Temenggung Johor
| Temenggung Johor | |
|---|---|
| تمڠڬوڠ جوهر (Jawi) | |
Wilayah/Negeri | |
Bendera peribadi Temenggung Johor (diwarisi daripada bendera peribadi Sultan Hussein Muhammad Shah dan dikekalkan oleh Temenggung Tun Daeng Ibrahim)[1] | |
| Butiran | |
| Gelaran | Yang Amat Mulia[2] |
| Penyandang terakhir | Temenggung Tun Abu Bakar |
| Pemansuhan | 30 Jun 1868 |

Temenggung Johor (Jawi: تمڠڬوڠ جوهر), atau gelaran penuhnya Dato' Temenggung Seri Maharaja Johor, ialah jawatan warisan dan pembesar utama Kesultanan Johor Lama serta salah seorang ahli Majlis Orang Kaya yang ditubuhkan oleh Sultan Johor ke-7, Sultan Abdul Jalil Shah III. Temenggung Johor diberikan tugas untuk mengawal keselamatan Sultan Johor dan menjaga keamanan negeri serta berkuasa mengawasi segala teluk rantau jajahan takluk Kesultanan Johor Lama.
Pada tahun 1806, Temenggung Tun Abdul Rahman telah ditabalkan sebagai Temenggung Johor oleh Sultan Johor ke-15, Sultan Mahmud Riayat Shah III di Istana Lingga. Beliau telah dikurniakan negeri Johor dan pulau Singapura serta pulau-pulau di sekitarnya oleh baginda untuk dijadikan sebagai kawasan pegangan beliau. Oleh sebab itu, Temenggung Johor boleh dianggap sebagai wakil pemerintah Kesultanan Johor Lama yang memerintah negeri Johor dan pulau Singapura serta pulau-pulau di sekitarnya. Keadaan ini sama seperti Bendahara Johor yang dikurniakan negeri Pahang lalu menjadi Raja Bendahara Pahang, Yang Dipertuan Muda Riau yang dikurniakan Kepulauan Riau dan Raja Temenggung Muar yang dikurniakan Muar. Keadaan ini juga boleh dibuktikan melalui Perjanjian 6 Februari 1819 di mana Temenggung Tun Abdul Rahman dirujuk sebagai "yang memerintah Singapura serta daerahnya" atau "Chief of Singapore and its Dependencies" dalam bahasa Inggeris.
Apabila Kesultanan Johor Lama berakhir pada tahun 1830 melalui Perjanjian 29 Oktober 1830 yang menguatkuasakan Perjanjian Inggeris-Belanda 1824 di Alam Melayu, negeri Johor dan negeri Pahang tidak lagi berada di bawah kekuasaan Kesultanan Johor Lama yang telah menjadi Kesultanan Riau-Lingga pada ketika itu. Secara tidak langsung, Temenggung Johor telah menjadi pentadbir utama Johor dan beliau kekal mentadbir negeri Johor yang merupakan kawasan pegangan beliau. Tetapi, sama seperti Bendahara Johor, Temenggung Johor kekal bertuankan Sultan Riau-Lingga yang masih dianggap sebagai Sultan Johor yang sah oleh para pembesar Melayu di negeri Johor dan negeri Pahang. Namun, negeri Johor tidak lagi bertuankan Sultan Riau-Lingga apabila Temenggung Johor pada ketika itu, Temenggung Tun Daeng Ibrahim secara rasmi menjadi Pemerintah Johor melalui Perjanjian Setia 1855. Temenggung Tun Daeng Ibrahim kemudian telah menandatangani Perjanjian Pahang-Johor 1861 dengan Raja Bendahara Pahang pada ketika itu, Bendahara Tun Mutahir untuk mengabsahkan kedudukannya sebagai Pemerintah Johor di sisi adat-istiadat Melayu. Tetapi kedua-dua perjanjian tersebut tidak menjadikan Temenggung Tun Daeng Ibrahim sebagai Sultan Johor dan beliau kekal sebagai Temenggung Johor.
