Televisyen

Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.
(Dilencongkan dari Televisi)
Peti TV berskrin leper (Sony Trinitron)

Televisyen (Jawi: تيليۏيشن) atau televisi (Jawi: تيليۏيسي, singkatan: TV) ialah sejenis media telekomunikasi terkenal yang digunakan untuk memancarkan dan menerima gambar bergerak, sama ada monokrom ("hitam putih") mahupun warna, lazimnya diiringi bunyi. "Televisyen" ini sendiri boleh bertindih makna membawa maksud peti perkakas, siaran rancangan atau pemancaran menggunakan media ini.

Peti televisyen yang dijual sejak akhir 1930-an sudah menjadi salah satu alat penerima komunikasi utama dalam rumah, perniagaan dan institusi, khususnya sebagai sumber hiburan dan berita. Sejak 1970-an, kemunculan pita video, cakera laser, DVD, dan kini Blu-ray juga menjadikan peti televisyen sebagai alat untuk menayangkan bahan rakaman.

Walaupun terdapat kegunaan televisyen yang lain seperti televisyen litar tertutup, namun kegunaan yang paling utama ialah penyiaran televisyen yang berasaskan sistem penyiaran radio sedia ada yang dibangunkan pada 1920-an, menggunakan pemancar frekuensi radio berkuasa tinggi untuk menyiarkan isyarat televisyen ke penerima TV.

Penyiaran TV biasanya disebarkan melalui pancaran radio dalam saluran-saluran yang ditetapkan dalam jalur frekuensi 54-890 megahertz.[1] Isyarat TV juga kini dipancarkan dengan bunyi stereo atau bunyi keliling di kebanyakan negara. Siaran TV mula-mulanya dirakam dan dipancarkan dalam bentuk isyarat analog, tetapi kebelakangan ini penyiar awam mahupun swasta kian beralih ke teknologi televisyen digital.

Sebuah peti televisyen biasa terdiri daripada bermacam-macam litar elektronik di dalamnya, termasuk litar penerima dan penyahkod isyarat penyiaran. Peranti paparan visual yang tiada penala sewajarnya dipanggil monitor, bukannya televisyen. Sesebuah sistem televisyen boleh memakai pelbagai piawaian teknikal seperti analog (PAL, NTSC, SECAM), digital (DVB, ATSC, ISDB dsb.) ataupun definisi tinggi (HDTV). Sistem televisyen juga digunakan untuk pantauan keselamatan, kawalan proses industri, dan panduan senjata, di tempat-tempat yang sukar atau terlalu bahaya untuk diperhati dengan dekat.

Televisyen amatur (ham TV atau ATV) juga digunakan untuk acara eksperimen, suka ria dan perkhidmatan awam oleh pengendali radio amatur. Stesen TV amatur pernah digiatkan di kawasan bandar raya sebelum kemunculan stesen TV komersil.[2]

Peristilahan[sunting | sunting sumber]

Kedua-dua "televisyen" (meminjam dari bahasa Inggeris: television) dan "televisi" (dari Belanda: televisie) datang daripada akar-akar bahasa Yunani τλε tele "jauh" dan bahasa Latin visio bermaksud "penglihatan"; pengungkapan ini mula ditulis dalam penulisan bahasa Perancis (sebagai télévision) tahun 1900 berjudul Télévision au moyen de l'électricité oleh saintis Rusia Konstantin Perskyi untuk sidang Pameran Sedunia 1900 di Paris, di mana ia ditakrifkan sebagai "sistem pemancaran gambar jauh" (système de transmission d'images à distance).[3][4] Ejaan talibisi pernah diusulkan dalam baku bahasa Malaysia namun segera terganti dengan talivishen mengesan dari sentimen anti-Indonesia yang berlaku pada zaman Konfrontasi,[5] talivishen kemudiannya diolah menjadi televisyen berikutan pelaksanaan Ejaan yang Disempurnakan seluruh rantau Nusantara pada 1972.

"Peti gambar" juga pernah digunakan untuk mengistilahkan teknologi ini suatu ketika dahulu.

Sejarah[sunting | sunting sumber]

Sejarah awal[sunting | sunting sumber]

Di peringkat terawal pembangunannya, televisyen menggunakan gabungan teknologi optik, mekanik dan elektronik untuk merakam, memancarkan dan memaparkan imej visual. Menjelang akhir 1920-an, diusahakan pula sistem televisyen yang menggunakan teknologi optik dan elektronik sahaja yang menjadi asas kepada semua sistem televisyen masa kini. Sungguhpun demikian, pengetahuan yang diperoleh dari usaha sistem berteknologi mekanik adalah penting demi pembangunan televisyen yang elektronik sepenuhnya.

