Yamagata Aritomo
Yamagata Aritomo | |||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||
|---|---|---|---|---|---|---|---|---|---|---|---|---|---|---|---|---|---|---|---|---|---|---|---|---|---|---|---|---|---|---|---|---|---|---|---|---|---|---|---|---|---|---|---|---|---|---|---|---|---|---|---|---|---|
山縣 有朋 | |||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||
| Perdana Menteri Jepun | |||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||
| Dalam jawatan 8 November 1898 – 19 Oktober 1900 | |||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||
| Raja | Meiji | ||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||
| Didahului oleh | Ōkuma Shigenobu | ||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||
| Digantikan oleh | Itō Hirobumi | ||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||
| Dalam jawatan 24 Disember 1889 – 6 Mei 1891 | |||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||
| Raja | Meiji | ||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||
| Didahului oleh | Kuroda Kiyotaka Sanjō Sanetomi (pemangku) | ||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||
| Digantikan oleh | Matsukata Masayoshi | ||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||
| Presiden Dewan Penasihat | |||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||
| Dalam jawatan 26 Oktober 1909 – 1 Februari 1922 | |||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||
| Raja | Meiji Taishō | ||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||
| Naib Presiden | Higashikuze Michitomi Yoshikawa Akimasa Kiyoura Keigo | ||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||
| Didahului oleh | Itō Hirobumi | ||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||
| Digantikan oleh | Kiyoura Keigo | ||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||
| Dalam jawatan 21 Disember 1905 – 14 Jun 1909 | |||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||
| Raja | Meiji | ||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||
| Naib Presiden | Higashikuze Michitomi | ||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||
| Didahului oleh | Itō Hirobumi | ||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||
| Digantikan oleh | Itō Hirobumi | ||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||
| Dalam jawatan 11 Mac 1893 – 12 Disember 1893 | |||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||
| Raja | Meiji | ||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||
| Naib Presiden | Higashikuze Michitomi | ||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||
| Didahului oleh | Oki Takato | ||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||
| Digantikan oleh | Kuroda Kiyotaka | ||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||
| |||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||
| Anggota Dewan Bangsawan | |||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||
| Dalam jawatan 5 Ogos 1895 – 1 Februari 1922 | |||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||
| Maklumat peribadi | |||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||
| Lahir | 14 Jun 1838 Kawashima, Chōshū, Jepun | ||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||
| Meninggal dunia | 1 Februari 1922 (umur 83) Odawara, Kanagawa, Jepun | ||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||
| Parti politik | Bebas | ||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||
| Pasangan | Yamagata Tomoko [ja] (k. 1868; m. 1893) | ||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||
| Pasangan Serumah | Yoshida Sadako (1893–1922) | ||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||
| Anak | Funakoshi Matsuko (anak perempuan) | ||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||
| Saudara | Yamagata Isaburō (anak saudara) | ||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||
| Tandatangan | |||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||
| Perkhidmatan tentera | |||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||
| Kesetiaan | |||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||
| Cabang/khidmat | |||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||
| Tahun khidmat | 1868–1905 | ||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||
| Pangkat | Fil Marsyal (Gensui) | ||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||
| Perang/Pertempuran | |||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||
| Anugerah tentera | Darjah Layang-layang Emas (kelas pertama) Darjah Matahari Terbit (kelas pertama bersama Paulownia Blossoms, Grand Cordon) Darjah Bunga Kekwa Ahli Order of Merit Darjah St Michael dan St George | ||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||
Putera Yamagata Aritomo (Jepun: 山縣 有朋; 14 Jun 1838 – 1 Februari 1922) ialah seorang negarawan dan jeneral Jepun yang dua kali berkhidmat sebagai Perdana Menteri Jepun, iaitu pada tahun 1889–1891 dan 1898–1900. Beliau merupakan ahli terkemuka genrō, kumpulan bangsawan dan negarawan kanan yang mendominasi politik Jepun semasa era Meiji. Sebagai Ketua Turus Tentera Darat Imperial Jepun, beliau merupakan arkitek utama ideologi nasionalis dan reaksioner tentera tersebut,[1] yang menyebabkan sebahagian sejarawan menganggapnya sebagai “bapa militarisme Jepun".[2]
Dilahirkan dalam keluarga samurai berpangkat rendah di Wilayah Chōshū, Yamagata muncul sebagai pemimpin dalam gerakan setiawan yang bertujuan menggulingkan keshogunan Tokugawa. Sebagai komander dalam Perang Boshin, beliau membantu memimpin angkatan tentera Pakatan Satsuma–Chōshū mencapai kemenangan dalam Pemulihan Meiji.
