Sultan Ahmad Tajuddin Akhazul Khairi Waddien

Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.
(Dilencongkan dari Sultan Ahmad Tajuddin (Brunei))
Ahmad Tajuddin Akhazul Khairi Waddien
أحمد تاج الدين عكاظ الخير والدين
Pemerintahan 11 September 1924 - 4 Jun 1950
Pendahulu Muhammad Jamalul Alam II
Pengganti Omar Ali Saifuddien III
Raja Muda Pengiran Anak Puteri Besar Hajah Noor Ehsani
Pasangan Kadayang Amas
Tengku Ampuan Raihani
Anakanda
Pengiran Anak Datin Seri Setia Hajah Siti Saerah [Belabab Besar]
Pengiran Anak Datin Seri Setia Hajah Siti Zubaidah [Belabab Tengah]
Pengiran Anak Datin Seri Setia Hajah Siti Halimah [Belabab Damit]
Pengiran Anak Puteri Hajah Noor Ehsani
Nama penuh
Ahmad Tajuddin Akhazul Khairi Waddien ibni Muhammad Jamalul Alam II
Ayahanda Muhammad Jamalul Alam II
Bonda Raja Isteri Fatimah
Keputeraan 22 Ogos 1913
Istana Pekan, Bandar Brunei, Brunei
Kemangkatan 4 Jun 1950
Hospital Besar Singapura, Singapura
Dimakamkan 5 Jun 1950
Kubah Makam Diraja, Bandar Brunei, Brunei
Agama Islam

Duli Yang Maha Mulia Sultan Sir Ahmad Tajuddin Akhazul Khairi Waddien ibni Sultan Sir Muhammad Jamalul Alam II (lebih dikenali sebagai Sultan Ahmad Tajuddin); KBE, KCMG merupakan Sultan Brunei ke-27 yang memerintah Brunei dari 1924 hingga 1950.

Kehidupan awal[sunting | sunting sumber]

Baginda diputerakan pada tanggal 22 Ogos 1913 di Istana Pekan, Bandar Brunei, Brunei. Baginda merupakan putera kedua kepada Sultan Muhammad Jamalul Alam II dan Raja Isteri Pengiran Anak Fatimah. Sebelum menjadi sultan, baginda dikenali sebagai Pengiran Muda Besar Ahmad Tajuddin.

Pendidikan[sunting | sunting sumber]

Sultan Ahmad Tajuddin menerima pendidikan awal di istana. Setelah itu, baginda mempelajari bahasa Inggeris daripada seorang pegawai British ketika itu. Kemudiannya, baginda berkenan membuat lawatan ke negara-negara Eropah, membuatkan baginda sebagai raja pertama Brunei membuat pelayaran jauh dari pesisir Borneo dan sekaligus mengalahkan ayahanda baginda, yang mana Sultan Muhammad Jamalul Alam II hanya pernah membuat lawatan ke Singapura dan Labuan.

Menaiki takhta[sunting | sunting sumber]

Pada 11 September 1924, Sultan Muhammad Jamalul Alam II telah mangkat akibat diserang penyakit malaria, dan baginda menaiki takhta dalam usia 11 tahun. Walau bagaimanapun, kuasa pemerintahan terletak pada Majlis Pemangku Raja yang ahlinya terdiri daripada  Pengiran Bendahara Pengiran Anak Abdul Rahman dan Pengiran Bendahara Pengiran Anak Haji Mohammad Yassin bermula dari 11 September 1924 hingga 19 September 1931.

Baginda dilantik sebagai sultan pada tanggal 19 September 1931 dan dipupsa sebagai Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara pada 17 Mac 1940.

Pemerintahan[sunting | sunting sumber]

Sepanjang tahun 1920an dan 1930an[sunting | sunting sumber]

Pada tahun 1927, baginda telah merasmikan pembukaan jalan Brunei - Tutong. Pada tahun 1929, baginda merasmikan pembukaan Hospital Besar Brunei dan pada tahun yang sama minyak mula ditemui di Seria.

Pada tahun 1932, setahun selepas Majlis Pemangku Raja menyerahkan kembali kuasa pemerintahan kepada Sultan Ahmad Tajuddin, baginda berangkat melawat England dan Eropah.

Sepanjang pemerintahan baginda, wujud pelbagai persatuan-persatuan bersifat kebangsaan mahupun antarabangsa, seperti Persekutuan Pengakap Brunei, Persatuan Palang Merah Brunei (sekarang dikenali sebagai Persatuan Bulan Sabit Merah Brunei), Persekutuan Guru-Guru Melayu Brunei, Kesatuan Melayu Brunei dan sebagainya.

Pendudukan Jepun di Brunei (1941 - 1945)[sunting | sunting sumber]

Pada 16 Disember 1941, Jepun menduduki Brunei. Kuasa mentadbir Brunei telah diserahkan kepada Gabenor Jepun bagi wilayah Miri-shu (yang merangkumi Sarawak, Brunei dan Sabah). Baginda masih kekal menjadi sultan, namun kuasa baginda hanya terhad kepada hal ehwal Adat Istiadat Brunei dan Agama Islam. Walau bagaimanapun, pihak Jepun telah menganugerahkan beberapa bintang-bintang kebesaran Jepun sebagai tanda persahabatan dan menjunjung kasih kepada baginda kerana berbaik-baik dengan mereka.

