Suku Suluk

Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.
Lompat ke: pandu arah, cari
Suluk
Wanita Tausug menari pangalay
Wanita Tausug menari pangalay
Jumlah penduduk
c. 1.3 juta
Kawasan ramai penduduk
Bendera Filipina Filipina
(Basilan, Palawan, Sulu, Tawi-Tawi, Manila, Cebu)
MalaysiaMalaysia
(Sabah, Kuala Lumpur)
IndonesiaIndonesia
(Kalimantan Utara)
Bahasa

Tausūg, Chavacano, Cebuano, Tagalog, Inggeris, Melayu

Agama

Banyaknya Islam

Kelompok etnik berkaitan

Visaya, Moro lain,
Melayu, Filipino lain,
Orang Austronesia lain

Kaum Suluk atau Tausūg berasal daripada Kepulauan Sulu dan Borneo (Sabah) sejak zaman Kesultanan Sulu lagi. Kaum Suluk ini menggunakan Bahasa Tausug atau dengan nama lain lebih tepat lagi Bahasa Sūg sebagai bahasa pertuturan. Agama rasmi yang dianuti ialah agama Islam. Kaum Suluk ini juga mempunyai budaya yang unik dan tersendiri. Antara contoh yang popular ialah pakaian tradisionalnya iaitu kuput (kupot), sablay, samrah dan batawi.

Masyarakat Malaysia kurang mengenali siapa sebenarnya suku kaum Suluk yang terdapat di Sabah itu. Orang Suluk tidak memanggil diri mereka Suluk. Sebaliknya, mereka menggelar diri mereka Tausug yang secara harfiahnya membawa maksud "Orang dari Sulu". Suluk di Negeri Sabah tertumpu di kawasan Sandakan, Tawau, Lahad Datu, Semporna, Kunak, Kudat dan Kota Kinabalu. Perkampungan awal orang Suluk yang masih boleh dilihat sehingga hari ini ialah Pulau Tambisan di mana masyarakat Suluk di sana dominan mengamalkan cara hidup orang Melayu. Namun, bahasa seharian mereka ialah bahasa Suluk yang bukan sahaja dituturkan oleh penduduk kampung keturunan Sulu,k malah turut dituturkan dengan fasih oleh suku etnik yang lain seperti Brunei, Kagayan, Bugis, Jawa, Cina dan Arab. Pulau Tambisan telah melahirkan ramai pemimpin yang berkaliber di Negeri Sabah. Antaranya Yang Dipertua Negeri Sabah ke-10 Tuan Yang Terutama Tun Datuk Seri Panglima Haji Juhar Haji Mahiruddin, YB. Senator Datuk Hajjah Armani Haji Mahiruddin, Mantan Timbalan Speaker Dewan Negara Malaysia dan Allahyarham Datuk Seri Panglima Abu Bakar Titingan (Tawau). Menurut cerita lisan, Almarhum Sultan Jalaluddin Pablo adalah antara tokoh yang membuka perkampungan di Pulau Tambisan bersama-sama dengan ulama Arab.

Kaum Suluk atau Tausūg ialah majoriti di Kepulauan Sulu dan bahasanya iaitu Bahasa Sūg ialah bahasa perantara atau lingua franca sebelum era kesultanannya lagi hingga kini. Kaum Suluk atau Tausug berasal daripada rumpun Melayu-Polinesia (Austronesia) sebagai mana masyarakat Nusantara di sekitarnya. Bahasa Sug yang dituturi mereka adalah mirip bahasa Melayu lama bercampur bahasa Arab dan bahasa etnik lain di sekitar Mindanao. Mengikut sejarah, bahasa asal Suluk sebenarnya adalah daripada bahasa asal Orang Tagimaha (Taguima dari Basilan).

