Sultan Muzaffar Shah I, Kedah
| Sultan Muzaffar Shah I | |
|---|---|
| Sultan Kedah pertama | |
| Pemerintahan | 1136 - 20 Julai 1179 |
| Didahului oleh | Jawatan diwujudkan |
| Diikuti oleh | Sultan Mu'adzam Shah |
| Raja Kedah ke-9 | |
| Pemerintahan | 1136 |
| Didahului oleh | Maharaja Maha Jiwa |
| Diikuti oleh | Jawatan dimansuhkan |
| Kemangkatan | 20 Julai 1179 |
| Pemakaman | Pengkalan Langgar, Bujang, Kuala Muda |
| Anakanda | Tunku Mu'adzam Shah Tunku Muhammad Shah Tunku Sulaiman Shah |
| Kerabat | Mahawangsa |
| Ayahanda | Seri Paduka Maha Jiwa |
| Agama | Sunni Islam |
Sultan Muzaffar Shah I (Jawi: سلطان مظفر شاه ١; mangkat 20 Julai 1179) atau Maharaja Derbar Raja II ialah seorang raja legenda dan dikatakan sebagai sultan Kedah yang pertama, menurut Hikayat Merong Mahawangsa. Baginda ialah raja Melayu beragama Hindu terakhir Langkasuka, yang digelar sebagai Phra Ong Mahawangsa. Selepas memeluk Islam, baginda kemudiannya menjadi pengasas Kesultanan Kedah.[1]
Baginda menggantikan ayahandanya, Maharaja Maha Jiwa sebagai Raja Kedah. Baginda bersemayam di Kota Bukit Meriam.
Pengislaman
[sunting | sunting sumber]Pada tahun 1136, Syeikh Abdullah al-Qumairi bersama dnegan 11 orang pengikutnya belayar dari kawasan as-Shir, Yaman. Beliau tiba di Kuala Sungai Merbuk dan menghadap Maharaja Derbar Raja II di Bukit Meriam.
Beliau berdakwah berkenaan Islam serta perihal syariah, hukum-hakam kepada baginda dan para menteri. Baginda berasa tertarik hati dengan ajaran Islam serta keikhlasan dan kebijaksanaan Sheikh Abdullah. Baginda bersama menteri baginda kemudiannya telah bermuafakat untuk memeluk agama Islam di hadapan Syeikh Abdullah.[2] Baginda juga berkenan menukar nama baginda dan negeri Kedah atas cadangan Syeikh Abdullah. Baginda kemudiannya menukar nama baginda kepada "Sultan Muzaffar Shah" dan nama negeri Kedah kepada "Kedah Darul Aman".[3]
Suatu hari, Syeikh Abdullah memohon perkenan baginda untuk membina sebuah menara azan di puncak Gunung Jerai. Baginda berkenan dengan saranan Syeikh Abdullah dan menitahkan orang suruhannya untuk membina menara tersebut. Ketika proses pembinaan, Syeikh Abdullah jatuh sakit lalu meninggal dunia. Jenazahnya disemadi di puncak Gunung Jerai, berdekatan dengan tapak menara itu.[3]
Kehidupan
[sunting | sunting sumber]Sultan Muzaffar Shah mempunyai tiga orang putera, iaitu Tunku Muadzam, Tunku Sulaiman Shah dan Tunku Muhammad. Baginda memberi jawatan kepada ketiga-tiga putera baginda itu, iaitu Tunku Muadzam diperintah untuk mentadbir Kota Palas (kini Wang Tepus, Kubang Pasu), Tunku Sulaiman yang digelar Raja Laksamana mentadbir Pulau Langkawi dan pulau lain-lain hingga ke Kuala Prai, dan Tunku Mahmud yang digelar Raja Muda, mentadbir Padang Terap.[3]
Baginda mangkat pada 27 Julai 1179 di Istana Bukit Meriam. Baginda dipercayai dimakamkan di Pengkalan Langgar, Mukim Bujang.[3]
Rujukan
[sunting | sunting sumber]- ^ Iskandar, Yusoff (1992). The Malay Sultanate of Malacca: A Study of Various Aspects of Malacca in the 15th and 16th Centuries in Malaysian History (dalam bahasa Inggeris). Dewan Bahasa dan Pustaka, Kementerian Pendidikan Malaysia. m/s. 169. ISBN 978-983-62-2841-3.
- ^ Siti Rosnah Haji Ahmad (2003). Pemerintah dan Pemimpin Kerajaan-Kerajaan Negeri. Kuala Lumpur: Golden Books Centre. m/s. 14. ISBN 9837204591.
- ^ a b c d Adil, Buyong (1980). Sejarah Kedah (PDF). Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka, Kementerian Pelajaran Malaysia.
| Didahului oleh Jawatan diwujudkan |
Sultan Kedah 1136-1179 |
Diikuti oleh: Sultan Mu'adzam Shah |