Jawatan Temenggung Johor tidak lagi wujud pada tahun 1868 apabila Temenggung Johor terakhir, Temenggung Tun Abu Bakar telah ditabalkan sebagai Maharaja Johor dengan gelaran Maharaja Abu Bakar oleh sejarawan Bugis yang juga penasihat Yang Dipertuan Muda Riau, Raja Ali Haji. Maharaja Abu Bakar kemudian telah memperoleh persetujuan daripada British di Singapura berkenaan permintaannya untuk menggunakan gelaran Maharaja.
Berikut merupakan senarai Temenggung Johor:
(Senarai ini tidak lengkap kerana walaupun terdapat Temenggung Johor sebelum tahun 1757, tidak banyak catatan yang ditemui tentang mereka)
Kesultanan Johor Lama (1528–1830)
[sunting | sunting sumber]Sebelum tahun 1757
[sunting | sunting sumber](Maklumat dalam senarai ini tidak lengkap dan mungkin tidak tepat)
| Nama | Tempoh pemerintahan | Tarikh keputeraan dan kemangkatan | Sultan Johor | Nota |
|---|---|---|---|---|
| Tun Abdullah تون عبدالله |
? – 1708 | ? – 12 September 1716 | Sultan Abdul Jalil Riayat Shah IV |
|
| Tun Muhammad Kamil (Mukamil) تون محمد كاميل |
? – 12 September 1716 | ? – 12 September 1716 | Sultan Abdul Jalil Riayat Shah IV |
|
| Tun Abdul Jamal تون عبد الجمال |
1719 – 1721 (kira-kira 2 tahun) |
? – ? | Sultan Abdul Jalil Rahmat Shah |
|
| Tun Abbas تون عباس |
1721 – 1722 (kira-kira 1 tahun) |
1698 – 1736 (sekitar umur 38 tahun) |
Sultan Abdul Jalil Rahmat Shah |
|
| Tun Muhammad Tahir (Mutahir) تون محمد طاهر |
4 Oktober 1722 – 1747 (kira-kira 25 tahun) |
? – 1757 | Sultan Sulaiman Badrul Alam Shah |
|
| Tun Abdul Majid تون عبد المجيد |
1747 – 1757 (kira-kira 10 tahun) |
1718 – 1802 (sekitar umur 84 tahun) |
Sultan Sulaiman Badrul Alam Shah |
|
Dari tahun 1757 hingga tahun 1830
[sunting | sunting sumber]| Nama | Tempoh pemerintahan | Tarikh keputeraan dan kemangkatan | Sultan Johor | Nota | |||||
|---|---|---|---|---|---|---|---|---|---|
| Tun Abdul Jamal تون عبد الجمال |
1757 – 1802 (kira-kira 45 tahun) |
? – 1802 |
|
| |||||
| Tun Abdul Hamid تون عبد الحميد |
1802 – 1803 (kira-kira 1 tahun) |
? – 1803 | Sultan Mahmud Riayat Shah III |
| |||||
| Tun Engku Muda Muhammad تون اڠکو مودا محمد (Temenggung de facto Johor) |
1803 – 1806 (kira-kira 3 tahun) |
? – 1806 | Sultan Mahmud Riayat Shah III |
| |||||
| Tun Abdul Rahman تون عبد الرحمن (Pentadbir utama Johor-Singapura) |
1806 – 8 Disember 1825 (kira-kira 19 tahun) |
1755 – 8 Disember 1825 (sekitar umur 70 tahun) |
|
| |||||
| Tun Haji Abdullah تون حاج عبدالله (Temenggung de facto Johor) (Pentadbir utama Johor) |
8 Disember 1825 – 19 Ogos 1841 (15 tahun, 8 bulan dan 11 hari) |
1808 – 1876 (sekitar umur 68 tahun) |
Sultan Abdul Rahman Muazzam Shah |
| |||||
