Vietkong

Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.
(Dilencongkan dari Viet Cong)
Lompat ke: pandu arah, cari

Viet Cong ataupun secara penuhnya Viet Nam Cong San (Komunis Vietnam) adalah nama panggilan untuk seorang rakyat vietnam yang menyokong Barisan Pembebasan Kebangsaan (National Liberation Front) di Vietnam Selatan.

Sejarah[sunting | sunting sumber]

Barisan Pembebasan Kebangsaan mewujudkan pasukan gerila dipanggil Viet Cong untuk memperjuangkan penyatuan semula Vietnam yang dibahagikan kepada dua negara berdaulat ekoran Perjanjian Geneva. Istilah Viet Cong mula digunakan oleh Presiden Ngo Dinh Diem untuk memperihalkan kira-kira 10,000 orang askar komunis yang tinggal di persembunyian di Vietnam Selatan selepas penandatanganan Perjanjian Geneva 1954, yang mensyaratkan penarikan balik semua askar Komunis ke Vietnam Utara. Viet cong yang ditinggalkan menjalankan gerakan subversif secara halus untuk menggoyahkan kewibawaan kerajaan Ngo Dinh Diem. Hanya kemudiannya Viet Cong menjalankan pemberontakan secara terbuka. Pada asalnya, Viet Cong hanyalah kumpulan-kumpulan kecil penentang Presiden Ngo Dinh Diem, yang bertindak zalim menindas rakyat Vietnam berfahaman Buddha. (Diem sendiri adalah seorang Katholik).

Dengan peredaran masa, kumpulan-kumpulan Viet Cong disusunkan dalam tahun 1960 untuk menjadikannya pasukan bersenjata Barisan Pembebasan Kebangsaan, dan kemudiannya dalam tahun 1969 menjadi pasukan bersenjata kepada Kerajaan Revolusi Sementara (Provisional Revolutionary Government). Anggota Viet Cong kebanyakannya diambil di kalangan rakyat Vietnam Selatan, tetapi dikuatkan dengan gerila daripada Vietnam Utara. Viet Cong menerima panduan, senjata dan bekalan daripada Vietnam Utara.

Fail:Vc hide.jpg
Rajah Menunjukkan Persembunyian Viet Cong

Viet Cong disusunkan kepada 3 peringkat. Pasukan regular menjalankan operasi tentera di bawah arahan kepimpinan Barisan Pembebasan Kebangsaan. Pasukan Viet Cong sepenuh masa dikumpulkan di dalam kompeni dan menjalankan operasi tentera di bawah arahan kepimpinan wilayah. Viet Cong juga mempunyai kumpulan gerila sambilan, disusunkan mengikut platun dan skuad, khususnya untuk pertahanan setempat.

Sebagai gerila, Viet Cong tidak menggunakan uniform yang tetap, dan Amerika Syarikat menghadapi kesukaran untuk membangunkan strategi menentang pergerakan gerila. Viet Cong sukar dibezakan daripada rakyat biasa. Selepas menjalankan operasi, gerila Viet Cong kembali ke pangkuan masyarakat setempat ataupun bersembunyi di pengkalan mereka. Ada pengkalan yang dibina di bawah tanah, di tepi-tepi sungai dan di kawasan pergunungan. Sekali sekala, Viet Cong akan melancarkan serangan besar ke atas bandar ataupun pengkalan tentera di Vietnam Selatan untuk memporak perandakan kerajaan Vietnam Selatan.

Perang gerila yang dilaksanakan Viet Cong memberikan kesan yang hebat, kerana askar Vietnam Selatan dan Amerika Syarikat sukar membezakan Viet Cong daripada rakyat biasa. Serangan paling hebat Viet Cong adalah Serangan Tet dalam tahun 1968, di mana serangan terancang dilancarkan ke atas lebih 90 buah bandar dan pengkalan tentera. Pasukan berani mati Viet Cong berjaya merempuh dan mengambil alih kedutaan Amerika Syarikat. Walaupun Serangan Tet gagal mencapai objektifnya, Viet Cong membuktikan keupayaannya menjadi pasukan tentera yang berkesan. Serangan Tet berjaya mengaibkan Tentera Amerika dan menjadi titik tolak penentangan pembabitan Amerika Syarikat dalam Perang Vietnam.

Viet Cong terus berjuang dan menghadapi beberapa serangan besar oleh Tentera Amerika tetapi dapat bertahan. Akhirnya, antara tahun 1969 dan 1972, Amerika Syarikat menarik keluar tenteranya atas desakan ramai. Dalam tahun 1975, Viet Cong bersama dengan Tentera Rakyat Vietnam Utara (PAVN) berjaya mengalahkan Tentera Vietnam Selatan dan menggulingkan kerajaan Vietnam Selatan. Kerajaan Revolusi Sementara mengambil alih kuasa dan kemudiannya bersatu dengan Vietnam Utara.

Kemenangan Viet Cong paling menyerlah adalah Pertempuran Ap Bac di mana mereka mengakibatkan kekalahan teruk Tentera Vietnam Selatan walaupun bilangan tentera Vietnam Selatan jauh lebih ramai, dan dibantu kenderaan perisai M113 dan diberikan nasihat oleh penasihat Tentera Amerika.

Selepas tamat Perang Vietnam, anggota Viet Cong diserap masuk ke dalam Tentera Rakyat Vietnam Utara (PAVN)

Pautan Luar[sunting | sunting sumber]

Rujukan[sunting | sunting sumber]