Terier putih Tanah Tinggi Barat

Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.
(Dilencongkan dari Terier Tanah Tinggi Barat)
Terier putih Tanah Tinggi Barat
Seekor terier yang sepenuhnya putih dengan telinga tegak memandang kamera.
Nama lainTerier Poltalloch
Terier Roseneath
Terier putih Roseneath
Nama ringkasWestie atau westy
Negara asalScotland
Trait
Berat 6.8–9.1 kg (15–20 lb)
Tinggi 25–28 cm (9.8–11.0 in)
Bulu Ganda
Warna Putih
Saiz perinduk 3–5 ekor
Jangka hayat 12–18 tahun
Anjing (Canis lupus familiaris)

Terier putih Tanah Tinggi Barat,[a] umumnya dikenali sebagai westie, ialah satu baka anjing dari Scotland dengan lapis bulu kasar putih distingtif dengan lapis bulu bawah putih agak lembut. Ia merupakan terier bersaiz sederhana walaupun dengan tungkai lebih panjang daripada baka terier lain Scotland. Ia mempunyai lapis bulu ganda putih dengan helaian bulu yang memenuhi muka anjing yang memberikan wajah bulat.

Baka ini cerdas, cepat belajar, dan baik dengan kanak-kanak, tetapi tidak selalu mentoleransi kekasaran. Westie ialah baka aktif dan sosial dengan dorongan pemangsa tinggi kerana pernah digunakan untuk memburu rodensia.

Baka modennya diturunkan daripada sebilangan program pembiakbakaan terier putih di Scotland sebelum abad ke-20. Sebagai sepupu kepada cairn terrier, westie dibiakbakakan untuk memburu rodensia di tempat-tempat seperti ladang. Edward Donald Malcolm, Laird Poltalloch ke-16, dikreditkan dengan penghasilan baka moden daripada terier Poltalloch beliau, tetapi tidak ingin dikenali sedemikian.

Baka-baka berkaitan lain termasuk terier Roseneath milik George Campbell, Duke Argyll ke-8 dan terier Pittenweem milik Dr. Americ Edwin Flaxman. Baka terier putih kecil Scotland ini diberi nama modennya buat kali pertama pada tahun 1908 dengan pengiktirafan oleh kelab-kelab kenel utama yang berlaku pada sekitar masa sama.

Baka ini kekal sangat popular di United Kingdom dengan berbilang kemenangan dalam Crufts. Ia telah berada dalam kelompok tiga teratas antara semua baka di Amerika Syarikat sejak tahun 1960-an.

Beberapa isu kesihatan spesifik baka dan tidak spesifik baka muncul pada baka ini termasuk satu keadaan pada anjing muda yang diberi nama julukan "rahang westie" yang menyebabkan pertumbuhan lampau tulang pada rahang anjing ini. Ia juga terdedah kepada gangguan kulit dengan satu keadaan spesifik baka yang dipanggil kejadian dermatosis hiperplasia. Ia merupakan baka sangat bertenaga dan riuh yang memerlukan senaman kerap sekitar sejam sehari.[1]

Penampilan[sunting | sunting sumber]

Westie mempunyai lapis bulu bawah padat dan tebal dan lapis bulu atas licin

Lazimnya, westie mempunyai mata cerah, terletak dalam-dalam, dan berbentuk badam yang berwarna gelap. Telinganya runcing dan tegak.[2] Anjing baka ini biasanya berukuran seberat 15–20 paun (6.8–9.1 kg) dan purata ketinggian ialah 10–11 inci (25–28 cm) pada paras kelasa.[2] Tubuhnya patut lebih pendek daripada ketinggian anjing ini pada paras bahu.[2]

Ia juga mempunyai dada dalam, anggota berotot, hidung hitam, dan rahang pendek dan rapat dengan gigitan "gunting" (taring bawah terkunci di hadapan taring atas, kacip atas terkunci di atas kacip bawah).[3] Kaki westie kelihatan sedikit keluar untik memberinya cengkaman lebih baik berbanding dengan baka berkaki rata apabila ia memanjat di permukaan berbatu.[4] Pada anak anjing muda, hidung dan tapak kaki mempunyai tanda-tanda merah jambu, yang perlahan-lahan menjadi hitam semakin ia menua.[3] Westie juga mempunyai ekor pendek dan teguh. Sesetengah sumber mencadangkan bahawa kerana sejarahnya sebagai penangkap tikus, ekornya dibiakbakakan untuk menjadi tebal supaya westie yang terperangkap di dalam lubang dapat semudahnya ditarik keluar dengan ekornya.[perlu rujukan]

