Who Wants to Be a Millionaire?

Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.
(Dilencongkan dari Who Wants To Be A Millionaire)
Who Wants to Be a Millionaire?
FormatRancangan kuiz
PenciptaDavid Briggs
Mike Whitehill
Steven Knight
PengacaraTantowi Yahya ( Indonesia)
Chris Tarrant ( United Kingdom)
George Kurdahi ( Arab Saudi)
Amitabh Bachchan ( India)
Jalaluddin Hassan ( Malaysia)
Negara asal United Kingdom
Penerbitan
Tempoh siaran30-60 minit
Penyiaran
Saluran asalntv7
Siaran asal20002002
Pautan luar
Laman sesawang

Who Wants to Be a Millionaire? (singkatan WWTBAM, Jawi : من سيربح المليون؟) merupakan rancangan permainan televisyen yang menawarkan hadiah wang tunai yang amat lumayan apabila menjawab seberapa banyak soalan pelbagai pilihan dengan betul, makin lama dalam permainan makin susah soalan tersebut untuk dijawab. Format ini dimiliki dan dilesenkan oleh Celador, sebuah syarikat penerbitan dari United Kingdom. Hadiah wang tunai maksimum (dalam versi British asalnya) ialah sejuta paun; dalam versi Amerika, hadiah maksimum tersebut pula bernilai sejuta dolar. Kebanyakan versi tempatan di seluruh dunia menawarkan hadiah terbesar berjumlah sejuta unit matawang tempatan, namun nilai sebenar hadiah-hadiah tersebut banyak perbezaannya, bergantung kepada nilai pertukaran matawang asingnya.

Di Malaysia, dua versi berlainan berdasarkan format rancangan ini pernah disiarkan di ntv7: satu versi bahasa Melayu yang diacarakan Jalaluddin Hassan (2000–2002), dan satu versi bahasa Cina yang diacarakan Victor Gu (2002–2003).

Sejarah[sunting | sunting sumber]

Rancangan ini berasal dari United Kingdom, di mana rancangan ini diacarakan oleh Chris Tarrant. Rancangan ini berdasarkan format yang direka oleh David Briggs, yang, bersama dengan Steve Knight dan Mike Whitehill, turut mereka sebilangan permainan promosi bagi rancangan waktu pagi Tarrant di saluran radio Capital FM. Asalnya, tajuk rancangan ini ialah Cash Mountain.

Ketika julung kalinya disiarkan di UK pada 4 September 1998, WWTBAM menampilkan satu kejutan besar kepada genre rancangan permainan. Hanya seorang peserta bermain di satu-satu masa (serupa dengan sesetengah kuiz radio), dan penekanan lebih diberi kepada saspens berbanding kepantasan. Tiada had masa diberi untuk menjawab soalan, dan peserta diajukan soalan sebelum perlu memutuskan sama ada hendak cuba menjawabnya. Peserta pertama pada episod pertama (versi asal daripada UK) kuiz ini ialah Graham Elwell dari London.

Secara ironisnya, sungguhpun hadiah wang tunai lumayan yang ditawarkannya, rancangan ini dinamakan sempena lagu Cole Porter 1956[perlu rujukan] yang dipetik dari filem High Society yang menekankan kehendak cinta mengatasi harta benda: "Who wants to be a millionaire? I don't. / And I don't 'cause all I want is you." ("Siapalah yang hendak jadi jutawan? Bukan ku. / Dan ku tak kisah kerna kuhanya memerlukanmu.")

Pada Mac 2006, Celador mengumumkan hasrat untuk menjual hak sedunianya kepada rancangan ini, bersama dengan pustaka rancangan UK, sebagai fasa pertama1 penjualan bahagian format dan penerbitan syarikat tersebut. Syarikat Belanda 2WayTraffic telah membeli WWTBAM dan seluruh pustaka rancangan Celador. Dua tahun kemudian, 2WayTraffic menjual rancangan ini kepada Sony Pictures Entertainment seharga 137.5 paun.[1]

Pentas[sunting | sunting sumber]

WWTBAM dirakamkan di khalayak penonton studio yang duduk mengelilingi sebuah pentas di mana aksi permainan berjalan. Pada awal setiap rancangan, pengacara memperkenalkan sepuluh orang peserta (lima orang dalam versi Taiwan, enam orang dalam versi Bulgaria, Finland dan Iceland, lapan orang dalam versi Armenia, Macedonia, Latvia dan Nigeria), lalu membacakan nama dan tempat asal mereka. Setiap peserta membawa seorang sahabat atau saudara-mara (tidak sama dengan kawan yang ditelefon yang akan dijelaskan kemudian), yang duduk di kalangan penonton dan, jika peserta tersebut makin mara dalam permainan, wajahnya dipaparkan oleh kamera dari masa ke semasa, menonjolkan emosi gembira, resah dan sebagainya.

