Pergi ke kandungan

Sultan Abdul Jalil Shah III

Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.
Sultan Abdul Jalil Shah III
سلطان عبد الجليل شاه
Sultan Johor-Pahang
Pemerintahan1623 – 22 November 1677
Didahului olehSultan Abdullah Ma'ayat Shah (sebagai Sultan Johor)
Diikuti olehSultan Ibrahim Shah (sebagai Sultan Johor-Pahang)
Pemerintah Pahang
Pemerintahan1615 – 1617
Didahului olehSultan Alauddin Riayat Shah (sebagai Sultan Pahang)
Diikuti olehDirinya sendiri (Takhta Kesultanan Pahang Tua disatukan dengan takhta Kesultanan Johor Lama pada tahun 1623)
KeputeraanRaja Bujang ibni Sultan Alauddin Riayat Shah III
1590
Kemangkatan22 November 1677
Kuala Pahang, Pahang
Pasangan1. Puteri kepada Raja Hassan ibni Sultan Ali Jalla Abdul Jalil Shah II
2. Puteri kepada Sultan Ahmad Shah II ibni Sultan Abdul Kadir Alauddin Shah
3. Raja Kuning binti Sultan Abdul Ghafur Muhiuddin Shah ibni Sultan Abdul Kadir Alauddin Shah
WangsaWangsa Melaka-Johor
AyahandaSultan Alauddin Riayat Shah III
AgamaSunni Islam

Sultan Abdul Jalil Shah III ibni Sultan Alauddin Riayat Shah III (Jawi: سلطان عبد الجليل شاه ابن سلطان علاء الدين رعاية شاه ; 1590 – 22 November 1677) ialah Pemerintah Pahang dari tahun 1615 hingga tahun 1617.

Enam tahun kemudian, baginda kembali memerintah Pahang sebagai Sultan Pahang ke-14 dan pada masa yang sama baginda juga diangkat menjadi Sultan Johor ke-7 dari tahun 1623 hingga tahun 1677.

Ini menjadikan baginda sebagai Sultan pertama yang memerintah kedua-dua negeri Johor dan Pahang (Sultan Johor-Pahang pertama).

Sultan-Sultan selepas baginda juga menjadi Sultan Johor-Pahang hingga Kesultanan Johor Lama berakhir pada tahun 1830 akibat Perjanjian Inggeris-Belanda 1824 yang dikuatkuasakan di Alam Melayu melalui Perjanjian 29 Oktober 1830 antara Yang Dipertuan Muda Riau ke-6, Raja Jaafar dengan Belanda.

Latar belakang

[sunting | sunting sumber]

Baginda merupakan anakanda kepada Sultan Johor ke-5 Sultan Alauddin Riayat Shah III, cucunda kepada Sultan Johor ke-4 Sultan Ali Jalla Abdul Jalil Shah II, anakanda saudara kepada Sultan Johor ke-6 Sultan Abdullah Ma'ayat Shah dan Sultan Johor ke-3 Sultan Abdul Jalil Shah I, cucunda saudara kepada Sultan Johor ke-2 Sultan Muzaffar Shah II, dan cicinda kepada Sultan Johor pertama Sultan Alauddin Riayat Shah II.

Pemerintah Pahang dan pelantikan sebagai Sultan Johor-Pahang

[sunting | sunting sumber]

Pada tahun 1615, ayahanda Raja Bujang, Sultan Alauddin Riayat Shah III telah menandatangani perjanjian damai dengan Portugis. Sebagai balasan, Portugis telah melantik Raja Bujang sebagai pemerintah di Pahang untuk menggantikan Sultan Alauddin Riayat Shah ibni Sultan Abdul Ghafur Muhiuddin Shah. Walau bagaimanapun, pelantikan ini tidak diiktiraf oleh Acheh. Ini menyebabkan Acheh menyerang Pahang sehingga Raja Bujang terpaksa melarikan diri ke Kepulauan Lingga. Pada masa yang sama, Acheh sedang memerangi Johor. Sultan Johor pada ketika itu, Sultan Abdullah Ma'ayat Shah juga terpaksa melarikan diri ke Kepulauan Lingga. Oleh sebab serangan Acheh yang berterusan, Raja Bujang dan Sultan Abdullah Ma'ayat Shah telah melarikan diri ke Pulau Tambelan. Apabila Sultan Abdulah Ma'ayat Shah mangkat pada tahun 1623, Acheh telah berdamai dengan Raja Bujang dan melantik baginda sebagai Sultan Johor-Pahang dengan gelaran Sultan Abdul Jalil Shah III.