Selepas pemulihan tersebut, beliau mengembara ke Eropah untuk mempelajari sistem ketenteraan Barat dan sekembalinya ke Jepun menjadi tokoh utama dalam pembentukan Tentera Darat Imperial Jepun moden, termasuk pelaksanaan sistem kerahan tenaga wajib di seluruh negara. Beliau mengetuai tentera kerahan baharu itu mencapai kemenangan ke atas Pemberontakan Satsuma pada tahun 1877, sekali gus mengesahkan pembaharuan ketenteraannya dan memusnahkan saki-baki terakhir kelas samurai, termasuk hak membawa pedang. Beliau seterusnya menjamin kebebasan tentera daripada kawalan awam dengan menubuhkan Pejabat Staf Am Tentera Darat Imperial Jepun yang berautonomi dan melapor terus kepada Maharaja Jepun.
Dalam bidang pemerintahan awam, Yamagata berkhidmat sebagai Menteri Dalam Negeri Jepun, di mana beliau menubuhkan sistem polis dan pentadbiran tempatan yang cekap serta berpusat. Sebagai Perdana Menteri dari 1889 hingga 1891, beliau menyelia pembukaan Diet Imperial pertama di bawah Perlembagaan Meiji yang baharu. Selepas itu, beliau terlibat dalam persaingan politik berpanjangan dengan Itō Hirobumi mengenai sifat pemerintahan berperlembagaan.
Jika Itō cenderung kepada sistem kompromi dengan parti politik, Yamagata kekal sebagai penyokong tegar konsep pemerintahan "transendental", di mana kabinet terdiri daripada birokrat tidak berparti yang hanya bertanggungjawab kepada Maharaja Jepun. Selepas Perang China–Jepun Pertama (1894–1895), beliau berkhidmat untuk kali kedua sebagai Perdana Menteri dari 1898 hingga 1900, dan meluluskan undang-undang bagi menghalang ahli parti politik daripada memegang jawatan birokrasi utama.
Memasuki awal abad ke-20, Yamagata bersaing dengan Itō untuk pengaruh tertinggi dalam kalangan oligarki Meiji. Selepas pembunuhan Itō pada 26 Oktober 1909, beliau mengukuhkan kuasa sebagai tokoh paling dominan di istana Maharaja Jepun.[3][4][5] Namun begitu, satu skandal politik yang melibatkan campur tangannya dalam pertunangan Putera Mahkota Hirohito menyebabkan beliau kehilangan pengaruh tidak lama sebelum kematiannya pada Februari 1922.
Kehidupan awal
[sunting | sunting sumber]
Yamagata Aritomo, yang pada awalnya dinamakan Tatsunosuke, dilahirkan pada 14 Jun 1838 di bandar istana Hagi, ibu kota Wilayah Chōshū (kini Wilayah Yamaguchi).[6][7] Bapanya, Yamagata Arinori ialah seorang samurai berpangkat rendah daripada kelas chūgen ("askar kaki"), pangkat terendah dalam kalangan pengikut langsung daimyō. Keluarga mereka miskin, dan tugas mereka hampir sama dengan orang biasa, tetapi mereka mengekalkan hak istimewa kelas samurai.
Ibu Yamagata meninggal dunia ketika beliau berumur lima tahun, dan beliau dibesarkan oleh neneknya, Katsu, yang menerapkan nilai-nilai samurai ke dalam dirinya. Di bawah bimbingan bapanya, beliau dididik dalam kesusasteraan klasik Cina dan Jepun serta mengembangkan bakat dalam penulisan puisi. Beliau juga menerima latihan ketenteraan dalam seni mempertahankan diri menggunakan pedang, tombak dan jujitsu.
Sejak umur tiga belas tahun, Yamagata memegang beberapa pekerjaan kecil dalam birokrasi han, bermula sebagai budak suruhan di pejabat perbendaharaan dan kemudian sebagai pembantu di sekolah han. Beliau akhirnya menjadi perisik dalam organisasi polis han, di mana khidmat setianya menarik perhatian pihak atasan.
Yamagata membesar dalam tempoh reformasi besar di Chōshū. Tersentak dengan kekalahan wilayah itu dalam Pertempuran Sekigahara 1600, wilayah Chōshū memupuk tradisi permusuhan terhadap keshogunan Tokugawa. Pada tahun 1830-an, di bawah kepimpinan Daimyō Mōri Takachika, Chōshū menjalani reformasi ekonomi dan ketenteraan yang signifikan, mengukuhkan kewangannya dan mengadaptasi teknologi ketenteraan Barat. Suasana perubahan dan inovasi ini memberi pengaruh kepada Yamagata, menjadikannya sedar tentang kepentingan pemodenan.
