Pergi ke kandungan

Sultan Abdul Hamid Halim Shah

Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.
(Dilencongkan daripada Sultan Abdul Hamid Halim Syah)
Sultan Abdul Hamid Halim Shah
Potret Sultan Abdul Hamid Halim Shah
Sultan Kedah ke-26
Pemerintahan22 September 1881 - 13 Mei 1943
Kemahkotaan1881
Didahului olehSultan Zainal Rashid Mu'adzam Shah II
Diikuti olehSultan Badlishah
Pemangku rajaTunku Ibrahim (1914-1934)
Tunku Mahmud (1934-1937)
Tunku Badlishah (1937-1943).
Keputeraan4 Jun 1864
Alor Setar, Kedah
Kemangkatan13 Mei 1943 (umur 78)
Istana Anak Bukit, Alor Setar, Kedah
PemakamanMakam Diraja Langgar, Alor Setar
Pasangan
Senarai
  • Che Sepachendra
  • Che Laraseh
  • Sharifah Mariam
  • Nai Sofiah
  • Cik Menyelara
  • Sharifah Seha
  • Sharifah Fatimah
AnakandaTunku Badlishah
Tunku Ibrahim
Tunku Yaakob
Tunku Muhammad
Tunku Abdul Rahman
dan banyak lagi
Nama penuh
Tunku Abdul Hamid ibni Tunku Ahmad Tajuddin
KerabatMahawangsa
AyahandaSultan Ahmad Tajuddin Mukarram Shah
BondaWan Hajar binti Wan Ismail
AgamaIslam Sunni

Sultan Sir Abdul Hamid Halim Shah ibni Almarhum Sultan Ahmad Tajuddin Mukarram Shah KCMG (Jawi: سلطان سر عبد الحميد حليم شاه ابن المرحوم سلطان أحمد تاج الدين مكرم شاه; 4 Jun 1864 – 13 Mei 1943) atau Chao Phraya Ridhisongkram Ramapakdi Sri Sultan (Hamid) (Thai: เจ้าพระยาฤทธิสงครามรามภักดีศรีสุลต่าน (ฮามิด); RTGSChao Phraya Rittisongkram Rampakdee Sri Sultan (Hamid)) ialah Sultan Kedah yang ke-26. Baginda memerintah Kedah selama 61 tahun iaitu dari tahun 1881 hingga 1943.

Baginda menaiki takhta pada 22 September 1881 selepas kemangkatan kekanda tiri baginda, Sultan Zainal Rashid Mu'adzam Shah II.[1]

Pemerintahan

[sunting | sunting sumber]

Sultan Abdul Hamid telah menaiki takhta sewaktu berusia 19 tahun, setelah kemangkatan kekanda baginda, Sultan Zainal Rashid Mu'adzam Shah II. Pada ketika itu, Kedah merupakan sebuah negeri naungan Siam manakala pihak British telah menubuhkan penempatan mereka di Pulau Pinang dan Seberang Perai. Oleh itu, baginda berada dalam keadaan yang terancam dan tidak menyenangkan disebabkan terpaksa menghadapi dua kuasa asing, setiapnya dengan niat masing-masing. Pertabalan baginda sebagai Sultan Kedah disahkan oleh Raja Chulalongkorn pada 21 Januari 1882.

Sultan Abdul Hamid mempunyai hubungan yang baik dengan Raja Siam. Pada tahun 1895, Raja Chulalongkorn menganugerahkan Sultan Abdul Hamid dengan Darjah Kebesaran Gajah Putih Kelas Pertama dengan gelaran Chao Phya Saiburi dan kemudiannya gelaran tambahan Phya Riddisongkram Ramabhakti. Raja Chulalongkorn juga menghantar dua orang anak lelaki Sultan Abdul Hamid ke Eropah untuk melanjutkan pendidikan mereka. Tunku Yusuf berkhidmat kepada Raja Chulalongkorn setelah kepulangannya, manakala Tunku Badlishah tinggal di Siam untuk satu tempoh yang singkat selepas memperoleh ijazah ekonominya daripada Universiti Oxford.

Hubungan yang baik dikekalkan antara kedua-dua negara, dengan Kedah menghadiahkan bunga mas dan perak setiap tiga tahun kepada Istana Siam di Bangkok sebagai tanda pertuanan Siam. Sehingga kemangkatannya pada tahun 1910, Raja Chulalongkorn menunjukkan kasih sayang terhadap Sultan Abdul Hamid dan sangat menghormati baginda. Sultan Abdul Hamid membuat empat lawatan ke Siam pada tahun 1890, 1892, 1895 dan 1903. Sebaliknya, Raja Chulalongkorn melawat Kedah pada tahun 1874, 1890, 1896 dan 1904. Bagaimanapun, menurut himpunan surat Sultan Abdul Hamid, Raja Chulalongkorn hanya membuat satu lawatan ke Kedah pada tahun 1890.