Menakluki Melaka

[sunting | sunting sumber]

Pada tahun 1629, ancaman Acheh berkurangan kerana kekalahan teruk kepada Portugis. Pada tahun 1637, Sultan Abdul Jalil Shah III telah membuat perjanjian persahabatan dengan Belanda untuk melawan Portugis di Melaka. Sultan Abdul Jalil Shah III telah memberi bantuan kepada pihak Belanda sehingga pada akhirnya pakatan Johor-Belanda berjaya menakluki semula Melaka pada 14 Januari 1640. Belanda berjaya menakluki Melaka pada 1641 manakala Sultan Acheh, Sultan Iskandar Muda mangkat pada tahun 1636 dan Sultan Iskandar Thani mangkat pada tahun 1641 dan Acheh kemudian diperintah oleh Raja Perempuan iaitu Sultanah Tajul Alam. Penguasaan Belanda di Melaka dan kemerosotan pengaruh Aceh telah memberikan keyakinan kepada Sultan Abdul Jalil Shah III untuk pulang dan bersemayam di negeri Johor dan kedudukan baginda bertambah kukuh apabila raja-raja dan ketua-ketua pemerintah di pulau-pulau sekitar Johor, di gugusan pulau-pulau Riau serta Bengkalis, Kampar, dan Siak di Sumatera Timur telah bertuankan baginda.

Pada tahun 1641, Sultan Abdul Jalil Shah III datang ke Makam Tauhid yang terletak di Johor. Selama dua tahun baginda bersemayam di Makam Tauhid sebelum baginda berpindah menyeberangi Sungai Damar menuju ke Pasir Raja yang juga dikenali sebagai Batu Sawar pada bulan Oktober 1642. Selepas baginda telah bertapak semula di Johor, keadaan perniagaan di negeri itu bertambah maju. Batu Sawar telah menjadi sebuah pusat perniagaan hasil negeri-negeri sekitar yang kemudiannya diperdagangkan kepada orang-orang Belanda di Melaka.

Sultan Abdul Jalil Shah III kekal di Batu Sawar hingga tahun 1673 sebelum bermusuhan dengan Jambi dan seterusnya meletusnya perang antara Jambi dan Johor. Sultan Abdul Jalil Shah III melarikan diri ke Pahang dan bersemayam di sana selama empat tahun. Baginda mangkat di Kuala Pahang pada tahun 1677 dan baginda digelar "Marhum Mangkat di Pahang @ Marhum Besar".

  • R.O. Winstedt (1992). A History of Johore. The Malaysian Branch of the Royal Asiatic Society (MBRAS). ISBN 9839961462.

Nota kaki

[sunting | sunting sumber]

Lihat juga

[sunting | sunting sumber]

Pautan luar

[sunting | sunting sumber]
Sultan Abdul Jalil Shah III
Tarikh keputeraan: 1590 Tarikh kemangkatan: 22 November 1677
Gelaran pemerintah
Didahului oleh
Sultan Alauddin Riayat Shah
sebagai Sultan Pahang
Pemerintah Pahang
1615 – 1617
Diikuti oleh:
Tiada
Takhta Kesultanan Pahang Tua disatukan dengan takhta Kesultanan Johor Lama pada tahun 1623
Didahului oleh
Sultan Abdullah Ma'ayat Shah
sebagai Sultan Johor
Sultan Johor-Pahang
1623 – 22 November 1677
Diangkat menjadi Sultan Johor dan kembali menjadi Sultan Pahang pada tahun 1623 selepas berdamai dengan Aceh
Diikuti oleh:
Sultan Ibrahim Shah
sebagai Sultan Johor-Pahang