Kegiatan awal dalam politik
[sunting | sunting sumber]Pada tahun 1858, pada usia dua puluh tahun, Yamagata dipilih untuk pergi ke Kyoto, ibu kota kerajaan, bagi berkhidmat sebagai ejen risikan untuk wilayahnya. Pemilihannya disyorkan oleh Yoshida Shōin, seorang intelektual berpengaruh dari Chōshū dan ajarannya mengilhamkan generasi baru aktivis pengikut setia. Peristiwa ini menandakan titik perubahan dalam kerjaya Yamagata, memindahkannya dari lingkungan pentadbiran han ke dalam politik nasional yang bergelora pada zaman bakumatsu. Kedatangan Komodor Perry pada tahun 1853 telah menghancurkan dasar pengasingan Jepun dan mendedahkan kelemahan keshogunan Tokugawa. Gerakan yang semakin berkembang dikenali sebagai sonnō jōi (尊皇攘夷, Hormati Maharaja, Usir Orang Asing) menyeru pemulihan kuasa politik Maharaja Jepun dan pengusiran orang asing.
Di Kyoto, Yamagata berkait rapat dengan sekumpulan aktivis radikal sonnō jōi dan diperkenalkan kepada cendekiawan pengikut setia, Yanagawa Seigan dan Umeda Umpin. Mereka berada di pusat gerakan antibakufu di Kyoto, dan idea-idea mereka digabungkan dengan peristiwa politik yang disaksikan Yamagata, meyakinkannya bahawa langkah drastik diperlukan untuk memulihkan pemerintahan imperial dan menentang Barat. Setelah kembali ke Hagi pada Oktober 1858, beliau memulakan hampir enam bulan pengajian di bawah Yoshida Shōin di akademi persendirian beliau, Shōka Sonjuku (松下村塾, sekolah di bawah pokok pain).
Selepas Yoshida dihukum mati oleh keshogunan pada tahun 1859, Yamagata menjadi tokoh utama dalam kalangan golongan muda radikal pengikut setia Chōshū. Beliau mengambil bahagian dalam kempen Shimonoseki dan cedera semasa pengeboman Shimonoseki oleh armada Barat pelbagai negara pada tahun 1864, pengalaman yang meyakinkannya tentang keunggulan teknologi ketenteraan Barat. Apabila satu puak konservatif dalam kerajaan Chōshū membuat perjanjian damai dengan keshogunan, Yamagata dan radikal lain melancarkan rampasan kuasa dalaman yang dikenali sebagai “Pemulihan Chōshū”. Pada Februari 1865, beliau mengetuai pasukan dalam pertempuran di Edo-Ota, yang membawa kemenangan kepada puak radikal dan mengikat Chōshū dengan dasar penggulingan bakufu Tokugawa. Di bawah kepimpinan baharu, Chōshū memasuki Pakatan Rahsia Satsuma–Chōshū dengan pesaing wilayah Satsuma.
Selepas kekalahan di Shimonoseki, Yamagata menjadi pegawai dalam Kiheitai (奇兵隊; maksud harfiahnya "Unit Persendirian"), sebuah unit militia inovatif yang ditubuhkan oleh Takasugi Shinsaku. Berbeza dengan unit samurai tradisional, Kiheitai terdiri daripada lelaki dari semua lapisan masyarakat, termasuk orang biasa. Pengalaman Yamagata dalam Kiheitai meyakinkannya tentang potensi tentera biasa yang terlatih dan lengkap bersenjata, satu pengajaran yang kemudiannya diterapkannya ke seluruh negara.
Beliau menonjol sebagai komander tentera semasa Ekspedisi Chōshū Kedua pada tahun 1866, mengetuai unit Kiheitai dalam serangan amfibia menyeberangi Selat Shimonoseki. Kematian awal Takasugi pada tahun 1867 merupakan kehilangan besar bagi gerakan pengikut setia; walaupun Yamagata seorang pegawai berbakat, Takasugi memilih Ōmura Masujirō sebagai komander Kiheitai kerana Ōmura mempunyai kepakaran teknikal dan taktikal yang lebih tinggi serta dianggap kurang ideologi.
Yamagata memainkan peranan utama dalam Perang Boshin 1868, mengetuai pasukan Chōshū dalam kempen di utara Jepun yang berakhir dengan penggulingan keshogunan dan Pemulihan Meiji. Bagaimanapun, semasa perang, pemerintahannya dicatatkan mengalami beberapa kegagalan; dalam satu kempen di pantai barat, pasukannya tersangkut dan beliau gagal memotong laluan tentera keshogunan yang sedang berundur.
