Tanaka Giichi
Tanaka Giichi | |||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||
|---|---|---|---|---|---|---|---|---|---|---|---|---|---|---|---|---|---|---|---|---|---|---|---|---|---|---|---|---|---|---|---|---|---|---|---|---|---|---|---|---|---|---|---|---|---|---|---|---|---|---|---|---|---|
田中 義一 | |||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||
| Perdana Menteri Jepun | |||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||
| Dalam jawatan 20 April 1927 – 2 Julai 1929 | |||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||
| Raja | Hirohito | ||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||
| Didahului oleh | Wakatsuki Reijirō | ||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||
| Digantikan oleh | Hamaguchi Osachi | ||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||
| Presiden Rikken Seiyūkai | |||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||
| Dalam jawatan 10 April 1925 – 29 September 1929 | |||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||
| Didahului oleh | Takahashi Korekiyo | ||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||
| Digantikan oleh | Inukai Tsuyoshi | ||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||
| |||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||
| Ahli Dewan Bangsawan | |||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||
| Dalam jawatan 29 Januari 1926 – 29 September 1929 Dilantik oleh Maharaja | |||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||
| Maklumat peribadi | |||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||
| Lahir | 22 Jun 1864 Hagi, Domain Chōshū, Jepun | ||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||
| Meninggal dunia | 29 September 1929 (umur 65) Kōjimachi, Tokyo, Jepun | ||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||
| Tempat semadi | Perkuburan Tama Reien, Fuchū, Tokyo | ||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||
| Parti politik | Rikken Seiyūkai | ||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||
| Pasangan | Tanaka Sute (k. 1893) | ||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||
| Anak | Tanaka Tatsuo | ||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||
| Tempat belajar | Akademi Tentera Darat Imperial Jepun Maktab Perang Tentera | ||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||
| Tandatangan | ![]() | ||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||
| Kerjaya ketenteraan | |||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||
| Kesetiaan | |||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||
| Perkhidmatan | |||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||
| Tahun perkhidmatan | 1874–1924 | ||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||
| Pangkat | |||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||
Baron Tanaka Giichi (Jepun: 田中 義一; AFA: [ta̠na̠ka̠ ɡʲiːt͡ɕi]; 22 Jun 1864 – 29 September 1929) ialah seorang jeneral dan ahli politik Jepun yang pernah berkhidmat sebagai Perdana Menteri Jepun dari 1927 hingga 1929.
Dilahirkan dalam keluarga samurai di Domain Chōshū, Tanaka menjadi pegawai dalam Tentera Imperial Jepun dan naik pangkat secara berperingkat. Beliau pernah menjadi Menteri Tentera Darat di bawah Perdana Menteri Hara Takashi dan Yamamoto Gonnohyōe. Selepas bersara daripada perkhidmatan ketenteraan aktif, beliau menerima jawatan sebagai presiden Rikken Seiyūkai, sebuah parti konservatif utama.
Selepas peletakan jawatan Kabinet Wakatsuki Reijiro pada 1927, Tanaka dilantik sebagai Perdana Menteri. Dalam dasar luar, beliau mengamalkan sikap keras dan agresif; dalam dasar dalam negeri, beliau cuba menindas gerakan komunis dan sosialis. Bagaimanapun, beliau dikritik kerana cara beliau menangani pembunuhan tanpa kebenaran terhadap Zhang Zuolin oleh seorang pegawai Tentera Kwantung. Akibat tekanan tersebut, Tanaka meletakkan jawatan pada 1929 dan meninggal dunia tidak lama selepas itu.
Kehidupan awal
[sunting | sunting sumber]Tanaka dilahirkan sebagai anak ketiga dalam sebuah keluarga samurai berpangkat rendah yang berkhidmat untuk Domain Chōshū di Hagi, Wilayah Nagato (kini Wilayah Yamaguchi), Jepun.
Pada usia 13 tahun, beliau telah terlibat dalam Pemberontakan Hagi. Sejak kecil lagi, Tanaka memang berminat dalam bidang politik. Beliau pernah berkhidmat sebagai ahli majlis kampung dan juga sebagai guru sekolah rendah. Tanaka hanya menyertai Tentera Imperial Jepun ketika berumur 20 tahun.
Kerjaya ketenteraan
[sunting | sunting sumber]Beliau menamatkan pengajian daripada kelas ke-8 Akademi Tentera Darat Imperial Jepun dan kelas ke-8 Maktab Perang Tentera Darat pada tahun 1892, lalu berkhidmat sebagai pegawai berpangkat rendah semasa Perang China–Jepun Pertama. Selepas perang berakhir, beliau dihantar sebagai atase ketenteraan ke Moscow dan Petrograd, dan berada di Rusia pada masa yang sama dengan Takeo Hirose dari Tentera Laut Imperial Jepun, yang kemudiannya menjadi sahabat rapatnya. Tanaka fasih berbahasa Rusia, yang dipelajarinya semasa menghadiri misa setiap Ahad di sebuah gereja Ortodoks Rusia. Ini membolehkannya mempraktikkan bahasa tersebut dalam majlis sosial gereja, walaupun tidak pasti sama ada beliau benar-benar memeluk agama Kristian. Sebagai salah seorang daripada sedikit pakar bahasa Rusia dalam kalangan tentera, beliau menjadi sumber penting kepada perancang Tentera Darat semasa Perang Rusia–Jepun, dan berkhidmat sebagai pembantu kepada Jeneral Kodama Gentarō di Manchuria.
