Tambak Laut Singapura

Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.
Lompat ke: pandu arah, cari

Tambak Laut Singapura merupakan salah satu usaha Singapura bagi meluaskan tanah yang boleh digunakan bagi projek pembinaan bagi menampung peningkatan jumlah penduduk. Antara lain, Singapura telah membina Tambak Laut di perairannya di Tuas. Tambak laut ini menghadap Johor di bahagian Tanjung Kupang hingga ke Tanjung Piai, Pontian. Pembinaannya bermula semejak Januari 2002.

Pembinaan tambak laut ini mendapat bantahan dari kaum nelayan di Malaysia kerana mereka mendakwa bahawa sumber pendapatan mereka terjejas kerana perairan menjadi cetek. Selain itu persekitaran bising dan kedalaman laut yang berubah turut didakwa mengurangkan jumlah tangkapan ikan. Selain itu, dasar laut berubah yang menyebabkan sempadan negara (yang diukur pertengahan selat), menjadi kabur, disebabkan tambak laut itu yang semakin menghampiri sempadan perairan negara.

Kerja-kerja tambakan oleh Singapura sudah masuk menghala ke barat daya Tuas iaitu menuju Tanjung Piai.

Kerja menambak dilakukan 24 jam sehari dan lebih berbelas kilometer laut telah ditutup dengan pasir. Tambak laut ini didakwa menyebabkan perubahan arus laut. Sebelum ini ada 4 arus iaitu dari Tenggara, barat daya, arus air pasang dan arus air surut. Arus ini membawa banyak ikan dan udang.

200 ahli Persatuan Nelayan Johor Selatan dan 1000 penduduk nelayan di selatan Johor mendakwa sumber rezeki mereka terjejas, dan ramai daripada mereka mendakwa menganggur. Mereka tidak dapat mencari kerja lain kerana tidak mempunyai kebolehan lain.

Sebelum kerja penambakan, para nelayan tempatan Malaysia mudah untuk mencari rezeki bermula dari Pulau Merambung milik Malaysia, satu-satunya pulau antara Tanjung Kupang dengan Tuas hinggalah ke Rumah Api Sultan Sor, yang ketika itu berada jauh ke tengah laut. Kini mereka mendakwa sukar mencari rezeki kerana selat yang semakin sempit akibat kerja penambakan.

Jaring yang dipasang sering tumbang dan rosak disebabkan rempuhan akibat kerja penambakan yang banyak. Serpihan karang banyak di dasar laut, dan pergerakan banyak pontun yang membawa pasir didakwa turut merosakkan jaring para nelayan.

Pihak kerajaan Malaysia telah melakukan kerja Penilaian Alam Sekitar yang dihantar ke Singapura bersama bantahan kerja penambakan tersebut.