Sultanah Zanariah binti Tengku Ahmad Panglima Raja

Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.
Jump to navigation Jump to search
Raja Permaisuri Agong
Img queen8 2.gif
Tunku Puan Hajah Zanariah binti Almarhum Tengku Ahmad
Raja Permaisuri Agong ke- 8
Yang di-Pertuan Agong Sultan Iskandar ibni Almarhum Sultan Ismail
Negeri Johor
Kelahiran (1940-07-05)5 Julai 1940
Istana Dusun Green, Pasir Mas, Kelantan
Kemangkatan 17 Mac 2019(2019-03-17) (umur 78)
Johor Bahru, Johor
Mula jawatan 26 April 1984
Tamat jawatan 25 April 1989
Penyandang terdahulu Tengku Hajah Afzan binti Tengku Panglima Perang Muhammad
Penyandang kemudian Tuanku Siti Bainun binti Mohd Ali

Tunku Puan Hajah Zanariah binti Almarhum Tengku Ahmad[1] dahulunya dikenali sebagai Sultanah Zanariah, (Jawi: تونكو ڤوان زانريه; 5 Julai 1940[2] – 17 Mac 2019) merupakan isteri Sultan Iskandar daripada perkahwinan mereka pada tahun 1961 sehingga kemangkatan baginda pada tahun 2010.

Baginda berasal daripada keluarga Diraja Kelantan. Baginda merupakan puteri kepada YAM Tengku Panglima Raja Kelantan Tengku Long Ahmad bin YTM Tengku Temenggong Long Abdul Ghaffar Ibni DYMM Sultan Muhammad II (Long Senik Mulut Merah). Tengku Panglima Raja berperanan sebagai penabal Al Sultan Kelantan. Baginda berkhidmat sebagai Raja Permaisuri Agong antara tahun 1984 dan 1989.

Kehidupan peribadi[sunting | sunting sumber]

Almarhumah Tunku Puan Zanariah binti Almarhum Tengku Ahmad dilahirkan di Istana Dusun Green, Pasir Mas. Baginda sentiasa berpegang teguh kepada adat istiadat istana serta ditambah dengan pengetahuan agama yang kuat. Seri Paduka Baginda Sultan Zanariah binti Tengku Ahmad Panglima Raja, Raja Permaisuri Agong Malaysia sentiasa menitikberatkan sifat-sifat kesopanan dan kesusilaan apabila bergaul dengan setiap masyarakat yang berdamping dengan baginda, walau di mana baginda berada.

Dengan peribadi baginda yang lemah lembut itu, baginda sentiasa dapat menarik perhatian sesiapa juga yang bertemu dengan baginda, lebih-lebih lagi kaum sejenis dengan baginda. Sifat-sifat seumpama ini telah dapat diturunkan oleh baginda kepada Paduka putera-putera dan puteri-puteri baginda dalam menjalankan tugas baginda sebagai seorang bonda terhadap keluarga.

Diputerikan pada 5 Julai 1940 di Dusun Green, Pasir Mas, Kelantan. Baginda adalah puteri yang ketujuh kepada Yang Berhormat Mulia Tengku Panglima Raja Kelantan Tengku Long Ahmad dan Che Puan Hajjah Fatima di antara sembilan orang adik beradik. Kakandanya, Tunku Puan Nora atau Sultanah Nora Ismail, pernah berkahwin dengan ayahanda mentuanya, Sultan Ismail.[3]

Setelah mendapat asuhan asas yang begitu mantap dalam istana, baginda mula mendapat didikan formal di Sekolah Sultanah Zainab, Kelantan pada tahun 1946. Kemudian baginda telah melanjutkan pelajaran baginda di Convent Bukit Nenas, Kuala Lumpur dari tahun 1950 hingga 1952 dan telah berangkat kembali ke Kelantan di mana baginda meneruskan pelajaran baginda di Sekolah Sultan Ibrahim, Pasir Mas. Di atas dorongan ayahanda dan disertai pula dengan perasaan untuk melengkapkan diri bagi masa hadapan, baginda telah berangkat ke England dalam tahun 1954 untuk melanjutkan lagi pelajaran baginda di Upper Chime School Isle of Wight.

Semasa berada di England inilah, maka takdir telah menentukan bahawa baginda telah ditemu buat kali pertamanya dengan baginda Sultan Iskandar yang juga pada masa yang sama berada di England bagi melanjutkan pelajaran baginda.