Kali pertama imej bergerak dipancarkan secara elektrik adalah melalui mesin faks mekanik yang terawal, termasuk pantelegraf yang dimajukan pada akhir abad ke-19. Konsep pemancaran imej bergerak televisyen yang berkuasa elektrik mula-mulanya dilakarkan sebagai "telefonoskop" (konsep gabungan telefon dan gambar bergerak) pada tahun 1878, sejurus selepas terciptanya telefon. Pada ketika itu, para pengarang cereka sains sudah pun membayangkan pada suatu hari kelak cahaya juga boleh dipancarkan melalui wayar seperti bunyi.

Cara pengimbasan untuk memancarkan imej dipraktikkan dengan penggunaan pantelegraf pada tahun 1881, dengan menggunakan mekanisme imbasas berasaskan bandul. Semenjak itu, teknik pengimbasan dalam apa jua caranya digunakan dalam hampir setiap teknologi pemancaran imej yang digunakan sehingga hari ini, termasuk televisyen. Inilah konsep yang bernama "perasteran", iaitu proses menukar imej visual menjadi searus denyut elektrik.

1880-an: Cakera Nipkow[sunting | sunting sumber]

Pada tahun 1884, Paul Gottlieb Nipkow, seorang penuntut universiti berusia 20 tahun di Jerman, mematenkan sistem televisyen elektromekanik yang menggunakan sejenis cakera pengimbas berputar yang ditebuk lubang-lubang yang membentuk lingkaran ke pusat untuk proses perasteran. Lubang-lubang cakera dijarakkan bersudut sama agar cakera tersebut dalam satu putaran dapat membolehkan cahaya melalui setiap lubang hingga mencapai pengesan buatan selenium peka cahaya yang menghasilkan denyut elektrik. Apabila imej difokuskan pada cakera yang berputar, setiap lubang mengimbas "sehiris" mengufuk dari seluruh imej.

Rekaan Nipkow tidak dapat dipraktikkan sehingga kemajuan dalam teknologi tiub penguat dicapai pada tahun 1907. Walaupun demikian, ciptaan tersebut hanya berguna untuk memancarkan gambar "hafton" pegun yang terdiri daripada bintik-bintik pelbagai saiz yang terjarak sama rata, melalui talian telegraf atau telefon. Rekaan-rekaan selanjutnya menggunakan pengimbas gelendong cermin berputar untuk merakam imej, dan tiub sinar katod (CRT) sebagai peranti paparan, namun gambar bergerak masih tidak boleh dihasilkan kerana kepekaan pengesan selenium yang tidak memadai.

1920-an: Penemuan John Logie Baird[sunting | sunting sumber]

Penerima TV 405 baris hitam putih Murphy dari UK, 1951

Pencipta berbangsa Scotland, John Logie Baird menunjuk cara pemancaran imej bayang-bayang bergerak di London pada 1925, diikuti imej monokrom pada tahun 1926. Cakera imbasan Baird menghasilkan imej berleraian 30 baris yang cukup untuk memperlihatkan muka manusia dari pilin kembar kanta. Penting sekali pada tahun 1927, Baird turut mencipta sistem rakaman video pertama di dunia, iaitu "Phonovision" yang mana isyarat output kamera TV-nya dimodulatkan kepada julat audio di mana beliau dapat merakamkan isyarat tersebut pada cakera audio 10 inci dengan menggunakan teknologi rakaman audio biasa. Pada hari ini masih wujudnya sebilangan kecil rakaman 'Phonovision' ciptaan Baird itu yang berjaya ditafsirkan dan dipaparkan dalam bentuk imej yang boleh ditonton dengan menggunakan teknolgi pemprosesan isyarat digital pada tahun 1990-an.[6]

Pada tahun 1926, jurutera Hungary, Kálmán Tihanyi mereka sistem televisyen yang menggunakan unsur-unsur imbasan dan paparan elektronik sepenuhnya, menggunakan prinsip "storan cas" dalam tiub imbasan (atau "kamera").[7][8][9][10]

Pada tahun 1927, pencipta Rusia, Léon Theremin membangunkan sistem televisyen berasaskan gelendong cermin yang menggunakan teknik selang-seli untuk mencapai leraian imej 100 baris.