Pada tahun 1906, Tanaka membantu merangka satu pelan pertahanan yang begitu dihargai oleh Pejabat Staf Am Tentera Darat Imperial Jepun dan Jeneral Yamagata Aritomo sehingga ia diterima sebagai dasar asas sehingga Perang Dunia Pertama. Beliau juga dianugerahkan Darjah Layang-Layang Emas (kelas ke-3) pada April 1906.
Pada tahun 1910, beliau menubuhkan sebuah Persatuan Veteran. Tanaka dinaikkan pangkat ke mejar jeneral pada tahun 1911, dan dilantik sebagai Pengarah Biro Hal Ehwal Ketenteraan di Kementerian Tentera Darat, di mana beliau mengesyorkan penambahan kekuatan tentera tetap sebanyak dua divisyen infantri. Beliau dianugerahkan Darjah Khazanah Suci (kelas pertama) pada September 1918. Tanaka menyertai kabinet Perdana Menteri Hara Takashi sebagai Menteri Tentera dari September 1918 hingga Jun 1921. Beliau dinaikkan pangkat ke jeneral pada tahun 1920 dan dianugerahkan Darjah Matahari Terbit (kelas pertama). Beliau juga dikurniakan gelaran danshaku (baron) di bawah sistem bangsawan kazoku.
Namun begitu, kabinet Hara menerima kritikan berterusan berikutan Pinjaman Nishihara, Peristiwa Nikolayevsk yang membawa bencana, serta tuduhan penyelewengan dana rahsia tentera dan sokongan terhadap tokoh-tokoh kontroversi seperti Jeneral Gerakan Putih, Roman von Ungern-Sternberg. Selepas mengalami serangan angina, Tanaka meletakkan jawatan daripada semua jawatan dan bersara ke rumah musim panasnya di Oiso, Kanagawa.
Kerjaya politik
[sunting | sunting sumber]Tanaka kembali memegang jawatan sebagai Menteri Tentera dalam pentadbiran Yamamoto Gonnohyoe yang kedua dari September 1923 hingga Januari 1924. Selepas bersara daripada tentera, Tanaka dipelawa untuk menerima jawatan presiden parti politik Rikken Seiyūkai pada tahun 1925 dan dilantik sebagai ahli Dewan Bangsawan pada Januari 1926. Beliau pada asalnya dijadualkan untuk dinaikkan ke pangkat fil marsyal ketika persaraannya. Bagaimanapun, apabila Kementerian Tentera mendapat tahu tentang bonus sebanyak 3 juta yen yang diterimanya kerana bersetuju menyertai Rikken Seiyūkai, kenaikan pangkat tersebut telah dibatalkan.
Perdana Menteri
[sunting | sunting sumber]

Tanaka menjadi Perdana Menteri Jepun pada 20 April 1927, semasa krisis kewangan Shōwa, dan pada masa yang sama memegang jawatan sebagai Menteri Luar Negeri. Beliau kemudian menambah portfolio sebagai Menteri Dalam Negeri (4 Mei 1928 hingga 23 Mei 1928) dan Menteri Hal Ehwal Jajahan (10 Jun 1929 hingga 2 Julai 1929).
Dalam dasar dalam negeri, Tanaka cuba menindas golongan komunis dan sosialis serta penyokong mereka melalui penangkapan besar-besaran (Insiden 15 Mac 1928 dan Insiden 19 April 1929).
Dalam dasar luar, Tanaka berbeza daripada pendahulunya, Kijūrō Shidehara, baik dari segi taktik mahupun strategi. Jika Shidehara lebih cenderung memindahkan penduduk Jepun apabila berlaku konflik dengan penduduk tempatan, Tanaka pula memilih penggunaan kekuatan tentera. Jika Shidehara secara teori menghormati kedaulatan China, Tanaka secara terbuka mengejar dasar "pemisahan Manchuria dan Mongolia Dalam" (満蒙分離政策, Man-Mō bunri seisaku) bagi mewujudkan perbezaan antara kawasan tersebut dengan wilayah China yang lain.[1] Pada tiga kesempatan berasingan pada tahun 1927 dan 1928, beliau menghantar tentera untuk campur tangan secara ketenteraan di Wilayah Shandong bagi menghalang Ekspedisi Utara Chiang Kai-shek yang bertujuan menyatukan China di bawah pemerintahan Kuomintang, dalam kejadian yang dikenali sebagai Peristiwa Jinan.
