Tudung Keringkam

Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.
Lompat ke: pandu arah, cari

Keringkam atau Selayah adalah selendang, tudung ataupun skaf tradisional yang dipakai oleh wanita Melayu di Sarawak. Ianya menjadi pelengkap busana tradisional masyarakat Melayu di Sarawak yang sering digayakan ketika menghadiri majlis-majlis khas seperti majlis perkahwinan dan juga perayaan besar yang lain.[1] Pada zaman dahulu, selendang warisan ini, hanyalah dipakai oleh golongan bangsawan sahaja, namun kini sesiapa sahaja boleh menggayakannya.

Ia biasanya dijahit dengan benang emas atau perak dan menggunakan motif sulaman bunga-bungaan dan tumbuh -tumbuhan seperti bunga tanjung, bunga ros dan pucuk rebung di atas kain jenis bawal atau yang lebih berkualiti kain kasa rubiah. Jenis keringkam dibezakan dengan pendek dan panjang saiznya. Yang bersaiz pendek digelar tudung keringkam tradisional manakala yang bersaiz panjang dikenali sebagai selayah. Tudung keringkam tradisional adalah pendek, berukuran 54 cm x 95 cm dan dihasilkan dengan menggunakan kain jojet nipis atau sintatik.

Reka bentuk dan sulamannya yang halus menonjolkan hasil seni dengan sedikit sentuhan kemewahan. Tudung keringkam merupakan lambang kepada keindahan busana tradisional wanita Melayu Sarawak yang mempunyai nilai sentimental sehingga hampir setiap keluarga Melayu di Sarawak ada menyimpannya sebagai salah satu warisan keluarga yang diperturunkan dari satu generasi ke generasi yang lain. Tudung keringkam juga sering dikenakan oleh golongan wanita bangsawan ketika berada di majlis-majlis rasmi bersama kain songket pada era 60-an di Sarawak.

Tradisi menjahit tudung keringkam kini semakin ditelan zaman disebabkan generasi yang lebih tua yang pakar dalam tudung Keringkam kini sangat sedikit bilangannya. Memang agak sukar untuk mendapatkannya di pasaran terbuka kerana proses penyulaman ini memakan masa yang cukup lama dan kebiasaannya tempahan dibuat terus daripada individu-individu yang sememangnya mengusahakannya secara kecil-kecilan di rumah. [2]

Rujukan[sunting | sunting sumber]