Pergi ke kandungan

Taman Negara Ulu Temburong

Taman Negara Ulu Temburong
Permata Hijau Brunei
IUCN Kategori II (Taman negara)
Perjalanan menaiki bot panjang di Sungai Temburong ke Taman Negara Ulu Temburong
Peta menunjukkan lokasi bagi Taman Negara Ulu TemburongPermata Hijau Brunei
Peta menunjukkan lokasi bagi Taman Negara Ulu TemburongPermata Hijau Brunei
Lokasi Taman Negara Ulu Temburong
LokasiTemburong
Bandar raya terdekatBrunei Darussalam
Koordinat4°28′41″U 115°12′28″T / 4.478°U 115.2077°T / 4.478; 115.2077
Luas488.59 kilometer persegi (188.65 bt2)
Ditubuhkan1991
sunting
Lihat pendokumenan templat ini
Lihat pendokumenan templat ini

Taman Negara Ulu Temburong merupakan taman negara pertama yang diasaskan di Brunei dan dilindungi sejak 1991. Taman tersebut terletak di Daerah Temburong di timur Brunei dan meliputi kira-kira 40% bahagian selatan daerah itu seluas 550 kilometer persegi (210 bt2). Ia terletak di dalam Hutan Simpan Batu Apoi.[1] Hutan daranya dikenali sebagai "Permata Hijau Brunei",[2] diperikan sebagai "contoh polisi perlindungan hutan kesultanan yang paling berjaya".[3] Sungai-sungai utamanya ialah Sungai Temburong dan Sungai Belalong. Ia merupakan pusat ekopelancongan yang penting di Brunei dan menempatkan Resort Ulu Ulu.[4] Hutan Simpan Peradayan juga terletak di daerah sini.[5]

Jambatan gantung di Taman Negara Ulu Temburong

Taman Negara Ulu Temburong terletak di bahagian paling timur Brunei Darussalam, di Daerah Temburong. Ia bersempadan dengan tiga daerah lain selain negeri Sarawak di Malaysia. Ia hutan hujan pamah yang meliputi 212 batu persegi (550 km2).[2][6][7] Taman ini terletak di kawasan atas bahagian timur Brunei. Bahagian selatan terdapat perbukitan dengan gunung-ganang setinggi 1,800 meter (5,900 ka) dan tanah pamahnya terletak di cerun-cerun utara. Bentuk muka buminya berpantai dan dilalui oleh beberapa batang sungai yang membentuk lembah-lembah sempit.[7]

Taman ini hanya boleh dicapai melalui sungai dengan bot panjang[8] dari ibu kota Brunei, Bandar Seri Begawan. Tempat persinggahan bot pertama adalah di pekan Bangar tempat Sungai Limbang keluar dari Sarawak dan mengalir ke Teluk Brunei di muara bakau yang berlumpur. Perjalanan dari pekan Bangar ke Batang Duri adalah melalui jalan darat dan ia merupakan tempat bermulanya perjalanan menaiki bot panjang di Sungai Temburong untuk ke taman negara. Bot-bot dikawal oleh orang Iban yang berpengalaman, mendayung melepasi beting, kayu balak dan batu-batu besar. Sebuah rangkaian laluan pejalan kaki, jambatan dan tangga yang luas sepanjang 7 kilometer (4.3 bt)[8] telah dibina untuk menjangkau seluruh taman. Papan tafsiran menyediakan maklumat di sepanjang perjalanan.[8] Terdapat juga laluan tinjau berkanopi. Laluan pejalan kaki ini, dibina dengan menara keluli yang menyokong lintasan kabel, berada 50 meter (160 ka) dari tanah untuk meninjau sudur pokok tertinggi dan melihat pemandangan belantara.[6]

Tumbuhan di hutan simpan ini adalah dari jenis hutan hujan pamah tropika dengan genus Shorea, Dryobalanops dan Dipterocarpus sebagai spesies dominan. Hutan bukit dan hutan pamah primernya merupakan hutan dipterokarpa, sedangkan hutan pergunungan rendah kebanyakannya terdapat di selatan. Hutan bakau terletak di pesisiran.[6] Spesies rotan pula banyak di permukaan tanah. Tumbuhan lain yang biasa dicatatkan di hutan ini adalah halia, asam batu, gesneriad, keladi dan bunga Ixora. Di sepanjang sungai, terdapat spesies palma, pakis, lumut dan kulampair. Pokok ara yang berbuah di atas dan di bawah tanah juga melimpah dan menjadi makanan burung.

