Pergi ke kandungan

Vandal

Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.

Orang Vandal ialah puak-puak Jermanik yang mula-mula mendiami kawasan yang sekarang dikenali sebagai selatan Poland. Mereka mendirikan kerajaan Vandal di Semenanjung Iberia, pulau-pulau Mediterranean, dan Afrika Utara pada abad ke-5.

Mereka kemudian memasuki Empayar Rom pada kurun ke-5 Masehi. Theodoric the Great yang berbangsa Goth, raja bangsa Ostrogoth dan mangkubumi kerajaan Visigoth telah bersekutu dengan bangsa Vandal melalui ikatan perkahwinan, begitu juga dengan bangsa Burgundy dan bangsa Frank yang diperintah Clovis I.

Asal-usul dan sejarah awal

[sunting | sunting sumber]

Sebahagian ahli arkeologi dan sejarawan mengenalpasti bangsa Vandal dengan kebudayaan Przeworsk, tetapi kontroversi menyelubungi hubungan yang mungkin antara bangsa Vandal dengan bangsa-bangsa lain, berkemungkinan sebuah kabilah Jerman, Lugii yang dirujuk oleh penulis-penulis Rom sebagai penghuni kawasan tersebut. Sesetengah ahli akademik percaya bahawa samada Lugii adalah nama lama bagi bangsa Vandal atau bangsa Vandal adalah sebahagian daripada persekutuan Lugii. Jordanes merujuk bangsa Vandal sebagai penutur bahasa Goth (salah satu bahasa Jerman Timur), dan asal-usul nama itu menyokong tanggapan bahawa bahasa Vandal hampir berkait dengan bahasa Goth.

Persamaan antara nama-nama itu kadang-kala mengundang rujukan spekulasi terhadap tanah air bangsa Vandal di Norway (Hallingdal), Sweden (Vendel) atau Denmark (Vendsyssel). Diandaikan bahawa bangsa Vandal menrentasi Baltik ke Poland pada kurun ke-2 SM, dan menetap di Silesia dari sekitar tahun 120 SM. Tacitus mencatatkan kewujudan mereka di antara sungai Oder dan sungai Vistula dalam bukunya, Germania (tahun 98 M); idenfikasi beliau disahkan sejarawan selepas beliau: menurut Jordanes, mereka dan bangsa Rugii disingkirkan oleh ketibaan bangsa Goth. Tradisi ini menyokong identifikasi bangsa Vandal dengan kebudayaan Przeworsk kerana kebudayaan Wielbark bangsa Goth kelihatan mengambil alih satu cabang kebudayaan tersebut.

Sebahagian penulis Zaman Pertengahan menggunakan istilah "Vandal" untuk merujuk kepada orang-orang Slav seperti Wend, Losatian dan Pole.

Serbuan ke atas Empayar Rom

[sunting | sunting sumber]

Bangsa Vandal terbahagi kepada dua puak, Silingi dan Hasdingi. Pada masa Perperangan Marcomanni (166-180), puak Silingi tinggal di kawasan yang dicatatkan oleh Tacitus sebagai Magna Germania, sekarang Silesia. Pada kurun ke-2, puak Hasdingi yang diketuai raja Raus dan Raptus bergerak ke selatan dan pertama sekali menyerang orang Rom di kawasan sungai Danube rendah. Dalam sekitar tahun 271, Maharaja Rom Aurelian terpaksa melindungi haluan tengah sungai Danube daripada mereka. Mereka membuat perdamaian dan menetap di bahagian barat Dacia dan Pannonia.

Menurut Jordanes dalam tulisannya, Getica, puak Hasdingi terlibat dalam konflik dengan bangsa Goth sekitar era pemerintahan Constantine the Great. Ketika itu, bangsa Vandal mendiami kawasan-kawasan yang kemudiannya diduduki bangsa Gepid. Di situ, mereka dikelilingi oleh bangsa Goth di sebelah timur, bangsa Marcomanni di sebelah barat, bangsa Hermunduri di sebelah utara dan bangsa Hister di sebelah selatan. Bangsa Vandal diserang oleh raja Goth, Geberic. Raja Vandal, Visimar terkorban dalam serangan itu. Bangsa Vandal kemudiannya berhijrah ke Pannonia setelah Constantine the Great mengurniakan tanah-tanah di tebing sebelah kanan sungai Danube. Mereka tinggal di situ untuk 60 tahun berikutnya.


Lihat juga

[sunting | sunting sumber]