Penubuhan Tentera Darat Imperial Jepun
[sunting | sunting sumber]Yamagata Aritomo merupakan tokoh utama dalam pembentukan asas ketenteraan baharu bagi kerajaan Meiji. Dari 1869 hingga 1870, beliau bersama Saigō Tsugumichi mengadakan lawatan ke Eropah untuk mempelajari sistem ketenteraan Barat. Yamagata amat terkesan dengan tentera Prusia, khususnya penggunaan kerahan tenaga wajib, yang dilihatnya sebagai kunci untuk mewujudkan tentera moden dan berkuasa.
Setelah kembali ke Jepun, beliau dilantik sebagai Timbalan Penolong Menteri Hal Ehwal Ketenteraan dan memulakan organisasi tentera negara. Beliau berperanan penting dalam menubuhkan Pengawal Peribadi Imperial (Goshimpei, 御親兵), unit ketenteraan pertama di bawah arahan langsung kerajaan pusat, yang terdiri daripada tentera dari Satsuma, Chōshū dan Tosa. Pasukan ini menyediakan sokongan ketenteraan untuk penghapusan wilayah feudal pada 1871, langkah penting dalam pemusatan kuasa politik.
Pengerahan dan Pemberontakan Satsuma
[sunting | sunting sumber]Sumbangan paling signifikan Yamagata ialah penubuhan sistem kerahan tenaga negara. Beliau merupakan penggerak utama di sebalik Akta Kerahan Tenaga 1872, yang mewajibkan perkhidmatan tentera untuk semua warganegara lelaki tanpa mengira kelas sosial. Beliau melihat dasar ini sebagai alat pelbagai guna: ia bukan sahaja membentuk tentera moden berdasarkan model Prusia yang dikaguminya, tetapi juga mengehadkan kuasa kelas samurai dan menanam semangat identiti kebangsaan serta kesetiaan kepada Maharaja Jepun dan negara.
Berdasarkan pengalamannya memimpin unit campuran samurai dan orang biasa semasa Pemulihan Meiji, beliau juga melihat kerahan tenaga sebagai cara mendidik generasi masa depan tentang kewarganegaraan. Dasar ini menghadapi tentangan sengit, baik daripada petani yang membenci "cukai darah" mahupun samurai yang melihatnya sebagai pelanggaran terhadap status tradisional mereka. Sebagai Menteri Tentera dari 1873, Yamagata menumpaskan penentangan ini dengan tegas.
Semasa Pemberontakan Satsuma 1877, yang dipimpin oleh wira Pemulihan Meiji terkenal Saigō Takamori, Yamagata bertindak sebagai komander perang angkatan tentera kerajaan. Beliau pada mulanya mencadangkan serangan amfibia ke pangkalan pemberontak di Kagoshima, tetapi kerajaan menolak rancangan itu dan memilih untuk terus membantu Istana Kumamoto yang dikepung. Dengan memimpin kempen secara berhati-hati dan sistematik, tentera kerahannya akhirnya menumpaskan pemberontakan dalam kemenangan yang muktamad.
Apabila Maharaja Jepun melawat para tentera yang cedera selepas pemberontakan, Yamagata berada antara tetamu kehormat yang hadir. Melihat Maharaja menyentuh parut tentera yang cedera, Yamagata "berdiri tegak dan memberi hormat, sehingga semua menangis". Kemenangan ini mengesahkan keberkesanan sistem kerahan tenaga dan menamatkan cabaran besar terakhir terhadap kuasa kerajaan Meiji. Walaupun berjaya dalam peperangan, Yamagata menyatakan kesedihan peribadi yang mendalam atas kematian rakannya, Saigō.
Penubuhan Staf Am
[sunting | sunting sumber]
Selepas Pemberontakan Satsuma, Yamagata berusaha untuk mempertingkatkan profesionalisme dan menghapuskan pengaruh politik dalam tentera. Sebagai tindak balas terhadap pemberontakan tentera yang menyertai Saigō, dan usaha menangani rungutan yang membawa kepada Pemberontakan Takebashi 1878, beliau mengeluarkan "Nasihat kepada Tentera" (gunjin kunkai), yang disediakan oleh cendekiawan merangkap pegawai Nishi Amane, yang menekankan disiplin ketat dan melarang tentera mengemukakan petisyen atau mempersoalkan dasar negara.
Beliau menyusun semula tentera mengikut model Jerman dan pada tahun 1878, dengan nasihat anak buahnya Katsura Tarō, menubuhkan Staf Am Tentera Darat Imperial Jepun yang bebas, berdasarkan sistem Prusia. Badan baharu ini bertanggungjawab untuk perancangan dan pengurusan ketenteraan serta melapor terus kepada Maharaja Jepun, bukan kerajaan awam. Langkah ini secara efektif memisahkan kawalan tentera daripada pentadbiran politik, memastikan tentera bebas daripada pengaruh awam dan menjadi sumber utama kuasa politik tentera pada dekad-dekad berikutnya.
