Pergi ke kandungan

Tim Walz

Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.
Tim Walz
Walz pada tahun 2024
Gabenor Minnesota ke-41
Menyandang jawatan
7 Januari 2019
LeftenanPeggy Flanagan
Didahului olehMark Dayton
Ahli Berperingkat Jawatankuasa Hal Ehwal Veteran Dewan
Dalam jawatan
3 Januari 2017 – 3 Januari 2019
Didahului olehMark Takano (pemangku)
Digantikan olehPhil Roe
Ahli Dewan Perwakilan Amerika Syarikat untuk
Daerah Kongres Minnesota ke-1
Dalam jawatan
3 Januari 2007 – 3 Januari 2019
Didahului olehGil Gutknecht
Digantikan olehJim Hagedorn
Maklumat peribadi
Lahir
Timothy James Walz

(1964-04-06) 6 April 1964 (umur 61)
West Point, Nebraska, A.S.
Parti politikDemokrat
PasanganGwen Whipple (k. 1994)
Anak2
PendidikanKolej Negeri Chadron (BS)
Universiti Negeri Minnesota, Mankato (MS)
TandatanganTandatangan
Walz dalam tentera pada tahun 1981

Timothy James Walz (lahir 6 April 1964) ialah seorang ahli politik Amerika Syarikat, bekas guru sekolah, dan pegawai tidak tauliah Tentera Amerika Syarikat yang berkhidmat sebagai Gabenor Minnesota ke-41 sejak 2019. Sebagai ahli Parti Demokrat, beliau ialah calon untuk Naib Presiden dalam pilihan raya presiden Amerika Syarikat 2024. Beliau merupakan ahli Dewan Perwakilan Amerika Syarikat dari 2007 hingga 2019, mewakili daerah kongres pertama Minnesota.

Walz dilahirkan di West Point, Nebraska. Selepas tamat sekolah menengah, beliau menyertai Pengawal Kebangsaan Tentera Darat dan bekerja dalam pekerjaan pembuatan. Beliau kemudian memperoleh ijazah mengajar dari Kolej Negeri Chadron di Nebraska sebelum berpindah ke Minnesota pada tahun 1996. Sebelum bertanding untuk Kongres, beliau ialah seorang guru kajian sosial dan jurulatih Bola sepak Amerika di daerah sekolah Mankato. Beliau terpilih ke Dewan Perwakilan Amerika Syarikat bagi daerah kongres ke-1 Minnesota pada tahun 2006, menewaskan penyandang daripada Parti Republikan selama enam penggal, Gil Gutknecht. Beliau dipilih semula lima kali, dan meletak jawatan pada tahun 2019 selepas terpilih sebagai Gabenor. Walz mewakili sebahagian besar kawasan luar bandar di selatan Minnesota yang terletak di sepanjang sempadan dengan Iowa.

Walz terpilih sebagai Gabenor Minnesota pada November 2018, menewaskan calon Parti Republikan, pesuruhjaya Hennepin County, Jeff Johnson.[1] Beliau dipilih semula pada tahun 2022, menewaskan calon Parti Republikan, Scott Jensen.[2][3] Semasa penggal kedua beliau, Walz mendorong dan menandatangani pelbagai undang-undang yang merangkumi pengubahsuaian cukai, program makanan sekolah percuma, memperkukuh infrastruktur negeri, pemeriksaan latar belakang senjata api, mengkodifikasikan hak pengguguran dan pengajian tinggi percuma untuk keluarga berpendapatan rendah.