Ia mempunyai lapis bulu bawah lembut, padat, dan tebal dan lapis bulu luar kasar,[2] yang dapat tumbuh sehingga sepanjang kira-kira 2 inci (5.1 cm).[3] Bulunya memenuhi muka untuk memberikan penampilan bulat.[2] Apabila anak anjing membesar menjadi dewasa, lapis bulu luar kasarnya biasanya ditanggalkan sama ada dengan "pelucutan tangan", terutamanya untuk penunjukan anjing, atau sebaliknya pengguntingan.[2] Kebanyakan westie berwarna putih metah, walaupun terdapat sesetengah variasi warna gandum cerah.[5]

Perangai[sunting | sunting sumber]

Seekor anak westie

Perangai terier putih Tanah Tinggi Barat dapat sangat berbeza-beza, dengan sesetengah yang ramah terhadap kanak-kanak, manakala yang lain lebih suka menyendiri.[perlu rujukan] Ia biasanya tidak bertolak ansur dengan pengendalian kasar, seperti kanak-kanak yang menarik telinga atau bulunya, dan dapat kerap menjadi posesif terhadap makanan dan mainan.[perlu rujukan] Ini menjadikan pelatihan tetap dari usia muda amat penting. Ia biasanya berdikari, terjamin, dan yakin diri dan dapat menjadi anjing pengawas bagus. Ia merupakan baka setia yang menjalin ikatan dengan pemiliknya tetapi kerap bergerak-gerak kerana memerlukan senaman harian (15–30 minit walaupun sebaik-baiknya sekurang-kurangnya satu jam). Westie sangat sosial dan merupakan yang paling ramah dan riang antara semua baka terier Scotland.[6]

Ia merupakan baka tahan lasak dan dapat menjadi degil yang membawa kepada masalah dengan pelatihan. Westie mungkin memerlukan ulang kaji latihannya sekali-sekala sepanjang hayatnya. Dengan dorongan pemangsa tipikal terier, ia cenderung untuk menjadi sangat berminat terhadap mainan, terutamanya bola kejar. Ia mengekalkan naluri anjing bumi, termasuk trait ingin tahu dan penyiasatan,[6] serta naluri semula jadi untuk menyalak dan menggali lubang.[7] Ia tersenarai dalam lingkungan purata sebagai yang ke-88 dalam The Intelligence of Dogs karya Stanley Coren.[8]

Kesihatan[sunting | sunting sumber]

Dua ekor anak terier putih berdiri di sebelah satu sama lain: Anjing-anjing ini kelihatan kurang berbulu berbanding dengan dewasa baka ini dan kemerahjambuan di bahagian dalam telinga adalah jelas.
Dua ekor anak westie

Kelab baka Amerika meletakkan jangka hayat westie pada 12 hingga 16 tahun.[9] Tinjauan kelab meletakkan purata jangka hayat pada 11.4 tahun.[10] Data klinik veterinar dari United Kingdom menunjukkan jangka hayat tipikal sebanyak 10.5 hingga 15 tahun.[11] Pangkalan data Société Centrale Canine memberikan 8 hingga 16 tahun dengan median 13 tahun.[12] Saiz perinduk tipikal ialah antara tiga dengan lima ekor anak anjing.[3]

Baka ini cenderung terhadap keadaan yang terdapat pada banyak baka, seperti hernia abdomen.[13] Anak westie mungkin terjejas akibat osteopati kraniomandibel, iaitu penyakit yang juga dikenali sebagai "rahang singa" dan kadang-kadang juga dirujuk sebagai "rahang westie".[14] Penyakit ini ialah keadaan resesif autosom, jadi anak anjing hanya dapat terjejas akibatnya jika kedua-dua induk merupakan pembawa gen cacat. Keadaan ini muncul merentasi banyak baka, termasuk beberapa jenis terier berbeza, serta baka lain yang tidak berkaitan seperti anjing besar Denmark. Ia biasanya muncul pada anjing di bawah umur setahun dan dapat menyebabkan masalah untuk anjing berkenaan untuk mengunyah atau menelan makanan. Pengujian radiografi dapat dijalankan untuk mendiagnosis keadaan ini, iaitu apabila tulang di sekeliling rahang menebal; sebagai tambahan, darah mungkin menunjukkan peningkatan paras kalsium dan paras enzim. Keadaan ini kerap berhenti berprogres semasa anjing berumur setahun dan dalam sesetengah kes dapat surut. Ini biasanya dirawat dengan ubat antiradang dan pemberian makanan lembut. Dalam sesetengah kes, penyuapan bertiub mungkin perlu.[15]

