Sungai Pedu

Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.
Jump to navigation Jump to search

Sungai Pedu ialah sebatang sungai yang terdapat di Kedah. Sungai ini merupakan nadi utama pengangkutan bagi penduduk setempat pada masa dahulu.

Sejarah sungai[sunting | sunting sumber]

Menurut cerita orang-orang tua sebelum wujudnya jalan berturap seperti sekarang, sungai lebih diutamakan sebagai jalan pengangkutan. Walaupun jalan darat telah wujud, tetapi perjalanan selalunya mengambil masa yang lebih lama dan kurang selamat. Selain daripada itu, untuk mengangkut hasil pertanian ataupun hasil-hasil hutan, tiada kenderaan yang sesuai melainkan dengan menggunakan rakit atau perahu.

Penduduk-penduduk di hulu Sungai Pedu seperti di Kampung Mong Gajah, Kampung Pinang dan Kampung Tong Plu biasanya akan menghilir Sungai Pedu untuk pergi ke pekan terdekat, iaitu pekan Kuala Nerang. Perjalanan ke pekan tersebut biasanya mengambil masa selama satu hingga dua hari tetapi perjalanan pulang biasanya akan mengambil masa yang lebih lama.

Perubahan[sunting | sunting sumber]

Sungai Pedu telah banyak berubah mengikut peredaran masa. Antara perubahan yang paling ketara ialah dengan pembinaan Empangan Pedu di hulu Sungai Pedu. Pembinaan empangan ini telah mewujudkan tasik buatan yang telah merubah ekosistem hutan. Tasik buatan yang dibina untuk takungan air bagi tujuan pertanian dan kegunaan harian ini juga telah menenggelamkan beberapa buah kampung seperti Mong Gajah dan Pokha.

Seterusnya, Sungai Pedu kini mengalir mengikut fasa pelepasan air dari empangan. Ketika air tidak dilepaskan, aliran adalah perlahan dan cetek. Sumber air adalah dari air hujan, anak-anak sungai(carok)dan air mata air. Walaubagaimanapun, ketika pelepasan air dari empangan dibuat, aliran adalah sangat kuat dan kedalaman air sungai juga bertambah. Fasa pelepasan ini kadangkala akan berlarutan selama sebulan atau lebih. Pelepasan air ini adalah bertujuan untuk mengairi kawasan sawah dibawah kelolaan MADA.

Fasa pelepasan air dari Empangan Pedu ini juga memberi banyak manafaat kepada hidupan air Sungai Pedu. Ini kerana, ketika air tidak dilepaskan aktiviti menangkap ikan akan dilakukan oleh penduduk kampung akan dilakukan secara berterusan. Tangkapan dibuat melalui berbagai cara, antaranya memukat, memancing, menahan bubu (baluk), menjala serta kadangkala peledak (letupan) digunakan oleh pihak yang tidak bertanggungjawab. Kesemua aktiviti ini menyebabkan spesis ikan berkurangan pada kadar yang cepat. Oleh itu, ketika fasa pelepasan air berlaku, kesemua spesis ini boleh berkembang biak semula. Kerana itu jugalah sehingga ke hari ini semua ikan yang pernah wujud di sungai ini pada masa dahulu masih boleh didapati denga banyaknya. Antara spesis-spesis tersebut ialah Sebarau, Lampam, Keli, Haruan, Bujuk, Baung, Lampam Jawa, Tilan, Tili, patung, peras, ibu ikan, Kalui dan lain-lain lagi.

Kebersihan[sunting | sunting sumber]

Satu perkara lagi yang boleh dibanggakan juga adalah dari segi kadar kebersihan air sungai ini. Sehingga ke hari ini air sungai ini masih selamat digunakan untuk kegunaan harian walaupun kemudahan bekalan air paip telah lama disediakan. Jadi tidak hairanlah sekiranya masih terdapat segelintir penduduk yang menggunakan air sungai ini pada hari ini. Kebesihan sungai ini terjaga mungkin disebabkan kesedaran penduduk yang tinggi terhadap bahaya pencemaran serta ketiadaan kilang-kilang atau industri yang membuang sisa industri ke dalam sungai ini.