Gazette. 2020-05-08. Dicapai pada 2020-06-05.
  9. ^ Vincent, James (2020-06-03). "Conspiracy theorists say 5G causes novel coronavirus, so now they're harassing and attacking UK telecoms engineers". The Verge. Dicapai pada 2020-06-05.
  10. ^ "COVID-19 Technical Brief for Maternity Services". www.unfpa.org. May 2020. Dicapai pada 5 June 2020.