Undang Luak Jelebu

Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.
(Dilencongkan dari Undang Jelebu)
Yang Teramat Mulia Tuanku Dato' Undang Luak
Jelebu, Negeri Sembilan
Wilayah/Negeri
Penjawat kini
Kebawah Kaus Yang Teramat Mulia
Dato' Mendika Menteri Akhirulzaman Sultan Jelebu
Dato' Haji Maarof bin Haji Mat Rashad D.T.N.S., P.P.T., A.N.S., P.M.C., P.J.K., P.K.L.

sejak 2018
Butiran
Raja pertamaDuli Yang Maha Mulia Dato’ Mendika Menteri Akhirulzaman Sultan Jelebu, Dato' Moyang Salleh bin Dato' Metunggang
Pembentukan1757

Yang Teramat Mulia Tuanku Dato' Undang Luak Jelebu adalah Pemerintah atau Raja sebagaimana perkara 160(2) Perlembagaan Persekutuan berkenaan takrif "Raja" bagi Negeri Sembilan Darul Khusus dan Pembesar Memerintah bagi Luak Jelebu. Luak (Negeri) Jelebu merupakan salah satu daripada luak yang membentuk Negeri Sembilan. Dato' Undang Luak Jelebu bergelar Kebawah Kaus Yang Teramat Mulia Dato' Mendika Menteri Akhirulzaman[1].

Dato' Undang Jelebu bersama Yang di-Pertuan Besar, Dato' Undang Luak Sungei Ujong, Dato' Undang Luak Johol, Dato' Undang Luak Rembau dan Tunku Besar Tampin didefinisikan sebagai Raja bagi Negeri Sembilan[2].

Kedudukan dalam Perlembagaan Persekutuan dan Undang-undang Tubuh Negeri[sunting | sunting sumber]

Kedudukan Dato' Undang Luak Jelebu sebagai raja (ruler) di Jelebu dan pemerintah bersama bagi Negeri Sembilan diiktiraf menerusi Perkara 71 (2), Perkara 160, Perkara 181, Jadual Kelapan Perlembagaan Persekutuan Malaysia serta Perkara 28 dan Perkara 34 Undang-undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan 1959[3].

Dato' Undang Luak Jelebu juga adalah Pihak Berkuasa Negeri, khususnya di jajahan takluk Luak Jelebu dalam Negeri Sembilan yang meliputi seluruh daerah Jelebu. Dato' Undang Luak Jelebu adalah juga ketua agama Islam bagi Luak Jelebu[4].

Dato' Undang Luak Jelebu juga adalah anggota Dewan Keadilan dan Undang Negeri Sembilan bersama Dato' Undang Luak Sungei Ujong, Dato' Undang Luak Johol, Dato' Undang Luak Rembau, Tengku Besar Tampin, Tunku Besar Seri Menanti dan Dato' Shahbandar Sungei Ujong, yang mana ia dipengerusikan oleh Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan[5].

Dato' Undang Luak Jelebu bersama Dato' Undang Luak Sungei Ujong, Dato' Undang Luak Johol dan Dato' Undang Luak Rembau mempunyai kuasa prerogatif memilih dan melantik Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan baharu mengikut Perkara 7 dan Perkara 11 Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan 1959[6].

Pada masa sama, Dato' Undang Luak Jelebu bersama Dato' Undang Luak Sungei Ujong, Dato' Undang Luak Johol dan Dato' Undang Luak Rembau juga mempunyai kuasa prerogatif mengikut Perkara 10 Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan 1959 untuk menggantung tugas atau melucutkan kedudukan, menarik segala kuasa serta keistimewaan Yang di-Pertuan Besar, sekiranya penyandang didapati melanggar hukum Syarak, didapati bersalah atas kesalahan jenayah, tidak siuman, mengingkari Undang-Undang Tubuh negeri atau dirasakan tidak lagi layak menjadi Yang di-Pertuan Besar[7].

Peranan utama lain bagi Dato' Undang Luak Jelebu bersama Dato' Undang Luak Sungei Ujong, Dato' Undang Luak Johol, Dato' Undang Luak Rembau serta Tunku Besar Tampin adalah mempunyai kuasa persetujuan[8] berhubung:-

  • pelantikan Menteri Besar,
  • menangguhkan pembubaran Dewan Undangan Negeri,
  • pengurniaan darjah kebesaran negeri,
  • hal ehwal agama Islam dan adat Melayu,
  • kedudukan tanah adat dan rizab Melayu dan,
  • kedudukan istimewa Bumiputera dan kepentingan sah kaum lain,
  • pindaan Undang-undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan 1959.

Pemerintahan Dato' Undang Luak Jelebu[sunting | sunting sumber]

Penggiliran pusaka Dato' Undang Luak Jelebu adalah mengikut penggiliran Suku Biduanda Waris Berundang di Jelebu iaitu antara Waris Ulu Jelebu (sulung), Waris Sarin (tengah) dan Waris Kemin (bongsu). Waris Sarin terbahagi kepada Waris Sarin A yang terdiri daripada perut Aur Duri, Peninjau, Kirim Mudek dan Waris Sarin B terdiri daripada perut Kuala Jelebu, Merebau, Jelin.

Bagaimanapun, ketika pemerintahan Dato' Undang Luak Jelebu ke-15, Dato' Mendika Menteri Akhirulzaman Dato' Musa Wahab, Waris Sarin telah disatukan semula dengan diketuai Dato Lembaga bergelar Dato Raja Penghulu.

Waris Kemin terdiri daripada perut Kemin Triang, Kemin Kemin dan Kemin Bemban[9]. Undang Jelebu pada masa kini ialah Kebawah Kaus Yang Teramat Mulia Dato' Mendika Menteri Akhirulzaman Dato' Haji Maarof bin Haji Mat Rashad, iaitu Dato' Undang Luak Jelebu ke-16 daripada Waris Kemin[10].