Pada 6 Ogos 2024, Naib Presiden Kamala Harris mengumumkan pemilihan Walz sebagai gandingannya dalam pilihan raya presiden Amerika Syarikat 2024.[4][5][6]

Kehidupan awal dan pendidikan

[sunting | sunting sumber]

Timothy James Walz dilahirkan pada 6 April 1964 di Hospital Memorial, West Point, Nebraska. Ibunya, Darlene Rose Reiman, seorang suri rumah yang dibesarkan dalam suasana ladang, manakala bapanya, James Frederick Walz, seorang guru yang berkhidmat sebagai nazir sekolah dan pernah menyertai angkatan tentera Amerika Syarikat semasa Perang Korea. Sewaktu kecil, bapanya juga bekerja di sebuah kedai daging milik keluarga. Walz memiliki susur galur keturunan yang pelbagai yang merangkumi darah Jerman, Sweden, Luxembourg dan Ireland. Moyangnya, Sebastian Walz, berhijrah dari Kuppenheim, Jerman, ke Amerika Syarikat pada tahun 1867, manakala salah seorang neneknya berasal dari Sweden dan salah seorang moyang perempuannya pula berdarah Ireland.

Dalam persekitaran keluarga yang berpegang teguh kepada ajaran Katolik, beliau membesar bersama tiga adik-beradiknya di pekan kecil Valentine, Nebraska, berdekatan sempadan Dakota Selatan, sebuah kawasan yang dikelilingi ladang dan penternakan. Sejak kecil, Walz aktif dalam sukan. Beliau melibatkan diri dalam ragbi, bola keranjang dan larian trek ketika di bangku sekolah. Di luar sesi persekolahan, beliau sering menghabiskan masa memburu bersama rakan-rakan. Namun, kehidupannya berubah sewaktu di sekolah menengah apabila bapanya, seorang perokok tegar, disahkan menghidap kanser paru-paru. Demi keselesaan dan sokongan keluarga, mereka sekeluarga berpindah ke Butte, Nebraska, sebuah kawasan desa yang lebih dekat dengan keluarga sebelah ibunya. Pada musim panas, Walz bekerja di ladang keluarga. Pada tahun 1982, beliau menamatkan persekolahan di Sekolah Tinggi Butte dalam sebuah kelas kecil yang hanya mempunyai 25 orang pelajar. Walz kemudian menyambung pengajian di Kolej Negeri Chadron, Nebraska.

Bapa Walz meninggal dunia pada awal tahun 1984. Pemergian bapanya telah menyebabkan ibunya dan adiknya bergantung pada bantuan sosial untuk meneruskan kehidupan. Sejak itu, ia menjadi titik perubahan besar buat Walz yang akhirnya membawa diri ke Texas. Di sana, beliau mengambil kursus Pengajian Asia Timur di Universiti Houston sambil menyertai Pengawal Kebangsaan Tentera Texas. Beberapa tahun berikutnya, Walz meneruskan pengembaraannya ke Jonesboro, Arkansas, di mana beliau bekerja di sebuah kilang pemasangan katil penyamakan kulit dan turut berkhidmat sebagai tenaga pengajar dalam Pengawal Kebangsaan Tentera Arkansas.

Pada tahun 1987, Walz kembali ke Nebraska dan menyambung pengajian di Kolej Negeri Chadron. Beliau bukan sahaja menunjukkan kecemerlangan akademik, malah aktif dalam kerajaan pelajar. Beliau berjaya menamatkan pengajian pada tahun 1989 dengan memperoleh Ijazah Sarjana Muda Sains dalam Pendidikan Sains Sosial.

Kerjaya awal

[sunting | sunting sumber]

Setelah menamatkan pengajian di Kolej Negeri Chadron, Walz menerima tawaran mengajar selama setahun di Foshan No.1 High School, Guangdong, China, melalui program WorldTeach. Beliau memulakan tugasnya pada Ogos 1989, hanya beberapa bulan selepas peristiwa berdarah di Dataran Tiananmen, suatu ketika yang menyaksikan tindakan keras kerajaan China terhadap protes mahasiswa. Sekembalinya ke Amerika Syarikat, Walz menjadi guru dan jurulatih di Alliance, sebuah bandar kecil berpenduduk sekitar 10,000 orang di barat Nebraska. Beliau dianugerahkan "Outstanding Young Nebraskan" oleh Nebraska Junior Chamber of Commerce pada tahun 1993.

