Walter Walker

Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.
Lompat ke: pandu arah, cari
Sir Walter Walker
Walter-walker.jpg
Jeneral Walter Walker dengan berpakaian seragam seorang
Jeneral Tentera Darat British
Kesetiaan United Kingdom United Kingdom
Perkhidmatan Flag of the British Army.svg Tentera Darat British
Jumlah tahun berkhidmat 1933-1972
Pangkat Jeneral
Unit Sherwood Foresters
1/8th Gurkha Rifles
Arahan Briged Infantri Gurkha Ke-99
Divisyen Gurkha Ke-17
Komander Tentera British di Borneo
Northern Command
Allied Forces Northern Europe
Pertempuran Perang Dunia Kedua
Konfrontasi Indonesia-Malaysia
Anugerah Knight Commander of the Order of the Bath
Commander of the Order of the British Empire
Distinguished Service Order

Jeneral Tan Sri Dato Seri Setia Sir Walter Colyear Walker PMN[nota 1][1][2] KCB, CBE, DSO & bar (11 November 1912 – 12 Ogos 2001) ialah seorang Jeneral British.

Kerjaya tentera[sunting | sunting sumber]

Dalam tahun 1942, Walker dipilih untuk menghadiri Maktab Turus di Quetta, India (sekarang sebahagian daripada Pakistan). Selepas ini beliau dilantik Pegawai Staf Am Gred 3 (GSO 3) dalam Kor Burma yang dipimpin Leftenan Jeneral Slim, pada pertengahan tahun 1942. Walker bersama-sama dengan Markas Slim semasa mereka berjalan kaki pulang ke India, dan kemudiannya dilantik sebagai seorang jurulatih di Maktab Turus Quetta.[3]


Kerjaya selepas Perang Dunia Kedua[sunting | sunting sumber]

Penugasan Walker pertama selepas Perang Dunia Kedua ialah sebagai PSA 1 (Pegawai Staf Am, Inggeris: General Staff Officer) kepada Pengarah Operasi Tentera di Markas Am (General Headquarters, GHQ) di Delhi. Semasa di GHQ, Walker berkesempatan untuk bertugas di bawah dua jeneral kanan British, Jeneral Wavell dan Jeneral Auchinleck. Selepas GHQ dipindahkan kepada kawalan India dalam tahun 1948, beliau menyerahkan tugas beliau kepada seorang bakal Ketua Staf Tentera Darat India (Fil Marsyal Sam Manekshaw) dan kemudiannya dilantik sebagai PSA 1, Markas Wilayah Malaya di Kuala Lumpur. Lebih kurang masa yang sama, Comintern (Communist International) bermesyuarat di Calcutta dan memutuskan untuk melaksanakan pemberontakan bersenjata menentang kuasa-kuasa kolonial di Asia Tenggara.

Dalam tahun 1948, Darurat diisytiharkan di Malaya. Walker ditugaskan untuk membentuk dan melengkapkan sebuah pasukan separa tentera khas, Pasukan Ferret (Ferret Force). Lewat tahun 1948, beliau dilantik sebagai Komandan Pusat Latihan Timur Jauh berdekatan Johor Bahru dengan tugas utama melatih unit-unit tentera British dalam selok-belok peperangan hutan. Beliau kemudiannya mendapat penugasan pertamanya di UK sebagai seorang penuntut di Maktab Staf Bersama (Joint Services Staff College, JSSC). Dalam tahun 1950, beliau dilantik sebagai pegawai memerintah pasukan 1/6 Gurkha Rifles. Walker berjaya membentuk sebuah pasukan tempur yang mahir berjuang di dalam hutan dan batalionnya mencapai banyak kejayaan, termasuk membunuh tiga orang komunis berpangkat tinggi, semasa batalion tersebut di bawah pemerintahan beliau selama tiga tahun.[4]

Dalam tahun 1957, beliau dinaikkan ke pangkat Brigadier dan dilantik komander atau panglima Grup Briged Infantri Gurkha Ke-99 di Malaya. Ini merupakan jawatan yang amat mencabar kerana beliau dikerahkan untuk menewaskan saki-baki pengganas komunis di Johor – Operasi Tiger. Briged Walker berjaya mambasmikan saki-baki seramai 100 pengganas komunis dalam operasi ini.[5] Satu ciri utama operasi ini ialah perhubungan baik Walker dengan Cawangan Khas pasukan Polis. Walker bekerja sama dengan cawangan ini dan mempercayainya dan dengan itu berjaya mengembangkan maklumat perisikan yang membantunya untuk melaksanakan serang hendap berpanjangan terhadap pengganas.[6]

Dalam tahun 1959, Briged Ke-99 dihantar ke Singapura untuk membantu dalam pilihan raya yang bakal diadakan. Walker ditugaskan untuk mengawas keselamatan dalam negeri seluruh Singapura. masalah timbul kerana Briged Ke-99 dilatih untuk menjadi pasukan tempur hutan yang terampil, akan tetapi Singapura urban merupakan tempat asing dan tugas penjagaan kesemalatan dalam negeri merupakan perkara baharu. Walker menangani masalah ini dengan cara tipikalnya dan melatih serta menulis manual, Internal Security in the City (Keselamatan Dalaman di Kota) tentang penjagaan keselamatan dalaman.

