Ungka tangan putih

Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.
(Dilencongkan dari Ungka Tangan Putih)
Ungka tangan putih
frames
Pengelasan saintifik


Ungka Tangan Putih (bahasa Inggeris: Lar Gibbon) merupakan spesies ungka yang tinggal di barat daya China dan Myanmar timur ke Thailand serta di barat laut Sumatera dan di seluruh Semenanjung Malaysia. Tergolong dalam famili ungka (Hylobatidae), nama sainsnya Hylobates lar.


Ciri-ciri fizikal[sunting | sunting sumber]

Beratnya Ungka Tangan Putih antara 4.5 hingga 6 kilogram. Warna kulit Ungka Tangan Putih berbeza-beza dari warna hitam dan coklat tua ke warna coklat muda. Walau bagaimanapun, mereka sentiasa mempunyai gegelung bulu putih pada sekeliling mukanya yang hitam. Tangan dan kakinya juga berwarna putih. Kedua-dua ungka jantan dan betina mempunyai kesemua kelainan warna dan saiznya juga tidak banyak berbeza. Serupa dengan ungka yang lain, ungka ini mempunyai tangan yang panjang tetapi tidak berekor.

Makanan[sunting | sunting sumber]

Ungka Tangan Putih merupakan haiwan siang serta arboreal dan tinggal di hutan hujan. Mereka jarang turun ke tanah, tetapi menggunakan lengan yang panjangnya untuk berayun dari pokok ke pokok. Makanan utamanya terdiri daripada buah-buahan yang masak sahaja, walaupun mereka kekadangnya juga makan daun muda, tunas dan serangga.

Pembiakan[sunting | sunting sumber]

Ungka ini mengamalkan monogami dan mengawan seumur hidup tanpa musim yang tertentu. Kumpulan-kumpulan keluarga tinggal di kawasan-kawasan tertentu sepanjang hidupnya dan melindungi kawasannya dengan teriakan duet (yakni ungka jantan bersama dengan ungka betina) untuk mencegah ungka lain daripada memasuki kawasan mereka.

Dari segi pembiakan, Ungka Tangan Putih serupa dengan ungka yang lain. Tempoh kehamilannya ialah tujuh bulan dan biasanya, mereka melahirkan satu anak setiap dua tahun. Walaupun penjagaan anak ungka adalah tanggungjawab ibunya, bapa dan saudara kandung yang lebih tua juga membantu. Anak ungka disusui selama kira-kira dua tahun dan menjadi matang pada sekitar lapan tahun. Walaupun mereka kemungkinan boleh berdikari pada umur yang lebih awal, mereka tidak meninggalkan kumpulan keluarganya sehingga mereka mencapai kematangan seks. Ungka ini boleh hidup selama 25 tahun di hutan belantara.

Pengekalan[sunting | sunting sumber]

Ungka Tangan Putih diancam dalam pelbagai cara: adakalanya mereka diburu untuk dagingnya dan ada juga, ungka dewasa dibunuh untuk menangkap anak-anaknya bagi menjadikan binatang kesayangan. Walau bagaimanapun, kehilangan habitat merupakan bahaya yang terbesar. Dengan pantasnya, hutan-hutan Asia Tenggara telah dibasmi untuk menjadikan ladang dan petempatan manusia. Walaupun terdapat taman-taman negara dan kawasan-kawasan perlindungan, tempat-tempat itu sering tidak diawasi dengan baik dan undang-undang perlindungan yang tersedia jarang dikuatkuasakan.

Subspesies[sunting | sunting sumber]

Terdapatnya lima subspesies Ungka Tangan Putih:

  • Hylobates lar lar
  • Hylobates lar vestitus
  • Hylobates lar entelloides
  • Hylobates lar carpenteri
  • Hylobates lar yunnanensis

Pautan luar[sunting | sunting sumber]