Temenggung

Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.

Temenggung atau Temenggong ialah gelaran pembesar dalam kesultanan Melayu yang mempunyai sistem Empat Lipatan. Temenggung pada asalnya merupakan jawatan tertinggi dalam pentadbiran kerajaan kesultanan Melayu yang bertanggungjawab dalam menjaga keselamatan dan keamanan dalam negeri.

Temenggung mula wujud ketika zaman pemerintahan Parameswara, Raja Melaka pertama. Sebagai pewaris Kesultanan Melaka, ianya diteruskan oleh Kesultanan Johor. Dengan ejaan 'Temenggong', ianya juga digunakan dalam sistem pembesar diraja Brunei, iaitu sebagai seorang wazir.

Penggunaan[sunting | sunting sumber]

Brunei[sunting | sunting sumber]

Temenggong merupakan salah seorang wazir, iaitu golongan tertinggi selepas Sultan dalam hierarki pembesar diraja Brunei. Terasul atau gelaran penuh bagi Temenggong di Brunei ialah 'Pengiran Temenggong Sahibul Bahar'.[1] Kedudukan Temenggong masih wujud pada masa ini, namun ianya hanya berperanan dalam adat istiadat diraja Brunei; Temenggong tidak lagi mempunyai peranan seperti dahulukala kerana tanggungjawab tersebut telah diambil alih oleh pasukan keselamatan seperti polis dan tentera, kecuali Temenggong sendiri menjawat jawatan tersebut. Buat masa ini, kedudukan Temenggong adalah kosong.

Malaysia[sunting | sunting sumber]

Di Kesultanan Johor, terdapat dua jawatan yang menggunakan gelaran Temenggung iaitu Raja Temenggung Muar dan Temenggung Johor. Para Sultan Johor Moden juga berasal daripada keturunan Temenggung bermula dari Temenggung Seri Maharaja Abu Bakar yang mula memakai gelaran Sultan pada tahun 1885. Kesultanan-kesultanan yang pernah menerima pengaruh Melaka juga menggunakan gelaran Temenggung sebagai gelaran pembesar mereka dengan fungsi yang hampir sama seperti Kesultanan Perak, Kesultanan Pahang dan Kesultanan Terengganu.

Gelaran Temenggung di setiap negeri Melayu Malaysia pada masa ini:

Negeri Nama gelaran Penyandang
 Johor Tunku Temenggong Johor YAM Tunku Idris Iskandar Ismail Abdul Rahman Al-Haj ibni Sultan Ibrahim
 Kedah Tunku Temenggong Kedah YTM Tunku Tan Sri Intan Safinaz binti Almarhum Sultan Abdul Halim Mu'adzam Shah
 Kelantan Tengku Temenggong Kelantan YBM Tengku Tan Sri Dato' Haji Mohamad Rizam bin Tengku Abdul Aziz
 Pahang Darul Makmur Tengku Arif Temenggong Pahang YAM Tengku Fahd Mua’adzam Ibni Almarhum Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta’in Billah
 Perlis Tengku Sharif Temenggong Perlis YAM Dato' Seri Diraja Syed Amir Zainal Abidin Ibni Almarhum Tuanku Syed Putra Jamalullail
 Selangor Tengku Aris Temenggong Selangor Kosong
Terdahulu: YAM Tengku Dato' Setia Muhammad Yusof Shah Al-Haj Ibni Almarhum Sultan Sir Ala'eddin Sulaiman Shah Al-Haj
 Terengganu Tengku Sri Temenggung Raja Terengganu YAM Dato' Seri Tengku Baharuddin Ibni Almarhum Sultan Mahmud Al-Muktafi Billah Shah

Sarawak[sunting | sunting sumber]

Temenggong ialah gelaran tertinggi bagi ketua masyarakat di bahagian di Sarawak mengikut kaum. Misalnya, terdapat Temenggong bagi masyarakat Melayu, Cina, Iban, Bidayuh, dan Orang Ulu..[2]

Lihat juga[sunting | sunting sumber]

Rujukan[sunting | sunting sumber]

  1. ^ Al-Sufri, Mohd. Jamil (2002). Adat Istiadat Diraja Brunei. Bandar Seri Begawan: Jabatan Adat Istiadat Negara. m/s. 11. ISBN 9991734228.
  2. ^ Ketua Masyarakat Kuching