| Kesultanan Johor Lama berakhir pada tahun 1830 selepas Perjanjian Inggeris-Belanda 1824 dikuatkuasakan di Alam Melayu melalui Perjanjian 29 Oktober 1830 lalu wujudnya Kesultanan Riau-Lingga manakala Johor dan Pahang menjadi negeri bebas | |||||||||
Johor bertuankan Sultan Riau-Lingga (1830–1855)
[sunting | sunting sumber]| Nama | Tempoh pemerintahan | Tarikh keputeraan dan kemangkatan | Sultan Riau-Lingga | Nota | |||||
|---|---|---|---|---|---|---|---|---|---|
| Tun Haji Abdullah تون حاج عبدالله (Temenggung de facto Johor) (Pentadbir utama Johor) |
8 Disember 1825 – 19 Ogos 1841 (15 tahun, 8 bulan dan 11 hari) |
1808 – 1876 (sekitar umur 68 tahun) |
|
| |||||
| Tun Daeng Ibrahim تون داءيڠ إبراهيم (Pentadbir utama Johor) |
19 Ogos 1841 – 31 Januari 1862 (20 tahun, 5 bulan dan 12 hari) |
8 Disember 1810 – 31 Januari 1862 (umur 51) |
Sultan Mahmud IV Muzaffar Shah |
| |||||
| Johor tidak lagi bertuankan Sultan Mahmud IV Muzaffar Shah apabila Perjanjian Setia 1855 secara rasmi mengiktiraf kedudukan baru Temenggung Tun Daeng Ibrahim sebagai Pemerintah Johor lalu bermulanya era Johor moden | |||||||||
Kerajaan Temenggung Johor (1855–1868)
[sunting | sunting sumber]| Potret | Nama | Tempoh pemerintahan | Tarikh keputeraan dan kemangkatan | Ibu negeri dan pusat pemerintahan | Nota | ||||
|---|---|---|---|---|---|---|---|---|---|
| Tun Daeng Ibrahim تون داءيڠ إبراهيم (Pemerintah Johor) |
19 Ogos 1841 – 31 Januari 1862 (20 tahun, 5 bulan dan 12 hari) |
8 Disember 1810 – 31 Januari 1862 (umur 51) |
|
| |||||
| Tun Abu Bakar تون أبو بکر (Pemerintah Johor) |
31 Januari 1862 – 30 Jun 1868 (6 tahun, 4 bulan dan 30 hari) |
3 Februari 1833 – 4 Jun 1895 (umur 62) |
Johor Bahru |
| |||||
| Temenggung Tun Abu Bakar mengisytiharkan penggunaan gelaran Maharaja lalu jawatan Temenggung tidak lagi wujud dan Kerajaan Temenggung Johor bertukar kepada Kerajaan Maharaja Johor | |||||||||
Garis masa (bermula pada tahun 1757)
[sunting | sunting sumber]
Maharaja Johor
[sunting | sunting sumber]| Maharaja Johor | |
|---|---|
| مهاراج جوهر (Jawi) | |
Wilayah/Negeri | |
| Butiran | |
| Gelaran | Yang Maha Mulia[38] |
| Penyandang pertama | Maharaja Abu Bakar |
| Penyandang terakhir | Maharaja Abu Bakar |
| Pembentukan | 30 Jun 1868 |
| Pemansuhan | 13 Februari 1886 |
Maharaja Johor (Jawi: مهاراج جوهر) ialah jawatan warisan dan raja pemerintah negeri Johor dari tahun 1868 hingga tahun 1886. Idea untuk menggunakan gelaran baru mula timbul ketika Temenggung Tun Abu Bakar melawat negara India dan Eropah pada tahun 1866. Dalam lawatan tersebut, baginda menyedari bahawa gelaran Temenggung tidak terkenal di dunia Eropah berbanding gelaran Maharaja yang digunakan oleh raja-raja di India. Ini menyebabkan Temenggung Tun Abu Bakar ingin menggunakan gelaran baru yang lebih dikenali.[39] Pada 18 April 1868, Temenggung Tun Abu Bakar menghantar satu rombongan yang diketuai oleh sepupunya, Ungku Haji Muhammad ibni Tun Haji Abdullah ke Riau untuk berjumpa dengan Raja Ali Haji yang merupakan seorang sejarawan Bugis dan penasihat Yang Dipertuan Muda Riau.[40][41]
