Tengku Budriah

Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.
Raja Permaisuri Agong
Tengku Budriah binti Almarhum Tengku Ismail
Raja Permaisuri Agong ke- 3
Yang di-Pertuan Agong Tuanku Syed Putra Jamalullail
Negeri Perlis
Kelahiran (1924-03-24)24 Mac 1924
Kuala Krai, Kelantan, Negeri-Negeri Melayu Tidak Bersekutu, Tanah Melayu British
Kemangkatan 28 November 2008(2008-11-28) (umur 84)
Hospital Kuala Lumpur, Kuala Lumpur
Mula jawatan 21 September 1960
Tamat jawatan 20 September 1965
Penyandang terdahulu Tengku Ampuan Jemaah
Penyandang kemudian Tengku Ampuan Intan Zaharah

Tengku Budriah binti Almarhum Tengku Ismail Jawi: تڠكو بدريه بنت المرحوم تڠكو إسماعيل diputerakan pada 28 Mac 1924 di Kuala Krai, Kelantan.[1] merupakan Raja Perempuan Perlis dan Raja Permaisuri Agong yang ke-3.

Ayahanda Baginda merupakan kerabat diraja Kelantan iaitu Tengku Ismail dan bonda baginda ialah Tengku Besar Zubaidah binti Almarhum Tengku Abdul Kader Pattani. Baginda memperoleh pendidikan awal di Sekolah Melayu Kuala Krai dan kemudiannya di Sekolah Inggeris Kuala Krai. Seterusnya baginda meneruskan pendidikan di Sekolah Menengah Anglo Chinese, Ipoh pada tahun 1935.[2]

Antara saudaranya adalah Tengku Muhammad Shah Ibni Tengku Ismail (1922-2001), Tengku Baniun Bt Tengku Ismail (1927-2013) dan Tengku Ahmad Rithauddeen Ismail (1932-).

Seri Paduka Baginda Tengku Budriah berkahwin dengan Seri Paduka Baginda Tuanku Syed Putra pada tahun 1941 ketika baginda berusia 16 tahun. Baginda berdua dikurniakan 10 anakanda, lima putera dan lima puteri.

Pada 12 Mac 1949 apabila Tuanku Syed Putra Jamalullail ditabalkan sebagai Raja Perlis, baginda Tengku Budriah turut ditabalkan sebagai Raja Perempuan Perlis.

Seri Paduka Baginda sangat giat mengambil bahagian dalam pertubuhan amal untuk kemajuan dan kebajikan wanita. Baginda dilantik sebagai Penaung kepada pelbagai pertubuhan dan persatuan, dan pada hari ini baginda masih menjadi Pengerusi Taman Asuhan Darulfarah Tengku Hajah Budriah, Perlis dan menjadi Timbalan Presiden Majlis Kebajikan Wanita Islam Malaysia.

Apabila Seri Paduka Baginda Tuanku Syed Putra dilantik sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-3, Seri Paduka Baginda Tengku Budriah turut ditabalkan sebagai Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong dan baginda berdua berpindah ke Istana Negara, Kuala Lumpur.

Baginda adalah Raja Permaisuri Agong yang ketiga antara 1960 dan 1965 dan menjadi Raja Perempuan Perlis bermula 1945 sehingga kemangkatan Tuanku Syed Putra Jamalullail pada 2000.

Semasa menjadi Raja Permaisuri Agong, Seri Paduka Baginda telah dianugerahkan pelbagai darjah dan pingat kebesaran. Antaranya ialah D.K., S.S.P.J., S.M.N., A.M.N., S.P.M.K. dan juga anugerah dari Thailand, Kemboja, Jepun, Pakistan dan Emiriah Arab Bersatu.

Kemangkatan[sunting | sunting sumber]

Baginda telah mangkat pada 3.47 pagi di Hospital Kuala Lumpur pada 28 November 2008 ketika berusia 84 tahun. Menteri Besar Perlis Datuk Seri Dr Md Isa Sabu mengumumkan kemangkatan bonda Raja Perlis Tuanku Syed Sirajuddin Putra Jamalullail itu melalui stesen Radio Malaysia Perlis.[3]

Jenazah almarhum diterbangkan dari Lapangan Terbang Subang ke Alor Star dan dibawa ke Istana Arau untuk membolehkan rakyat memberi penghormatan terakhir bermula tengah hari tersebut sebelum disemadikan di Makam Diraja Arau selepas solat Asar pada hari yang sama.

Bagi menghormati kemangkatan tersebut bendera negeri telah dikibarkan separuh tiang selama tiga hari bermula hari kemangkatan dan semua acara keramaian dan berbentuk hiburan ditangguhkan.[4]

Rujukan[sunting | sunting sumber]

  1. ^ "Tengku Budriah A Royal Who Was Very Much Loved". Bernama - Malaysian National News Agency. 28 November 2008. Dicapai pada 29 November 2008.
  2. ^ Perpustakaan Negara Malaysia (2003). "Yang di-Pertuan Agong III". Malaysian Monarchy. Diarkibkan daripada yang asal pada 28 September 2007. Dicapai pada 10 December 2006.
  3. ^ "Raja Perempuan Besar Perlis dies". The Star (Malaysia). 28 November 2008. Diarkibkan daripada yang asal pada 17 Oktober 2012. Dicapai pada 24 April 2011. Unknown parameter |deadurl= ignored (bantuan)
  4. ^ "Tengku Budriah Laid To Rest". Bernama - Malaysian National News Agency. 28 November 2008. Dicapai pada 29 November 2008.

Pautan luar[sunting | sunting sumber]

Gelaran pemerintah
Didahului oleh
Raja Jemaah
(Tunku Ampuan Selangor)
Raja Permaisuri Agong Diikuti oleh:
Tengku Intan Zaharah
(Tengku Ampuan Besar Terengganu)