Surf This Love: Gelora Juara

Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.
Surf This Love: Gelora Juara
PengarahWan Mohd Hafiz Wan Hussain
Lakon layarWaan Hafiz
Shamsull Hazreai
Dihasilkan olehAmilaton Jamaluddin
Dibintangi
SinematografiZulkefli Zain
Muzik olehReza Ramsey
Syarikat
penerbitan
Global Solution Resources
Cloudniners
Diedarkan olehEmpireFilm Solutions
Tarikh tayangan
22 Februari 2018 (Malaysia)
Masa tayangan
113 minit
NegaraMalaysia
BahasaMelayu

Surf This Love: Gelora Juara merupakan filem romantik sukan Malaysia 2018 arahan Wan Mohd Hafiz Wan Hussain terbitan bersama Global Solution Resources dan Cloudniners.[1] Dibintangi oleh Shukri Yahaya, Cristina Suzanne, Pekin Ibrahim dan Mustaqim Bahadon, ia mengisahkan kekuatan dan ketabahan yang dimiliki Billy untuk bergelar peluncur ombak berjaya dan terkenal.

Filem ini ditayangkan pada 22 Februari 2018 dan muncul sebagai filem sukan luncur pertama di Malaysia, namun ia menjadi kegagalan komersial.[2] 

Sinopsis[sunting | sunting sumber]

Billy (Shukri Yahaya) bekerja dengan kakaknya, Siti (Syuhaida Abras) sebagai pemandu pelancong di Pulau Tioman. Sejak kecil, Billy sangat suka dengan sukan luncur ombak kerana dia mendapat sumber inspirasi dari arwah abangnya iaitu Bobby yang merupakan seorang juara luncur ombak yang terkenal. Selain Bobby, Mike Malaya (Josiah Hogan) dan Jimmy (Pekin Ibrahim) yang juga sahabat arwah abangnya juga handal dalam sukan luncur ombak, turut menjadi idola Billy.

Walaupun sangat obses dengan sukan luncur sejak dia berusia 12 tahun hinggalah sekarang Billy tidak pernah betul-betul cekap dan handal bermain dengan papan luncur dan ombak. Pencapaiannya dalam sukan ini terbantut kerana arwah abangnya Bobby mati dalam satu pertandingan sukan luncur ombak di Bali. Manakala Jimmy yang masih berkawan dengannya hingga kini dan tinggal tidak jauh dari rumahnya juga enggan mengajarnya kerana Jimmy mengalami kecacatan di kaki. Kesan dari kecederaan di kakinya dan juga sejak kematian Bobby, Jimmy bagaikan sudah ‘patah hati’ dengan sukan luncur ombak. Mike Malaya pula sejak kematian Bobby, dia telah merantau ke seluruh dunia bagi menyertai sukan luncur ombak. Maka Billy terpaksa terkial-kial berlatih sukan luncur sendirian tanpa tunjuk ajar sesiapa pun. Walaubagaimanapun, apa jua cabaran dan kesusahan, minat Billy dengan sukan ini tidak pernah luntur.

Cerita ini bermula dengan kehadiran seorang blogger yang cantik dari Kuala Lumpur iaitu Mia (Cristina Suzanne) yang bertandang ke Pulau Tioman untuk membuat liputan tentang keindahan Pulau Tioman bagi bahan berita dalam blognya. Walaupun Mia pertama kali sampai Tioman dan hanya datang seorang diri, Mia tidak berdepan dengan sebarang masalah kerana di Tioman, Mia mempunyai seorang sahabat yang pernah belajar bersama-sama dengannya di universiti dahulu iaitu Lia (Ardell Aryana). Lia bekerja dengan abangnya Jimmy, yang mengusahakan sebuah kafe dan bengkel memperbaiki papan luncur.

Lia mencadangkan Mia mendapatkan khidmat pemandu pelancong bagi membawanya bersiar-siar ke seluruh Pulau Tioman kerana dia sibuk membantu abangnya menguruskan kedai. Pemandu pelancong yang dimaksudkan Lia adalah kawanya sejak kecil iaitu Billy.