Sejak bermulanya pemerintahan Sultan Abdul Hamid pada tahun 1882 hingga 1905, Siam tidak campur tangan dalam pentadbiran negeri baginda. Bagaimanapun, negeri Kedah mengalami krisis kewangan pada tahun 1905, dan terpaksa meminjam wang sebanyak $2,500,000 daripada Siam. Pinjaman ini diberikan dengan syarat bahawa seorang Penasihat Kewangan dari Siam harus diterima oleh Kedah, dan sebuah Majlis Negeri hendaklah ditubuhkan untuk membantu Sultan dalam pentadbiran hal ehwal awam. Pinjaman itu sebenarnya daripada Negeri-Negeri Selat, dan penasihat kewangan tersebut ialah seorang British bernama WJF Williamson.

Hal ini menyebabkan pengisytiharan sebuah perlembagaan baharu pada 29 Julai 1905. Pada tahun-tahun berikutnya, pentadbiran negeri dikendalikan oleh Majlis Negeri yang diketuai oleh Pemangku Raja Tunku Abdul Aziz (1905-1907), adinda Sultan, dan kemudiannya oleh lagi seorang adinda baginda, Tunku Mahmud (1907-1914), diikuti oleh putera baginda, Tunku Ibrahim (1914-1934) dan Tunku Badlishah (1937-1943). Penubuhan Majlis Negeri ini telah menyebabkan kekuasaan Sultan diterhadkan.

Pada tahun 1909, sebagai satu langkah untuk melindungi kemerdekaan Siam daripada kuasa-kuasa asing di sekitar (British dan Perancis), Raja Chulalongkorn telah memeterai satu perjanjian yang memindahkan hak ketuanan Siam terhadap negeri-negeri Melayu di utara, iaitu Perlis, Kedah, Kelantan dan Terengganu kepada Empayar British. Perjanjian ini dilaksanakan tanpa sebarang persetujuan daripada sultan-sultan Melayu sehingga menyebabkan Sultan Abdul Hamid berasa dukacita. Namun pada tahun 1910, baginda masih lagi menghantar bunga mas kepada Siam seperti biasa. Pada tahun itu juga baginda menghantar dua pokok bunga mas kepada Raja Edward VII di London sebagai tanda persahabatan.

Kehidupan peribadi

[sunting | sunting sumber]

Sultan Abdul Hamid diputerakan pada 4 Jun 1864 di Istana Alor Setar, Kedah. Baginda merupakan putera kepada Sultan Ahmad Tajuddin Mukarram Shah dengan Wan Hajar binti Wan Ismail. Pada Januari 1880, sewaktu kekanda baginda, Sultan Zainal Rashid Mu'adzam Shah II menaiki takhta menggantikan ayahanda baginda yang telah mangkat, baginda telah dimasyhurkan sebagai Raja Muda.

Baginda telah menjalinkan perkahwinan dengan beberapa orang isteri. Pada tahun 1886, baginda telah berkahwin dengan Cik Menyelara yang berketurunan Siam. Pada tahun 1892, baginda telah berkahwin dengan Sharifah Seha di Kuala Muda. Antara isteri baginda yang lain ialah Che Sepachendera, Che Samanarit, Che Laraseh, Nai Sofiah, Sharifah Mariam dan Sharifah Fatimah.

Bersama dengan isteri-isterinya, baginda dikurniakan beberapa orang anakanda. Putera baginda yang ketujuh dan anak baginda ke-20 dengan Cik Menyelara ialah Tunku Abdul Rahman, yang lahir ketika baginda berumur 39 tahun. Penggantinya, Sultan Badlishah pula merupakan putera baginda dengan Che Sofiah.

Berikut merupakan antara anakanda baginda bersama dengan isteri-isteri baginda[2][1][3];

  • Bersama Che Samanarit
  1. Tunku Abdullah
  2. Tunku Puteri
  3. Tunku Rokiah
  • Bersama Che Sepachendera
  1. Tunku Ibrahim
  2. Tunku Kasim
  3. Tunku Zamzam
  4. Tunku Rokiah
  5. Tunku Fatimah
  • Bersama Che Laraseh
  1. Tunku Zainal Rashid
  2. Tunku Mansur
  3. Tunku Muhammad Akil
  4. Tunku Abdul Jalil
  5. Tunku Sahara
  6. Tunku Nor
  7. Tunku Dariah
  8. Tunku Sofiah
  • Bersama Sharifah Mariam
  1. Tunku Ahmad Tajuddin
  • Bersama Che Sofiah
  1. Tunku Muhammad
  2. Tunku Badlishah
  3. Tunku Hindun
  • Bersama Che Menyelara
  1. Tunku Yusof
  2. Tunku Muhammad Jiwa
  3. Tunku Abdul Rahman
  4. Tunku Jaafar Shah
  5. Tunku Muhammad Saad
  6. Tunku Kalsom
  7. Tunku Jahara
  8. Tunku Baharum
  9. Tunku Aminah
  10. Tunku Zakiah
  11. Tunku Habsah (Tunku Zabedah)
  • Bersama Sharifah Seha
  1. Tunku Abdullah Thani
  2. Tunku Pengiran
  3. Tunku Zainal Abidin
  4. Tunku Balqis
  5. Tunku Zahara
  • Bersama Sharifah Fatimah
  1. Tunku Yaakob
  2. Tunku Yahya
  3. Tunku Abdul Majid
  4. Tunku Zainal Abidin Thani
  5. Tunku Muhammad Shuib
  6. Tunku Hajar

