The ZON Johor Bahru

Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.
Lompat ke: pandu arah, cari

The ZON Johor Bahru ialah sebuah pusat perniagaan pelbagai kegunaan milik Naluri Corporation Bhd di Stulang, Johor Bahru, Johor, yang terkenal kerana berstatus bebas cukai di tebing Selat Johor. Ia merupakan hasil pengubahsuaian zon bebas cukai lama yang diusahakan oleh Kelana Megah, sebuah anak syarikat Sriwani Holdings yang mula-mula menguruskan zon lama ini yang dibuka pada tahun 1988 lalu diisytiharkan sebagai bebas cukai.[1] Setelah kerja pengubahsuaian siap, The Zon baru ini diserahkan kepada Naluri pada tahun 2004.

Pusat perniagaan ini terdiri daripada pusat beli-belah, hotel, pusat hiburan, dan perhentian feri.

The ZON Mall[sunting | sunting sumber]

The ZON Mall merupakan ciri utama The ZON yang terdiri daripada bangunan lima tingkat berisi 180 ruang kedai yang jumlah keluasannya 300,000 kaki persegi (28,000 m²). Antara kedai-kedai yang terletak dalam medan beli-belah termasuk butik pakaian, kedai barang keperluan, restoran, dan kedai-kedai bebas cukai (dikecualikan dari duti import, cukai jualan atau eksais) yang menjual barangan-barangan bermutu tinggi termasuk coklat, arak dan hasil tembakau, kepada pelanggan yang layak khususnya pelancong. Tidak lupa juga gedung serbaneka dan pasar raya berjenama sendiri (The ZON Department Store) yang menduduki ruang seluas 150,000 kaki persegi (14,000 m²).

The ZON Regency Hotel[sunting | sunting sumber]

"The ZON Regency Hotel by the Sea" adalah bangunan hotel dalam The ZON yang terletak menghadap Selat Johor. Tempat penginapan berkelas bisnes ini dilengkapi 400 bilik, iaitu 367 bilik mewah dan 33 suite, serta kemudahan kolam renang, gimnasium, spa, kelab hiburan, restoran dan tempat letak kereta.

Fun ZON[sunting | sunting sumber]

Fun ZON adalah "projek elit" yang terletak di kawasan terbuka berhampiran di antara pintu masuk hotel dan pusat beli-belah dan terminal feri, diisi oleh premis-premis pusat hiburan seperti kelab malam, kedai arak, pusat karaoke dan sebagainya. Di tengah-tengah ruangan ini ada pancutan air.

Terminal feri Stulang Laut[sunting | sunting sumber]

Terminal feri The Zon di Stulang Laut ialah sebuah dan pintu masuk utama ke bahagian selatan Semenanjung Malaysia. Perkhidmatan feri di sini menganngkut penumpang berulang-alik dari Johor Bahru ke Pulau Batam dan Pulau Bintan di Indonesia, dan juga Tanjung Belungkor di Johor. Juga disediakan di perhentian ini ialah perkhidmatan "Cruise to Nowhere", iaitu percutian atas kapal MS Royale Star.

Rujukan[sunting | sunting sumber]

  1. "Sriwani to redevelop Johor Bahru duty-free zone", DFNIonline.com, 19 April 2002. Dicapai pada 7 April 2010. 

Pautan luar[sunting | sunting sumber]