Tanaman lorong

Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.
Tanaman lorong di sebuah ladang di Dakota utara.
Poster dalam bahasa Jerman tentang tanaman lorong.

Tanaman lorong (Inggeris: Alley cropping) adalah tanaman selingan yang menggunakan pokok atau pokok renek sebagai pagaran di lorong-lorong antara tanaman (biasanya tanaman semusim). Tujuan utama adalah untuk meningkatkan kesuburan tanah dan produktiviti tanaman serta sebagai tampan angin. Semasa musim menanam, pokok dikekalkan ketinggiannya pada aras pokok pagar.[1] Dedaun dan batang itu kemudiannya dikembalikan pada tanah sebagai baja hijau atau sungkup.

Di Australia, mereka menggunakan kaedah tanaman lorong antara petai belalang dengan jagung.[2] Walau bagaimanapun, pokok menggunakan ruang yang banyak dan bersaing dengan tanaman utama untuk cahaya, air dan nutrien.[3]

Sejarah[sunting | sunting sumber]

Tanaman lorong pada asalnya dimajukan untuk kawasan beriklim tropika lembab sebagai penganti sistem tebas dan bakar tanah rang belukar.[4] Pokok dan pokok renek masih mempunyai fungsi yang sama iaitu mengitar semula nutrien, menekan rumpai, dan mengawal hakisan pada tanah cerun terutamanya di tanah rang belukar. Tambahan pula, hasil pokok seperti kayu api dan makanan ternakan dapat dihasilkan.

Ciri-ciri[sunting | sunting sumber]

Terdapat beberapa ciri yang perlu ada pada tanaman lorong[5] iaitu:

  1. Mudah ditanam menggunakan biji benih ataupun keratan batang
  2. Pertumbuhan yang cepat
  3. Boleh dicantas banyak kali
  4. Berakar dalam berbanding dengan tanaman utama
  5. Sisa-sisa cantasan boleh dijadikan sebagai kayu api, baja hijau dan sungkup
  6. Boleh bertahan dengan tekanan persekitaran seperti kemarau, banjir, suhu melampau dan sebagainya
  7. Tinggi nisbah daun:batang
  8. Berdaun kecil
  9. Daun tidak luruh sepenuhnya pada musim kering
  10. Bebas daripada perosak dan penyakit

Kesan[sunting | sunting sumber]

Tanaman lorong bergantung kepada kitaran nutrien melalui penguraian dedaun daripada pokok-pokok jenis berakar dalam dan jenis pengikat nitrogen. Manakala tanaman utama mendapat manfaat dengan:

  • Kepekatan nutrien tanah diekstrak keluar dari horizon tanah dalam dan dikembalikan pada permukaan tanah.
  • Mengikat nitrogen atmosfera dan menyumbang nitrogen ini kepada tanah melalui luruhan daun dan buah, ataupun nodul akar.

Lalu, pokok dari keluarga kekacang paling banyak digunakan seperti Acacia albida, A. senegal, A. nilotica, Albizia lebbeck, Cajanus, Calliandra calothyrsus, Erythrina, Gliricidia sepium, Leucaena leucocephala, dan Sesbania spp..

Rujukan[sunting | sunting sumber]

  1. ^ Wilson, G.F., Kang, B.T, & Mulongoy, K., 1986. Alley cropping: Trees as sources of green manure and mulc in the tropics. Biological Agriculture and Horticulture 3:251.
  2. ^ K. W. Jeanesa, R. C. Gutteridgea1, and H. M. Sheltona. 1996. Competition Effects between Leucaena and Maize Grown Simultaneously in an Alley Cropping System in Sub-tropical Australia. Exp. Agri. 01-32.
  3. ^ Brewbaker, J.L, Macdicken, K. & Withington, D., 1985. Leucaena - Forage and Production. Nitrogen Fixing Tree Association, Hawaii.
  4. ^ Wilson, G.F. & Kang, B.T., 1981. Developing stable and productive biological cropping systems for the humid tropics. In: Biological Husbandry - A scientific approach to organic farming. Edited by B.Stonehouse. Butterworths, London.
  5. ^ Cameron, D.M., Gutteridge, R.C. & Rance, S.J., 1991. Sustaining multiple production systems. 1. Forest and fodder trees in multiple use systems in the tropics. Tropical Grasslands 25:165.