Bill membawa Mia bersiar-siar seluruh pulau. Dari perkenalan singkat itu, Mia tertarik dengan perwatakan Billy yang kelakar dan bersahaja. Jauh dalam hati Mia, Mia kagum dengan kesungguhan Billy dalam sukan surfing walaupun Billy sering gagal. Bagi Billy pula, dia sudah mula jatuh hati pada Mia kerana Mia tidak seperti orang lain yang sering merendah-rendahkan cita-citanya.

Kini, selain dari menjadi juara luncur ombak, Billy mempunyai satu lagi impian, iaitu mahu memenangi hati Mia. Namun, hancur luluh hati Billy apabila mengetahui yang Mia sudah berpunya malah Billy lebih kecewa lagi apabila mengetahui teman lelaki Mia adalah Mike Malaya, idolanya selama ini. Terpaksalah Billy melupakan Mia dan menumpukan perhatiannya pada cita-cita asalnya. Kehadiran Mike Malaya ke pulau itu memberikan semangat baru kepada Billy. Billy menemui Mike Malaya dan dengan yakin dan bersemangat, meminta Mike Malaya mengajarnya cara-cara surfing yang betul.

Lebih menggembirakan Billy apabila Mike bersetuju untuk mengajarnya. Walaubagaimanapun, Mike Malaya tidak mengotakan janjinya. Mike hanya mahu mempermain-mainkan Billy semata-mata kerana Mike beranggapan bahawa Billy tidak mempunyai masa depan yang cerah dalam bidang luncur ombak. Billy rasa terhina dengan perbuatan Mike Malaya dan sejak dari peristiwa itu, Billy tidak mengharap pada sesiapa lagi. Dia sudah hilang rasa hormat pada Mike Malaya.

Pada masa yang sama, Mike Malaya mahu melamar Mia di pulau itu. Mia agak terkejut dengan lamaran itu, akhirnya bersetuju dengan permintaan Mike untuk menjemput ahli keluarga kedua pihak bagi meraikan malam pengumuman tentang tarikh pernikahan mereka berdua. Mia merasa sedikit keliru dan walaupun dia bersetuju, dalam hatinya masih ragu-ragu dengan permintaan Mike. Lagi meresahkan keadaan apabila Lia jua turut mempunyai rasa yang sama (ragu-ragu pada mike).

Jimmy tidak gembira dengan kedatangan Mike Malaya ke pulau itu. Billy dan Lia hairan, kenapa dua sahabat itu kini dingin hubungan mereka. Lia dapat rasakan ada sesuatu rahsia besar yang pernah terjadi antara persahabatan ketiga-tiga juara luncur ombak itu. Rahsia hitam Mike akhirnya terbongkar apabila Jimmy merungkai satu sejarah antara Mike dan Bobby. Rupa-rupanya Jimmy tahu bahawa Mike adalah orang yang menyebabkan Bobby mati. Namun Mike tidak berganjak dari keegoannya, dia mempertahankan tindakannya itu sebagai satu perkara yang tidak salah. Ini menyebabkan Jimmy marah dan rasa terhina. Oleh kerana tidak tahan dengan hinaan Mike Malaya, Jimmy yang selama ini enggan mengajar Billy, berubah fikiran. Dia berjanji dan bertekad, akan memastikan Billy terus belajar dan handal meluncur di ombak seperti arwah Bobby dahulu.

Pada malam majlis pengumuman, Mike Malaya telah dimalukan oleh Mia. Hasratnya untuk melamar Mia bertukar menjadi peristiwa yang sangat memalukan. Mia bukan sahaja memutuskan perhubungan mereka berdua, malah memperkenalkan kekasih gelap Mike yang kini sedang hamil anak Mike sendiri. Kali ini Mike tidak dapat lagi lari dari kesilapannya. Mia yang selama ini memerhati segala perkara yang telah Mike lakukan telah menyedarkan Mike.

Pada akhirnya Billy dan Mia bagaikan kembali kepada saat pertama pertama mereka bermula. Billy kini ada segalanya, cinta dan semangat yang kuat. Ini membuatkan Billy lebih bersemangat untuk menjadi juara sukan luncur ombak, dan sekaligus memenangi hati Mia untuk dijadikan permaisuri hidupnya.

