Sultan Sulaiman Shah II
Almarhum Sultan Sulaiman Shah II | |
---|---|
Sultan Kedah ke-12 | |
Pemerintahan | 1602–1625 |
Didahului oleh | Sultan Mudzaffar Shah III |
Diikuti oleh | Sultan Rijaluddin Muhammad Shah |
Kemangkatan | 28 Februari 1626 Aceh |
Pasangan | Che' Ratnamala |
Anakanda | Sultan Rijaluddin Muhammad Shah |
Kerabat | Kedah |
Ayahanda | Sultan Mudzaffar Shah II |
Bonda | Che' Tempawan |
Almarhum Sultan Sulaiman Shah II ibni Almarhum Sultan Muzaffar Shah ialah Sultan Kedah ke-12. Baginda merupakan putera kepada Sultan Mudzaffar Shah II dan Che Tempawan.
Pada 3 Ogos 1602, baginda telah dimasyhurkan sebagai Sultan Kedah ke-12 dan bersemayam di Kota Siputeh. Ketika baginda memerintah, kegiatan lanun telah berkurangan akibat dibanteras oleh Raja Laksamana.
Konflik dengan Aceh
[sunting | sunting sumber]Pada 15 April 1625, Nakhoda Lamun dari Inderagiri telah mengadap Raja Bendahara Uthman untuk memaklumkan bahawa Sultan Aceh iaitu Sultan Iskandar Mahkota Alam sedang bersiap siaga untuk melanggar Kedah. Maka bermuafakatlah Raja Bendahara Uthman dengan orang-orang kanannya seperti Raja Laksamana dan Raja Temenggung. Setelah selesai persiapan dibuat, Raja Bendahara, Raja Temenggung, Dato’ Seraja Imam dan beberapa yang lain telah mengadap baginda di Balai Penghadapan. Dato’ Seraja Imam telah memberikan cadangannya dengan cara berdiplomasi bagi mengelakkan banyak pertumpahan darah berlaku yang melibatkan rakyat Kedah.
Pada 14 Julai 1625, Sultan Aceh bersama bala tenteranya telah berangkat keluar dari negeri Aceh dan tiba di Pulau Panjang, Setul. Baginda memerintahkan anakandanya, Tunku Rijaluddin untuk menyambut rombongan Aceh itu dengan membawa surat. Pada 15 Ogos 1625, Sultan Aceh bersama rombongannya berangkat dari Pulau Panjang menuju ke Kuala Sanglang. Di Kuala Sanglang, rombongan Aceh itu dibawa menaiki gajah ke Kota Seputeh.
Apabila tiba di Kota Seputeh, rombongan Aceh itu pula disambut dengan penuh istiadat sehingga berasa hairan dan amat malu. Maka tinggallah rombongan Aceh itu di Kota Seputeh dengan suka ria. Baginda sering mengajak Sultan Iskandar untuk berburu rusa dan bermain-main di Padang Jangam.
Pada 12 November 1625, baginda bersama Raja Temenggung, Dato’ Paduka Lela Putra, Dato’ Lela Pahlawan, Dato’ Seri Karma Jaya, Dato’ Seraja Imam, Dato’ Gedang Pahlawan dan Dato’ Lela Angkasa Kuala Perai telah mengiringi rombongan Sultan Aceh ke negeri Aceh. Baginda melantik Raja Bendahara Uthman sebagai Pemangku Raja manakala Kota Seputeh diserahkan kepada Tunku Rijaluddin untuk menjagakannya. Pada 20 Disember 1625, rombongan baginda telah selamat tiba di Aceh bersama Sultan Aceh.
Kemangkatan
[sunting | sunting sumber]Pada 28 Februari 1626, baginda telah mangkat akibat kegeringan di Istana Pagar Awan, Aceh dan dimakamkan di Langgar Kota Pagar Awan, Aceh. Pada 19 Mac 1626, Raja Temenggung dan jemaah menteri yang mengiringi baginda telah berangkat pulang semula ke Kedah.
Rujukan
[sunting | sunting sumber]Pautan luar
[sunting | sunting sumber]Didahului oleh Sultan Mudzaffar Shah III |
Sultan Kedah 1602–1625 |
Diikuti oleh: Sultan Rijaluddin Muhammad Shah |