Baka ini terdedah kepada gangguan kulit.[3] Kira-kira satu perempat daripada westie yang ditinjau terjejas akibat dermatitis atopik, iaitu keadaan kulit alahan kronik boleh waris. Perkadaran lebih tinggi bagi jantan terjejas berbanding dengan betina.[16] Keadaan kulit spesifik baka yang tidak lazim tetapi parah, iaitu dermatosis hiperplastik, mungkin menjejaskan terier putih Tanah Tinggi Barat, kedua-dua anjing juvenil dan dewasa. Anjing terjejas dapat menderitai hiperpigmentasi merah, likenifikasi, dan keguguran bulu. Pada peringkat awal, keadaan ini dapat salah didiagnosis sebagai alahan atau bentuk kurang serius bagi dermatitis.[17]

Masalah genetik terwaris yang wujud pada baka ini ialah leukodistrofi sel globoid. Ini tidak spesifik baka dan dapat muncul pada cairn terrier dan baka lain termasuk beagle dan anjing Pomerania. Ini ialah penyakit neurologi yang melibatkan anjing yang kekurangan enzim galaktosilseramidase. Gejala dapat terlihat semakin anak anjing berkembang dan dapat dikenal pasti pada usia 30 minggu. Anjing terjejas mengalami geletar, kelemahan otot, dan masalah untuk berjalan. Gejala perlahan-lahan meningkat sehingga kelumpuhan anggota tubuh mula berlaku. Oleh sebab ini merupakan keadaan keturunan, pemilik patut mengelakkan pembiakbakaan haiwan terjejas untuk membasminya daripada baka ini.[18] Satu lagi keadaan genetik yang menjejaskan baka ialah "sindrom penggoncang anjing putih". Oleh sebab keadaan ini paling lazim terdapat pada westie dan anjing Malta, keadaan ini pada asalnya dianggap berkaitan dengan gen untuk lapis bulu putih, tetapi keadaan sama sejak itu telah ditemukan pada baka bukan putih lain termasuk terier Yorkshire dan dachshund. Keadaan ini biasanya berkembang selama satu hingga tiga hari, lalu mengakibatkan geletar kepala dan anggota tubuh, ataksia, dan hipermetria. Jantan dan betina terjejas dapat menjadi terjejas sepanjang tempoh masa berbeza, dengan gejala pada betina yang berlangsung antara empat dengan enam minggu, manakala jantan dapat menjadi terjejas sepanjang hayat.[19]

Keadaan kurang lazim lain yang muncul pada baka ini termasuk asiduria hidroksiglutarik, iaitu apabila paras ternaik bagi asid alfa-hidroksiglutarik berada di dalam air kencing, plasma darah, dan bendalir spina anjing berkenaan. Ini dapat menyebabkan sawan, kekejangan otot, dan ataksia, tetapi lebih lazim ditemukan pada bulterier Staffordshire.[20] Degenerasi sendi pinggul, yang dikenali sebagai sindrom Legg–Calvé–Perthes, juga berlaku pada baka ini.[21] Walau bagaimanapun, peluang keadaan ini untuk berlaku adalah lebih tinggi pada sesetengah baka lain, seperti anjing gembala Australia dan pincer kerdil.[22] Baka ini juga merupakan salah satu yang paling kurang berkemungkinan terjejas akibat tempurung lutut terkehel, iaitu apabila tempurung lutut tergelincir ke luar tempatnya.[23]

Baka ini cenderung terhadap dermatitis atopi.[24]