Pelakon[sunting | sunting sumber]

  • Shukri Yahaya sebagai Billy – Seorang yang sangat cintakan sukan luncur air. Beliau tinggal bersama kakaknya dan bekerja di Pulau Tioman, sebagai pemandu pelancong. Billy mempunyai cita-cita untuk menjadi peluncur terkenal seperti abangnya Bobby dan mempunyai sifat tidak cepat mengalah serta pantang dicabar. Dalam percintaan, dia seorang yang sangat kekok dan “blur”.
  • Cristina Suzanne sebagai Mia – Merupakan seorang penulis blog yang menjadi mengulas lokasi pelancongan. Seorang yang sangat misteri dan banyak menyimpan rahsia dan mempunyai sifat tenang dan penyabar membuatkan lelaki senang tertarik. Berpendirian tegas dan juga mempunyai perwatakan yang sukar di ramal.
  • Pekin Ibrahim sebagai Jimmy – Merupakan seorang peluncur lagenda di Pulau Tioman dan salah seorang ahli peluncur Trio Malaya. Mempunyai sifat sedikit tegas dan jiwa humor yang sinikal serta sangat pandai dalam berkata-kata. Diberi gelaran “Soul Surfer” kerana dia suka menjadikan Alam sebagai teman.
  • Mustaqim Bahadon sebagai Bobby – Abang kepada Billy, Bobby ialah seorang peluncur air lagenda bertaraf dunia dan salah seorang dari ahli peluncur Trio Malaya bersama Jimmy dan Mike. Booby memiliki sikap yangtenang dan penyabar dan sangat suka buat kelakar.
  • Ardell Aryana sebagai Lia – Salah seorang peluncur wanita di Pulau Tioman. Seperti Billy, Lia mempunyai cita-cita menjadi peluncur yang hebat dan berkawan baik dengan Billy sejak kecil. Lia memiliki sifat yang berani dan lantang bersuara dan merupakan kawan baik kepada Mia ketika kolej, serta seorang yang sangat baik hati.
  • Josiah Hogan sebagai Mike – Merupakan seorang juara sukan luncur bertaraf antarabangsa dan salah seorang dari ahli peluncur Trio Malaya bersama Jimmy dan Bobby. Pernah berkawan rapat dengan Jimmy dan Bobby, Mike menyimpan satu rahsia yang besar tentang Bobby dan suka mengambil kesempatan dalam percintaan.
  • Syuhaida Abraz sebagai Siti – Kakak kepada Billy, dia menguruskan syarikat pelancongan di Pulau Tioman dan merupakan seorang ahli perniagaan wanita yang sangat berkaliber. Siti bersifat tegas, kasar dan sangat pelindung kepada keluarga dan juga tidak mahu Billy mengikuti jejak langkah abangnya sebagai peluncur.
  • Fazreen Faizul sebagai Laila

Penerbitan[sunting | sunting sumber]

Surf This Love: Gelora Juara diarahkan oleh Waan Hafiz yang sebelum ini mengarahkan filem Tok Mudim, Mat Tudung dan Puaka Balai Gombak dan diterbitkan bersama oleh Amilaton Jamaluddin. Ia merupakan filem sulung terbitan Global Solution Resources dan Cloudniners. Kos pembikinan filem ini dianggarkan sebanyak lebih RM1 juta, penggambaran dijalankan selama sebulan di Pulau Tioman, Pahang dan Bali, Indonesia. Skrip filem ini terpaksa melalui 7 kali rombakan untuk dimasukkan lebih banyak elemen yang berkaitan dengan jiwa filem ini, agar digarap secara sederhana dan tidak terlalu berlebihan.[3] 