Pada tahun 1945, Tentera Bersekutu mendarat di Brunei, dan Brunei ditadbir sementara oleh British Military Administration (Pentadbiran Askar British). Pada 6 Julai 1946, kuasa memerintah dan mentadbir kerajaan diserahkan kembali kepada baginda.

Lagu Kebangsaan Brunei (1946)[sunting | sunting sumber]

Pada tahun 1946, Lagu Kebangsaan Brunei yang dipanggil 'Allah Peliharakan Sultan' mula digubah oleh Awang Besar Sagap, sementara senikatanya dicipta oleh Yura Halim.

Sultan Ahmad Tajuddin bergambar ramai dengan pegawai-pegawai tentera Jepun

Barisan Pemuda (1946)[sunting | sunting sumber]

Pada 12 April 1946, satu pertubuhan yang dinamakan Barisan Pemuda (BARIP) telah ditubuhkan, yang mana ahli-ahlinya terdiri daripada pegawai-pegawai kerajaan, terutama guru-guru Melayu yang menuntut di Kolej Melayu Kuala Kangsar, Perak. Selain itu, persatuan ini turut diikuti oleh ahli-ahli dari Kesatuan Melayu Brunei (KMB) dan Persekutuan Guru-Guru Melayu Brunei (PGGMB).

Sultan Ahmad Tajuddin berkenan menaikkan bendera BARIP dalam Sambutan Ulang Tahun BARIP yang pertama, 1947

Pada 12 April 1947, BARIP telah menyambut ulang tahunnya yang pertama, dan baginda berkenan menghadiri sambutan ulang tahun tersebut. Baginda turut berkenan menaikkan bendera BARIP. Turut hadir ketika itu pembesar-pembesar dan tetamu-tetamu dari dalam dan luar negara.

Namun pada tahun 1948, persatuan ini tidak lagi aktif. Ini disebabkan sebilangan besar ahlinya menyambung pelajaran mereka ke Kolej Melayu Kuala Kangsar.

Sambutan Jubli Perak (1949)[sunting | sunting sumber]

Sultan Ahmad Tajuddin ketika menyambut Sambutan Jubli Perak Menaiki Takhta, 1949

Pada tahun 1949, baginda menyambut sambutan Jubli Perak dan bersempena dengan sambutan tersebut, Kerajaan British mengurniakan baginda dengan pingat Knight Commander of the Most Excellent Order of the British Empire (KBE).

Kehidupan peribadi[sunting | sunting sumber]

Sepanjang hidup baginda, baginda telah mendirikan rumah tangga dengan dua orang isteri. Yang pertama, bernama Kadayang Amas, salah seorang perempuan dari kalangan rakyat Brunei. Dan seorang lagi, seorang puteri dari Selangor yang bernama Tengku Ampuan Raihani, puteri kepada Sultan Alauddin Sulaiman Shah.

Hasil perkongsian hidup dengan kedua-dua isteri baginda, baginda dikurniakan empat puteri, tetapi tidak mempunyai putera.

Perkahwinan baginda bersama Kedayang Amas dikurniakan 3 orang puteri:

  • YAM Pengiran Anak Datin Seri Setia Hajah Siti Saerah [Belabab Besar] (1928-2013).
  • YAM Pengiran Anak Datin Seri Setia Hajah Siti Zubaidah [Belabab Tengah].
  • YAM Pengiran Anak Datin Seri Setia Hajah Siti Halimah [Belabab Damit] (1935-2009).

Manakala bersama Tengku Ampuan Raihani dikurniakan seorang puteri:

  • YTM Paduka Seri Pengiran Anak Puteri Hajah Noor Ehsani (1935-kini).

Kemangkatan[sunting | sunting sumber]

Sewaktu baginda hendak membuat lawatan ke England, ketika singgah di Singapura, baginda gering dan dikejarkan di Hospital Besar Singapura. Akhirnya. baginda pun mangkat pada 4 Jun 1950, ketika berusia 37 tahun. Jenazah baginda dibawa ke Johor untuk penghormatan terakhir, dan kemudiannya dibawa pulang ke Brunei melalui Labuan, dan dibawa ke Lapau untuk penghormatan terakhir bagi rakyat dan penduduk dan pegawai-pegawai kerajaan yang bertugas di Brunei.

Baginda telah disemadikan di Kubah Makam Diraja, Bandar Brunei.

Pengganti[sunting | sunting sumber]

Beberapa hari sebelum baginda mangkat, baginda telah menitahkan supaya puteri gahara baginda, Pengiran Anak Puteri Besar Hajah Noor Ehsani menjadi pengganti jika terjadi apa-apa kepada baginda. Satu persidangan telah diadakan sejurus selepas kemangkatan baginda, dan telah timbul pertanyaan mengenai waris baginda sebagai pengganti. Akhirnya, persidangan telah sebulat suara supaya adinda baginda, Pengiran Bendahara Pengiran Muda Omar Ali Saifuddien menjadi Sultan.

Ini disebabkan menurut Adat Istiadat Brunei, apabila seorang raja yang telah mangkat tiada mempunyai putera gahara, maka takhta kerajaan diserahkan kepada adinda raja tersebut ataupun Pengiran Bendahara. Tidak wujud di dalam Adat Istiadat Brunei membolehkan seorang puteri gahara menggantikan raja sebelumnya.


Penyandang Terdahulu Sultan Brunei
19241950
Penyandang Kemudian
Muhammad Jamalul Alam II Omar Ali Saifuddien III