Dalam pertemuan mereka, antara perkara yang dibincangkan ialah kelayakan Temenggung Tun Abu Bakar untuk menjadi Pemerintah Johor yang sah dan berdaulat.[42] Raja Ali Haji bersetuju dengan permintaan Temenggung Tun Abu Bakar untuk menukar gelarannya selepas beliau mengkaji salasilah Temenggung Tun Abu Bakar dan berpuas hati bahawa Temenggung Johor mempunyai kuasa sebenar ke atas urusan pemerintahan Johor dan Temenggung Tun Abu Bakar berketurunan Sultan Johor ke-10, Sultan Abdul Jalil Riayat Shah IV.[43] Tetapi Raja Ali Haji berkata bahawa gelaran baru yang akan digunakan oleh Temenggung Tun Abu Bakar itu bukanlah gelaran Sultan atau Yang Dipertuan Johor atau Yang Dipertuan Muda.[44]
Pada 7 Mei 1868, Raja Ali Haji mengetuai satu rombongan ke Teluk Belanga, Singapura untuk menabalkan Temenggung Tun Abu Bakar sebagai Maharaja Johor dengan gelaran Maharaja Abu Bakar.[45][46] Pada 30 Jun 1868, Maharaja Abu Bakar memperoleh persetujuan daripada British di Singapura berkenaan permintaannya untuk menggunakan gelaran Maharaja.[47][48]
Maharaja Abu Bakar merupakan satu-satunya Pemerintah Johor yang menggunakan gelaran Maharaja dalam sejarah negeri Johor. Penggunaan gelaran tersebut hanya berlangsung selama kira-kira 18 tahun.
Kerajaan Maharaja Johor (1868–1886)
[sunting | sunting sumber]| Potret | Nama | Tempoh pemerintahan | Tarikh keputeraan dan kemangkatan | Ibu negeri dan pusat pemerintahan | Nota | ||||
|---|---|---|---|---|---|---|---|---|---|
| Maharaja Abu Bakar مهاراج أبو بکر (Tun Abu Bakar) |
30 Jun 1868 – 13 Februari 1886 (17 tahun, 7 bulan dan 14 hari) |
3 Februari 1833 – 4 Jun 1895 (umur 62) |
Johor Bahru |
| |||||
| Maharaja Abu Bakar mengisytiharkan penggunaan gelaran Sultan lalu jawatan Maharaja tidak lagi wujud dan Kerajaan Maharaja Johor bertukar kepada Kesultanan Johor Moden | |||||||||
Sultan Johor
[sunting | sunting sumber]Sultan Johor (Jawi: سلطان جوهر) ialah jawatan warisan dan raja pemerintah negeri Johor sejak tahun 1886. Jawatan ini pernah digunakan oleh Sultan Johor daripada Kesultanan Johor Lama yang pernah wujud dari tahun 1528 hingga tahun 1830. Jawatan ini juga pernah digunakan oleh Sultan Hussein Muhammad Shah dan anakandanya, Sultan Ali Iskandar Shah walaupun pada hakikatnya mereka tidak mempunyai kuasa politik di negeri Johor.