Dermatosis hiperplasia pada terier putih Tanah Tinggi Barat, yang juga dikenali sebagai displasia epidermis atau secara percakapan sebagai sindrom westie armadilo, ialah keadaan kurang lazim yang khususnya dikenal pasti pada terier putih Tanah Tinggi Barat. Ini ialah penyakit dermatologi hiperplasia kronik parah yang serupa dengan dermatitis seborea dan seborea primer. Oleh sebab penyakit ini hanya dikenal pasti pada baka ini dan bukti penglibatan keluarga, penyakit ini dipercayai sebagai trait terwaris. Jangkitan Malassezia dikaitkan dengan permulaan atau peningkatan keparahan gejala. Gejala melibatkan dan tompok-tompok menyeluruh dan serius bagi alopesia, eritema, likenifikasi, hiperpigmentasi, bau busuk, otitis luaran, dan pruritus.[25][26]

Sejarah[sunting | sunting sumber]

Sekeping foto hitam putih tentang tiga ekor terier
Tiga ekor terier Pittenweem, yang difotografkan pada 1899

Terier putih Scotland dicatatkan seawal zaman pemerintahan James VI dari Scotland, yang memerintah pada antara tahun 1567 dengan tahun 1625. Raja menitahkan agar sedozen terier putih ini diperoleh dari Argyll untuk dipersembahkan kepada Kerajaan Perancis sebagai hadiah.[4] Anjing berwarna pasir dan brindle terlihat sebagai yang lebih tahan lasak daripada anjing berwarna lain dan anjing putih terlihat sebagai yang lemah.[27] Pada pelbagai masa semasa kewujudan baka ini, ia telah dianggap sebagai cabang putih bagi kedua-dua baka terier Scotland dan cairn terrier.[28]

Laporan tentang kapal dari Armada Sepanyol yang dikaramkan di pulau Skye pada tahun 1588 menunjukkan bahawa kapal itu membawa anjing putih Sepanyol, yang keturunannya dikekalkan berbeza daripada baka lain oleh Suku Donald, termasuk keluarga para penghulu.[29] Keluarga lain di Skye memulihara kedua-dua anjing berwarna putih dan pasir. Sebuah keluarga sedemikian ialah Suku MacLeod dan ada laporan oleh keturunan mereka bahawa sekurang-kurangnya dua orang penghulu membela terier putih, termasuk "The Wicked Man" Norman MacLeod, dan cucu lelaki beliau Norman, yang menjadi penghulu selepas kematian beliau.[27]

George Campbell, Duke Argyll ke-8, penghulu Suku Campbell, membiakbakakan baka terier putih Scotland yang dikenali sebagai "terier Roseneath".[30] Satu lagi baka terier putih Scotland juga muncul pada ketika ini, dengan Dr. Americ Edwin Flaxman dari Fife yang mengembangkan susur galur "terier Pittenweem" beliau daripada seekor terier Scotland betina yang menghasilkan anak putih.[30] Anjing ini seolah-olah menghasilkan anak anjing putih ini tanpa mengira bapa yang dengannya ia dibiakbakakan, dan selepas melemaskan lebih daripada 20 ekor anak ini, beliau membangkitkan teori bahawa ini ialah sifat purba terier Scotland yang mencuba untuk muncul semula. Beliau mendedikasikan program pembiakbakaan beliau semula untuk menghasilkan terier putih Scotland dengan tujuan untuk memulihkannya kepada kedudukan sama seperti baka berwarna gelap. Flaxman dikreditkan dengan kelas yang ditambahkan ke dalam pertunjukan anjing untuk terier putih Scotland menjelang penghujung abad ke-19.[31]

Sekeping fotograf hitam putih tentang seekor terier putih kecil yang kelihatan sangat serupa dengan baka moden
Seekor terier putih Tanah Tinggi Barat yang difotografkan pada 1915

Orang yang paling berkait rapat dengan perkembangan baka moden terier putih Tanah Tinggi Barat ialah Edward Donald Malcolm, Laird Poltalloch ke-16. Malcolm memilik terier yang digunakan untuk mengerjakan buruan; kisah yang diceritakan ialah bahawa seekor terier berwarna perang kemerah-merahan disalah anggap sebagai rubah dan ditembak. Ikutan itu, Malcolm membuat keputusan untuk mengembangkan baka terier putih, yang kemudian dikenali sebagai "terier Poltalloch". Generasi pertama terier Poltalloch mempunyai lapis bulu berwarna pasir dan telah membentuk telinga mencucuk yang merupakan trait yang dilihat kemudian pada baka moden.[30] Tidak ada pengetahuan sama ada terier Poltalloch dan terier Pittenweem dibiakbakakan secara menyaling.[30] Pada tahun 1903, Malcolm mengisytiharkan bahawa beliau tidak ingin dikenali sebagai pencipta baka ini dan bertegas agar baka terier putih beliau dinamai semula. Istilah "terier putih Tanah Tinggi Barat" pertama kali muncul dalam Otters and Otter Hunting karya L.C.R. Cameron, yang diterbitkan pada tahun 1908.[30][32]