Peraturan[sunting | sunting sumber]

Pertama sekali, para peserta perlu menjalani pusingan paling pantas dan tangkas (Fastest Finger First), yang mana mereka semua diberi satu soalan dan empat jawapan oleh pengacara, lalu diminta untuk menyusunkan keempat-empat jawapan tersebut dalam susunan tertentu. (dalam siri paling awal versi British, dan sehingga berakhirnya musim 2003 versi Australia, pusingan Jari Terpantas memerlukan peserta untuk menjawab satu soalan pelbagai pilihan dengan tepatnya dan secepat mungkin.) Peserta yang dapat menjawabnya dengan betul dan dalam tepoh masa yang terpantas layak ke pusingan seterusnya dan duduk di atas "gelanggang jutawan" dan bermain untuk meraih hadiah wang tunai tertinggi (lazimnya sejuta unit matawang tempatan, bergantung kepada nilai matawang tersebut).

Ketika duduk di atas gelanggang jutawan, peserta disyorkan soalan-soalan pengetahuan am oleh pengacara; peringkat kesukaran akan semakin meningkat bagi setiap soalan. Semua soalan adalah berbentuk pelbagai pilihan: empat jawapan berkemungkinan diberi dan peserta perlu memilih jawapan yang betul. Setelah menjawab soalan pertama dengan tepat, peserta meraih 100 unit matawang.

Soalan-soalan berikutnya diajukan untuk menawarkan jumlah wang yang makin besar (lebih kurang berganda di setiap pusingan). Ketika soalan-soalan paling awal, pilihan "D" kerap dijadikan jawapan lawak. Susunan hadiah lengkap adalah seperti berikut (dipakai oleh versi Malaysia):

  • RM100 (unit matawang)
  • RM200
  • RM300
  • RM500
  • RM1,000
  • RM2,000
  • RM4,000
  • RM8,000
  • RM16,000
  • RM32,000
  • RM64,000
  • RM125,000
  • RM250,000
  • RM500,000
  • RM1,000,000

Hadiah wang tunai tersebut bukannya secara kumulatif; maksudnya, bagi menjawab tiga soalan pertama dengan betul peserta meraih RM300, bukan RM100 + RM200 + RM300 = RM600.

Setelah diajukan soalan terebut, si peserta boleh memilih untuk berhenti dan membawa pulang wang tunai yang sudah diraihnya, sekaligus tidak mencuba menjawab soalan tersebut. Jika si peserta menjawab soalan itu dengan salah, maka dia akan hilang semua wang tunai yang dimenanginya, kecuali hadiah tunai bernilai RM1,000 dan RM32,000 (tahap selamat): jika seorang pemain tersalah jawab ketika di atas paras tersebut, maka nilai hadiah mereka terjunam pada nilai tahap selamat. Ini bermakna bahawa si peserta boleh mencuba soalan bernilai RM2,000 dan RM64,000 tanpa rasa takut kerana dia telah dijamin amaun wang tunai yang sebelumnya meskipun tersalah jawab.

Permainan tamat apabila si peserta tersalah jawab, memutuskan untuk berhenti, atau berjaya menjawab kelima belas soalan dengan betul, maka memenangi hadiah utama bernilai RM1,000,000.

Talian hayat[sunting | sunting sumber]

Jika di mana-mana tahap dalam permainan, si peserta berasa tidak yakin bagaimana untuk menjawab soalan, dia boleh memakai satu atau lebih "talian hayat". Setelah menggunakan talian hayat, si peserta boleh menjawab soalan, memakai satu lagi talian hayat, atau berhenti permainan sahaja.

  • 1:1 (Dwipilihan)—Si peserta meminta pengacara untuk mengarahkan komputer memadamkan dua pilihan jawapan salah secara rawak, maka tinggalnya satu jawapan betul dan satu jawapan salah untuk dipilih.
  • Tanya penonton—Si peserta menanyakan penonton dalam studio pilihan yang mana diyakini mereka sebagai jawapan tepat. Para penonton menyatakan pilihan mereka dengan menggunakan sistem respons penonton. Keputusan undian penonton dengan serta-mertanya dipaparkan dalam skrin si peserta dan pengacara.
  • Rakan Telefon—Si peserta boleh menghubungi salah seorang daripada lima orang kenalan yang disediakan sebelum permainan. Si peserta perlu terdahulu memberi nama dan nombor telefon kenalan tersebut kepada pihak penganjur. Kenalan-kenalan tersebut dimaklumkan apabila peserta yang dikenali mereka layak ke pusingan utama, lalu dimaklumkan untuk memastikan telefon mereka dilapangkan dari panggilan luar selain pihak penganjur dan menunggu tiga kali deringan sebelum mengangkat gagang. Si peserta diberi 30 saat untuk mengajukan soalan dan empat pilihan jawapan kepada kenalannya yang perlu memilih satu jawapan sebelum tempoh masa yang diberikan itu habis.
  • Menukar soalan

Lihat Juga[sunting | sunting sumber]

Rujukan[sunting | sunting sumber]

Pautan luar[sunting | sunting sumber]