Vallabhacharya


Vallabhacharya, juga dikenali sebagai Vallabha atau Vallabha Diksita (7 Mei 1478 – 7 Julai 1530 Masihi), merupakan pengasas mazhab Pustimarga dalam aliran Vaiṣṇava yang berpusat pada pemujaan Krishna, serta pelopor falsafah Suddhadvaita (Advaita Murni).
Riwayat hidupnya diceritakan dalam pelbagai hagiografi sektarian Pustimarga. Dilahirkan dalam keluarga Brahmin Telugu, Vallabha mempelajari falsafah Hindu sejak usia muda, kemudian mengembara ke seluruh benua kecil India, terutamanya ke wilayah Braj (Vraja), selama lebih 20 tahun. Beliau menjadi salah seorang tokoh penting dalam gerakan Bhakti yang bersifat devosional. Vallabha terkenal kerana memenangi banyak debat falsafah menentang para pengikut Advaita Vedanta. Beliau memulakan pemujaan institusi terhadap Sri Nathaji di Bukit Govardhana. Beliau juga memperoleh ramai pengikut di dataran Gangga dan wilayah Gujarat. Selepas kematiannya, kepimpinan sampradaya beliau diwarisi oleh anak sulungnya, Gopinatha.
Falsafah Vallabha mengutamakan gaya hidup berkeluarga berbanding pertapaan, dengan menyatakan bahawa melalui kasih sayang dan pengabdian terhadap dewa Kr̥ṣṇa, seseorang yang hidup sebagai ketua keluarga juga boleh mencapai penyelamatan. Beliau telah mengarang banyak karya, termasuk Anubhasya (ulasan beliau terhadap Brahmasutra), Sodasa Grantha (enam belas risalah), dan beberapa ulasan terhadap Srimad Bhagavata.
Kehidupan Awal
[sunting | sunting sumber]Kelahiran
[sunting | sunting sumber]Vallabha dilahirkan di Camparanya (berdekatan Raipur moden di negeri Chhattisgarh) kepada pasangan Laksmanabhatta dan Yellamma yang berasal dari wilayah Telugu (Andhra Pradesh).
Menurut tradisi, keluarga Vallabha merupakan Brahmin Telugu dari Velanata atau Vellanadu yang tergolong dalam gotra Bharadvaja dan cabang Taittiriya dalam Yajurveda. Kampung asal mereka ialah Kankaravada, yang terletak di tebing selatan Sungai Godavari.
Kesvararama Kasirama Sastri mengaitkan kampung Kankara (Kanker, Chhattisgarh) dengan nama lama Kankarapandhu atau Kankaravada. Menurut beberapa sumber seperti Srivallabha Digvijaya, kelahiran Vallabha berlaku di hutan Camparanya kerana ibu bapanya melarikan diri dari Varanasi akibat ketakutan terhadap serangan tentera Islam.
Sumber-sumber ini menggambarkan kelahirannya sebagai satu peristiwa ajaib. Dikisahkan bahawa bayi itu pada mulanya kelihatan tidak bernyawa dan ditinggalkan di bawah sepohon pokok sami oleh kedua ibu bapanya. Namun, satu suara ghaib memanggil mereka kembali, dan mereka mendapati Vallabha hidup serta dikelilingi oleh api suci.
Pendidikan
[sunting | sunting sumber]Tidak lama selepas kelahiran Vallabha, keluarganya berpindah semula ke Varanasi, di mana Vallabha mendapat peluang untuk menerima pendidikan yang sangat baik. Pendidikan beliau bermula pada usia lapan tahun di bawah Visnuchitta. Menjelang usia sebelas tahun, beliau telah menguasai pelbagai teks suci Hindu dalam bahasa Sanskrit, dengan menguasai Veda, Vedanga, enam sistem falsafah, serta kitab-kitab suci lain seperti Bhagavadgita dan Srimad Bhagavata Purana yang menjadi karya kegemarannya.
Lawatan Suci
[sunting | sunting sumber]Ketika Vallabha berusia sepuluh tahun, bapanya Laksmana Bhatta membawanya bersama ibunya dalam perjalanan ziarah ke India Selatan. Persinggahan pertama mereka ialah di kuil Vaishnava Jagannatha di Puri pada tahun 1489. Pada waktu itu, pemerintah tempatan sedang menganjurkan satu perdebatan falsafah besar, dengan empat soalan utama dikemukakan kepada para sarjana:
- Apakah kitab suci yang paling utama?
- Siapakah dewa yang paling agung?
