Syed Alwi bin Syed Hassan

Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.

Datuk Syed Alwi Syed Hassan merupakah Tokoh Seniman Negara Malaysia. Beliau dilahirkan di Taiping, Perak, Malaysia.

Pendidikan[sunting | sunting sumber]

Syed Alwi bersekolah di Sekolah Melayu Pondok Tanjung dan Sekolah Taiping. Seterusnya belajar di University of Minnessota, Amerika Syarikat dalam bidang teater dan kewartawanan serta merupakan anak Melayu pertama yang melanjutkan pelajaran ke luar negara dalam bidang teater.

Syed Alwi menerima Hadiah Pelajaran Tabung John D. Rockefeller III untuk mengkaji perkembangan teater dan filem semasa di Amerika antara April dan Jun 1980.

Penggiat teater[sunting | sunting sumber]

Syed Alwi pernah bertugas dengan RTM, TV3 dan NTV7 sebagai pengurus, penerbit, pelakon, penulis dan pengarah selain pernah bertugas dengan Filem Negara, Panggung Negara, Akademi Seni Warisan dan Budaya, Universiti Malaya dan Pejabat Penerangan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu.

Syed Alwi dianggap sebagai tokoh terkemuka yang mengangkat martabat teater tanah air daripada corak purbawara dan bangsawan kepada corak yang lebih bersifat kontemporari. Syed Alwi terkenal kerana teater dua zamannya iaitu zaman penjajahan serta zaman kemerdekaan dan banyak menghasilkan karya yang mantap dan mempunyai impak khususnya dalam memperkatakan isu-isu berhubung bangsa Melayu.

Syed Alwi adalah pengasas Kumpulan Teater Seni Malaya (Malayan Art Theater Group) pada tahun 1951, yang kemudian bertukar menjadi Malaysian Art Theater Group.

Hasil karya[sunting | sunting sumber]

Drama Alang Retak Seribu (1973), Tok Perak (1974) serta dua drama berbahasa Inggeris "I Remember The Rest House" (1992) dan "Member of The Club" (1994) menerima pelbagai pujian. Beliau pernah mengarah dan berlakon dalam beberapa pementasan teater terkenal antaranya Midsummer Nights (Starveling), Androcles and the Lion (Slave) dan Henry V (Duke of Bedford) sehingga 1953.

Anugerah[sunting | sunting sumber]

Kerajaan Malaysia memberi Anugerah Seni Negara pada 19 September 2002, iaitu satu penghargaan dan pengiktirafan tertinggi kerajaan kepada penggiat seni negara.

Kematian[sunting | sunting sumber]

Pada 1 Disember 2008, beliau ditemui mati di kediamannya di Kampung Sungai Serai, Kuang, Rawang, Selangor. Ketua Bahagian Siasatan Jenayah Selangor SAC II Hasnan Hassan menyatakan anaknya Norsham menemui mangsa di bahagian dapur rumah banglo jam 8.30 malam. Polis percaya beliau meninggal dunia lebih kurang 48 jam. Ada kesan calar dan lebam di badan tetapi tiada kesan pecah masuk di banglo. Terdapat sebuah meja yang terbalik dengan banyak ubat-ubatan di sekitarnya. Ada kemungkinan beliau jatuh lalu meninggal dunia atau disamun. Jenazah beliau dihantar ke Hospital Sungai Buloh untuk bedah siasat.[1]

Rujukan[sunting | sunting sumber]