Pergi ke kandungan

Tonggak pedaka (seni bina)

Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.
Tonggak pedaka pertama Kuil Isis, Philae

Tonggak pedaka (Inggeris: pylon) ialah pintu gerbang berbentuk monumen di sebuah kuil Mesir (Mesir: bxn.t dalam transliterasi Manuel de Codage[1]). Perkataan pylon berasal daripada istilah Yunani πυλών yang bermaksud ‘pintu gerbang’. Ia terdiri daripada dua menara berbentuk piramid yang meruncing ke atas dan mempunyai kornis di bahagian atasnya, disambungkan oleh satu bahagian yang lebih rendah yang mengandungi pintu masuk di antara kedua-duanya.[2] Pintu gerbang ini biasanya kira-kira separuh ketinggian menara tersebut. Lukisan-lukisan zaman itu yang menggambarkan tonggak pedaka menunjukkan ia dihiasi dengan tiang-tiang tinggi yang mengibarkan panji-panji.

Seni bina Mesir

[sunting | sunting sumber]
N27
Akhet 'ufuk')
dalam hieroglif Mesir

Dalam agama Mesir Purba, tonggak pedaka mencerminkan hieroglif akhet 'ufuk', yang menggambarkan dua bukit "tempat matahari terbit dan terbenam".[2] Oleh itu, ia memainkan peranan penting dalam seni bina simbolik bangunan yang berkaitan dengan tempat penciptaan semula dan kelahiran semula.

Kuil Luxor

Tonggak pedaka sering dihiasi dengan adegan yang menekankan kuasa raja kerana ia merupakan fasad sesebuah bangunan yang dapat dilihat khalayak awam.[2] Pada tonggak pedaka pertama kuil Isis di Philae, firaun digambarkan membunuh musuh-musuhnya sementara Isis, Horus dan Hathor memerhati. Contoh lain tonggak pedaka boleh dilihat di Karnak, Kuil Luxor dan Edfu. Upacara-upacara untuk dewa Amun sering dijalankan di atas tonggak pedaka kuil. Sepasang obelisk biasanya berdiri di hadapan tonggak pedaka.

Selain alur menegak pada permukaan luar dinding tonggak pedaka yang direka untuk memegang tiang bendera, beberapa tonggak pedaka juga mengandungi tangga dan bilik dalaman.[2] Tonggak pedaka tertua yang masih utuh berasal dari kuil pengebumian dari zaman Ramsisiyah pada abad ke-13 dan ke-12 SM.[2]

Seni bina kebangkitan semula

[sunting | sunting sumber]
Jambatan Pelabuhan Sydney

Baik seni bina Neoklasik mahupun seni bina Kebangkitan Mesir menggunakan bentuk tonggak pedaka, dengan kelab lelaki Boodle di London sebagai contoh gaya Neoklasik.

Abad ke-19 dan ke-20 menyaksikan seni bina tonggak pedaka digunakan untuk jambatan seperti Jambatan Pelabuhan Sydney dan sebagai monumen berdiri sendiri seperti Tonggak Pedaka Patcham di Brighton dan Hove, England.

Lihat juga

[sunting | sunting sumber]
  1. Ermann & Grapow, Wörterbuch der ägyptischen Sprache, vol.1, 471.9–11
  2. 1 2 3 4 5 Toby Wilkinson, The Thames and Hudson Dictionary of Ancient Egypt, Thames & Hudson, 2005. p.195

Pautan luar

[sunting | sunting sumber]
  • Kategori berkaitan Tonggak pedaka (seni bina) di Wikimedia Commons