Kelab baka pertama didirikan pada tahun 1904; Niall Campbell, Duke Argyll ke-10, ialah presiden pertama persatuan itu. Kelab kedua kemudiannya didirikan, dengan Countess Aberdeen sebagai pengerusi. Edward Malcolm menggantikan countess sebagai pengerusi kedua kelab itu. Pengiktirafan The Kennel Club menyusul pada tahun 1907 dan baka ini muncul dalam Crufts buat kali pertama pada tahun sama.[30] Westie telah diimport ke Amerika Syarikat pada tahun 1907–1908, apabila Robert Goelet mengimport Ch. Kiltie dan Ch. Rumpus Glenmohr. Pada mulanya, ia juga dikenali pada masa itu sebagai terier Roseneath dan Roseneath Terrier Club diiktiraf oleh American Kennel Club pada tahun 1908. Kelab itu telah dinamai semula pada tahun berikutnya kepada West Highland White Terrier Club of America.[28] Baka ini meluangkan tempoh yang serta-merta menyusul sebagai baka "bergaya",[33] setelah menjadi popular hampir serta-merta selepas ketibaannya di Amerika Syarikat.[33] Pengiktirafan Canadian Kennel Club menyusul pada tahun 1909.[30] Sehingga tahun 1924 di United Kingdom, pedigri westie diizinkan untuk mempunyai cairn terrier dan terier Scotland dalamnya. Menjelang kematian Malcolm pada tahun 1930, jenis stabil telah muncul dengan telinga menucuk, lapis bulu putih, dan belakang pendek.[30]

Seekor terier putih yang difotografkan dari sisi, ia mempunyai bulu lebih panjang daripada normal yang mencecah sehingga sejauh kakinya, bulu di kepalanya terangkat.
Seekor westie dengan gaya potongan bulu moden

Dalam pertunjukan pengakuran besar, baka ini telah sama-sama berjaya di kedua-dua belah Atlantik. Anggota pertama baka ini yang memenangi kejuaraan pertunjukan ialah Ch. Morvan pada tahun 1905, yang dimiliki oleh Colin Young. Anjing ini didaftarkan pada masa itu sebagai terier Scotland dan memenangi gelaran itu dalam pertunjukan Scottish Kennel Club pada usia tujuh bulan. Oleh sebab baka ini belum diiktiraf secara bebas, gelaran kejuaraan tidak dikekalkan apabila anjing ini didaftarkan semula sebagai terier putih Tanah Tinggi Barat.[30] Kemenangan pertama dalam pertunjukan besar tiba dalam Pertunjukan Anjing Westminster Kennel Club pada tahun 1942 apabila Ch. Wolvey Pattern of Edgerstoune milik Constance Winant memenangi gelaran Best in Show.[34] Gelaran sama diperoleh oleh Ch. Elfinbrook Simon milik Barbara Worcester pada tahun 1962.[35] Masa 14 tahun lagi berlalu sebelum baka ini mendapat gelaran Best in Show pertamanya dalam Crufts, pertunjukan anjing besar di United Kingdom. Ch. Dianthus Buttons, yang dimiliki oleh Kath Newstead dan Dorothy Taylor, memperoleh gelaran itu untuk baka ini pada tahun 1976.[36] Seekor westie juga memenangi Crufts pada tahun 1990 dengan gelaran Best in Show yang diberikan kepada Ch. Olac Moon Pilot milik Derek Tattersall[37] dan pada tahun 2016 kepada Burneze Geordie Girl.