Untuk menanamkan ideologi seragam dalam tentera baharu, Yamagata merupakan penggerak utama di sebalik Surat Arahan Imperial kepada Tentera dan Pelaut 1882. Dokumen yang beliau isytiharkan sebagai tindak balas lebih menyeluruh terhadap pengaruh Gerakan Hak Rakyat dan Kebebasan, menjadi kod etika untuk semua anggota tentera sehingga tamat Perang Dunia Kedua. Ia menekankan kesetiaan mutlak kepada Maharaja Jepun sebagai kewajipan tertinggi seorang tentera, bertentangan dengan tuntutan demokratik gerakan tersebut, dan melarang sebarang penglibatan dalam politik. Arahan ini membentuk perkembangan ideologi nasionalis dan reaksioner dalam tentera.[8]
Kerjaya politik
[sunting | sunting sumber]
Pengaruh Yamagata tidak terhad kepada bidang ketenteraan, apabila beliau juga berkhidmat sebagai Menteri Dalam Negeri, Perdana Menteri, Menteri Kehakiman dan Presiden Dewan Penasihat. Pada 1883, beliau dilantik sebagai Menteri Dalam Negeri dan memulakan reformasi besar dalam pentadbiran dalaman negara. Dengan menggunakan model Jerman dan bantuan penasihat Jerman Albert Mosse, beliau menubuhkan sistem kerajaan tempatan baharu yang memusatkan kuasa dan memperluas pengaruh kerajaan pusat hingga ke peringkat kampung. Beliau juga menstruktur semula sistem polis, mewujudkan kuasa pusat di bawah kawalan ketat Kementerian Dalam Negeri. Sebagai seorang konservatif tegar, Yamagata memandang serius Gerakan Hak Rakyat dan Kebebasan dan menggunakan kedudukannya untuk menindas pembangkang politik, yang berpuncak kepada Akta Pemeliharaan Keamanan 1887, memberi kuasa luas kepada polis untuk mengekang sebarang pembangkangan.
Tempoh pertama Perdana Menteri
[sunting | sunting sumber]Pada Disember 1889, Yamagata menjadi Perdana Menteri Jepun ketiga, mengetuai kabinet baharu selepas peletakan jawatan Kuroda Kiyotaka. Kerajaannya menyelia pembukaan Dewan Perundangan Imperial pertama pada 1890, satu peristiwa yang menandakan fasa baharu dalam politik Jepun. Dalam ucapan di hadapan Dewan pada Mac 1890, beliau memperkenalkan konsep strategik keselamatan negara. Beliau memperkenalkan "garis kedaulatan" (shukensen, 主権線) iaitu sempadan negara, dan "garis kepentingan" (riekisen, 利益線) iaitu zon penampan strategik, khususnya Korea yang penting untuk pertahanan garis kedaulatan. Doktrin ini membimbing dasar luar Jepun selama beberapa dekad dan digunakan untuk membenarkan peluasan tentera di Asia.

Yamagata segera bertembung dengan parti pembangkang di Dewan berkenaan bajet, terutama permintaannya untuk perbelanjaan ketenteraan yang lebih tinggi. Sebagai bekas pegawai tentera, beliau enggan berkompromi dan kurang berkeinginan untuk menjalin hubungan dengan ahli politik yang mungkin dapat mengelakkan konflik. Pertembungan ini menjadi buntu, dan Yamagata mempertimbangkan untuk membubarkan Dewan, tetapi dinasihat oleh pesaingnya, Itō Hirobumi. Pada 10 Februari 1891, beliau menyampaikan ucapan menyatakan kabinetnya tidak dapat menjawab pertanyaan mengenai beberapa item bajet, yang dikritik hebat oleh Itō sebagai "pernyataan bodoh" yang mengundang kemarahan pembangkang.
Akhirnya, Yamagata mencapai kompromi dengan bekerjasama dengan puak kecil Parti Liberal, walaupun bajet akhir memasukkan pemotongan hampir tiga perempat yang dituntut pembangkang. Untuk menghalang gabungan antara parti pembangkang dalam sesi berikutnya, beliau meminda Peraturan Mesyuarat Awam dan Persatuan Politik, melarang mana-mana parti untuk bergabung atau berkomunikasi antara satu sama lain. Pada masa yang sama, beliau turut menjadi tokoh utama di sebalik perisytiharan Surat Arahan Imperial mengenai Pendidikan (1890), yang menetapkan kerangka moral konservatif berpusatkan Maharaja Jepun untuk sistem pendidikan kebangsaan. Beliau meletakkan jawatan sebagai Perdana Menteri pada Mei 1891, setelah kabinetnya berjaya menempuh sesi Dewan pertama tetapi dilemahkan akibat kritikan Itō.