Mengikut sumber daripada Salsilah Sulu yang dicatat oleh pencatat sejarah Najeeb Saleeby dalam bukunya The History Of Sulu (Manila: 1908), suku kaum Tausug ini dan bahasanya berasal daripada beberapa etnik yang bergabung iaitu Buranun, Tagimaha, Baklaya, Orang Dampuan dan Orang Banjar. Suku kaum Buranun atau Bud Anun yang bererti orang bukit ialah salah satu subetnik orang Dayak yang mendiami Kepulauan Sulu. Suku kaum Buranun telah di-Islamkan oleh Sharifful Hashim dan orang-orang Bajau yang mengiringi Shariful Hashim dari Johor dan orang-orang Taguimaha (nenek moyang orang-orang Bajau Yakan) yang mengiringi Raja Baguinda dari Pulau Basilan. Mereka berhijrah ke Kepuluan Sulu sehingga terbentuk satu masyarakat yang dikenali sebagai masyarakat Tausug.

Demografi[sunting | sunting sumber]

Orang Buranun dipercayai ialah yang terawal menduduki kawasan pergunungan di Sulu dan penempatan terkenal mereka ialah di Maimbung.

Orang Tagimaha pula bermaksud kumpulan pelindung yang datang dari Pulau Basilan yang mana asal sebenar mereka adalah dari pulau besar Mindanao juga dan penempatan terkenal mereka adalah di Buansa atau sekarang dikenali sebagai Jolo (disebut Holo).

Orang Baklaya yang bermaksud orang yang menduduki persisiran pantai dipercayai datang dari Sulawesi Indonesia dan penempatan mereka adalah di Patikul. Orang Baklaya merupakan nenek moyang kepada bangsa Bajo atau Bajau dari Daerah Wajo di Sulawesi.

Orang Banjar pula berasal daripada suku kaum Dayak yang apabila telah di-Islamkan dikenali sebagai Banjar merujuk kepada daerah Banjarmasin di Kalimantan, Borneo Indonesia. Tempatnya di Kalimantan adalah di Banjar Masin. Lantaran itu, bahasa orang-orang Banjar menyamai 80% bahasa Dayak Kalimantan.

Orang Dampuan pula berasal dari Champa iaitu salah satu tempat bersejarah di IndoChina yang sekarang dikenali sebagai Vietnam dan kaum-kaum seperti inilah yang disebut di atas yang telah mewarnai wajah, bahasa dan rupa paras orang Tausug itu sendiri.[1]

Suku kaum Tausug juga mempunyai beberapa dialek atau mengikut kawasan atau daerah yang antaranya ialah dialek Tausug Tapul, Tausug Basilan, Lugus, Gimbahanun dan lain-lain. Unsur-unsur bahasa Jawa yang juga ada terdapat dalam Bahasa Sug ini tidaklah menghairankan kerana rumpun Melayu di rantau Nusantara ini antara satu sama lain ada persamaannya. Hal ini disebabkan kekuasaan kerajaan Srivijaya dan Majapahit di tanah Jawa pernah mempengaruhi daerah-daerah sekitar wilayah Kepulauan Sulu sebagaimana sebelum kemunculan kerajaan awal Melayu Melaka. Maka setelah kedatangan Islam muncullah Kesultanan Sulu sekitar tahun 1457 M dan pemerintahan Sultan-sultan Sulu berlangsung begitu lama yang mana ia telah menyumbang kepada ketahanan bahasa Sug hingga hari ini.

Asal-usul istilah[sunting | sunting sumber]

Tausūg[sunting | sunting sumber]

Tausug berasal daripada dua suku kata "Tau" (disebut Ta'u) bermaksud "orang" dan "Sūg" bermaksud "Arus". "Orang Arus" maka bolehlah diertikan sebagai orang yang menongkah arus atau orang yang pekerjaannya ada kaitan dengan pasang surut air laut. Diketahui Kepulauan Sulu terdiri daripada ratusan pulau yang mana pekerjaan penduduknya ialah nelayan dan memungut hasil laut seperti mutiara, agar-agar laut, gamat serta menjalankan perniagaan secara barter antara Borneo Utara (Sabah) dan Zamboanga dan kawasan lain di Nusantara.

