Tulisan Sukhothai

Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.
Tulisan Sukhothai
Jenis
BahasaBahasa Thai, Bahasa Lao, Bahasa Thai Utara, dan lain-lain
PenciptaRam Khamhaeng
Tempoh masa
tahun 1283 masihi - abad ke-15[1]
Aksara induk
Aksara turunan
Aksara Thai, Aksara Fakkham
Aksara kerabat
Aksara Khom Thai

Aksara Sukhothai, juga dikenali sebagai aksara Thai Purba dan abjad Ram Khamhaeng, ialah aksara Brahmi yang berasal dari Kerajaan Sukhothai. Aksara itu terdapat pada batu bersurat Ram Khamhaeng dan batu bersurat Lö Thai.[1]

Sejarah[sunting | sunting sumber]

Asal usul[sunting | sunting sumber]

Sumber aksara Sukhothai ialah huruf-huruf kursif Khmer, yang terbentuk melalui pembedahan, pemangkasan dan penyingkiran bentuk berbunga-bunga yang terdapat pada tulisan Khmer yang asal.[2] Cendekiawan Michel Ferlus telah menunjukkan bahawa beberapa keanehan tertentu yang terdapat pada aksara Thai purba dan Thai moden hanya boleh dijelaskan melalui kekurangan-kekurangan dan jurang-jurang yang terdapat pada aksara Khmer purba, khususnya aksara Khmer pra-Angkor.[3] Aksara Sukhothai pertama kali dibuktikan pada batu bersurat Ram Khamhaeng, yang bertarikh antara 1283 dan 1290, tetapi ia adalah hasil daripada pengubahsuaian secara langsung dari aksara Khmer yang belum disahkan kewujudannya. Ferlus menyatakan teori yang aksara sebelum itu mungkin mengalami perkembangan pada zaman pra-Angkor (abad ke-7 sehingga ke-8), kira-kira empat abad lebih awal yang dijangkakan. Ada satu kemungkinan lain adalah aksara Khmer versi pra-Angkor mungkin telah bertahan dalam tempoh tertentu di kawasan pinggiran tamadun Khmer. Tulisan Tai pertama ini pasti mempunyai kekurangan yang sama seperti skrip Khmer, tetapi orang Tai memperkenalkan pengubahsuaian atau adaptasi ke atas huruf untuk mencipta huruf baharu bagi bunyi yang tidak diwakili oleh aksara Khmer. [3] Menurut tradisi Thai aksara Sukhothai dicipta pada tahun 1283 oleh Raja Ramkhamhaeng Agung ( Bahasa Thai: พ่อขุนรามคำแหงมหาราช ). [4]

Ferlus membahagikan aksara Tai yang berasal dari Khmer kepada dua jenis iaitu: aksara pusat, yang terdiri daripada aksara kuno (aksara Sukhothai danFakkham) dan moden (aksara Thai dan Lao) dan aksara persisian Tai di Vietnam (Aksara Tai Dam, Tai Don, Tai Daeng, Tai Yo dan Lai Pao). [3] Ferlus mencadangkan bahawa semua orang Tai menggunakan model penulisan pertama yang sama yang dipinjam daripada Khmer melalui perdagangan tanpa melalui kaedah pembelajaran yang betul. Selepas itu, Tai berhijrah dan menduduki sebahagian besar Asia Tenggara. Tai yang menuju ke selatan (kemudian menjadi orang Thai atau orang Siam), bertapak di dalam sempadan kawasan kerajaan Angkor dan mengasaskan Kerajaan Sukhothai. Tulisan Tai primitif mengalami "pengkhmeran" semasa berhubung dengan orang-orang Khmer, menghasilkan aksara Sukhothai. Ciri-ciri seperti susunan abjad dan angka semuanya dipinjam daripada aksara Khmer. Beberapa tatatanda vokal tertentu berubah nilai supaya tidak berlaku percanggahan bacaan antara bahasa Thai dan Khmer. Aksara-aksara persisian pula masih mengekalkan banyak ciri aksara primitif, seperti nilai bunyi pra-Angkor huruf tertentu, kekurangan susunan abjad dan kekurangan angka. [3] Menurut Anthony Diller, inovasi yang terdapat dalam aksara Sukhothai berbanding dengan aksara Khmer, menunjukkan bahawa aksara itu adalah terancang dan dipusatkan perkembangannya. [5]

Penyebaran dan keturunannya[sunting | sunting sumber]

Selepas penciptaannya, aksara Sukhothai menyebar ke kerajaan-kerajaan Tai di Lan Chang (Laos), Lan Na dan Ayutthaya. Batu bersurat Sukhothai tertua yang ditemui di Lampang (Lan Na) adalah hampir sama dengan batu bersurat yang terawal ditemui di Sukhothai. Batu bersurat itu berasal dari Lamphun, tetapi dilukis oleh seorang sami Sukhothai, yang mungkin memperkenalkan aksara Suhkhothai kepada Lan Na. Aksara itu kemudiannya berubah dari semasa ke semasa selama penyebarannya merentasi kawasan dari utara ke selatan. Menurut Finot (1959), contoh terawal aksara Sukhothai yang ditemui di Luang Prabang bermula dari 1548 Masihi, 265 tahun selepas batu bersurat Ram Khamhaeng. [4]

Evolusi aksara Sukhothai sehingga menjadi aksara Thai moden.