Tempoh kedua Perdana Menteri
[sunting | sunting sumber]
Pengaruh politik Yamagata terus berkembang sepanjang tahun 1890-an. Semasa Perang China-Jepun Pertama (1894–1895), walaupun bertentangan dengan nasihat kerajaan, beliau berjaya menuntut untuk dilantik sebagai komander Tentera Pertama. Beliau tiba di medan perang pada bulan September, selepas penawanan Pyongyang, tetapi sakit memendekkan tempoh komandonya. Semasa dalam tempoh pemulihan, beliau tetap berada di barisan hadapan. Beliau kemudian kecewa dengan panduan operasi dari Pejabat Am Tentera Imperial, secara unilateral mengarahkan tenteranya mengejar angkatan China, tindakan yang dianggap tidak taat dan menimbulkan ketegangan dengan pentadbiran pusat. Pada bulan Disember, maharaja terpaksa memerintahkan beliau pulang ke Jepun secara peribadi. Selepas perang, beliau menggunakan kemenangan itu untuk menuntut pembesaran tentera, menggandakan saiznya daripada tujuh kepada tiga belas divisyen. Beliau menekankan prinsip "lebih besar, bukan lebih banyak", iaitu memfokuskan pada peningkatan kekuatan infantri divisyen sedia ada berbanding menubuhkan divisyen baharu.
Pada November 1898, Yamagata membentuk kabinet keduanya selepas kejatuhan kabinet parti Ōkuma Shigenobu–Itagaki Taisuke yang singkat. Objektif utama beliau ialah memastikan pembiayaan untuk pengembangan tentera pascaperang dan menangani defisit fiskal yang semakin meningkat, yang memerlukan peningkatan ketara cukai tanah. Untuk mengatasi penentangan di Dewan, beliau membentuk pakatan luar biasa dengan Kenseitō pimpinan Itagaki, pengganti Parti Liberal, menjanjikan konsesi dalam dasar lain sebagai pertukaran sokongan mereka terhadap rang undang-undang cukai.
Selepas berjaya meluluskan peningkatan cukai, Yamagata bergerak untuk melemahkan pengaruh parti politik. Pada Mac 1899, beliau menggubal beberapa peraturan perkhidmatan awam yang menyukarkan ahli parti dilantik ke jawatan tinggi dalam birokrasi, secara efektif mengasingkan birokrasi daripada kawalan politik. Semasa tempoh ini, pemerintahannya juga meluluskan Akta Keamanan Polis 1900 untuk menindas gerakan buruh. Pada Mei 1900, beliau meminda peraturan bagi menteri perkhidmatan, menetapkan bahawa hanya jeneral dan laksamana aktif yang boleh berkhidmat sebagai menteri tentera dan laut, memberi tentera kuasa veto yang besar terhadap pembentukan mana-mana kabinet. Beliau meletak jawatan pada Oktober 1900, selepas memastikan pengembangan tentera jangka panjang dan mengukuhkan asas pemerintahan birokratik, dan selepas Pemberontakan Boxer ditumpaskan.
Genrō
[sunting | sunting sumber]
Selepas tahun 1900, Yamagata berundur daripada penglibatan langsung dalam kerajaan kabinet, namun terus berpengaruh sebagai ahli genrō, iaitu kelompok negarawan kanan tidak rasmi yang menasihati Maharaja Jepun dan memilih Perdana Menteri Jepun. Beliau menjadi tokoh utama dalam persaingan politik jangka panjang dengan Itō Hirobumi, yang memecahkan golongan oligarki kepada dua puak: puak militaris yang diketuai Yamagata dan puak sivil yang dipimpin Itō. Antara 1900 hingga 1909, Yamagata bersaing dengan Itō dalam menentukan dasar negara, terutama melalui pengaruhnya ke atas anak didiknya, Katsura Tarō.[9] Selepas kematian Itō pada tahun 1909, Yamagata berjaya mengukuhkan kedudukannya sebagai pihak berkuasa tertinggi dalam pemerintahan empayar selepas Maharaja.[10][11][4]
Dalam dasar luar, Yamagata memainkan peranan penting. Beliau menyokong kuat Pakatan Inggeris-Jepun 1902 sebagai langkah mengekang peluasan pengaruh Rusia. Semasa Perang Rusia–Jepun (1904–1905), beliau merupakan pihak berkuasa tertinggi dalam strategi ketenteraan dan menyokong penamatan perang selepas kemenangan di Mukden. Selepas perang, beliau menggesa peluasan besar-besaran tentera dan menjadi arkitek utama Dasar Pertahanan Imperial 1907, yang menetapkan Rusia sebagai musuh utama dan menggariskan strategi ofensif di Asia. Beliau juga merupakan tokoh utama di sebalik pengilhakan Korea pada tahun 1910.