Kepopularan baka ini semasa awal abad ke-20 adalah sehingga anjing ini pernah ditukar dengan ratusan guinea.[38] Setakat tahun 2010, westie ialah baka terier ketiga paling popular di United Kingdom, dengan 5,361 ekor anak anjing yang berdaftar dengan The Kennel Club. Walau bagaimanapun, ini ialah penurunan bilangan sejak tahun 2001, semasa ia merupakan baka terier paling popular, dengan 11,019 ekor anjing baharu yang berdaftar.[39] Kedudukan baka ini di Amerika Syarikat adalah lebih stabil apabila ia kekal dalam sepertiga teratas daripada semua baka sejak sekitar tahun 1960.[28] Ia dinilai sebagai yang ke-30 paling popular pada tahun 2001, berdasarkan pendaftaran dengan American Kennel Club, yang berubah-ubah sekitar lingkungan 30-an dalam dekad selepas itu, dengan kedudukan ke-34 pada 2010.[40] Ia merupakan baka AKC ke-44 paling popular pada tahun 2020.[41]

Catatan[sunting | sunting sumber]

  1. ^ Jawi: تيريئر ڤوتيه تانه تيڠݢي بارت; bahasa Inggeris: West Highland white terrier

Rujukan[sunting | sunting sumber]

Kutipan[sunting | sunting sumber]

