Pergi ke kandungan

Vastu Sastra

Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.

Vastu Shastra (Sanskrit: वास्तु शास्त्र, vāstu śāstra – secara harfiah bermaksud “sains seni bina”[1]) berasal dari India purba. Ia merupakan sistem seni bina tradisional Hindu[2] yang berasaskan teks-teks purba. Teks-teks ini menghuraikan prinsip reka bentuk, susun atur, ukuran, penyediaan tanah, pengaturan ruang dan geometri ruang. Reka bentuknya menggabungkan seni bina dengan alam semula jadi, memadukan fungsi bahagian struktur dengan kepercayaan purba melalui corak geometri (yantra), simetri, dan penjajaran arah.

Vastu Shastra mengutamakan penyelarasan ruang dengan daya alam seperti cahaya matahari, angin, dan graviti. Sistem reka bentuk ini bertujuan memupuk keharmonian antara manusia dan persekitarannya.[3]

Vastu Shastra merupakan bahagian tekstual daripada Vastu Vidya, iaitu himpunan pengetahuan seni bina India purba. Vastu Vidya tidak bersifat kaku. Ia menghuraikan idea dan konsep, sama ada dengan atau tanpa rajah pelan, sebagai model untuk mengatur ruang dan bentuk bangunan. Model tersebut mengambil kira fungsi, kegunaan dan hubungannya dengan keseluruhan struktur Vastu.

Prinsip Vastu Shastra meliputi panduan membina kuil Hindu, rumah, pekan, bandar, taman, jalan raya, sistem perairan, kedai dan kawasan awam lain. Para pengamal Vastu Shastra terdiri daripada Sthapati, Sūtragrāhin (Sutradhar), Vardhaki dan Takṣhaka.

Dalam India moden, menurut Chakrabarti, sesetengah perunding terdiri daripada “bomoh, pendeta dan ahli nujum” yang bermotifkan keuntungan lalu memasarkan pseudosains dan tahyul atas nama Vastu Shastra. Mereka kurang memahami ajaran asal teks kuno dan menafsirkannya sebagai tradisi keagamaan semata-mata, bukan sebagai teori seni bina.

Terminologi

[sunting | sunting sumber]

Perkataan Sanskrit vāstu bermaksud kediaman atau rumah bersama tapak tanahnya.[4] Bentuk vrddhi, vāstu merujuk kepada “tapak atau asas rumah, kawasan, bangunan atau tempat tinggal”. Akar katanya, vas, bererti “tinggal, menetap, mendiami”. Istilah śāstra membawa maksud “ajaran” atau “doktrin”.

Oleh itu, Vāstu Śāstra bermaksud “sains kediaman”, iaitu manual seni bina Sanskrit purba yang mengandungi Vastu Vidya (ilmu kediaman).

Tradisi Hindu mengaitkan Vastu, kraf, dan seni bina dengan Dewa Vishwakarma. Teks Manasara Vastu (700 M) memaparkan cadangan pelan bandar.

Sarjana pernah menghubungkan prinsip Vastu Shastra dengan tamadun Lembah Indus. Namun, Kapila Vatsyayan menilai teori ini sebagai spekulatif kerana tulisan Lembah Indus masih belum ditafsir. Menurut Chakrabarti, Vastu Vidya wujud sejak zaman Veda dan berkait rapat dengan seni bina ritual. Michael W. Meister menjelaskan bahawa Atharvaveda mengandungi mantera kosmogoni yang memberi paradigma perancangan kosmik, tetapi tidak mewakili seni bina praktikal.

Teks Arthashastra oleh Kautilya (abad ke-2 SM – abad ke-3 M) menumpukan bab khusus pada seni bina domestik, kubu dan perancangan bandar. Sesetengah sarjana menjejak akar Vastu Shastra ke dalam kesusasteraan sebelum abad pertama Masihi, namun pandangan ini bergantung pada tafsiran. Sulba-sutra (abad ke-4 SM) misalnya, memuatkan kaedah matematik untuk membina segi empat yajna-vedi bagi upacara korban Veda. Walau bagaimanapun, ia hanyalah artifak ritual dan bukan seni bina kekal.

Karya Brihat Samhita oleh Varahamihira (abad ke-6 M) menjadi antara teks awal yang membicarakan prinsip seni bina secara khusus. Bab ke-53 bertajuk “Tentang Seni Bina” menghuraikan aspek Vastu Shastra termasuk perancangan bandar, orientasi bangunan, struktur rumah, tingkat dan balkoni. Varahamihira turut menyebut sumber daripada teks dan resi terdahulu, meskipun sebahagiannya mungkin bersifat mitologi. Hal ini sejajar dengan tradisi India yang mengaitkan ilmu dengan resi dan dewa.