Bagi memantapkan lagi pengetahuan agama Islam terhadap Paduka anakanda-anakanda baginda telah menetapkan beberapa orang guru agama yang tertentu untuk memberi bimbingan ajaran agama kepada mereka di istana.

Walaupun baginda sibuk dengan tugas-tugas sebagai seorang suri rumahtangga dan juga sebagai seorang pengasuh kepada Paduka anakanda-anakanda, baginda tidak ketinggalan berangkat mengiringi baginda Sultan dalam acara-acara rasmi sama ada dalam negeri mahupun luar negeri.

Sebagai Raja Permaisuri Agong, baginda sangat-sangat menyedari akan tanggungjawab baginda terhadap kebajikan kaum wanita, khususnya dalam Negeri Johor dan menyedari akan hakikat inilah, maka dengan daya usaha baginda sendiri, baginda telah menaja serta menubuhkan sebuah badan yang diberi nama Majlis Wanita Negeri Johor atau ringkasnya ‘MAWAR’ yang telahpun digerakkan dengan mengadakan majlis-majlis Agama seperti Majlis Sambutan Maulud Nabi Muhammad s.a.w. bertempat di ibu pejabatnya di Jalan Sungai Cat, Johor Bahru. MAWAR juga telah dapat mengumpulkan wang dan seterusnya didermakan pula kepada mangsa-mangsa banjir di Negeri Johor ini dan juga kepada rakyat-rakyat yang kurang bernasib baik dan yang memerlukan bantuan serta pertolongan.

Minat[sunting | sunting sumber]

Sebagai wanita baginda amat cintakan seni dan semua yang indah. Baginda amat gemar memasak serta mengambil berat terhadap segala persiapan setiap hari. Selain dari itu, baginda juga sentiasa mengambil perhatian yang khas dalam hal memilih dan mengatur sendiri segala perhiasan di istana, terutamanya apabila diadakan majlis-majlis santapan rasmi.

Bagi mengisi masa lapang, baginda gemar mengambil bahagian dalam riadah, menunggang kuda, bermain Golf, Tenis dan baginda juga merupakan seorang yang handal dan cekap bermain ‘water ski’. Baginda juga boleh dikatakan Sultanah Johor yang pertama pernah mencatatkan sejarah apabila baginda berangkat mendaki Gunung Ledang, gunung yang tertinggi dan masyhur dalam sejarah Negeri Johor.

Baginda juga gemar membaca dan mengambil tahu tentang kebudayaan, sejarah dan hal ehwal negara jiran.

Kemangkatan[sunting | sunting sumber]

Tunku Puan Zanariah telah mangkat pada jam 11:47 malam Isnin, 17 Mac 2019. Kemangkatan baginda diumumkan melalui hantaran laman Facebook dan Instagram Sultan Johor pada pukul 8:10 pagi keesokan harinya.[4][5][6] Jenazah baginda disemayamkan di Balai Mengadap Istana Bukit Serene dalam suatu upacara penghormatan terakhir. Kemudiannya, jenazah baginda dibawa ke Makam Diraja Bukit Mahmoodiah dengan menggunakan ambulans peribadi Sultan Johor sebelum dimakamkan bersebelahan makam bondanya, Che Puan Hajjah Fatima binti Dato Abdul Hamid, pada pukul 2 petang.[7][8]

Rujukan[sunting | sunting sumber]

  1. ^ "No 'sultanah' title or special perks for 2 Johor consorts". New Straits Times. 17 Februari 2011. Archived from the original on 19 Februari 2011. Dicapai 5 Jun 2011. 
  2. ^ Information Malaysia (1985), pg 58
  3. ^ Tan Chee Khoon, pg 25
  4. ^ "Bonda Sultan Johor Tengku Puan Zanariah Almarhum Tengku Ahmad mangkat". Astro Awani. 18 Mac 2019. Dicapai 18 Mac 2019. 
  5. ^ Sajida Asarulah Khan (18 Mac 2019). "Bonda Sultan Johor mangkat". Utusan Online. Dicapai 18 Mac 2019. 
  6. ^ Sharkawi Londing (18 Mac 2019). "Tengku Puan Zanariah mangkat". Kosmo! Online. Dicapai 18 Mac 2019. 
  7. ^ Bernama (18 Mac 2019). "Bonda Sultan Johor selamat dimakamkan". Kosmo! Online. Dicapai 18 Mac 2019. 
  8. ^ Irwan Shafrizan Ismail (18 Mac 2019). "TPM ucap takziah". BH Online. Foto oleh Ghazali Kori. Dicapai 18 Mac 2019.