Tanaka memegang jawatan ketika kuasa-kuasa yang akhirnya akan mengheret Jepun ke dalam Perang Dunia Kedua sudah mula bergabung. Bagiamanapun pada tahun 1928, gerakan pertubuhan rahsia ultranasionalis dan Tentera Kwantung mencetuskan krisis: pembunuhan panglima perang Manchuria, Zhang Zuolin, serta cubaan gagal untuk merampas Manchuria. Tanaka sendiri terkejut dengan rancangan pembunuhan tersebut dan berpendapat bahawa pegawai yang bertanggungjawab harus dibicarakan secara terbuka melalui mahkamah tentera atas tuduhan membunuh. Akan tetapi, pihak ketenteraan yang ketika itu sudah menjauhkan diri daripadanya, berkeras menutup fakta kejadian tersebut, yang kekal sebagai rahsia rasmi. Tanpa sokongan dan berdepan kritikan yang semakin kuat di Diet serta daripada Maharaja Hirohito sendiri, Tanaka dan seluruh kabinetnya meletakkan jawatan secara beramai-ramai pada 2 Julai 1929.
Kematian
[sunting | sunting sumber]Tanaka digantikan oleh Hamaguchi Osachi, dan meninggal dunia beberapa bulan selepas peletakan jawatannya. Beliau dianugerahkan Darjah Bunga Paulownia selepas kematiannya. Makam beliau terletak di Perkuburan Tama, Fuchū, Tokyo.[2]
Kontroversi
[sunting | sunting sumber]Pada tahun 1929, China menuduh Tanaka sebagai pengarang "Pelan Penaklukan Imperialis Memorial Tanaka", yang dikatakan menggalakkan penaklukan Manchuria, Mongolia, dan akhirnya seluruh China. Beliau didakwa telah membentangkan pelan tersebut kepada Maharaja Jepun pada tahun 1927. Pelan ini kemudian dipersembahkan sebagai fakta dalam siri filem propaganda semasa Perang Dunia Kedua bertajuk Why We Fight, yang mendakwa bahawa pelan itu merancang penaklukan Amerika Syarikat selepas Asia Timur.[3]
Dalam sebuah memoir yang diterbitkan pada pertengahan tahun 1950-an, seorang ahli perniagaan Taiwan kelahiran Jepun, Tsai Chih-Kan, mendakwa bahawa beliau sendiri telah menyalin "pelan" tersebut dari Perpustakaan Diraja pada malam 20 Jun 1928 dalam satu operasi sulit yang dibantu oleh beberapa ahli politik dan pegawai tentera Jepun terkemuka sebelum perang, yang menentang Tanaka.
Bagaimanapun, pada hari ini, kebanyakan ahli sejarah menganggap dokumen tersebut sebagai satu pemalsuan.[4][5]
Catatan
[sunting | sunting sumber]- ^ Hall, John Whitney (1988). The Cambridge History of Japan. 6. m/s. 286–287.
- ^ "Tama Cemetery" (PDF). Diarkibkan daripada yang asal (PDF) pada 24 June 2021. Dicapai pada 14 November 2019.
- ^ Dower, John W (1987). War Without Mercy: Race and Power in the Pacific War. Pantheon. ISBN 0-394-75172-8. p. 22.
- ^ 日本批判の根拠『田中上奏文』 中国側 『偽物』認める見解 Diarkibkan 2 Januari 2008 di Wayback Machine, Tokyo Shimbun, 1 January 2008
- ^ Dower 1987, m/s. 33.
Sumber
[sunting | sunting sumber]- Dower, John W. (1987). War Without Mercy: Race and Power in the Pacific War. Pantheon. ISBN 0-394-75172-8.
- Gluck, Carol. Japan's Modern Myths. Princeton University Press (1987). ISBN 0-691-00812-4
- Hane, Mikiso. Modern Japan: A Historical Survey. Westview Press (2001). ISBN 0-8133-3756-9
- Harries, Meirion. Soldiers of the Sun: The Rise and Fall of the Imperial Japanese Army. Random House; Reprint edition (1994). ISBN 0-679-75303-6
- Morton, William Finch. Tanaka Giichi and Japan's China Policy. New York: St. Martin's Press, 1980.
- Fukagawa, Hideki (1981). (陸海軍将官人事総覧 (陸軍篇)) Army and Navy General Personnel Directory (Army). Tokyo: Fuyo Shobo. ISBN 4829500026.
- Dupuy, Trevor N. (1992). Encyclopedia of Military Biography. I B Tauris & Co Ltd. ISBN 1-85043-569-3.
- Hata, Ikuhiko (2005). (日本陸海軍総合事典) Japanese Army and Navy General Encyclopedia. Tokyo: St. Martin's Press. ISBN 4130301357.