Juga pada tahun 1927, Herbert E. Ives dari Bell Labs memancarkan imej bergerak dari cakera 50 bukaan yang menghasilkan 16 bidang seminit melalui kabel dari Washington, D.C. ke Bandaraya New York, dan juga melalui pancaran radio dari Whippany, New Jersey. Ives menggunakan layar tayangan sebesar 24 kali 30 inci (60 kali 75 sentimeter). Bahan-bahan rakamannya termasuk Setiausaha Perdagangan Herbert Hoover.

Pada tahun 1927 juga, Philo Farnsworth menjayakan sistem televisyen berhasil yang pertama di dunia dengan imbasan elektronik kedua-dua peranti penerimaan dan paparan,[11] yang ditunjukkan kepada media akhbar pada 1 September 1928.[11][12]

1930-an: Penerimaan orang ramai[sunting | sunting sumber]

Braun HF 1, Jerman, 1959

Televisyen julung kalinya digunakan secara praktikal di Jerman, apabila siaran televisyen seharian dimulakan di negara tersebut pada tahun 1929. Pada tahun 1936, Sukan Olimpik di Berlin disiarkan kepada stesen televisyen di Berlin dan Leipzig di mana orang awam boleh menyaksikan acara-acara temasya sukan secara langsung.[13]

Pada zaman awal televisyen, peti televisyen elektromekanik komersil dijual dari tahun 1928 hingga 1934 di United Kingdom,[14] Amerika Syarikat dan Rusia.[15] Televisyen komersil terawal yang dijual oleh Baird di UK pada tahun 1928 berbentuk penerima radio ditambah dengan peranti TV yang terdiri daripada tiub neon di belakang cakera berputar mekanik berlubang (cakera Nipkow) yang menghasilkan imej kemerahan bersaiz setem pos, yang boleh dibesarkan lagi dengan kanta pembesar. "Televisor" ciptaan Baird ini juga boleh digunakan tanpa radio. Televisor yang dijual pada tahun 1930–1933 merupakan televisyen keluaran besar-besaran yang pertama. Kira-kira 1,000 unit Televisor berjaya dijual.[16]

Peti televisyen elektronik komersil pertama dengan tiub sinar katod dikilangkan oleh Telefunken di Jerman pada 1934,[17][18] diikuti oleh pembuat elektronik yang lain di Perancis (1936),[19] Britain (1936),[20] dan Amerika Syarikat (1938).[21][22] Peti TV keluaran kilang Amerika yang termurah sebelum Perang Dunia II, iaitu model imej sahaja tahun 1938 berskrin 3 inci (8 cm), berharga AS$125, bersamaan dengan AS$1,863 pada tahun 2007. Model termurah yang berskrin 12 inci (30 cm) berharga $445 ($6,633).[23]

Pada tahun 1936, Kálmán Tihanyi menerangkan prinsip televisyen plasma, iaitu sistem panel rata yang pertama.[24] [25]

Tahun pengenalan TV mengikut negara
  1939 dan sebelum
  1940 — 1949
  1950 — 1959
  1960 — 1969
  1970 — 1979
  1980 — 1989
  1990 — 1999
  2000 dan selepas
  Tiada televisyen
  Tiada maklumat

Kira-kira 19,000 unit televisyen elektronik telah dikilangkan di Britain, dan 1,600 unit lagi di Jerman, sebelum Perang Dunia II. Lebih kurang 7,000–8,000 peti TV elektronik dihasilkan di A.S.[26] sebelum War Production Board menghentikan pengilangan TV pada April 1942.

Penggunaan TV di Amerika Syarikat naik melangit selepas Perang Dunia Kedua setleah didorongi pengilangan TV dibenarkan semula pada Ogos 1945, kemajuan teknologi dari peperangan, peluasan rangkaian penyiaran TV ke rantau barat, kejatuhan harga TV hasil pengeluaran besar-besaran, bertambahnya masa lapang dan pendapatan boleh guna. Peratusan pemilik peti TV di A.S. meningkat dari 0.5% pada tahun 1946, kepada 55.7% pada tahun 1954, dan 90% pada tahun 1962.[27] Di Britain, bilangan pemilik TV meningkat dari 15,000 pada tahun 1947, 1.4 juta pada tahun 1952, kepada 15.1 juta pada tahun 1968.

