Pergi ke kandungan

Tevaram

Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.
Salah satu sebutan terawal mengenai penyanyi Tevaram ditemui dalam prasasasti Nandivarman II Tiruvallam pada abad ke-8, yang terukir di dinding utara Kuil Vilwanatheswarar (baris ke-32). Di atas adalah sebahagian daripada prasasti awal Tiruvallam, yang ditulis dalam bahasa Tamil dan Sanskrit, menggunakan skrip Tamil dan Grantha.

Tevaram ( Tamil: தேவாரம் , Tēvāram ) juga dieja sebagai Thevaram, merujuk kepada tujuh jilid pertama daripada koleksi dua belas jilid Tirumurai, sebuah naratif Shaiva yang mengisahkan wira-wira epik dan Purana, serta catatan hagiografi mengenai orang-orang alim Shaiva awal yang disampaikan dalam bentuk puisi keagamaan. [1] Jilid-jilid Tevaram mengandungi karya tiga orang alim Shaiva Tamil yang paling terkenal pada abad ke-7 dan ke-8: Sambandar, Appar, dan Sundarar. [2] [3] [4] Ketiga-tiga orang alim ini bukan sahaja menzahirkan keperibadian mereka dalam pengabdian kepada Shiva, tetapi juga menggerakkan komuniti para penganut melalui nyanyian mereka. Karya mereka menjadi sumber penting dalam memahami pergerakan Shaiva Bhakti di India Selatan pada zaman pertengahan awal. [5] [6]

Pada abad ke-10, semasa pemerintahan Rajaraja I dari dinasti Chola, himne-himne (puji-pujian keagamaan) para santo ini dikumpulkan dan disusun oleh Nambiyandar Nambi. Bermula dengan Tevaram bersama keseluruhan Tirumurai dan berakhir dengan Periya Puranam, ajaran Shaiva dalam bahasa Tamil memperoleh satu set teks suci kanonik yang merangkumi ritual, falsafah, dan teologi. Perkembangan ini menandakan kematangan gerakan Shaiva Tamil, seiring dengan peluasan serta pengukuhan kuasa empayar Chola pada abad ke-11 Masihi. [7] Tevaram mengandungi 796 himne yang terdiri daripada 8,284 rangkap. [8] Himne-himne ini masih dinyanyikan secara Bhakti pada zaman moden di banyak kuil Shiva di Tamil Nadu. [9]

Etimologi

[sunting | sunting sumber]

Perkataan Tēvāram boleh ditafsirkan dalam dua cara. Pertama, sebagai "Tēva" dan "Āram", yang bermaksud "kalungan untuk Tuhan [Shiva]". [10] Kedua, sebagai "Tē" dan "Vāram", yang bermaksud "membangkitkan kasih kepada Tuhan". [10]

Tevaram juga telah ditafsirkan sebagai "ibadat ritual peribadi", di mana istilah "varam" muncul dalam inskripsi kuil dengan makna "kuil Tuhan". [8]

Patung aloi tembaga yang menggambarkan Sambandar, akhir abad ke-11

Himne (puji-pujian keagamaan)

[sunting | sunting sumber]

Tevaram mempunyai 796 himne, dan setiap himne mengandungi padhikam( Tamil: பதிகம் ). Hampir kesemua himne dalam Tevaram mengandungi sepuluh atau sebelas rangkap. Setiap rangkap terdiri daripada empat baris dalam bentuk melodi, dengan ulangan (refrain) yang tertanam di dalamnya.[11]Himne-himne Sambandar dan Sundarar juga mengandungi tandatangan atau koda dalam rangkap terakhir, di mana penyair-santo menyatakan maklumat peribadi, manfaat mendengar atau menyanyikan himne tersebut, atau konteks penciptaan himne itu. [11] Himne-himne Appar juga mengandungi tandatangan atau koda dalam rangkap terakhir. Namun, ia secara khas dikaitkan dengan Ramayana, melalui pengabdian Ravana kepada Shiva sebelum dia menyimpang dan menjadi jahat.. [11]