Ketika berkhidmat sebagai guru, Walz bertemu dengan Gwen Whipple, yang juga seorang guru. Mereka mendirikan rumah tangga pada tahun 1994 dan dua tahun kemudian berpindah ke Mankato, Minnesota, kampung halaman Gwen. Di sana, Walz meneruskan perkhidmatannya sebagai guru geografi dan jurulatih ragbi di Mankato West High School. Pada awalnya, pasukan ragbi sekolah itu mengalami rentetan kekalahan sebanyak 27 perlawanan berturut-turut. Namun, di bawah bimbingannya, mereka meraih kejayaan dengan menjuarai kejuaraan negeri buat pertama kali dalam sejarah sekolah pada tahun 1999.

Pada tahun yang sama, Walz menjadi penasihat pertama untuk kelab perikatan gay–straight di sekolah tersebut. Baginya, penting untuk membuktikan bahawa seorang lelaki yang straight, sudah berkeluarga, seorang jurulatih ragbi serta bekas tentera masih boleh berdiri bersama komuniti yang berbeza dan menyokong keharmonian sosial. Di samping kerjayanya sebagai pendidik, Walz dan isterinya turut mengusahakan syarikat Educational Travel Adventures selama sembilan tahun. Syarikat ini menganjurkan lawatan pendidikan musim panas ke China bagi pelajar sekolah menengah. Pada tahun 2002, Walz menambah lagi pencapaiannya dengan memperoleh Ijazah Sarjana dalam Pendidikan Pengalaman dari Universiti Negeri Minnesota, Mankato. Tesis sarjananya meneliti pendekatan pendidikan tentang Holocaust. Akhirnya, pada Mac 2006, Walz mengambil cuti daripada profesion perguruan dan melangkah ke dunia politik dengan bertanding dalam pilihan raya Kongres.

Perkhidmatan ketenteraan

[sunting | sunting sumber]

Dengan dorongan daripada bapanya, Walz mendaftar dalam Pengawal Kebangsaaan Amerika Syarikat dua hari selepas mencapai usia 17 tahun. Ayahnya, yang pernah berkhidmat semasa Perang Korea, menggunakan G.I. Bill untuk mendapatkan ijazah dan beliau ingin anaknya menikmati peluang yang sama.

Walz berkhidmat dalam Pengawal Kebangsaan selama 24 tahun bermula pada tahun 1981. Sepanjang kerjaya ketenteraannya, beliau ditempatkan di pelbagai lokasi termasuk Arkansas, Texas, berhampiran Bulatan Artik di Norway, New Ulm (barat laut Mankato), Itali dan banyak lagi. Dikenali dengan kemahiran dalam artillery berat, beliau turut terlibat dalam tugasan bantuan bencana selepas banjir dan taufan serta dihantar ke luar negara untuk pelbagai operasi ketenteraan. Pada tahun 1989, Walz dianugerahkan Nebraska Citizen-Soldier of the Year. Setelah menyelesaikan 20 tahun perkhidmatan, Walz dijangka bersara dari Pengawal Kebangsaan, namun serangan 11 September 2001 memberi impak besar kepada keputusan beliau untuk meneruskan perkhidmatan. Beliau memilih untuk reenlist dengan alasan bahawa serangan tersebut mencetuskan semangatnya untuk terus berkhidmat. Walz akhirnya bersara pada Ogos 2002, namun perkhidmatan beliau tidak berakhir di situ. Pada Ogos 2003, beliau dihantar bersama Minnesota National Guard ke Vicenza, Itali untuk sembilan bulan sebagai sebahagian daripada European Security Force dalam Operasi Enduring Freedom. Pada penghujung perkhidmatan ketenteraan beliau, Walz dinaikkan pangkat kepada command sergeant major dan merupakan askar tertinggi dalam 1st Battalion, 125th Field Artillery Regiment. Walz turut menerima beberapa anugerah ketenteraan, termasuk Army Commendation Medal, dua Army Achievement Medals, dua National Defense Service Medals, Global War on Terrorism Service Medal, dan Army Reserve Components Achievement Medal bersama lima kelompok daun oak.