Peti televisyen[sunting | sunting sumber]

Komponen[sunting | sunting sumber]

Peti TV moden terdiri daripada peranti paparan, antena atau input frekuensi radio (RF) (biasanya penyambung F), dan penting sekali, penala TV yang membezakan peti TV dari monitor yang menerima isyarat yang sudah diproses, tidak lupa juga pembesar suara. Kebanyakan peti TV juga dilengkapi terminal input tambahan untuk peranti lain seperti pemain DVD, konsol permainan video dan fon kepala. Terminal input yang paling kerap dijumpai termasuk RCA (untuk video komposit dan komponen), mini-DIN (untuk S-Video), HDMI, SCART (Eropah), dan D-terminal (Jepun). Sesetengah peti TV mewah dilengkapi port Ethernet untuk menerima maklumat dari Internet, seperti nilai saham, cuaca atau berita. Kebanyakan peti TV yang dibuat sejak awal 1980-an juga dilengkapi pengesan inframerah untuk mengesan isyarat yang dihantar oleh alat kawalan jauh.

Teknologi paparan[sunting | sunting sumber]

Peti TV masa kini menggunakan pelbagai teknologi paparan seperti CRT, LCD, Plasma, DLP, dan OLED. Sesetengah projektor yang dipasang penala juga dianggap sebagai televisyen.

Penyiaran dan kandungan televisyen[sunting | sunting sumber]

Rancangan[sunting | sunting sumber]

Terdapat pelbagai cara untuk memastikan rancangan TV disiarkan kepada umum. Selepas penerbitan, langkah seterusnya adalah memasarkan dan menghantar hasilnya kepada mana-mana pasaran yang ingin membelinya. Selalunya ada dua peringkat pengedaran rancangan TV:

  1. Tayangan pertama – penerbit menghasilkan rancangan yang terdiri dari satu atau lebih episod lalu menayangkannya dalam sesebuah stesen atau rangkaian yang telah membayar tanggungan kos penerbitan, atau menerima lesen dari penerbit untuk berbuat demikian.
  1. Bersindiket – inilah istilah umum yang mentakrifkan penggunaan rancangan selanjutnya (selepas tayangan pertama), bukan sahaja tayangan lanjutan di negara pertamanya, bahkan juga penggunaan antarabangsa yang tidak semestinya diuruskan oleh penerbit asal. Selalunya, kerja pensindiketan melibatkan syarikat-syarikat lain, stesen televisyen atau individu; dalam erti kata lain, mereka boleh menjual rancangan kepada pasaran yang dibenarkan oleh kontrak dari pemegang hak cipta, iaitu selalunya pihak penerbit.

Pembiayaan[sunting | sunting sumber]

Bilangan peti televisyen bagi setiap 1000 penduduk dunia
  1000+
  500-1000
  300-500
  200-300
  100-200
  50-100
  0-50
  Tiada maklumat

Penyiaran televisyen di seluruh dunia berbagai-bagai juga cara pembiayaan, sama ada pengiklanan, pelesenan (sejenis cukai), langganan, dan sebagainya, atau kesemuanya sekali. Demi melindungi punca pendapatan, saluran TV langganan biasanya disulitkan untuk memastikan pelanggan berbayar sahaja boleh mendapatkan kod nyahsulit untuk menerima isyaratnya. Saluran tanpa penyulitan enkripsi pula dipanggil siaran percuma (free to air, FTA).

Pengiklanan[sunting | sunting sumber]

Liputan yang luas membolehkan televisyen menjadi media yang amat menarik untuk para pengiklan. Kebanyakan rangkaian dan stesen televisyen menjual blok-blok waktu penyiaran kepada pengiklan atau "penaja" untuk membiayai rancangan mereka. Kadar pengiklanan setiap rancangan ditentukan oleh rating (kadar penontonan) yang diraih oleh rancangan berkenaan melalui kaji selidik sepanjang masa. Sesetengah penyiar awam di dunia tidak menerima iklan, sebaliknya bergantung sepenuhnya kepada pembiayaan melalui lesen, cukai atau derma serta penjualan rancangan ke penyiar lain.

Cukai dan lesen[sunting | sunting sumber]

Di sesetengah negara, khidmat televisyen dibiayai dengan lesen televisyen, sejenis cukai yang dibiayai penonton secara terus tanpa pergantung pada pengiklanan. Contohnya, saluran-saluran sedemikian langsung tidak menyiarkan iklan, jika ya pun sedikit sahaja, termasuk yang berikut: ABC (Australia), dan BBC (United Kingdom).