- Apakah mantra yang paling berkesan?
- Apakah perbuatan yang paling mudah dan terbaik?
Vallabha memberikan jawapan: Bhagavad Gita sebagai kitab utama, Krishna sebagai dewa tertinggi, mana-mana nama Krishna sebagai mantra paling berkesan, dan seva (khidmat) kepada Krishna sebagai tindakan yang paling mudah dan mulia. Sebagai menyokong jawapan tersebut, Dewa Jagannatha dikatakan telah menulis sebaris sloka yang memuji hujah Vallabha dan mengecam penyokong Advaita Vedanta.
Pada tahun 1490, mereka tiba di kuil Venkatesvara di Tirupati, di mana Laksmana Bhatta meninggal dunia. Ibu Vallabha, Illammagaru, kemudiannya tinggal bersama saudaranya di Vijayanagara.
Sejak itu—walaupun masih sangat muda—beliau memulakan pengembaraan suci ke seluruh India sebanyak tiga kali, yang berlangsung selama kira-kira dua puluh tahun. Dalam pengembaraannya ke India Selatan, beliau sampai ke Vijayanagar ketika raja terkenal Krisnadevaraya (1488–1529 Masihi) baru sahaja menaiki takhta.
Walaupun baru berusia dua belas tahun, Vallabha segera membuktikan penguasaannya dalam kitab-kitab suci dan falsafah dengan menewaskan ramai cendekiawan dalam perdebatan. Baginda raja telah menghormatinya dengan upacara kanakabhiseka (penyiraman dengan syiling emas).
Antara tempat lain yang sempat dikunjungi oleh Vallabha termasuklah pelbagai pusat ziarah terkenal di seluruh India. Di India Selatan, beliau melawat Srisaila, Tirupati, Kancipuram, Madurai, Ramesvaram, Udupi dan Gokarna. Di Maharashtra, beliau singgah di Pandharapur, Nasik dan Tryambakesvar. Di Gujarat, beliau mengunjungi Dvaraka; di Uttar Pradesh bahagian barat, beliau menziarahi Mathura dan Vrndaban. Beliau turut menjelajah ke pusat-pusat suci di kawasan pergunungan Himalaya seperti Badari, Kedara dan Gangotri. Di India Timur pula, beliau sampai ke Gangasagar dan Puri.
Perkahwinan & Kehidupan Bekeluarga
[sunting | sunting sumber]Vallabha mungkin pada asalnya berhasrat untuk kekal sebagai seorang brahmacari (bujang seumur hidup), namun semasa ziarah keduanya ke seluruh India antara tahun 1501 dan 1503, beliau telah mengunjungi Paṇḍharapura untuk menyembah dewa Vitthala atau Vitthoba (salah satu bentuk Krishna). Di sana, Vallabha menerima perintah daripada Vitthala agar beliau berkahwin.
Beberapa sumber sektarian menyatakan bahawa sebab perintah tersebut ialah kerana Vitthala ingin dilahirkan semula sebagai anaknya. Ada juga yang mengatakan bahawa tujuan perkahwinan itu adalah untuk mewujudkan satu garis keturunan bagi memelihara dan menyebarkan versi bhakti-marga (jalan devosi) yang diasaskan oleh Vallabha. Kisah ini disebut dalam Vallabhakhyana, Nija Varta, dan Sampradaya Kalpadruma, walaupun menurut Entwistle, kisah tersebut mungkin merupakan mitos yang dikembangkan kemudian.
Mengikut adat dan tradisi kaumnya, Vallabha berkahwin dengan Mahalakshmi (juga dikenali sebagai Akkaji) anak Devadatta, antara tahun 1502 dan 1504, seorang gadis dari Varanasi yang berasal daripada kasta yang sama. Mahalakshmi mula tinggal bersamanya setelah mencapai usia matang sekitar tahun 1510–1512.
Vallabha mempunyai dua buah rumah—satu di Araila di tebing Sungai Yamuna bertentangan dengan Prayagaraja, dan satu lagi di Caranata berhampiran Varanasi. Menurut Saha, lokasi kediaman Vallabha ini membolehkannya mengakses kawasan luas di India Utara dan Tengah untuk berdakwah dan menyebarkan ajarannya.
Anak sulungnya, Gopinatha, dilahirkan pada tahun 1512 di Araila, dan menurut tradisi, beliau dianggap sebagai avatara Balarama, abang kepada Krishna. Anak keduanya, Vitthalanatha, dilahirkan pada tahun 1515 di Caranata, dan dianggap sebagai avatara Vitthala.