Pembesar-pembesar bagi Dato' Undang Luak Jelebu ialah Dato-dato Lembaga Delapan yang terbahagi kepada dua talian iaitu Dato Lembaga Talian Adat dan Dato Lembaga Talian Pusaka[11].

Dato Lembaga Talian Adat:

  1. YM Dato Menteri Sah Mangku Alam Raja Sari (Suku Biduanda Waris Menteri) - Kepala Talian Adat
  2. YM Dato Mengiang Merah Bangsa (Suku Mungkal 1)
  3. YM Dato Cincang Maharaja Lela (Suku Tanah Datar)
  4. YM Dato Senara Angsa (Suku Batu Belang)

Dato Lembaga Talian Pusaka (Waris Berundang):

  1. YM Dato Ombi Pangkal Maharaja Lela (Suku Biduanda Waris Ombi) - Kepala Talian Pusaka
  2. YM Dato Raja Balang (Suku Biduanda Waris Ulu Jelebu)
  3. YM Dato Raja Penghulu (Suku Biduanda Waris Sarin)
  4. YM Dato Maharaja Inda (Suku Biduanda Kemin)

Orang Besar Dato' Undang Luak Jelebu:

  1. YM Dato Shahbandar (Pucuk Bulat Waris di-Air, Tumpuan Tua Lembaga Dagang)
  2. YM Dato Amar Penghulu Ulu Klawang

Dato Lembaga Kurnia Luak Jelebu. Dato Lembaga Kurnia Luak Jelebu diletakkan di bawah riayah YM Dato Shahbandar, maka haluan sembah kepada titian Balai Undang hendaklah melalui Dato Shahbandar[12].

  1. Dato Sati (Tua Orang Pilah)
  2. Dato Sura (Tua Orang Rembau)
  3. Dato Indera Perba (Tua Orang Pahang)
  4. Dato Ampat (Tua Orang Minangkabau)
  5. Dato Setia Bangsa (Tua Orang Jawa)
  6. Dato Dagang Jambi (Tua Orang Jambi)
  7. Dato Mangku Setia (Tua Orang Mengkiang Tujuh)
  8. Raja Malim Bendahara (Tua Orang Mendehiling)

Senarai Dato' Undang Luak Jelebu[sunting | sunting sumber]

Senarai Dato' Undang Luak Jelebu
No Nama Waris Tempoh Takhta
1 Dato’ Moyang Salleh bin Dato' Metunggang Waris Ulu Jelebu 1757
2 Dato’ Bukor Waris Ulu Jelebu 17xx – 17xx
3 Dato’ Bakul Waris Ulu Jelebu 17xx – 17xx
4 Dato’ Yunus Waris Ulu Jelebu 17xx – 17xx
5 Dato’ Lup Waris Sarin 17xx – 18xx
6 Dato’ Abdul Rahman [Duraman] Waris Kemin 18xx – 1820
7 Dato’ Penghulu Rangga ‘Ali Waris Ulu Jelebu 1820 – 18xx
8 Dato’ Pandak Waris Sarin 18xx – 18xx
9 Dato’ Mahmud alias Kulup Tunggal Waris Kemin 18xx – 18xx
10 Dato’ Haji Ibrahim Waris Kemin 18xx – 1883
11 Dato’ Syed Ali bin Syed Zain al-Jafri Waris Ulu Jelebu 1883 – 1902
12 Dato’ Abdullah bin Panglima Muda Lok Waris Sarin 1902 – 1945
13 Dato’ Shahmaruddin bin Haji Abdul Rahman Waris Kemin 1945 – 1962
14 Dato’ Usman bin Baginda (Pemangku) 1962 – 1966
15 Dato’ Abu Bakar bin Ma’amor Waris Ulu Jelebu 1966 - 1979
16 Dato’ Haji Musa bin Wahab Waris Sarin 1980 – 2014
17 Dato' Haji Maarof bin Haji Mat Rashad[13] Waris Kemin 2018 - kini

Lihat juga[sunting | sunting sumber]

Rujukan[sunting | sunting sumber]

  1. ^ Faridzwan Abdul Ghafar (2020). Mengenali Luak Jelebu. Sungei Ujong Press Resources. Nilai
  2. ^ Faridzwan Abdul Ghafar (2020). Mengenali Luak Jelebu. Sungei Ujong Press Resources. Nilai
  3. ^ Perlembagaan Persekutuan
  4. ^ Akta Tafsiran 1948 & 1967
  5. ^ Undang-undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan 1959
  6. ^ Undang-undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan 1959
  7. ^ Undang-undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan 1959
  8. ^ Undang-undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan 1959
  9. ^ Ruang Bicara Khas Bersama-sama Yang Teramat Mulia Dato' Undang Luak Jelebu.(2019).BERNAMA TV.
  10. ^ Faridzwan Abdul Ghafar (2019). Balai Undang di Negeri Sembilan 1933-2004. Sungei Ujong Press Resources. ISBN 9789671716502.
  11. ^ Faridzwan Abdul Ghafar (2020). Mengenali Luak Jelebu. Sungei Ujong Press Resources. Nilai.
  12. ^ Faridzwan Abdul Ghafar (2020). Mengenali Luak Jelebu. Sungei Ujong Press Resources. Nilai.
  13. ^ BERNAMA (21 Ogos 2019). "Istiadat pertabalan Undang Luak Jelebu Ke-16 diadakan secara rasmi". Berita Harian. Dicapai pada 21 Mei 2020. Cite has empty unknown parameter: |dead-url= (bantuan)