Selepas tugas itu, Walker menghadiri RCDS (Royal College of Defence Studies) di London. Beliau tidak berapa serasi dengan sikap beberapa pegawai yang cenderung bermain politik kerana berpendapat bahawa politik adalah urusan ahli politik, buak pegawai tentera. Dalam tahun 1961, selepas menamatkan kursus, Walker dinaikkan pangkat ke Mejar Jeneral dan dilantik Panglima (General Officer Commanding, GOC) Divisyen Gurkha Ke-17 dan serentak sebagai Mejar Jeneral, Briged Gurkha. 17 Divisyen merupakan markas operasi buat semua formasi bukan Malaya (99 Briged Infantri Gurkha dan 28 Briged Komanwel) dan juga unit-unit divisyen di Malaya.[7]

Khabar-khabar angin tentang pembubaran beberapa unit Gurkha muncul pada waktu ini dan Walker memainkan peranan licik yang melibatkan Raja Nepal dan juga Duta AS di Nepal untuk melindungi nasib tentera Gurkha. Tindakan ini tidak diterima baik oleh ketuanya (Ketua Staf Am Imperial) masa itu dan Walker hampir dipecat[nota 2][8] Walau bagaimanapun pada 8 Disember 1962, semasa beliau berada di Nepal dan jauh di pedalaman negara itu, sebuah pemberontakan tercetus di Brunei. Walker diarah pulang ke markasnya dan tiba di Singapura lebih kurang sembilan hari kemudian.[9]

Walker dilantik COMBRITBOR (Komander Angkatan British di Borneo) pada 19 Disember, sebagai pemerintah semua angkatan British (darat, laut dan udara) di koloni-koloni Sarawak dan Borneo Utara (sekarang Sabah), dan negara protektorat British, Brunei. Pemberontakan dapat ditangani dengan segera dan pemberontakan insipien di Sarawak juga dapat ditangani dengan kemasukan tentera British dan Gurkha. Namun demikian, tanda-tanda simpati Indonesia terhadap pemberontak dan sikap permusuhan negara itu menimbulkan kerisauan Walker.[10]

Situasi antara Malaysia dan Indonesia bertambah buruk dan berubah menjadi Konfrontasi. Walau bagaimanapun, Walker berjaya membangunkan konsep dan taktik yang bersesuaian dan berkesan. Paling mustahak lagi, beliau berjaya mengekalkan inisiatif pada pihak British dan Malaysia. Satu daripada operasi yang amat berkesan untuk membawa peperangan kepada Indonesia dan sekali gus mengekalkan inisiatif padanya ialah Operasi Claret, perang senyap yang dilaksanakan Walker. Akhirnya kempen di Borneo berkesudahan dengan jaya. Walker menyerahkan tampuk pimpinan di Borneo kepada penggantinya, Mejar Jeneral Lea, pada bulan Ogos 1965. Sepanjang kempen, beliau berjaya memupuk perhubungan baik dengan tokoh-tokoh politik British, Menteri Pertahanan Denis Healey dan timbalannya (Menteri untuk Tentera Darat, Fred Mulley.[11]

Nota[sunting | sunting sumber]

  1. Walker dikurniakan darjah kebesaran Malaysia, Panglima Mangku Negara yang membawa kepada gelaran "Tan Sri" dalam tahun 1965. Beliau menerima darjah ini yang disampaikan oleh Tunku Abdul Rahman bagi pihak Seri Paduka Baginda Yang Di-Pertuan Agong semasa lawatan Tunku ke London. Beliau juga menerima darjah Paduka Setia Negara, yang membawa kepada gelaran "Dato Seri Setia" daripada Sultan Brunei dalam tahun 1964.
  2. Usaha Walker untuk mempertahankan pasukan Gurkha dilihat sangat kuat yang beliau diancam dengan Mahkamah Tentera dan, berhadapan dengan kemungkinan beliau dilucutkan daripada pemerintahan di Borneo, Walker dipaksa meminta maaf daripada Ketua Staf Am Imperial pada masa itu, Fil Marsyal Hull.


Rujukan[sunting | sunting sumber]

  1. Pocock, Tom (1973). Fighting General. London: Collins. ISBN 0 00 211295 7. 
  2. Houterman, Hans; Koppes, Jeroen. "Indian Army Officers 1939-1945". World War II unit histories & officers. Diperoleh pada 21 December 2013. 
  3. Pocock, pp. 59–61
  4. Pocock, pp. 82–98
  5. "General Sir Walter Walker". The Telegraph. Telegraph Media Group Limited. 13 Ogos 2001. Diperoleh pada 21 December 2013. 
  6. Pocock, pp. 101-08
  7. Pocock, pp. 109–10
  8. "General Sir Walter Walker". The Telegraph. Telegraph Media Group Limited. 13 Ogos 2001. Diperoleh pada 21 December 2013. 
  9. Pocock, pp. 114–35
  10. Pocock, pp. 136–217
  11. Pocock, pp. 136–217