Kedudukan Yamagata dicabar selepas kemangkatan Maharaja Meiji pada tahun 1912. Semasa krisis politik Taishō (1912–1913), sokongannya terhadap tuntutan tentera menyebabkan kejatuhan kerajaan Saionji Kinmochi dan pelantikan Katsura sebagai Perdana Menteri,[12] namun tindakan itu mencetuskan bantahan rakyat secara besar-besaran dan melemahkan pengaruh genrō serta tentera buat sementara waktu.[13][14]
Semasa Perang Dunia Pertama, pengaruh Yamagata kekal kuat. Beliau menyokong penyertaan Jepun dalam perang tetapi mengkritik tuntutan berlebihan terhadap China pada tahun 1915. Pada tahun 1916, beliau merangka Pakatan Rahsia Rusia–Jepun bagi melindungi kedudukan Jepun dalam menghadapi kuasa Barat selepas perang.
Kematian
[sunting | sunting sumber]
Pada tahun-tahun akhir hidupnya, Yamagata kekal sebagai "kuasa di sebalik tabir". Beliau menjadi tokoh utama, walaupun pada mulanya enggan dalam keputusan untuk menjalankan Campur Tangan Siberia pada 1918. Pada tahun yang sama, selepas rusuhan beras 1918, beliau terpaksa menerima pelantikan Hara Takashi sebagai Perdana Menteri. Yamagata pada awalnya berharap untuk mengelakkan kabinet berasaskan parti sepenuhnya dengan meyakinkan Saionji untuk mengetuai kabinet kesatuan nasional, tetapi apabila Saionji menolak dan mencadangkan Hara, serta Perdana Menteri terdahulu Terauchi Masatake juga menyokong Hara, Yamagata terpaksa akur. Tidak mahu mencadangkan ahli politik parti sendiri, beliau menyerahkan tanggungjawab itu kepada Saionji, membuka jalan kepada kabinet parti pertama dalam sejarah Jepun, satu titik penting dalam sejarah perlembagaan Jepun.
Walaupun tidak mempercayai politik berparti, Yamagata membina hubungan kerja dengan Hara, menghormatinya kerana pragmatisme konservatif; menjelang 1921, Yamagata menyedari kabinet Hara memberikan koordinasi kerajaan yang lebih baik berbanding mana-mana kabinet sebelumnya.
Penglibatan politik terakhir Yamagata ialah "isu mahkamah makam" 1920–1921, berkaitan dengan perkahwinan Putera Mahkota Hirohito. Beliau cuba menghalang perkahwinan itu atas alasan buta warna keturunan dalam keluarga pengantin (Puteri Nagako dari puak Shimazu, Satsuma). Usahanya dilihat sebagai serangan terhadap Satsuma dan akhirnya gagal akibat gabungan bangsawan istana dan pihak politik yang menentangnya, memberi kesan besar kepada prestijnya.
Berduka atas kekalahan ini dan pembunuhan Perdana Menteri Hara pada November 1921, kesihatan Yamagata merosot. Beliau meninggal dunia pada 1 Februari 1922 di vila beliau di Odawara, diberikan penghormatan negara, dan dikebumikan di Kuil Gokokuji, Tokyo.
Legasi
[sunting | sunting sumber]Yamagata Aritomo merupakan salah seorang tokoh paling penting dan kontroversial dalam sejarah Jepun moden. Sepanjang lebih 50 tahun, pengaruhnya mempengaruhi hampir semua perkembangan penting, dari pembentukan tentera moden hingga dasar luar negara. Beliau bangkit dari seorang samurai yang tidak terkenal menjadi pemimpin tentera dan politik paling berkuasa di Jepun.[15] Yamagata menjadi arkitek tentera moden Jepun dan birokrasi moden, yang dibentuk mengikut imej konservatif dan autoritarian beliau.
Falsafah politiknya menekankan negara berpusat yang kuat dengan birokrasi dan tentera yang tidak berpihak kepada parti politik. Walaupun mengekalkan prinsip kabinet bukan parti, beliau bersifat pragmatik dan sanggup berkompromi dengan parti politik bila perlu, terutama semasa jawatan perdana menterinya yang kedua.
Warisan Yamagata dipandang berbeza. Di Barat dan Jepun pada pascaperang, beliau sering dilihat sebagai "penjahat utama" yang mendorong Jepun ke arah militarisme agresif dan kekalahan 1945. Bagaimanapun, ada yang menekankan bahawa beliau juga seorang negarawan pragmatik yang berhati-hati, dengan matlamat utama menjamin keselamatan negara. Kesetiaan beliau terhadap Maharaja Jepun dan negara sangat teguh, dan semua tindakannya bertujuan membina Jepun yang kuat, berdikari, dan mampu berdiri setanding kuasa besar lain. Dalam hal ini, beliau berjaya dengan cemerlang.