Kemangkatan

[sunting | sunting sumber]

Sultan Abdul Hamid telah mangkat pada 13 Mei 1943 ketika berusia 78 tahun di Istana Anak Bukit, Alor Setar. Baginda dimakamkan di Makam Diraja Langgar dan diganti oleh anakanda baginda, Sultan Badlishah.

Gelaran dari mahkamah Siam

[sunting | sunting sumber]
  • 1879: Phra Seninarongkaridh Raja Muda Syburi
    (Thai: พระเสนีณรงคฤทธิ์ รายามุดาเมืองไทรบุรี)[4]
  • 1882: Phraya Ridhisongkram Ramapakdi Sri Sultan Muhammad Rattanarajamuninda Surindarawiwangsa Phraya Syburi
    (Thai: พระยาฤทธิสงครามรามภักดี ศรีสุลต่าน มหะมัดรัตนราชมุนินทร์ สุรินทรวิวังษา พระยาไทรบุรี)[5]
  • 1895: Chao Phraya Ridhisongkram Ramapakdi Sri Sultan Muhammad Rattanarajamunindhorn Surindarawiwongphadung Dhanubumrung Kedah Negara Amornrattananakheta Prathetsarajchaisawariyathibodi Wikromsiha Chao phrya Syburi
    (Thai: เจ้าพระยาฤทธิสงครามรามภักดีศรีสุลต่าน มหมัดรัตนราชมุนินทร สุรินทรวิวงษ์ผดุง ทนุบำรุงเกดะนคร อมรรัตนาณาเขตร ประเทศราชราไชสวริยาธิบดี วิกรมสีหะ เจ้าพระยาไทรบุรี)[6]

Baginda telah dikurniakan beberapa bintang-bintang kebesaran dari luar negara, terutamanya dari Siam dan United Kingdom.

 Thailand :

  • Knight Grand Cordon of Order of the Crown of Siam (1890)[7]
  • Knight Grand Cordon of Order of the White Elephant (24 Ogos 1895)
  • Knight Grand Cordon of Order of Chula Chom Klao (special class) (Disember 1908)[6]

 United Kingdom :

  • Knight Commander of the Most Distinguished Order of St Michael and St George (19 Jun 1911)
  • King George V Coronation Medal (1911)
  • King George V Silver Jubilee Medal (1935)
  • King George VI Coronation Medal (1937)

Rujukan dan Pautan luar

[sunting | sunting sumber]
  1. ^ a b To' Kerani Mohd Arshad, Muhammad Hassan (1968). Al-Tarikh Salasilah Negeri Kedah (PDF). Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.
  2. ^ "Kedah Genealogy". royalark.net. Dicapai pada 2024-09-12.
  3. ^ Adil, Buyong (1980). Sejarah Kedah (PDF). Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka, Kementerian Pelajaran Malaysia.
  4. ^ พระราชทานสัญญาบัตรในปีเถาะเอกศก (หน้า ๖๙)
  5. ^ ตั้งตำแหน่ง
  6. ^ a b ราชกิจจานุเบกษา, การเลื่อนยศพระยาไทรบุรีเปนเจ้าพระยาไทรบุรีแลพระราชทานเครื่องราชอิสริยาภรณ์จุลจอมเกล้าฝ่ายหน้า, เล่ม 12, 1 กันยายน 2438, หน้า 189-190
  7. ^ ราชกิจจานุเบกษา, พระราชทานเครื่องราชอิสริยาภรณ์, เล่ม ๗, ตอน ๑๑, ๑๕ มิถุนายน พ.ศ. ๒๔๓๓, หน้า ๑๐๑

Lihat juga

[sunting | sunting sumber]
Sultan Abdul Hamid Halim Shah
Kerabat diraja Kedah
Tarikh keputeraan: 1864 Tarikh kemangkatan: 1943
Gelaran pemerintah
Didahului oleh
Sultan Zainal Rashid Mu'adzam Shah II
Sultan Kedah
1881–1943
Diikuti oleh:
Sultan Badlishah