India purba menghasilkan pelbagai teks Sanskrit mengenai seni bina yang dikenali sebagai Vastu Sastra. Sebahagian besar menekankan susun atur kuil Hindu, reka bentuk dan pembinaannya. Namun, teks-teks ini turut merangkumi rumah, kampung dan bandar. Para seniman dan arkitek (Silpin) diberi ruang luas untuk bereksperimen serta menzahirkan kreativiti.

Arthashastra (abad ke-2 SM – abad ke-3 M) sudah memuatkan panduan tentang seni bina domestik, kubu dan perancangan bandar. Menjelang abad ke-6 M, teks mengenai pembinaan kuil agung beredar di India. Vāstu Śāstra juga menjelaskan bagaimana rumah, bandar, kuil, kolam dan taman dapat diintegrasikan dalam landskap sosial untuk mencapai keharmonian dengan alam.

Menurut Tillotson, enam teks utama Vastu Vidya yang paling banyak dikaji dan dirujuk ialah Mayamata, Manasara, Samarangana Sutradhara, Rajavallabha, Vishvakarmaprakasha dan Aparajitaprccha. Selain itu, banyak lagi teks lain memuatkan bahagian khusus mengenai seni bina.

Silpa Prakasa dari Odisha, digubah oleh Ramachandra Bhattaraka Kaulachara (abad ke-9–10 M), menghuraikan prinsip geometri dalam pembinaan kuil. Karya ini juga menonjolkan simbolisme, seperti 16 emosi manusia yang diukir dalam bentuk 16 patung wanita. Tradisi Saurastra di barat mengembangkan konsep ini menjadi 32 jenis Nataka-stri. Silpa Prakasa turut memperkenalkan 12 jenis kuil Hindu.

Teks lain termasuk Pancaratra Prasada Prasadhana (oleh Daniel Smith) dan Silpa Ratnakara (oleh Narmada Sankara), yang menyenaraikan lebih banyak variasi kuil.

Di Rajasthan, Prasadamandana karya Sutradhara Mandana membincangkan pembinaan kuil dan pekan. Manasara Shilpa dan Mayamata (abad ke-5–7 M) berfungsi sebagai panduan utama di India Selatan, manakala Isanasivagurudeva Paddhati (abad ke-9 M) menghuraikan seni bina India tengah dan selatan. Di India Utara, Brihat Samhita oleh Varahamihira menjadi teks utama bagi seni bina kuil gaya Nagara.

Keseluruhannya, Vāstu Śāstra bukan sekadar menghuraikan seni bina kuil. Ia menempatkan kuil sebagai pusat komuniti dan merangka prinsip serta alternatif reka bentuk rumah, kampung dan bandar. Teks-teks ini menggariskan integrasi kuil, taman, kolam dan unsur alam sebagai bahagian penting dalam kehidupan sosial dan rohaniah masyarakat.

Vastu dan Kepercayaan Karut

[sunting | sunting sumber]

Penggunaan Vastu Shastra dan khidmat perunding Vastu dalam projek rumah moden serta bangunan awam menimbulkan kontroversi. Sebahagian arkitek, khususnya pada zaman penjajahan India, menganggapnya kuno dan penuh takhyul. Namun, ada arkitek lain menegaskan bahawa pengkritik tidak menelaah teks asal, sedangkan sebahagian besar kandungannya merupakan panduan reka bentuk yang anjal berkaitan ruang, cahaya matahari, aliran dan fungsi.

Narendra Nayak, Presiden Federation of Indian Rationalist Associations, menyatakan bahawa Vastu Shastra ialah satu bentuk sains palsu. Di India moden, menurutnya, perunding Vastu “menggalakkan takhyul atas nama sains”. Ahli astronomi Jayant Narlikar menegaskan bahawa meskipun Vastu Shastra mengandungi aturan menyepadukan seni bina dengan persekitarannya, pernyataan tentang mudarat atau manfaat yang dipasarkan “tidak mempunyai kaitan logik dengan alam sekitar”. Beliau memberi contoh dakwaan perunding Vastu bahawa rumah mesti sejajar dengan paksi magnet bumi demi “pertumbuhan, kedamaian dan kebahagiaan menyeluruh”, atau bahawa “tapak berbentuk jajaran genjang boleh menimbulkan pertengkaran dalam keluarga”. Narlikar menyimpulkan bahawa semua ini merupakan sains palsu.

Vibhuti Chakrabarti, seorang sarjana dalam bidang Seni Bina dan kesusasteraan Sanskrit yang menterjemah kritikal karya-karya Vastu klasik, menyatakan bahawa di India moden ada pihak menawarkan khidmat sebagai perunding Vastu dengan menampilkan ia sebagai “tradisi agama”, bukannya “kaedah seni bina” seperti dihuraikan dalam teks klasik. Beliau menegaskan bahawa golongan ini termasuk “bomoh, paderi dan ahli nujum” yang didorong ketamakan serta cetek pengetahuan tentang ajaran Vastu Shastra yang asli. Mereka didakwa memasarkan nasihat palsu dan takhyul atas nama tradisi Vastu Vidya, kadangkala di bawah label “sains Veda”.

