Televisyen Singapura

Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.

Televisyen Singapura ialah stesen televisyen yang pertama di Singapura, dilancarkan pada 15 Februari 1963 dan beroperasi secara sepenuhnya pada 2 April tahun yang sama. Pada 9 Ogos 1965, Televisyen Singapura telah merakamkan peristiwa penting dalam sejarah Singapura iaitu pengumuman pemisahan negara itu daripada Malaysia dan juga pengisytiharan kemerdekaan oleh Presiden yang pertama Yusof Ishak. Televisyen Singapura yang bermula sebagai alat penyiaran pemerintah kini berubah menjadi sebuah stesen televisyen komersial yang dikenali sebagai Mediacorp TV.

Latar belakang[sunting | sunting sumber]

Idea untuk memulakan perkhidmatan televisyen di Singapura telah didebatkan di Dewan Undangan Singapura pada tahun 1956. Keputusan untuk memperkenalkan televisyen ke Singapura hanya tercapai pada tahun 1961. Televisyen Singapura dikehendaki menyiarkan 2 atau lebih saluran yang menyiarkan rancangan dalam empat bahasa rasmi Singapura dan juga digabungkan dengan Radio Singapura yang pada masa itu berada di bawah pengawasan Kementerian Kebudayaan.

Pembukaan rasmi dan pengembangan[sunting | sunting sumber]

Televisyen Singapura mula membuat siaran dalam hitam putih (monokrom) pada 15 Februari 1963 dan dioperasikan oleh Radio Televisyen Singapura (RTS). Pada hari itu, ramai rakyat Singapura telah berhimpun di Victoria Memorial Hall bagi menyaksikan siaran pertama yang bermula tepat pada pukul 5.30 petang dengan lagu kebangsaan Singapura disebut: Majulah Singapura menerusi 17 buah peti televisyen yang diletakkan di dalam dewan. Peristiwa ini juga telah disaksikan oleh 500 undangan kenamaan. Beribu lagi telah menyaksikan siaran pertama yang belangsung selama 1 jam 45 minit itu di Princess Elizabeth Walk dan di 52 buah kelab masyarakat di sekitar negara. Terdapat 2,400 keluarga yang memiliki peti televisyen mereka sendiri dan menyaksikan detik bersejarah itu di rumah. Beberapa orang kenamaan yang hadir pada majlis pelancaran itu termasuk Menteri Kebudayaan S. Rajaratnam dan Menteri Kewangan Dr. Goh Keng Swee.

Rancangan pertama yang disiarkan menerusi Saluran 5 Televisyen Singapura ialah sebuah dokumentari, Television Looks at Singapore. Disusuli dengan Late Night with David Letterman, The Tonight Show with Jay Leno, Saturday Night Live, Saturday Night Live Weekend Update Thursday, Venturas Poker Challenge, Tak Tik Boom, NBA, Doraemon, Mr. Bean, siaran berita Singapore National Main News in English (Evening News in English) dan World International Late News in English (Late News in English). "Rampaian Malaysia" dan "Berita" (News in Bahasa) serta sebuah rancangan hiburan yang diperkenalkan kemudian telah menjadi rancangan yang mesti ditonton oleh rakyat Singapura. Channel 5 menyiarkan siaran dalam Bahasa Inggeris dan Bahasa Malaysia.

Tarikh 2 April 1963 menandakan sebuah peristiwa penting dalam sejarah televisyen di Singapura. Pada hari itu, Presiden pertama Singapura Yusof Ishak muncul pada kaca televisyen untuk melancarkan perkhidmatan siaran tetap bagi Televisyen Singapura. Perkhidmatan siaran yang tetap merangkumi rancangan-rancangan yang disiarkan selama empat jam di Channel 5. Pada 23 November 1963, Televisyen Singapura telah memperkenalkan Channel 8 yang menyiarkan rancangan-rancangan dalam Bahasa Cina dan Bahasa Tamil.

Demi mengelakkan daripada pergantungan kepada subsidi pemerintah bagi membiayai kos pengendalian, Televisyen Singapura telah membuka ruangan siarannya untuk para pengiklan dan juga mencari penaja untuk rancangan-rancangannya. Iklan pertama disiarkan pada 1 Januari 1964.

Apabila Singapura menjadi sebahagian daripada Malaysia pada 28 Disember 1963, nama Televisyen Singapura ditukarkan kepada Televisyen Malaysia (Singapura). Setelah Singapura berpisah daripada Malaysia pada 9 Ogos 1965, Televisyen Singapura yang telah bergabung dengan Radio Singapura menukar namanya kepada Radio Televisyen Singapura atau Radio Television Singapore (RTS). Pembinaan sebuah pusat penyiaran televisyen, Television Centre dimulakan pada 1 November 1964. Channel 8 melancarkan siarannya dari bangunan baru ini pada 23 Mei 1966 dan Channel 5 pada 14 Jun 1966 Bangunan yang berharga $3.6 juta dan terletak di Caldecott Hill pada tempatan Caldecott Broadcasting Centre dibuka secara rasmi pada 26 Ogos 1966.

Pada 1 Januari 1974, Radio Television Singapura memulakan siaran berwarna dengan menyiarkan rancangan yang ditayangkan dua kali sehari, dan setengah jam setiap satu, namun sambutan daripada orang ramai untuk memiliki set televisyen berwarna tidak begitu menggalakkan. Perkara ini berubah apabila RTS mengumumkan yang mereka akan melancarkan pertandingan bola sepak Piala Dunia dalam warna pada 7 Julai 1974 menerusi satelit.