Keledek

Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.
(Dilencongkan dari Ubi ketela)

Ubi keledek
Ubi ketela
Beberapa umbi perang merah yang membengkak
Akar ubi keledek
Bunga ubi keledek
Pengelasan saintifik e
Domain: Eukaryota
Alam: Plantae
Klad: Trakeofit
Klad: Angiosperma
Klad: Eudikot
Klad: Asterid
Order: Solanales
Keluarga: Convolvulaceae
Genus: Ipomoea
Spesies:
I. batatas
Nama binomial
Ipomoea batatas

Keledek, ubi keledek, ubi jalar, ubi jawa dan ubi ketela ataupun nama saintifiknya Ipomoea batatas ialah sejenis tumbuhan dari keluarga Convolvulaceae. Akar berumbi manisnya yang sarat berkanji dijadikan sayur berumbi.[1][2] Tumbuhan ini berasal dari kawasan tropika benua-benua Amerika.[3][4]

Botani[sunting | sunting sumber]

Pokok ubi ini merupakan jenis yang menjalar mencapai ketinggian antara 1-8 meter. Daun-daunnya berbentuk ringkas dengan ukuran tangkai 5 hingga 30 meter panjang manakala lai daun 4-15 sm dan panjang 4-12 sm lebar.[5]

Akar-akar pokok ada yang membengkak menghasilkan isi yang sarat kanji; akar umbi ini panjang melonjong dengan kulit licin serta isi dalam pelbagai warna termasuk jingga, kuning, kemerahan, ungu atau perang mengikut kultivar; kultivar dengan isi berwarna kemerahan atau kejinggaan mempunyai rasa lebih manis berbanding jenis kultivar yang berwarna keputihan atau kekuningan.[5][6]

Bunga-bunga pokok ubi ini wujud secara tunggal atau menjambak di ketiak daun pada tangkai pendek berbentuk corong dengan warna putih atau biru muda.[5]

Sejarah[sunting | sunting sumber]

Penjinakbakaan ubi ini pertama kali dilakukan di sekitar antara Amerika Selatan dan Amerika Tengah.[7] Penyemaian ubi keledek di Amerika Tengah didapati ada sekitar 5,000 tahun dahulu,[8] di mana baka ubi yang asal didapati berpunca dari kawasan antara Semenanjung Yucatán di Mexico dan muara Sungai Orinoco di Venezuela.[9]

Ubi ini pertama kali dibawa keluar dari benua Amerika Selatan oleh masyarakat Polinesia yang berlayar ke sana dan mula ditanam di pulau-pulau Pasifik sekitar 1200[10] berdasarkan bukti perbandingan nama-nama setempat (khumara, kumar dan kumara dalam dialek-dialek Quechua;[11] kumara dalam bahasa Māori; kumala dalam bahasa Tonga dan sebagainya)[10] serta analisis genetik tumbuhan.[10][12]

Ia pertama kali dibawa ke Dunia Lama melalui kepulauan Filipina dengan datangnya kapal-kapal geliung besar pihak Sepanyol pada abad ke-16.[13] Perkenalan ubi ini dari pihak Sepanyol turut memberikan namanya "ubi ketela" iaitu daripada kata "Kastela", serapan nama Castela iaitu sebuah kerajaan lama di Semenanjung Iberia (yang dipakai untuk merujuk pada Sepanyol).[14][15] Bentuk lain sebutannya termasuklah "ubi kastela", "ubi katela" dan "ubi setela".

Kegunaan[sunting | sunting sumber]

Sebakul "ubi setela".

Ubi keledek boleh dimakan secara mentah, digoreng, dipanggang, direbus, dikukus, dibuat kuih-muih, dibuat kari, disayur, dijadikan sebagai bahan pemekat dalam sos dan masakan lainnya.[5] Selain itu, ubi keledek juga sangat berguna dalam perubatan, ia mengandungi khasiat tersendiri. Ubi yang direbus dan diminum dapat dijadikan sebagai tonik untuk kesihatan badan, limpa, ginjal, orang yang lemah serta dapat mengatasi rasa haus ketika demam.[5]

Di Indonesia, keledek atau "ubi jalar" lazim dihidangkan dan dijual secara goreng celur sepertimana pisang, tauhu atau tempe dengan sos cicahan, begitu juga di Malaysia dan Singapura. Di kedua-dua negara ini juga, ia sering dimasak secara rebusan bersama keladi secincang dalam kuah bersantan untuk membuat bubur caca.