Pada 10 Februari 2005, Walz menghantar dokumen rasmi untuk bertanding dalam Pilihan Raya Kongres AS. Pada bulan Mac, National Guard mengumumkan kemungkinan seramai 2,000 askar dari Minnesota National Guard akan dihantar ke Iraq dalam tempoh dua tahun. Walz menyatakan bahawa beliau akan menyertai misi tersebut jika dipanggil. Walau bagaimanapun, pada Mei, Walz memproses persaraannya untuk memberi fokus kepada kempen politiknya untuk mengelakkan sebarang pelanggaran terhadap Hatch Act yang melarang pegawai kerajaan persekutuan daripada terlibat dalam aktiviti politik tertentu. Walz bersara pada 16 Mei 2005, dua bulan sebelum unitnya diberitahu pada 14 Julai tentang kemungkinan penghantaran mereka ke Iraq. Unit tersebut kemudian dihantar ke Iraq pada Mac 2006, sepuluh bulan selepas Walz bersara.

Sepanjang perjalanan politiknya, para ahli Parti Republikan, terutamanya Donald Trump Jr., Charlie Kirk, dan JD Vance, menyerang Walz atas keputusan beliau untuk bersara sebelum unitnya dihantar ke Iraq, mengaitkannya dengan taktik serangan swiftboating. Walau bagaimanapun, rakan setugas Walz, Joe Eustice, menjelaskan bahawa pada masa itu, unit Walz belum menerima arahan rasmi tentang penghantaran mereka ke Iraq, dan ketua unit, Doug Julin, menyatakan bahawa Walz telah mendapat kelulusan untuk bersara daripada dua pegawai berpangkat lebih tinggi. Walz juga menjelaskan bahawa pangkat ketenteraannya yang terakhir, iaitu master sergeant, telah ditetapkan untuk tujuan faedah persaraan kerana beliau belum menyiapkan kursus akademik yang diperlukan untuk kekal sebagai command sergeant major sebelum bersara. Walz kemudian mengemas kini maklumat di laman web kempen rasmi beliau untuk menyatakan bahawa beliau "pernah berkhidmat di pangkat command sergeant major."

Walz tidak pernah dihantar ke zon perang aktif sepanjang kerjaya ketenteraannya. Namun, pada satu mesyuarat mengenai pengurangan keganasan senjata pada tahun 2018, beliau mengungkapkan: "Kita boleh pastikan senjata perang yang saya bawa dalam perang adalah tempat di mana senjata itu berada." Frasa "dalam perang" itu kemudiannya dikritik oleh JD Vance, dan kempen Kamala Harris membalas bahawa Walz "tersilap cakap".

Kehidupan peribadi

[sunting | sunting sumber]

Walz dan isterinya, Gwen (lahir pada tahun 1966), berkahwin pada tahun 1994. Selama tujuh tahun, keluarga ini menjalani rawatan kesuburan sebelum anak sulung mereka, Hope, dilahirkan.[7] Mereka tinggal di Mankato, Minnesota, selama hampir 20 tahun sebelum berpindah ke Saint Paul bersama dua anak mereka selepas Walz dipilih sebagai Gabenor.[8] Walz ialah ahli Gereja Evangelikal Lutheran di Amerika.[9][10][11]

Pada tahun 1995, beliau ditahan atas tuduhan memandu di bawah pengaruh alkohol. Beliau mengaku bersalah atas tuduhan yang dikurangkan kepada pemanduan melulu dan lesen memandunya digantung selama 90 hari. Sejak itu, beliau bukan lagi seorang peminum alkohol.[12][13][14]

Adik Walz, Craig, meninggal dunia selepas terkena pokok yang tumbang semasa ribut pada tahun 2016. Craig meninggalkan isteri dan anak lelaki mereka, yang mengalami kecederaan parah.[15][16]