Himne-himne ini disusun mengikut muzik yang ditandakan dengan pann, yang merangkumi ragam (melodi) dan talam (ritma). Manuskrip tradisional mengatur himne berdasarkan mod muzik, yang dikenali sebagai panmurai. . [11] Himne-himne Tevaram disusun dalam 23 daripada 103 skala pann dalam muzik Tamil purba. Himne ini dimaksudkan untuk dinyanyikan dengan iringan alat muzik bertali, seperti "yal". [11] Nyanyian profesional ayat-ayat suci Tevaram di kuil-kuil besar Shiva telah menjadi tradisi Tamil sejak sekurang-kurangnya abad ke-11 [11]

Puisi-puisi Appar bersifat emosional dan merupakan bentuk penyembahan Shiva yang sangat peribadi. [12] Metafora yang digunakan dalam puisi-puisi Appar mempunyai pengaruh agraria yang mendalam, menjadikannya lebih dekat dengan masyarakat umum dan memudahkan mereka memahami serta menghayati bait-bait himne tersebut.. [13]Petikan di bawah adalah sebuah lagu popular karya Appar yang mengagungkan Shiva dengan gaya bahasa yang ringkas dan mudah difahami: [14]

மாசில் வீணையும் மாலை மதியமும்
வீசு தென்றலும் வீங்கிள வேனிலும்
மூசு வண்டறை பொய்கையும் போன்றதே
ஈசன் எந்தை இணையடி நீழலே

Seperti Veena yang merdu dan bulan malam yang sejuk,
Seperti angin sepoi-sepoi dan musim bunga yang muda,
Seperti tasik dengan lebah yang berdengung,
Begitulah bayang kedua kaki tuanku.
— Appar

Himne-himne Sundarar mempunyai sentuhan humor. Dalam salah satu rangkapnya, beliau secara berseloroh membuat analogi antara dirinya dan Shiva, kerana kedua-duanya mempunyai dua isteri serta menghadapi keperluan dan kerenah isteri yang suka membebel. [15]

Engkau separuh wanita, dirimu sendiri,
Ganga berada di rambut panjangmu,
Pasti engkau memahami sepenuhnya,
Beban wanita yang begitu jelita.
– Sundarar

  1. ^ Cort 1998.
  2. ^ Ignatius Hirudayam, "Canonical Books of Saivism and Vaishnavism in Tamil and Sanskrit" in Menachery 2010
  3. ^ Cutler 1987
  4. ^ Zvelebil 1974
  5. ^ Sabaratnam 2001
  6. ^ Schüler 2009
  7. ^ Cort 1998, halaman 178
  8. ^ a b R. Champakalakshmi 2007.
  9. ^ Sabaratnam 2001, halaman 24
  10. ^ a b Kandiah 1973.
  11. ^ a b c d e f Peterson 1989.
  12. ^ Zvelebil 1974, halaman 95
  13. ^ Sabaratnam 2001, halaman 27
  14. ^ Das 2005, halaman 35
  15. ^ Das 2005, halaman 34

 

Bacaan lanjut

[sunting | sunting sumber]
  • "Karnatak music". Encyclopædia Britannica. 1 April 2020.
  •  
  • Shulman, David Dean (1990). Songs of the Harsh Devotee: The Tēvāram of Cuntaramūrttināyan̲ār. Philadelphia: Dept. of South Asia Regional Studies, University of Pennsylvania. ISBN 9780936115078. OCLC 21227471.
  • Keaslian Sthala Puranas, petikan daripada Hindu Dharma karya Jagadguru Shri Chandrasekharendra Saraswati Swamigal yang diterjemahkan ke dalam bahasa Inggeris
  • Digital Tevaram, oleh French Institute of Pondicherry, mengandungi terjemahan bahasa Inggeris bagi keseluruhan Tevaram
  • Project Madurai, repositori kesusasteraan Tamil purba dalam PDF
  • Lagu-lagu Tevaram, fail audio lagu raya boleh didapati di Shaivam.org
  • Thevaaram.org, tapak web Dharmapuram Adheenam yang memberikan transliterasi & terjemahan Tirumurai