Shukri Yahaya, yang memulakan kerjaya lakonan sejak 2011, memegang watak sebagai Billy. Bagi menjayakan peranannya, Shukri terpaksa berhadapan detik cemas sewaktu menjalani penggambaran di Pantai Kuta, Bali, Indonesia selepas tangannya kekejangan dan nyaris meragut nyawanya. Shukri dipetik oleh Utusan Malaysia sebagai berkata: "Tangan pun semakin lenguh, lalu membuatkan saya keletihan serta kehilangan tenaga. Syukur saya gigihkan juga untuk kayuh perlahan-lahan untuk sampai ke darat,".[4] Ardell Aryana yang terkenal dengan peranan televisyen seperti Dia... Isteri Luar Biasa dan Anakku Diva, memegang watak sebagai Lia, salah seorang peluncur wanita di Pulau Tioman. Surf This Love merupakan filem ketiga lakonannya, sebelum Ardell mengambil keputusan untuk bertudung.[5]

Keluaran dan sambutan[sunting | sunting sumber]

Malam Gala dan tayangan perdana Surf This Love berlangsung pada 19 Februari 2018 di mmCineplexes di eCurve Damansara, manakala tanyangan umum di pawagam seluruh negara bermula 22 Februari 2018. Majlis ini dihadiri oleh pelakon, tenaga kerja filem serta wartawan dan petugas media. Surf This Love: Gelora Juara menerima ulasan positif dan bercampur-campur dari pengkritik filem. Zulfadli Zulkifli dari portal web Kakimuvee memuji hasil keberkesanan filem ini dari segi sinematografi dan penceritaan. Beliau turut menyifatkan filem ini sebagai filem bahasa Melayu rojak, Zulfadli memberikan penarafan 7/10 bintang untuk filem ini.[6] Shazryn Mohd Faizal menulis untuk mStar Online memberikan konteks tersendiri mengenai filem ini dan berkata: "Walaupun risiko amat tinggi untuk menghasilkan filem yang luar daripada norma filem komersial yang sudah terlalu banyak dilambakkan, tetapi, ia menampakkan kesungguhan mereka dalam mempelbagaikan naskhah."[7] Rafzan Tomomi pula mengulas Surf This Love mempunyai jalan cerita yang santai dan menghiburkan dan diserikan dengan unsur-unsur humor.[8]

Tayangan media[sunting | sunting sumber]

Filem ini dipertontonkan buat pertama kali menerusi Astro First pada 5 April 2018.

Kesinambungan[sunting | sunting sumber]

Semasa majlis pratonton filem Surf This Love, Waan Hafiz menyatakan bahawa kesinambungan filem ini sedang dalam perancangan jika filem ini mendapat sambutan pecah panggung.[9]

Rujukan[sunting | sunting sumber]

  1. ^ Surf This Love filem peluncur pertama Malaysia -Hiburan- SinarHarian
  2. ^ Budiey (20 Februari 2018). "Fakta Yang Korang Patut Tahu Tentang Filem SURF THIS LOVE : GELORA JUARA". Sensasi Selebriti. Dicapai pada 31 Mac 2018.
  3. ^ Amirul Haswendy Ashari (21 Februari 2018). "7 kali rombak skrip". Harian Metro. Dicapai pada 31 Mac 2018.
  4. ^ Ifqdar Rahman (21 Februari 2018). "Surf This Love hampir ragut nyawa Shukri Yahaya". Utusan Malaysia. Dicapai pada 31 Mac 2018.
  5. ^ Amirul Haswendy Ashari (20 Februari 2018). "Bukan begitu niat saya". Harian Metro. Dicapai pada 31 Mac 2018.
  6. ^ "Review Surf This Love: Gelora Juara". Kakimuvee. 22 Februari 2018. Dicapai pada 3 Mei 2018.
  7. ^ Shazryn Mohd Faizal (2 Mac 2018). "Peluncuran terumbang-ambing dalam Surf This Love: Gelora Juara". mStar Online. Diarkibkan daripada yang asal pada 2018-05-06. Dicapai pada 3 Mei 2018.
  8. ^ "Ulasan filem Surf This Love: Gelora Juara". Rafzan Tomomi. 22 Februari 2018. Dicapai pada 3 Mei 2018.
  9. ^ "Possible sequel for "Surf This Love: Gelora Juara"". Yahoo! News. 20 Februari 2018. Dicapai pada 4 Mei 2018.

Pautan luar[sunting | sunting sumber]