Idea untuk menggunakan gelaran Sultan mula timbul pada tahun 1885 di mana Maharaja Abu Bakar membuat keputusan untuk berangkat ke England setelah mendengar khabar angin bahawa British di Singapura ingin meletakkan seorang Residen British di Johor.[49] Pada 11 Disember 1885, Perjanjian Inggeris-Johor 1885 antara Maharaja Johor, Maharaja Abu Bakar mewakili kerajaan Johor dan Setiausaha Tanah Jajahan British, Sir Frederick Arthur Stanley mewakili kerajaan British ditandatangani di Pejabat Tanah Jajahan British di London.[50] Dalam perjanjian ini, British mengiktiraf Maharaja Abu Bakar sebagai Sultan Johor yang bergelar Sultan Abu Bakar.[51]
Pada 13 Februari 1886, Menteri Besar Johor, Dato' Jaafar bin Haji Muhammad telah mengisytiharkan penggunaan gelaran Sultan oleh Sultan Abu Bakar ke seluruh negeri Johor.[52] Pada 14 April 1895, Sultan Abu Bakar telah mengadakan istiadat menandatangani dan mengisytiharkan Undang-Undang Tubuh Kerajaan Johor di Johor Bahru, Johor.[53] Johor telah menjadi negeri Melayu pertama yang mempunyai Undang-Undang Tubuh Kerajaan dan mengamalkan sistem raja berperlembagaan. Sultan Abu Bakar telah melakukan banyak pembaharuan dan pemodenan dalam sistem pentadbiran negeri Johor untuk memajukan Johor dan mengelakkan campur tangan British dalam hal-ehwal pentadbiran Johor.
Untuk membezakan antara Sultan Johor dari tahun 1528 hingga tahun 1830 dengan Sultan Johor sejak tahun 1886, istilah "Sultan Johor Moden" digunakan untuk merujuk kepada Sultan Johor sejak tahun 1886. Hal ini demikian kerana Kesultanan Johor Moden bukan kesinambungan langsung atau penerus Kesultanan Johor Lama. Perkara ini boleh dibuktikan apabila Sultan Johor ke-16, Sultan Abdul Rahman Muazzam Shah telah ditabalkan secara rasmi sebagai Sultan Johor bersama alat kebesaran diraja pada bulan November 1823 lalu menjadikan baginda sebagai Sultan Johor yang sah. Dengan penobatan baginda, Bendahara Johor yang juga Raja Bendahara Pahang ke-4, Bendahara Tun Ali dan para pembesar Melayu yang lain telah membuat keputusan untuk bertuankan baginda.
Walaupun Sultan Abdul Rahman Muazzam Shah kemudian menjadi Sultan Riau-Lingga melalui Perjanjian 29 Oktober 1830 yang menguatkuasakan Perjanjian Inggeris-Belanda 1824 di Alam Melayu, baginda dan waris-warisnya (Sultan Muhammad II Muazzam Shah dan Sultan Mahmud IV Muzaffar Shah) masih diiktiraf sebagai Sultan Johor yang sah dan kekal dipertuankan oleh Bendahara Tun Ali dan anakandanya yang juga Raja Bendahara Pahang ke-5, Bendahara Tun Mutahir serta para pembesar Melayu di Johor dan Pahang. Oleh sebab itu, Kesultanan Riau-Lingga merupakan kesinambungan langsung atau penerus Kesultanan Johor Lama yang sebenar.
Lihat juga
[sunting | sunting sumber]- Daeng dan Andi - Gelaran Bangsawan Bugis
- Kesultanan Melaka
- Kesultanan Johor Lama
- Kesultanan Riau-Lingga
- Johor
- Persekutuan Tanah Melayu
- Malaysia
- Sejarah Johor Moden
- Sejarah Singapura
- Sultan Johor
- Sultan Riau-Lingga
- Perjanjian 29 Oktober 1830
- Perjanjian Setia 1855
- Perjanjian Pahang-Johor 1861
Nota kaki
[sunting | sunting sumber]- ^ Bendera Sultan. Istiadat Kemahkotaan DYMM Sultan Ibrahim Sultan Johor Pada 23 Mac 2015. Diambil daripada https://kemahkotaan.johor.gov.my/alat-istihadat-kebesaran/bendera-johor-2/
- ^ Gelaran Dalam Sejarah. Kesultanan Johor. Diambil daripada https://www.royaljohor.rntechnologies.com.my/gelaran-dalam-sejarah.html
- ^ "The Bendahara Dynasty". royalark.net. Diarkibkan daripada yang asal pada 1 Julai 2025. Dicapai pada 30 November 2025.