Perkataan "Sulog" atau Sulug pula berasal daripada bahasa Bajau yang bererti arus. Lantaran itu, sebutan Sulog/Suluk sebenarnya daripada kosa kata orang-orang Bajau yang menggelar suku bangsa gabungan beberapa sub-etnik ini sebagai orang Sulog ataupun orang arus. Orang-orang Bajau yang mengiringi Raja-raja Minangkabau-Johor seperti Raja Baguinda (Sulu), Sharriful Hashim (Sulu), Sharif Alawi, Sharif Kabungsuan (Mindanao) dan Sharif Ali (Brunei) atau dikenali sebagai Shariff Pituh atau Wali Tujuh telah bergabung dan sama-sama mengharungi arus lautan yang akhirnya bertemu di Pulau Sulog yang ertinya Pulau Arus. Oleh itu, orang-orang yang mendiami Pulau ini dikenali sebagai Tau-Sug atau orang arus dan Pulau yang mereka diami dikenali sebagai Pulau Sulog atau Pulau Arus.

Satu lagi tafsiran perkataan Tausug ialah "Tau Maisug". "Maisug" bermaksud pemberani iaitu "Orang Yang Berani". Sebagaimana Sepanyol mengakuinya begitu juga tentera Amerika Syarikat malah Ferdinand Marcos sendiri bermati-matian memerangi kaum ini dengan mengisytiharkan undang-undang tentera di Mindanao dan Sulu. Oleh sebab itu gelaran "Juramentado" (Berani Mati) ialah gelaran Sepanyol kepada Tausug. Salah satu bukti keberanian orang Suluk ini adalah seperti yang dinyatakan oleh Prof. Cesar.

"Perwira-perwira Islam yang setelah menjalani upacara "keagamaan" dan menunaikan sembahyang semalaman dengan pendeta (Guru Agama - pent.) pada esok harinya akan menyerbu dan menyerang pelanggar-pelanggar Kristian dengan keazaman membunuh seberapa ramai musuh dan mereka ini tidak dijangkakan akan pulang dengan selamat. Harapan yang tinggi bagi perwira-perwira yang sanggup berkorban ini untuk mendapatkan balasan syurga"

Suluk[sunting | sunting sumber]

Masyarakat Melayu Borneo Utara (Sabah) dan Kalimantan termasuk juga Brunei menggelar kaum Tausug sebagai orang Suluk. Penulis berkeyakinan bahawa panggilan “Orang Suluk” terhadap kaum Tausug ini oleh masyarakat Melayu itu berdasarkan dua sebab.

Pertama: Perkataan 'Suluk' terhasil dari dua perkataan Sulu dan Sug. Oleh kerana masyarakat Melayu sendiri sukar menyebut “Sug” itu dengan sebutan yang betul maka lidah pelat orang Melayu tentu menyebut “Sug” itu dengan sebutan “Suk”, maka hasilnya kita akan lihat kemudian tergabungnya perkataan Sulu + Suk, yang membawa pengertian orang Sug di Sulu atau Suluk. Orang Melayu Bruneilah yang terkenal menggelar Orang Tausug ini sebagai Suluk seperti yang terdapat dalam buku Tarsilah Brunei. Kesukaran orang Melayu menyebut perkataan ‘Tausug’ itu diganti dengan sebutan yang sesuai pada lidah mereka iaitu Suluk.[3]

Kedua: Perkataan 'Suluk' itu juga berasal daripada bahasa Orang Bajau iaitu daripada perkataan Sulog (disebut Sul-og) yang bererti arus. Orang-orang pelaut dari Johor (Bajau/Orang Laut/Orang Bajo/Orang Selat), orang Dampuan (dari Champa), orang Bakhlayas (orang Wajo/Bajo dari Sulawesi), orang Taguimaha (Orang Dayak (Bajau Yakan) dari Basilan), orang Banjar (orang Dayak dari Kalimantan) dan Orang Buranun/Bud Anun (orang-orang suku Dayak Bukit di Kepulauan Sulu dan Borneo) yang kebanyakannya ialah pelaut/pelayar yang belayar jauh menongkah arus yang semuanya berasal daripada Sul-Log (arus). Suku bangsa gabungan ini akhirnya dikenali sebagai Sulog atau orang arus dan dikenali juga dengan sebutan Tau-Sug ( daripada perkataan bahasa Suluk yang ertinya orang arus).Perkataan Sulog akhirnya perlahan-lahan berubah kepada sebutan Suluk akibat kelainan sebutan loghat suku bangsa gabungan ini. Istilah Sulog juga akhirnya bertukar kepada istilah Suluk apabila perkataan Sulog itu di-Melayukan akibat Kegemilangan Bahasa Melayu yang menjadi Lingua-Franca Serantau di Nusantara terutamanya di Zaman Keagungan Kesultanan Brunei yang menggunakan bahasa Melayu Brunei. Lantaran itulah semua suku bangsa yang menuturkan bahasa Melayu di Nusantara menyebut istilah dan perkataan Suluk/Sulok untuk merujuk orang Suluk atau orang arus atau orang dari Kepulauan Sulu. Perkataan Sug pula disebut Suk oleh orang-orang Bajau. Orang-orang Suluk dikenali sebagai bangsa Suk. Perkataan Suk berasal daripada perkataan Sud dalam istilah orang-orang Bajau dan Suluk yang bererti masuk. Suk pula berasal daripada perkataan masuk daripada bahasa Melayu. Oleh itu, perkataan suk itu digunakan untuk merujuk suku bangsa-suku bangsa orang arus yang masuk bergabung manjadi satu di Kepulauan Arus atau Kepulauan Sulog/Sulok/Suluk.