Enggang badak
Kupu-kupu hitam kuning yang turut digelar "rajah putih"

Faunanya termasuk mamalia, reptilia, kupu-kupu dan serangga serta burung. Spesies fauna yang paling terkenal dan hidup sepenuhnya di atas pokok ialah ungka Borneo Utara yang berwarna kelabu. Habitatnya kebanyakannya di sudur hutan dan terkadang dilihat di bahagian tengah kanopi. Tupai, khususnya tupai kerdil terkecil di dekat tempat tinggal manusia, dan katak batu berbintik hitam (Staurois natator) turut dilaporkan di taman ini. Anggerik dan ular, terutamanya ular kapak tokong, tinggal di puncak-puncak pokok. Memerang seperti memerang licin boleh dilihat di Sungai Temburong. Binatang lain yang terkenal di taman negara ini ialah katak pokok Belalong (Leptomantis belalongensis) dan biawak tanpa telinga (Lanthanotus borneensis).[9]

Terdapat empat ratus spesies kupu-kupu, sebahagiannya agak langka, dan yang paling terkenal adalah kupu-kupu Rajah Brooke yang digelar sebagai "rajah putih" sempena James Brooke. Kawasan ini pernah berada di bawah kuasa peribadi beliau semasa zaman penjajahan Sarawak; spesies jantan mempunyai warna sayap hitam legam dengan jalur hijau zamrud. Satu lagi jenis kupu-kupu adalah kupusurat (Idea stolli) yang berbintik hitam putih. Spesies hidupan lain pula termasuk lipan, semut temenggung (Camponotus gigas), serangga tanglung dan anai-anai.[6]

Kawasan Burung Penting

[sunting | sunting sumber]

Sebidang tanah seluas 70,000 hektar, meliputi taman ini dan sambungan ke Hutan Simpan Batu Apoi telah disahkan oleh BirdLife International sebagai Kawasan Burung Penting (IBA) kerana habitat hutannya menyokong sejumlah besar spesies burung yang terancam, antaranya pegar dada lekir, punai bakuk, punai bakau, botak kecil, upih rimba, helang kuik Kinabalu, helang hindik kecil, pekaka bukit, pacat kepala merah, bebarau raya, kekicau berjambul Borneo, rimba Borneo, sambar hutan Melayu dan sambar biru paruh besar.

Enggang belukar (Anorrhinus galeritus), enggang badak (Buceros rhinoceros), takau kasturi (Eurylaimus ochromalus) dan walit adalah jenis burung yang terkenal di taman ini.[6]

Pemuliharaan

[sunting | sunting sumber]

Taman ini berada di bawah kawalan Jabatan Perhutanan Kementerian Sumber Utama dan Pelancongan. Pejabat Ibu Pejabat Taman Negara terletak berhampiran kuala Sungai Belalong dan Sungai Temburong. Sebuah stesen penyelidikan (Pusat Kajian Lapangan Kuala Belalong) telah ditubuhkan oleh Universiti Brunei Darussalam pada tahun 1990. Ia terletak kira-kira 500 meter dari muara Sungai Belalong di tebing barat. Pusat penyelidikan ini berfungsi sebagai tapak penyelidikan, pengajaran dan latihan utama untuk komuniti penyelidikan antarabangsa dan universiti. Ia digunakan untuk pelbagai program kesedaran alam sekitar termasuk program pendidikan alam sekitar sekolah yang dikendalikan oleh Universiti Brunei Darussalam. Taman ini juga merupakan sebahagian daripada perjanjian pemuliharaan antarabangsa Jantung Borneo.[10]

Penginapan

[sunting | sunting sumber]
Di sinilah tetamu mendaftar terlebih dahulu.