- ^ "The Bendahara Dynasty". royalark.net. Diarkibkan daripada yang asal pada 1 Julai 2025. Dicapai pada 30 November 2025.
- ^ "The Bendahara Dynasty". royalark.net. Diarkibkan daripada yang asal pada 1 Julai 2025. Dicapai pada 30 November 2025.
- ^ "The Bendahara Dynasty". royalark.net. Diarkibkan daripada yang asal pada 1 Julai 2025. Dicapai pada 30 November 2025.
- ^ "The Bendahara Dynasty". royalark.net. Diarkibkan daripada yang asal pada 1 Julai 2025. Dicapai pada 30 November 2025.
- ^ "The Bendahara Dynasty". royalark.net. Diarkibkan daripada yang asal pada 8 Februari 2025. Dicapai pada 30 November 2025.
- ^ Buyong Adil (2020), Sejarah Johor: Edisi Semakan, halaman 129
- ^ Buyong Adil (2020), Sejarah Johor: Edisi Semakan, halaman 183 & 185
- ^ Buyong Adil (2020), Sejarah Johor: Edisi Semakan, halaman 185
- ^ R.O. Winstedt (2020), A History Of Johore 1365-1895, halaman 117
- ^ Buyong Adil (2020), Sejarah Johor: Edisi Semakan, halaman 185
- ^ "The Bendahara Dynasty". royalark.net. Diarkibkan daripada yang asal pada 1 Julai 2025. Dicapai pada 28 November 2025.
- ^ ibid.
- ^ Dang Ku Puteri (9 Mac 2018), Sejarah Awal Kesultanan Johor Moden, The Patriots Asia, Diambil daripada https://thepatriots.asia/sejarah-awal-kesultanan-johor-moden/
- ^ W. Linehan (1973), A History of Pahang (Reprint Number Two), The Malaysian Branch of the Royal Asiatic Society, Kuala Lumpur, halaman 59
- ^ Suzana Haji Othman (2018), Sejarah Pergolakan dan Pergelutan Bendahara Johor-Pahang 1613-1863, halaman 243-244
- ^ "The Bendahara Dynasty". royalark.net. Diarkibkan daripada yang asal pada 1 Julai 2025. Dicapai pada 28 November 2025.
- ^ Suzana Haji Othman (2018), Sejarah Pergolakan dan Pergelutan Bendahara Johor-Pahang 1613-1863, halaman 245-246
- ^ "The Bendahara Dynasty". royalark.net. Diarkibkan daripada yang asal pada 1 Julai 2025. Dicapai pada 28 November 2025.
- ^ Annabelle R. Gambe (2000), Overseas Chinese Entrepreneurship and Capitalist Development in Southeast Asia, halaman 82-83
- ^ Virginia Matheson Hooker (2003), A Short History of Malaysia, halaman 108
- ^ Keat Gin Ooi (2004), Southeast Asia: A Historical Encyclopedia, from Angkor Wat to East Timor, halaman 710
- ^ Buyong Adil (2020), Sejarah Johor: Edisi Semakan, halaman 231 dan 234
- ^ Buyong Adil (2020), Sejarah Johor: Edisi Semakan, halaman 234
- ^ Buyong Adil (2020), Sejarah Johor: Edisi Semakan, halaman 236
- ^ Buyong Adil (2020), Sejarah Johor: Edisi Semakan, halaman 235
- ^ Suzana Haji Othman (2018), Sejarah Pergolakan dan Pergelutan Bendahara Johor-Pahang 1613-1863, halaman 252-253
- ^ Buyong Adil (2020), Sejarah Johor: Edisi Semakan, halaman 249-251
- ^ Suzana Haji Othman (2018), Sejarah Pergolakan dan Pergelutan Bendahara Johor-Pahang 1613-1863, halaman 258 & 337-338
- ^ Rahimah Abdul Aziz, Pembaratan Pemerintahan Johor (1800-1945): Suatu Analisis Sosiologi Sejarah, 1997, halaman 61.