Ketiga: Perkataan 'Suluk' berasal daripada istilah ilmu Tasawwuf. Tasawwuf ialah sebahagian ilmu Islam yang sangat mendapat perhatian terutamanya di sekitar Nusantara. Dalam Islam, ia juga dikenali sebagai ilmu Ihsan. Bersuluk bermaksud orang yang menyibukkan dirinya dengan zikrullah (mengingat dengan menyebut nama Allah s.w.t. sebanyak-banyaknya) di satu tempat tertentu. Manakala daripada kata jamaknya ialah ‘Salik’ iaitu seseorang yang menempuh jalan bersuluk mendekatkan diri kepada Allah s.w.t. mengikut kaedah Tasawwuf, membersih atau memurnikan rohaninya dengan menjadikan Allah swt sahaja sebagai tujuan hidup dan matinya.[4]

Seorang Salik yang telah mengenal Rabbnya maka tiada yang wujud dalam pandangannya melainkan kewujudan Allah S.W.T. al-khalik. Pendek kata, hatinya dipenuhi oleh kebesaran Allah S.W.T. Oleh itu, orang Suluk ini ketika sampai di kemuncak kerohaniannya akan terjun ke medan perang setelah panggilan jihad kedengaran kerana tujuannya hanyalah Allah s.w.t. semata-mata.

Ilmu Suluk ini semestinya dipimpin oleh para Syeikh yang arif billah. Para Syeikh atau guru inilah yang mencetak para mujahid ke arah jihad fisabilillah yang digeruni pihak musuh. Prof. Cesar Adib Majul berkata:

“..tetapi kepada mereka atau para pendeta (Guru Agama - pent) yang mempersiapkan mereka untuk menjalankan tugas tersebut, mempertahankan dar ul-Islam [i]alah suatu tanggungjawab yang agung. Bagaimanapun, kepada orang-orang Islam Sulu patriotisme dan Islam sangatlah erat hubungannya”.[5]

Maka dapatlah disimpulkan perkataan Suluk itu secara harfiahnya bermaksud orang Islam Sulu yang berpegang kuat dengan ajaran Islam dan sanggup berkorban nyawa demi agama, maruah bangsa dan tanah air tercinta.

Kebudayaan[sunting | sunting sumber]

Pakaian tradisi orang Tausug dengan parang Sulu (Barong) di pinggang dan kain ridah disangkut di bahu
Pertunjukan Pahlawan Tausug

Orang Suluk atau Tausug merupakan pelayar cekap dan dikenali dengan kapal berwarna-warni mereka, vinta. Mereka juga pahlawan handal dan mahir bertukang. Selain itu, mereka juga terkenal dengan tarian Pangalay (juga dikenali sebagai Daling-Daling di Sabah). Selain itu, tarian yang jarang-jarang dipertontonkan ialah tarian "mengiluk" yang ditarikan oleh orang Suluk di Sabah khususnya di Sandakan.

Sumber dan rujukan[sunting | sunting sumber]

Pautan luar[sunting | sunting sumber]