Contohnya, BBC langsung tidak menyiarkan iklan di saluran-salurannya di UK, sebaliknya dibiayai oleh lesen tahunan yang dibayar oleh semua isi rumah yang memiliki televisyen. Yuran lesen ini ditetapkan oleh kerajaan, tetapi BBC tidak bertanggungjawab kepada kerajaan atau dikawal oleh kerajaan. Oleh yang demikian, penyiar awam ini benar-benar bebas.

Dua saluran TV utama BBC ditonton oleh lebih kurang 90% penduduk negara setiap minggu, dan menguasai 27% jumlah penontonan keseluruhan,[28] meskipun 85% isi rumah menerima pelbagai saluran, yang mana 42% daripadanya dapat menerima lebih kurang 200 saluran percuma melalui satelit dan 43% lagi menerima lebih 30 saluran melalui perkhidmatan Freeview.[29] Lesen yang membiayai tujuh saluran TV BBC yang bebas iklan kini berharga £139.50 setahun (kira-kira AS$215) tak kira berapa peti TV yang dimiliki sesebuah isirumah. Apabila sesebuah acara sukan yang sama disiarkan di BBC dan saluran swasta, BBC selalunya menarik bilangan penonton yang teramai, menandakan bahawa para penonton lebih gemar menonton TV tanpa gangguan iklan.

Perbadanan Penyiaran Australia (Australian Broadcasting Corporation, ABC) tidak menyiarkan iklan (kecuali ABC Shop) kerana dilarang oleh undang-undang Akta ABC 1983. ABC menerima pembiayaan dari kerajaan Australia sekali setiap tiga tahun. Dalam Belanjawan Persekutuan 2006/07, ABC menerima Au$822.67 juta[30] yang meliputi kebanyakan komitmen pembiayaan ABC, termasuk sekali saluran radio, pemancar dan laman web ABC. ABC juga memperoleh hasil dari kedai-kedai ABC Shop di seluruh negara Australia.

Di Perancis, saluran-saluran biayaan kerajaan boleh menyiarkan iklan, tetapi sesiapa yang memiliki peti TV perlu membayar cukai tahunan (la redevance audiovisuelle).[31]

Radio Televisyen Malaysia (RTM) dibiayai oleh hasil pendapatan kerajaan dan pengiklanan sejak pemansuhan lesen televisyen pada akhir 1990-an. Oleh itu, rakyat Malaysia membiayai RTM secara tidak langsung dengan membayar cukai pendapatan tahunan.

Langganan[sunting | sunting sumber]

Sesetengah saluran TV dibiayai oleh langganan, oleh itu isyarat yang disiarkan adalah dienkrip sulit untuk memastikan hanya pelanggan yang berbayar mencapai kod nyahsulit. Kebanyakan perkhidmatan langganan juga dibiayai oleh pengiklanan.

Genre[sunting | sunting sumber]

Genre televisyen merangkumi beraneka jenis rancangan yang bertujuan menghibur, memaklumkan, dan mendidik para penonton. Genre hiburan yang paling mahal biasanya merupakan drama dan minisiri.

Antara genre-genre hiburan yang paling diminati termasuk rancangan-rancangan aksi seperti polis, jenayah, detektif, seram, atau thriller, sementara genre drama bukan aksi pula termasuk drama medikal dan lipur lara. Rancangan cereka sains boleh tergolong dalam kategori aksi atau drama, tertakluk pada penekanan sama ada pada persoalan falsafah ataupun pengembaraan menakjubkan. Komdei ialah jenis rancangan popular yang merangkumi komedi situasi (sitkom) dan animasi untuk tontonan dewasa seperti Family Guy.

Rancangan hiburan yang paling murah pula termasuk rancangan permainan, temu bual, aneka ragam, dan realiti. Rancangan permainan memperlihatkan para peserta merebut hadiah dengan bersoal jawab dan menyelesaikan teka-teki. Rancangan temu bual mewawancara tokoh-tokoh terkenal seperti selebriti hiburan, ahli politik dan usahawan niaga. Rancangan aneka ragam menampilkan pelbagai penghibur seperti pemuzik, pelawak dan tukang silap mata yang diperkenalkan oleh seorang pengacara atau juruacara. Terdapat juga rancangan campuran genre temu bual dan aneka ragam,terutamanya rancangan temu bual tersohor yang mana adanya persembahan dari penghibur di antara segmen-segmen temubual.