  1. ^ "West Highland White Terrier". The Kennel Club (dalam bahasa Inggeris). Dicapai pada 23 Januari 2024.
  2. ^ a b c d e f Palika, Liz (2007). The Howell Book of Dogs (dalam bahasa Inggeris). Hoboken, New Jersey, Amerika Syarikat: Wiley. m/s. 383. ISBN 978-0-470-00921-5 – melalui Google Books.
  3. ^ a b c d e Kern, Kerry V (1988). The New Terrier Handbook (dalam bahasa Inggeris). New York, New York, Amerika Syarikat: Barron's. m/s. 133. ISBN 978-0-8120-3951-1 – melalui Google Books.
  4. ^ a b Bruette (1921): hlm. 191
  5. ^ Dekkers, Carly (7 Oktober 2019). "Poodle Terrier Mix: See How Incredible This Hybrid Breed Is". petdt.com (dalam bahasa Inggeris). Dicapai pada 6 Mac 2024.
  6. ^ a b Rice (2002): hlm. 6
  7. ^ "Westie Earthdog or 'Going-to-Ground'". West Highland White Terrier Club of America (dalam bahasa Inggeris). Dicapai pada 6 Mac 2024.
  8. ^ Coren, Stanley (2006). The Intelligence of Dogs (dalam bahasa Inggeris). London, United Kingdom: Pocket Books. m/s. 124. ISBN 978-1-4165-0287-6.
  9. ^ "Westie FAQs" (dalam bahasa Inggeris). West Highland White Terrier Club of America. Dicapai pada 6 Mac 2024.
  10. ^ "West Highland White Terrier Health Survey Final Report" (PDF). 20 February 2007 (dalam bahasa Inggeris). West Highland White Terrier Club of America. Dicapai pada 6 Mac 2024.
  11. ^ O'Neill, D. G.; Church, D. B.; McGreevy, P. D.; Thomson, P. C.; Brodbelt, D. C. (2013). "Longevity and mortality of owned dogs in England" (PDF). The Veterinary Journal (dalam bahasa Inggeris). 198 (3): 638–643. doi:10.1016/j.tvjl.2013.09.020. PMID 24206631.
  12. ^ Leroy, G. G.; Phocas, F.; Hedan, B.; Verrier, E.; Rognon, X. (2015). "Inbreeding impact on litter size and survival in selected canine breeds" (PDF). The Veterinary Journal (dalam bahasa Inggeris). 203 (1): 74–78. doi:10.1016/j.tvjl.2014.11.008. PMID 25475165. S2CID 27631883. mean=11.89 ± 3.92 median=12.93
  13. ^ Ackerman (2011): hlm. 115
  14. ^ Cox, Charlotte (6 Mei 2016). "Puppy farmer Grace Banks jailed for selling sick dogs... while on bail for selling sick dogs". Manchester Evening News (dalam bahasa Inggeris). Dicapai pada 6 Mac 2024.
  15. ^ Ackerman (2011): hlm. 116–117
  16. ^ Grayson, J. Kevin. "2007 West Highland White Terrier Health Survey Final Report" (PDF) (dalam bahasa Inggeris). Westie Foundation of America and the Health Committee of the WHWTCA. Dicapai pada 6 Mac 2024.
  17. ^ Gross, Thelma Lee (2005). Skin diseases of the dog and cat (dalam bahasa Inggeris). Ames, Iowa, Amerika Syarikat: Blackwell Science. m/s. 146–148. ISBN 978-0-632-06452-6.
  18. ^ Ackerman (2011): hlm. 105
  19. ^ Ackerman (2011): hlm. 155
  20. ^ Ackerman (2011): hlm. 108
  21. ^ Ackerman (2011): hlm. 125
  22. ^ Ackerman (2011): hlm. 126
  23. ^ Ackerman (2011): hlm. 134
  24. ^ Rhodes, Karen Helton; Werner, Alexander H. (25 Januari 2011). Blackwell's Five-Minute Veterinary Consult Clinical Companion (dalam bahasa Inggeris). Ames, Iowa, Amerika Syarikat: Wiley-Blackwell. m/s. 94. ISBN 978-0-8138-1596-1.
  25. ^ NISHIFUJI, Koji; PARK, Seong-Jun; IWASAKI, Toshiroh (2007). "A Case of Hyperplastic Dermatosis of the West Highland White Terrier Controlled by Recombinant Canine Interferon-.GAMMA. Therapy" (PDF). Journal of Veterinary Medical Science (dalam bahasa Inggeris). Persatuan Sains Veterinar Jepun. 69 (4): 455–457. doi:10.1292/jvms.69.455. ISSN 0916-7250.
  26. ^ Rhodes, Karen Helton; Werner, Alexander H. (25 Januari 2011). Blackwell's Five-Minute Veterinary Consult Clinical Companion (dalam bahasa Inggeris). Ames, Iowa, Amerika Syarikat: Wiley-Blackwell. m/s. 459. ISBN 978-0-8138-1596-1.
  27. ^ a b Smith (1921): hlm. 84
  28. ^ a b c Rice (2002): hlm. 5
  29. ^ Dalziel, Hugh (1879). British dogs; their varieties, history, characteristics, breeding, management and exhibition (dalam bahasa Inggeris). London, United Kingdom: The Bazaar Office. m/s. 350.
  30. ^ a b c d e f g h i Horter, Ria (April 2009). "Col. Edward Donald Malcolm, 16th Laird of Poltalloch, and the West Highland White Terrier" (PDF) (dalam bahasa Inggeris). Dogs in Canada. Dicapai pada 6 Mac 2024.
  31. ^ Lane, Charles Henry (1902). Dog shows and doggy people (dalam bahasa Inggeris). London, United Kingdom: Hutchinson. m/s. 100–102.
  32. ^ Cameron, Ludovick Charles Richard Duncombe-Jewell (1908). Otters and otter-hunting (dalam bahasa Inggeris). New York, New York, Amerika Syarikat: C. Scribner's Sons. m/s. 43.
  33. ^ a b Hochwell, A. F. (1925). Dogs as home companions; a book for all dog lovers (dalam bahasa Inggeris). Cincinnati, Ohio, Amerika Syarikat: Sportsman's Digest. m/s. 26–29.
  34. ^ "She Asked For It". Time (dalam bahasa Inggeris). 23 Februari 1942. Diarkibkan daripada yang asal pada 7 Mac 2008. Dicapai pada 6 Mac 2024.
  35. ^ "Fads: The Poodle Dethroned". Time (dalam bahasa Inggeris). 23 Februari 1962. Diarkibkan daripada yang asal pada 26 September 2008. Dicapai pada 6 Mac 2024.
  36. ^ Dogworld: Digital Crufts Edition (2010): hlm. 84
  37. ^ Dogworld: Digital Crufts Edition (2010): hlm. 88
  38. ^ Smith (1921): hlm. 85
  39. ^ "Comparative Tables of Registrations for the Years 2001–2010 Inclusive" (PDF) (dalam bahasa Inggeris). The Kennel Club. Diarkibkan daripada yang asal (PDF) pada 31 Januari 2012. Dicapai pada 6 Mac 2024.
  40. ^ "AKC Dog Registration Statistics" (dalam bahasa Inggeris). American Kennel Club. Dicapai pada 6 Mac 2024.
  41. ^ Reisen, Jan (16 Mac 2021). "The Most Popular Dog Breeds of 2020". American Kennel Club (dalam bahasa Inggeris). Dicapai pada 6 Mac 2024.

Bibliografi[sunting | sunting sumber]