- ^ Dang Ku Puteri (4 Mac 2018), Nama Asal Johor Bahru, The Patriots Asia, Diambil daripada https://thepatriots.asia/nama-asal-johor-bharu/
- ^ Zuraidah Mohamed (22 November 2017), Iskandar Puteri bandar raya ke-14, Berita Harian, Diambil daripada https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2017/11/353911/iskandar-puteri-bandar-raya-ke-14
- ^ Jabatan Agama Islam Negeri Johor (2023), Kesultanan Islam Johor (Darjah 1), halaman 1
- ^ Buyong Adil (2020), Sejarah Johor: Edisi Semakan, halaman 267, 274-275 & 302-304
- ^ Bendera Sultan. Istiadat Kemahkotaan DYMM Sultan Ibrahim Sultan Johor Pada 23 Mac 2015. Diambil daripada https://kemahkotaan.johor.gov.my/alat-istihadat-kebesaran/bendera-johor-2/
- ^ Kedaulatan dan Ketuanan Negeri Johor. Portal Kesultanan Johor. Diambil daripada https://royal.johor.my/kedaulatan-ketuanan-negeri-johor/
- ^ Dang Ku Puteri (9 Mac 2018), Sejarah Awal Kesultanan Johor Moden, The Patriots Asia, Diambil daripada https://thepatriots.asia/sejarah-awal-kesultanan-johor-moden/
- ^ R.O. Winstedt (2020), A History of Johore (1365-1895): Re-edited version, halaman 171
- ^ Suzana Haji Othman (2018), Sejarah Pergolakan dan Pergelutan Bendahara Johor-Pahang 1613-1863, halaman 367
- ^ Suzana Haji Othman (2018), Sejarah Pergolakan dan Pergelutan Bendahara Johor-Pahang 1613-1863, halaman 367-368
- ^ Suzana Haji Othman (2018), Sejarah Pergolakan dan Pergelutan Bendahara Johor-Pahang 1613-1863, halaman 368
- ^ Dang Ku Puteri (9 Mac 2018), Sejarah Awal Kesultanan Johor Moden, The Patriots Asia, Diambil daripada https://thepatriots.asia/sejarah-awal-kesultanan-johor-moden/
- ^ R.O. Winstedt (2020), A History of Johore (1365-1895): Re-edited version, halaman 172
- ^ Dang Ku Puteri (9 Mac 2018), Sejarah Awal Kesultanan Johor Moden, The Patriots Asia, Diambil daripada https://thepatriots.asia/sejarah-awal-kesultanan-johor-moden/
- ^ R.O. Winstedt (2020), A History of Johore (1365-1895): Re-edited version, halaman 172
- ^ Buyong Adil (2020), Sejarah Johor: Edisi Semakan, halaman 275
- ^ Buyong Adil (2020), Sejarah Johor: Edisi Semakan, halaman 298-299
- ^ Buyong Adil (2020), Sejarah Johor: Edisi Semakan, halaman 302
- ^ Buyong Adil (2020), Sejarah Johor: Edisi Semakan, halaman 304
- ^ Buyong Adil (2020), Sejarah Johor: Edisi Semakan, halaman 305
- ^ Buyong Adil (2020), Sejarah Johor: Edisi Semakan, halaman 313-314