Ubi ini merupakan sumber makanan yang agak berkemampuan dalam kalangan penduduk miskin provinsi-provinsi Filipina (diberi nama kamote) kerana mudah ditanam dan dijaga serta kurang memakan kos berbanding padi.[16]

Ia merupakan sumber makanan ruji dalam kalangan penghuni kawasan pergunungan di Papua Barat secara "bakar batu".

Daunnya boleh dimakan secara goreng kilas dengan bawang putih atau sambal belacan. Pucuk muda ubi juga boleh dimakan terutamanya sebagai makanan yang diberikan untuk bayi kecil dalam masyarakat-masyarakat Asia Tenggara dan Timur.[17][18]

Rujukan[sunting | sunting sumber]

  1. ^ Purseglove, John Williams (1968). Tropical crops: D. Longman Scientific and Technical. New York: John Wiley and Sons. ISBN 978-0-582-46666-1.[halaman diperlukan]
  2. ^ Woolfe, Jennifer A. (5 March 1992). Sweet Potato: An untapped food resource. Cambridge, UK: Cambridge University Press and the International Potato Center (CIP). ISBN 9780521402958.
  3. ^ Duke, James A. (1983). "Ipomoea batatas". Handbook of Energy Crops. New Crop Resource Online Program. Purdue University.
  4. ^ Keesler, Cole (15 April 2011). "Sweet Potato (Ipomoea batatas) Classification". Organismal Biology: Multiple Organisms. University of Wisconsin-La Crosse.
  5. ^ a b c d e Hean Chooi Ong (2003). Sayuran: khasiat makanan & ubatan. Utusan Publishing. m/s. 52–53. ISBN 9789676113900. Dicapai pada 28 Februari 2020.
  6. ^ Gad Loebenstein; George Thottappilly (2009). The sweetpotato. m/s. 391–425. ISBN 978-1-4020-9475-0.
  7. ^ Geneflow 2009. ISBN 9789290438137.
  8. ^ "Sweet Potato". Consultative Group on International Agricultural Research. Diarkibkan daripada yang asal pada 7 Februari 2005.
  9. ^ Austin, Daniel F. (1988). "The taxonomy, evolution and genetic diversity of sweet potatoes and related wild species". In P. Gregory. First Sweet Potato Planning Conference, 1987. Lima, Peru: International Potato Center. m/s. 27–60. ISBN 9789290601159. https://books.google.com/books?id=7Ff-wrcqm1EC&q=The+taxonomy%2C+evolution+and+genetic+diversity+of+sweetpotatoes+and+related+wild+species&pg=PA27.
  10. ^ a b c Timmer, John (21 Januari 2013). "Polynesians reached South America, picked up sweet potatoes, went home". Ars Technica. Dicapai pada 8 Julai 2020.
  11. ^ Diccionario Quechua Simi Taqe AMLQ. "Quechua: apichu". www.runa-simi.org (dalam bahasa Sepanyol). Dicapai pada 2 Februari 2021.
  12. ^ Field, Michael (23 Januari 2013). "Kumara origin points to pan-Pacific voyage". stuff.co.nz. Dicapai pada 10 Julai 2019.
  13. ^ Loebenstein, Gad (2009). "Origin, Distribution and Economic Importance". Dalam Loebenstein, Gad; Thottappilly, George (penyunting). The Sweetpotato. Springer. ISBN 9781402094743.
  14. ^ Tryon, Darrell T., penyunting (2011). Comparative Austronesian Dictionary: An Introduction to Austronesian Studies. Berlin: Walter de Gruyter. m/s. 726. ISBN 3-11-012729-6.
  15. ^ Wilkinson, Richard James (1901). "kestela". A Malay-English dictionary. Hong Kong: Kelly & Walsh, limited. m/s. 519. Rencana ini mengandungi teks dari sumber yang berada dalam domain awam.
  16. ^ "Fusion kamote". The Manila Times (The Sunday Times) Editorials. 16 Mac 2008. Diarkibkan daripada yang asal pada 23 Julai 2011. Dicapai pada 20 Februari 2011.
  17. ^ "Sweet Potato". South Pacific Commission. South Pacific Foods. Food and Agriculture Organization of the United Nations. 1990. ISSN 1018-0966. Leaflet No. 13. Diarkibkan daripada yang asal pada 2014-12-17. Dicapai pada 2021-01-13.
  18. ^ Ma, Idelia; Glorioso, G. (Januari–Disember 2003). "10 Best Foods for Babies". Food and Nutrition Research Institute. Department of Science and Technology, Republic of the Philippines. Diarkibkan daripada yang asal pada 27 Mei 2013. Dicapai pada 22 Julai 2012.

Pautan luar[sunting | sunting sumber]