Walz memiliki sebuah kenderaan luar jalan (off-road) International Scout, dan seekor anjing, juga bernama Scout.[17]

  1. ^ Coolican, J. Patrick (November 6, 2018). "Tim Walz defeats Jeff Johnson in high-stakes election for Minnesota governor". Star Tribune. Diarkibkan daripada yang asal pada January 29, 2020. Dicapai pada November 6, 2018.
  2. ^ Karnowski, Steve (8 November 2022). "Democrat Tim Walz wins 2nd term as Minnesota's governor". AP News. Dicapai pada 6 August 2024.
  3. ^ WCCO Staff (8 November 2022). "Gov. Walz wins against challenger Dr. Scott Jensen". www.cbsnews.com (dalam bahasa Inggeris). Diarkibkan daripada yang asal pada November 9, 2022. Dicapai pada 2022-11-09.
  4. ^ Epstein, Reid J. (2024-08-06). "Tim Walz Is Kamala Harris's Choice for Vice President: Live Election Updates". The New York Times (dalam bahasa Inggeris). ISSN 0362-4331. Diarkibkan daripada yang asal pada August 6, 2024. Dicapai pada 2024-08-06.
  5. ^ "Election 2024 live updates: Harris picks Minnesota Gov. Tim Walz as her running mate". AP News (dalam bahasa Inggeris). Diarkibkan daripada yang asal pada August 6, 2024. Dicapai pada 2024-08-06.
  6. ^ Ferguson, Dana (6 August 2024). "Harris taps Minnesota Gov. Tim Walz as her running mate". NPR. Dicapai pada 6 August 2024.
  7. ^ Campuzano, Eder (August 6, 2024). "Who is Tim Walz? Minnesota's governor and Kamala Harris' running mate, explained". Star Tribune (dalam bahasa Inggeris). Dicapai pada 2024-08-06.
  8. ^ Wang, Amy B; Rodriguez, Sabrina (6 August 2024). "Tim Walz's journey from high school football coach to VP candidate". Washington Post. Dicapai pada 6 August 2024.
  9. ^ "Elections 2008". Chicago Sun-Times. October 23, 2008. Diarkibkan daripada yang asal pada July 16, 2011. Dicapai pada October 24, 2008.
  10. ^ Wormald, Benjamin (2015-01-05). "Faith on the Hill: The Religious Affiliations of the 114th Congress". Pew Research Center's Religion & Public Life Project. Diarkibkan daripada yang asal pada September 23, 2021. Dicapai pada 2021-10-03.
  11. ^ Lisi, Clemente (2024-08-06). "Harris VP Pick Tim Walz A Lutheran With Connections To Minnesota's Muslim Community". Religion Unplugged (dalam bahasa Inggeris).
  12. ^ Ralat petik: Tag <ref> tidak sah; tiada teks disediakan bagi rujukan yang bernama :3
  13. ^ Racker, Mary Ann Akers,Mini (2024-08-06). "Meet Tim Walz, Harris' VP Pick Who First Called Trump 'Weird'". The Daily Beast (dalam bahasa Inggeris). Dicapai pada 2024-08-06.
  14. ^ Bennett, Brian (August 6, 2024). "What to Know About Tim Walz' 1995 Drunk Driving Charge". Time. Dicapai pada August 6, 2024.
  15. ^ Sederstrom, Noel. "Walz family gathers at St. Mary's in Duluth as rescued teen faces multiple surgeries" (dalam bahasa Inggeris). Diarkibkan daripada yang asal pada August 16, 2018. Dicapai pada August 15, 2018.
  16. ^ "Obituary: Craig Walz". Norfolk Daily News. July 2, 2016. Diarkibkan daripada yang asal pada July 29, 2024. Dicapai pada July 29, 2024.
  17. ^ Mathur, Anusha (August 6, 2024). "55 Things to Know About Tim Walz, Kamala Harris' Pick for VP". Politico.

Pautan luar

[sunting | sunting sumber]