Satu-satunya penginapan di taman negara ini, Resort Ulu Ulu telah dibuka pada November 2008 dengan penswastaan kemudahan di Taman Negara Ulu Temburong di bawah kuasa Jabatan Perhutanan. Ini dianggap sebagai peristiwa bersejarah dalam pelancongan Brunei kerana ia merupakan Perkongsian Awam-Swasta (PPP) pertama antara syarikat pelancongan swasta (Sunshine Borneo Tours and Travel Sdn Bhd) dan kerajaan Brunei Darussalam.

Resort dengan 17 bilik tersebut adalah penginapan berkepadatan rendah dan mesra alam sekitar. Terdapat tiga kategori bilik; Standard (asrama), Superior (bilik berdua atau sekeluarga) dan Deluxe (katil kelamin).[11] Resort itu mempunyai bilik persidangan, auditorium, restoran, kedai hadiah dan cenderamata serta bilik permainan. Untuk menginap di resort itu, pengunjung dikehendaki awal-awal membuat tempahan pakej pelancongan Taman Negara Ulu Temburong untuk pergi dan pulang dari Bandar Seri Begawan.

PPP itu terpaksa menangguhkan operasi pada 20 Jun 2020 berikutan Pandemik COVID-19 walaupun mendapat bantuan daripada Kementerian Kewangan & Ekonomi.[12]

  1. USA IBP (25 November 2009). Brunei Mineral & Mining Sector Investment and Business Guide. International Business Publications. m/s. 237–. ISBN 978-1-4330-0442-1. Dicapai pada 8 Februari 2013.
  2. 1 2 Thiessen, Tamara (1 Januari 2009). Borneo: Sabah, Brunei, Sarawak : the Bradt travel guide. Bradt Travel Guides. m/s. 145. ISBN 978-1-84162-252-1. Dicapai pada 3 Februari 2013.
  3. Ledesma, Charles De; Lewis, Mark; Savage, Pauline (1 Disember 2003). Rough Guide to Malaysia, Singapore & Brunei. Rough Guides. m/s. 596. ISBN 978-1-84353-094-7. Dicapai pada 3 Februari 2013.
  4. "Welcome to Ulu Ulu Resort". Ulu National Park Resort. Dicapai pada 3 Februari 2013.
  5. Rowthorn, Chris; Cohen, Muhammad; Williams, China (21 Jun 2008). Borneo. Lonely Planet. m/s. 233. ISBN 978-1-74059-105-8. Dicapai pada 3 Februari 2013.
  6. 1 2 3 4 5 Baker, Nick. "Ulu Temburong National Park- untouched rainforest of Brunei". Ecology Asia. Dicapai pada 7 Februari 2013.
  7. 1 2 WWF 2012.
  8. 1 2 3 Font, Xavier; Tribe, John (2000). Forest Tourism and Recreation: Case Studies in Environmental Management. CABI. m/s. 136–. ISBN 978-1-84593-303-6. Dicapai pada 8 Februari 2013.
  9. "Treasured find in Green Jewel » Borneo Bulletin Online". Treasured find in Green Jewel (dalam bahasa Inggeris). 2022-10-22. Dicapai pada 2022-10-22.
  10. Jabatan Perhutanan Brunei: The Heart of Borneo , dicapai 18 Februari 2013.
  11. "National Park Resort Accommodation". Ulu Ulu Resort - National Park, Temburong, Brunei Darussalam (dalam bahasa Inggeris). Dicapai pada 2020-02-10.
  12. "Cessation Notice". Ulu Ulu National Park Resort. Diarkibkan daripada yang asal pada 28 September 2022. Dicapai pada 2022-04-23.

Bibliografi

[sunting | sunting sumber]