Pengalaman Rohani
[sunting | sunting sumber]Dalam salah satu perjalanannya, Vallabha mengalami pengalaman rohani yang luar biasa. Beliau menerima petunjuk tentang misi kehidupannya daripada seorang pendeta ilahi yang merupakan murid kepada Sandilya, guru agung ajaran bhakti.
Setelah itu, beliau menubuhkan sampradaya atau tradisi rohaninya sendiri—suatu bentuk kepercayaan atau aliran baharu—di Gokula (dalam kawasan Mathura-Vrndaban). Di sana, beliau menerima satu arca Govardhananatha (Krishna kanak-kanak yang sedang mengangkat Bukit Govardhana) yang muncul secara misteri dari sebuah gua, melalui seorang orang alim bernama Madhavendrapuri. Vallabha membina sebuah kuil kecil untuk memulakan pemujaan terhadap arca tersebut. Kuil itu kemudian digantikan dengan sebuah kuil yang lebih besar. Disebabkan pencerobohan tentera Islam selepas zaman Vallabha, arca itu kemudiannya dipindahkan ke Nathdvara berhampiran Udaipur (di Rajasthan). Kini, kuil itu sangat terkenal dan arca tersebut dikenali sebagai Srinathji.
Kematian
[sunting | sunting sumber]Pada akhir hayatnya, Vallabha menerima sannyasa (kehidupan pertapaan) daripada Madhavendrapuri, dan meninggal dunia di Sungai Ganga berhampiran Hanumanghat di Varanasi (Banaras) pada 7 Julai, 1530.
Selepas pemergiannya, anak keduanya iaitu Vitthalanatha mengambil alih kepimpinan aliran tersebut.
Falsafah
[sunting | sunting sumber]Falsafah Vallabha dikenali sebagai Sudhadvaita (Advaita Murni), manakala jalan rohaninya dikenali sebagai Pustimarga (Jalan Rahmat Ilahi).
Vallabha menganggap Krishna sebagai Tuhan Yang Tertinggi, dan menganjurkan pemujaan terhadapnya, khususnya dalam bentuk Balakrishna (Krishna sebagai kanak-kanak). Menurutnya, penyelamatan hanya boleh dicapai melalui rahmat Krishna. Mantra yang diajarkannya kepada semua ialah "Srikrishna saranam mama" (“Sri Krishna adalah perlindunganku”).
Karya-karya
[sunting | sunting sumber]Vallabha telah mengarang beberapa teks penting sepanjang hayatnya (semuanya dalam bahasa Sanskrit), antaranya yang paling terkenal ialah:
- Anubhasya – Sebuah ulasan separa terhadap Brahmasutra, yang merangkumi sehingga Sutra III.23.
- Subodhini – Ulasan separa terhadap Bhagavata Purana, merangkumi keseluruhan skandha (bahagian) 1–3 dan 10, serta ulasan sebahagian untuk skandha 4, 7 dan 11.
- Tattvarthadipanibandha – Sebuah teks yang mentafsir kitab-kitab suci Hindu berdasarkan falsafah Suddhadvaita yang diasaskan oleh Vallabha.
- Tattvarthadipanibandhaprakasa – Ulasan separa terhadap Tattvartha Dipanibandha (ulasan lengkap bagi bahagian 1 dan 2, serta sebahagian daripada bahagian 3).
- Sodasagrantha – Enam belas risalah yang menghuraikan aspek-aspek penting dalam falsafah Suddhadvaita dan teologi Pustimarga.
Terdapat juga karya-karya lain yang disandarkan kepada Vallabha, namun ada di antaranya dianggap telah hilang atau diragui keasliannya. Antaranya termasuk:
- Jaiminiyasutrabhasya
- Patravalambanam
- Sripurusottamanamasahasram
- Trividhanamavali
- Premamrtam
- Parivrddhastakam
- Madhurastakam
Menurut Smith, terdapat kemungkinan bahawa sebahagian karya Vallabha telah hilang dalam tempoh dua puluh tahun pertama selepas kewafatannya. Ini kerana keluarganya terlibat dalam pelbagai pertikaian dalaman sehinggalah Vitthalanatha akhirnya diiktiraf sebagai ketua keluarga dan mazhab, selepas kematian Gopinatha dan anaknya, Purusottama.
Karyanya yang terkenal ialah Anubhasya dan Subodhini, namun, kedua-duanya tidak sempat disempurnakan.[1]
Rujukan
[sunting | sunting sumber]- ^ Swami Harshananda, A Concise Encyclopaedia of Hinduism