Teks-teks Sanskrit tentang Seni Bina

[sunting | sunting sumber]

Daripada sejumlah besar risalah Sanskrit yang disebut dalam kesusasteraan India purba, sebahagiannya telah diterjemahkan ke dalam bahasa Inggeris. Banyak kitab Aagama, Purana dan teks Hindu lain mengandungi bab khusus mengenai seni bina kuil, rumah, kampung, kota, kubu, jalan raya, susun atur kedai, telaga awam, tempat mandi awam, dewan awam, taman, tebing sungai dan lain-lain. Dalam beberapa kes, manuskrip ini hanya tinggal sebahagian, ada yang tersedia dalam bahasa Tibet, Nepal atau bahasa India Selatan, manakala dalam kes lain manuskrip Sanskrit asal masih ditemui di pelbagai wilayah India.

Beberapa teks atau karya yang mengandungi bab mengenai Vastu Shastra termasuk:

  • Manasara
  • Brhat samhita (Bab 53–58)
  • Mayamata
  • Anka sastra
  • Aparajita Vāstu Śastra
  • Maha-agamas (28 buku, setiap satu antara 12 hingga 75 bab)
  • Ayadi Lakshana
  • Aramadi Pratishtha Paddhati (termasuk reka bentuk taman)
  • Kasyapiya
  • Kupadi Jala Sthana Lakshana
  • Kshetra Nirmana Vidhi (penyediaan tanah dan asas binaan bangunan termasuk kuil)
  • Gargya samhita (senibina dan reka bentuk tiang, pintu, jendela, dinding)
  • Griha Pithika (bentuk rumah dan pembinaan)
  • Ghattotsarga Suchanika (tangga dan struktur di sepanjang sungai)
  • Jnana ratna kosha
  • Vastu sarani (ukuran, kadar, dan reka bentuk barangan, khususnya bangunan)
  • Devalaya Lakshana (teks pembinaan kuil)
  • Dhruvadi shodasa gehani (garis panduan untuk susunan bangunan untuk mewujudkan keharmonian)
  • Nava sastra (36 buku, kebanyakannya hilang)
  • Agni Purana (Bab 42–55, 106 – Nagaradi Vastu)
  • Matsya Purana (Bab 252 hingga 270)
  • Maya samgraha
  • Prasada kirtana
  • Prasada Lakshana
  • Tachchu sastra (senibina untuk rumah persendirian)
  • Manushyalaya Lakshana (terutamanya untuk rumah kediaman)
  • Manushyalaya Chandrika
  • Mantra dipika
  • Mana kathana (prinsip ukuran)
  • Manava vastu lakshana
  • Manasollasa (pelan rumah dan resepi masakan)
  • Raja griha nirmana (senibina dan pembinaan istana)
  • Rupa mandana
  • Vastu tattva
  • Vastu nirnaya
  • Vastu purusha lakshana
  • Vastu prakasa
  • Vastu pradipa
  • Vastu manjari
  • Vastu mandana
  • Vastu lakshana
  • Vastu vichara
  • Vastu Vidya
  • Vastu vidhi
  • Vastu samgraha
  • Vastu sarvasva
  • Vimana lakshana (reka bentuk kubu)
  • Visvakarma prakasa (rumah, jalan, tangki air dan senibina infrastruktur awam)
  • Vaikhanasa
  • Sastra jaladhi ratna
  • Silpa prakasa
  • Silparatna
  • Silpakala Dipika
  • Silpartha Śastra
  • Sanatkumara Vāstu Śastra
  • Samarangana Sutradhara
  1. ^ Narlikar, Jayant V. (2009). "Astronomy, pseudoscience and rational thinking". In Percy, John; Pasachoff, Jay (eds.). Teaching and Learning Astronomy: Effective Strategies for Educators Worldwide. Cambridge University Press. p. 165. ISBN 9780521115391.
  2. ^ Bettina Baumer (2019), Form, Space and Consciousness – Architectural principles in the Vastushastras, in Eloquent Spaces: Meaning and Community in Early Indian Architecture, S. Kaul (Editor), Routledge, Chapter 2, ISBN 9780367225988
  3. ^ Emkaan (12 June 2025). "How Vastu Shastra Is Shaping Modern Architectural Design?". Emkaan. Retrieved 8 July 2025.
  4. ^ Gautum, Jagdish (2006). Latest Vastu Shastra (Some Secrets). Abhinav Publications. p. 17. ISBN 978-81-7017-449-3.