Susunan Jari Empat
Formasi susunan jari empat adalah satu formasi penerbangan yang digunakan oleh pasukan-pasukan tentera udara yang menjalankan operasi penerbangan taktikal.
Formasi ini berasal daripada penggunaan oleh Luftwaffe, tentera udara Jerman semasa penguasaan Adolf Hitler. Semasa penyertaan Luftwaffe dalam Perang Saudara Sepanyol dalam tahun 1936, schwarm (Seksyen ataupun flait) kapal terbang dalam skuadron Luftwaffe (staffel) menggunakan formasi susunan jari empat semasa penerbangan. Formasi ini dimulakan oleh Werner Mölders, Oswald Boelcke dan rakan-rakannya.
Dalam formasi ini, kapal terbang akan diterbangkan dalam kedudukan yang menyerupai kedudukan hujung jari di tapak tangan yang rata (dilihat daripada belakang tapak tangan tersebut). Penerbangan cara ini memberikan lebih banyak kefleksibelan ataupun keanjalan berbanding dengan formasi “vic” tiga pesawat yang digunakan oleh Tentera Udara Diraja British.
Dalam formasi susunan jari empat, kapal terbang mempunyai ruang yang luas untuk membuat manuver, membolehkan mereka dengan mudah membuat imbasan ufuk penerbangan mereka untuk mencari kapal terbang musuh dan tidak perlu menumpukan perhatian mereka kepada pengekalan kedudukan kapal terbang mereka sekiranya menggunakan formasi yang tegar.
Kekesanan formasi ini amat ketara dan ditiru oleh Tentera Udara Amerika Syarikat dan juga oleh Tentera Udara Diraja British. Tentera Udara Amerika Syarikat menggunakan formasi susunan jari empat untuk menjalankan operasi penerbangan pengebom dan kapal terbang pejuang yang mengiringi pesawat pengebom.
Kekesanan susunan jari empat ditingkatkan dengan menggunakan pasangan duaan Rotte, di mana Seksyen 4 buah kapal terbang akan berpecah menjadi dua pasangan Rotte tanpa kehilangan kefleksibelannya untuk bertempur. Pemimpin Rotte akan menyerang sasaran sementara pengikutnya (wingman) akan mengimbas dan mencari ancaman daripada pesawat musuh dan melindungi ketuanya sementara ketua tadi menumpukan perhatian membuat serangan.
Kini formasi susunan jari empat menjadi formasi penerbangan yang lazim digunakan.