Catatan
[sunting | sunting sumber]- ^ Norman, E. Herbert (1943). "Soldier and Peasant in Japan: The Origins of Conscription (Part II)". Pacific Affairs. 16 (2): 158. doi:10.2307/2751956. JSTOR 2751956.
- ^ Hackett 1971.
- ^ Hein, Patrick (2009). How the Japanese Became Foreign to Themselves: The Impact of Globalization on the Private and Public Spheres in Japan. Münster, Germany: Lit Verlag. m/s. 73. ISBN 978-3-643-10085-6.
After the death of [Itō] Hirobumi in 1909, Yamagata became the most influential [Japanese] politician and remained so until his death in 1922. As president of the Privy Council from 1909 to 1922, Yamagata remained the power behind the [Japanese] government and dictated the selection of future prime ministers. To strengthen the grip of the state on citizens [,] Yamagata instituted a military circumscription system that relied on militarily trained loyal subjects, expanded its control on local entities by directly or indirectly appointing prefectural governors, city mayors and district heads and by establishing and extending the power of police.
- ^ a b Perez, Louis G. (1998). The History of Japan. Greenwood,CT: Greenwood Press. m/s. 211. ISBN 0-313-30296-0.
Yamagata Aritomo (1838–1922) – leader of the Chōshū faction of genrō; called the 'Father of Japan's Army'; often Premier and Home Minister; controlled the government after the death of Itō in 1909.
- ^ Samuels, Richard J. (2003). Machiavelli's Children: Leaders and Their Legacies in Italy and Japan. Ithaca, NY: Cornell UniversityPress. m/s. 62. ISBN 0-8014-3492-0.
Yamagata served in the Privy Council for seventeen years and continuously as President from 1909 (when Itō was assassinated in Korea) until 1922 when he died. He was even more successful than Itō in insinuating his bureaucratic allies into the Privy Council. He placed his protégés strategically within each of the institutions he sought to control: the civilian bureaucracy, the military, the House of Peers, the colonial administrations, the Privy Council. He was never reluctant to use and reward his supporters or, conversely, to punish his opponents by intervening in elections, by excluding them from important posts, or by dissolving political groups altogether...He tried to control the House of Peers to assure support for military expansion and favorable budgets. But he constructed his most influential network around the emperor, both in the Privy Council and in the imperial household. By the time he was done, Yamagata had outlived his competitors, and had completed institutional arrangements to preclude the rise of others. He was genrō of the genrō, oligarch of the oligarchs.
- ^ Hackett 1971, m/s. 16.
- ^ Nihon dai hyakka zensho. Shōgakkan. 1989. 山県有朋. ISBN 4-09-526001-7. OCLC 14970117.
- ^ Norman, E. Herbert (1943). "Soldier and Peasant in Japan: The Origins of Conscription (Part II)". Pacific Affairs. 16 (2): 158. doi:10.2307/2751956. JSTOR 2751956.
- ^ Kowner, Rotem (2017). Historical Dictionary of the Russo-Japanese War. The Rowman & Littlefield Publishing Group, Inc. m/s. 614. ISBN 9781442281844.
- ^ Samuels, Richard J. (2003). Machiavelli's Children: Leaders and Their Legacies in Italy and Japan. Ithaca, NY: Cornell University Press. m/s. 62. ISBN 0-8014-3492-0.
- ^ Hein, Patrick (2009). How the Japanese Became Foreign to Themselves: The Impact of Globalization on the Private and Public Spheres in Japan. Münster, Germany: Lit Verlag. m/s. 73. ISBN 978-3-643-10085-6.
After the death of [Itō] Hirobumi in 1909, Yamagata became the most influential [Japanese] politician and remained so until his death in 1922. As president of the Privy Council from 1909 to 1922, Yamagata remained the power behind the [Japanese] government and dictated the selection of future prime ministers. To strengthen the grip of the state on citizens [,] Yamagata instituted a military circumscription system that relied on militarily trained loyal subjects, expanded its control on local entities by directly or indirectly appointing prefectural governors, city mayors and district heads and by establishing and extending the power of police.
- ^ Kowner, Rotem (2017). Historical Dictionary of the Russo-Japanese War. Rowman & Littlefield. m/s. 614. ISBN 9781442281844.
- ^ Drea 2009, m/s. 143.
- ^ Hackett 1971, m/s. 251, 264–265, 277.
- ^ Itō, Yukio; 伊藤之雄 (2009). Yamagata Aritomo : guchoku na kenryokusha no shōgai. Bungei Shunjū. m/s. 11, 20–22. ISBN 978-4-16-660684-9. OCLC 310394344.