Raja Syed Ahmad Jamalullail

Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.
Raja Syed Ahmad Jamalullail
Raja Perlis kedua
Pemerintahan22 November 1873 - 15 Februari 1897
Pertabalan28 Februari 1874
Didahului olehRaja Syed Hussein Jamalullail
Diikuti olehRaja Syed Safi Jamalullail
Kemangkatan15 Februari 1897
Istana Arau, Perlis, Tanah Melayu British
PemakamanMakam Diraja Arau, Arau
PasanganSharifah Seha binti Syed Muhammad al Hadad
AnakandaSyed Alwi Jamalullail
Sharifah Tam
Nama penuh
Raja Syed Ahmad ibni Syed Hussein Jamalullail
KerabatWangsa Jamalullail
AyahandaSyed Hussein ibni Syed Harun Jamalullail
BondaChe Sofiah binti Muhammad Arshad
AgamaIslam

Raja Syed Ahmad ibni Raja Syed Hussein Jamalullail (Jawi: راج سيد أحمد ابن المرحوم راج سيد حسين جمال اليل) atau Raja Syed Ahmad Jamalullail merupakan Raja Perlis yang kedua. Baginda mula menaiki takhta dari tahun 1873 hingga 1897.

Kehidupan[sunting | sunting sumber]

Raja Syed Ahmad merupakan anak kepada Raja Syed Hussein Jamalullail, Raja Perlis pertama dan Che Sofiah binti Muhammad Arshad. Pada tahun 1844, baginda telah dihantar oleh ayahanda baginda ke Siam bagi melatih diri baginda untuk menjadi pewaris takhta kerajaan.

Baginda telah berkahwin dengan Sharifah Seha binti Syed Muhammad al-Hadad dan dikurniakan seorang putera dan puteri, iaitu Syed Alwi Jamalullail dan Sharifah Tam.

Pemerintahan[sunting | sunting sumber]

Raja Syed Ahmad Jamalullail telah ditabalkan sebagai Raja Perlis oleh Raja Chulalongkorn di Bangkok pada 12 Muharam 1291, bersamaan 28 Februari 1874, selepas kemangkatan ayahanda baginda Raja Syed Hussain Jamalullail. Baginda telah melantik adinda baginda, Syed Alwi Jamalullail sebagai Raja Muda dan beberapa para pembesar lain bagi membantu pemerintahan baginda. Baginda juga meneruskan adat penghantaran bunga emas dan perak kepada Siam.

Ketika pemerintahan baginda, timbul satu masalah perwarisan takhta apabila satu-satunya putera baginda iaitu Syed Alwi mangkat akibat karam di Kuala Kedah pada tahun 1873. Untuk mengatasi hal tersebut, baginda telah mendidik cucunda baginda Syed Saffi dengan menghantarnya ke Bangkok untuk bersekolah dan ditabalkan sebagai pewaris takhta. Selama berada di Bangkok, Syed Saffi tinggal di istana Bangkok sebagai anak angkat Kalahum dan ditabalkan menjadi bakal Raja Perlis dengan gelaran Phra' Suntun. Syed Saffi juga belajar di sebuah sekolah bersama anak-anak pembesar negeri Siam. Baginda mampu bertutur, menulis dan membaca bahasa Siam dengan baik. Setelah 10 tahun, Syed Saffi berangkat pulang ke Perlis semula bagi membantu urusan pentadbiran nendanya.

Dalam tahun 1890-an, berlaku pertikaian sempadan antara negeri Perlis dengan negeri Kedah. Hal ini bermula apabila seorang Inggeris bernama Dunlop telah diperkenankan oleh baginda untuk membuka lombong arang batu di Bukit Arang. Walau bagaimanapun, Tunku Yaakob putera Sultan Ahmad Tajuddin III melarang Dunlop mengerjakan lombong tersebut dengan alasan Bukit Arang merupakan wilayah Kedah. Pertikaian ini diselesaikan dengan keputusan Raja Chulalongkorn yang berpihak kepada Perlis.

Pada tahun 1890, Baginda semakin uzur dan terlalu gering, pemerintahan negeri diserahkan kepada Raja Muda Syed Alwi Jamalullail. Namun, baginda melantik Syed Saffi sebagai pemangku raja pula kerana pemerintahan yang tidak memuaskan. Pada 14 Ramadan 1314 bersamaan 15 Februari 1897, Raja Syed Ahmad Jamalullail mangkat di Arau selepas memerintah selama 23 tahun. Jenazah baginda dikebumikan di Makam Diraja Arau. Raja Chulalongkorn telah menabalkan cucunda baginda, Syed Safi menjadi Raja Perlis yang ketiga.

Rujukan[sunting | sunting sumber]

Didahului oleh
Raja Syed Hussein Jamalullail
Raja Perlis
22 November 1873 – 15 Februari 1897
Diikuti oleh:
Raja Syed Safi Jamalullail