Rancangan televisyen realiti sering memaparkan orang-orang biasa (bukan pelakon) yang menghadapi cabaran atau pengalaman luar biasa, tak kira mengejar kemasyhuran (Akademi Fantasia), ditahan polis (COPS) mahupun menurunkan berat badan (The Biggest Loser). Ada juga jenis rancangan realiti yang memaparkan kehidupan seharian selebriti seperti (Gugu Gaga Erra) atau selebriti melakukan kerja orang keramaian (The Simple Life).

Kesan kepada kesihatan[sunting | sunting sumber]

Menonton televisyen secara berlebih-lebihan boleh mengakibatkan kesihatan badan dan minda terganggu. Penyakit-penyakit seperti kegemukan, masalah jantung dan diabetes. Jadi, para doktor selalunya mengehadkan tontonan TV kepada kanak-kanak kepada 1-2 jam sehari.

Lihat juga[sunting | sunting sumber]

Rujukan[sunting | sunting sumber]

  1. ^ Television Frequency Table, CSGNetwork.com., a Division of Computer Support Group.
  2. ^ Kowalewski, Anthony, "An Amateur's Television Transmitter" Diarkibkan 2011-09-24 di Wayback Machine, Radio News, April 1938. Early Television Museum and Foundation Website, retrieved 2009-07-19.
  3. ^ "Etymologie de télévision". Centre Nationale de Ressources de Textuelles et Lexicalles. 2012. Dicapai pada 23 Jun 2021.
  4. ^ "Télévision au moyen de lélectricité", Congrès international d'électricité, 2, Paris: Gauthier-Villars, 18–25 Ogos 1900, m/s. 317CS1 maint: date format (link)
  5. ^ Che Asmah Haji Omar (1968). "Interplay of Structural and Socio-Cultural Factors in the Development of the Malay Languages". Asian Studies. Philippine Center for Advanced Studies, University of the Philippines. 6 (1): 19–25.
  6. ^ World's First TV Recordings
  7. ^ "Hungary - Kálmán Tihanyi's 1926 Patent Application 'Radioskop'". Memory of the World. UNESCO. Dicapai pada 22 Februari 2008.
  8. ^ United States Patent Office, Patent No. 2,133,123, 11 Okt 1938.
  9. ^ United States Patent Office, Patent No. 2,158,259, 16 Mei 1939
  10. ^ "Vladimir Kosma Zworykin, 1889-1982". Bairdtelevision.com. Dicapai pada 2009-04-17.
  11. ^ a b "Philo Taylor Farnsworth (1906-1971)", The Virtual Museum of the City of San Francisco
  12. ^ Farnsworth, Elma G., Distant Vision: Romance and Discovery on an Invisible Frontier, Salt Lake City, PemberlyKent, 1989, m/s. 108.
  13. ^ "TV History". Gadgetrepublic. 2009-05-01. Dicapai pada 2009-05-01.
  14. ^ Early British Television: Baird, Television History: The First 75 Years.
  15. ^ Pre-1935, Television History: The First 75 Years.
  16. ^ Pre-1935 Baird Sets: UK, Television History: The First 75 Years.
  17. ^ Telefunken, Early Electronic TV Gallery, Early Television Foundation.
  18. ^ 1934–35 Telefunken, Television History: The First 75 Years.
  19. ^ 1936 French Television, Television History: The First 75 Years.
  20. ^ 1936 Baird T5, Television History: The First 75 Years.
  21. ^ Communicating Systems, Inc., Early Electronic TV Gallery, Early Television Foundation.
  22. ^ America's First Electronic Television Set, Television History: The First 75 Years.
  23. ^ American TV Prices, Television History: The First 75 Years.
  24. ^ http://ewh.ieee.org/r2/johnstown/downloads/20090217_IEEE_JST_Trivia_Answers.pdf
  25. ^ http://www.scitech.mtesz.hu/52tihanyi/flat-panel_tv_en.pdf
  26. ^ Annual Television Sales in USA, Television History: The First 75 Years.
  27. ^ Number of TV Households in America, Television History: The First 75 Years.
  28. ^ "viewing statistics in UK". Barb.co.uk. Diarkibkan daripada yang asal pada 2008-10-05. Dicapai pada 2009-04-17.
  29. ^ "OFCOM quarterly survey" (PDF). Diarkibkan daripada yang asal (PDF) pada 2008-02-16. Dicapai pada 2008-02-16.
  30. ^ http://www.abc.net.au/corp/pubs/documents/budget2006-07.pdf
  31. ^ "Ministry of Finance". Diarkibkan daripada yang asal pada 2007-05-01. Dicapai pada 2009-10-28.

Pautan luar[sunting | sunting sumber]