Aksara Sukhothai berubah sedikit apabila ia menyebar ke selatan, kerana aksara Thai moden hari ini hanya berubah sedikit daripada aksara Sukhothai. [4] Aksara Sukhothai berkembang menjadi aksara Thai di lembangan bawah Sungai Chao Phraya, dan perkembangan ini dapat dikesan sepanjang abad-abad berikutnya. [1] Semasa pemerintahan Raja Lithai pada akhir abad ke-14, orang-orang yang celik huruf masih terbiasa dengan aksara Khmer dan enggan menulis dalam aksara Sukhothai. Untuk menangani perkara ini, aksara ini telah diubah suai untuk lebih menyerupai aksara Khmer dalam cara huruf vokal ditulis. [6] Perubahan yang diperkenalkan menghasilkan aksara baru pada tahun 1375, yang dipanggil "aksara Raja Li Thai". Aksara ini menulis tanda vokal di atas, di bawah, sebelum atau selepas konsonan awal. Pada tahun 1680, aksara ini digantikan oleh "aksara Raja Narai", yang telah dibangun dan dipeliharakan dalam bentuk aksara Thai moden hari ini. [7]

Di kawasan utara pula, aksara ini berubah dengan lebih ketara apabila ia berkembang menjadi aksara Fakkham . [4] Aksara Fakkham digunakan secara meluas di Kerajaan Lan Na antara awal abad ke-15 dan akhir abad ke-16. [8] Huruf-huruf pada aksara Fakkham menjadi memanjang dan lebih bersudut berbanding aksara Sukhothai (yang merupakan moyang aksara Fakkham) yang berbentuk petak dan menegak. Beberapa huruf mempunyai "ekor" yang ketara memanjang ke atas dan ke bawah garis tulisan utama. [4]

Ciri-ciri[sunting | sunting sumber]

Aksara Sukhothai ditulis dari kiri ke kanan. Aksara ini tidak menggunakan jarak perkataan, huruf besar mahupun noktah pada akhir ayat. Aksara ini mempunyai 39 huruf konsonan. [7] Aksara Sukhothai memperkenalkan empat jenis pembaharuan berbanding aksara Khmer. Pembaharuan pertama ialah pengenalan beberapa huruf baru untuk menampung kontras fonemik Tai yang tidak ada pada aksara Khmer. Ini termasuk /e/ dan /ae/, /pʰ/ dan /f/, dan /kʰ/ dan /x/. Huruf-huruf baharu dicipta dengan mengubahsuai huruf-huruf yang digunakan untuk bunyi yang seakan, dengan menambahkan contohnya ekor atau lekukan pada huruf. [5] Aksara Sukhothai dianggap sebagai aksara pertama di dunia yang memperkenalkan penanda nada untuk menunjukkan nada tersendiri, yang tidak terdapat dalam bahasa Mon-Khmer (bahasa Austroasiatik) dan bahasa-bahasa Indo-Arya yang menggunakan aksara nenek moyang kepada aksara Sukhothai. [5] Tambahan seterusnya ialah gugusan konsonan yang ditulis secara mendatar dan bersambung pada satu baris, bukannya menulis konsonan kedua di bawah yang pertama. [5] Penambahan terakhir ialah aksara ini menulis tanda-tanda vokal pada baris utama, namun pembaharuan ini tidak digunakan lagi tidak lama kemudian. [4] Menjelang abad kelima belas, beberapa diakritik vokal telah ditambahkan pada aksara Sukhothai, untuk menulis semua huruf vokal dengan tanda yang berbeza. Hal ini adalah untuk menulis dengan jelas semua vokal termasuk bunyi vokal yang tersembunyi dalam huruf konsonan.[5]

Rujukan[sunting | sunting sumber]

  1. ^ a b c Lorrillard, Michel (2009-03-31). "Scripts and History : the Case of Laos". Senri Ethnological Studies. 74. doi:10.15021/00002575.
  2. ^ Hartmann, John F. (1986). "Varieties of Tai Dam Scripts". Crossroads: An Interdisciplinary Journal of Southeast Asian Studies. 3 (1): 97–103. JSTOR 40860234.
  3. ^ a b c d Ferlus, Michel (Sep 1999). "Sur l'ancienneté des écritures thai d'origine indo-khmère". Cite journal requires |journal= (bantuan)
  4. ^ a b c d e f Hartmann, John F. (1986). "The spread of South Indic scripts in Southeast Asia": 8. Cite journal requires |journal= (bantuan)
  5. ^ a b c d e Diller, Anthony V.N. (1996). "Thai orthography and the history of marking tone" (PDF): 228–248. Cite journal requires |journal= (bantuan)
  6. ^ Virunhaphol, Farida (2017). "Designing Khom Thai Letterforms for Accessibility (Doctoral dissertation). University of Huddersfield" (PDF): 156. Cite journal requires |journal= (bantuan)
  7. ^ a b Danvivathana, Nantana (1981). "THE THAI WRITING SYSTEM". Cite journal requires |journal= (bantuan)
  8. ^ Lorrillard, Michel (Jan 2004). "The Diffusion of Lao Scripts. The literary heritage of Laos". Cite journal requires |journal= (bantuan)

Pautan luar[sunting | sunting sumber]

Templat:List of writing systems