Yamamoto Gonnohyōe
Yamamoto Gonnohyōe | |
|---|---|
山本 権兵衛 | |
| Perdana Menteri Jepun | |
| Dalam jawatan 2 September 1923 – 7 Januari 1924 | |
| Raja | Taishō |
| Pemangku | Hirohito |
| Didahului oleh | Katō Tomosaburō Uchida Kōsai (pemangku) |
| Digantikan oleh | Kiyoura Keigo |
| Dalam jawatan 20 Februari 1913 – 16 April 1914 | |
| Raja | Taishō |
| Didahului oleh | Katsura Tarō |
| Digantikan oleh | Ōkuma Shigenobu |
| Menteri Luar Negeri | |
| Dalam jawatan 2 September 1923 – 19 September 1923 | |
| Perdana Menteri | Beliau |
| Didahului oleh | Uchida Kōsai |
| Digantikan oleh | Ijūin Hikokichi |
| Menteri Tentera Laut | |
| Dalam jawatan 8 November 1898 – 7 Januari 1906 | |
| Perdana Menteri | Yamagata Aritomo Itō Hirobumi Katsura Tarō |
| Didahului oleh | Saigō Jūdō |
| Digantikan oleh | Saitō Makoto |
| Maklumat peribadi | |
| Lahir | Yamamoto Gonbē 26 November 1852 Kagoshima, Satsuma, Jepun |
| Meninggal dunia | 8 December 1933 (aged 81) Takanawa, Tokyo, Jepun |
| Punca kematian | Hiperplasia prostat benigna |
| Tempat semadi | Perkuburan Aoyama |
| Parti politik | Bebas |
| Pasangan | Yamamoto Tokiko (k. 1878; m. 1933) |
| Tempat belajar | Akademi Tentera Laut Imperial Jepun |
| Anugerah awam | Darjah Bunga Kekwa (Collar and Grand Cordon) Order of the Golden Kite (kelas 1) Darjah St Michael dan St George (Honorary Knight Grand Cross) |
| Tandatangan | |
| Perkhidmatan tentera | |
| Kesetiaan | Empayar Jepun |
| Cabang/khidmat | Tentera Laut Imperial Jepun |
| Tahun khidmat | 1874–1914 |
| Pangkat | Laksamana |
| Perang/Pertempuran | Perang Boshin Perang China-Jepun Pertama Perang Jepun-Rusia |
Yamamoto Gonbē[a] GCMG, juga disebut Gonnohyōe[b] merupakan seorang laksamana dalam Tentera Laut Imperial Jepun dan pernah berkhidmat sebagai Perdana Menteri Jepun sebanyak dua kali, iaitu dari 1913 hingga 1914 dan sekali lagi dari 1923 hingga 1924.
Kehidupan awal
[sunting | sunting sumber]Yamamoto Gonnohyoe dilahirkan di Kagoshima, Wilayah Satsuma (kini Wilayah Kagoshima), sebagai anak keenam kepada seorang samurai yang berkhidmat sebagai setiausaha dan pakar sōjutsu kepada puak Shimazu.[2] Semasa muda, beliau terlibat dalam Perang Inggeris-Satsuma dan kemudiannya menyertai Pasukan Rif Ke-8 Satsuma dalam Perang Boshin yang menamatkan pemerintahan Keshogunan Tokugawa. Yamamoto bertempur dalam beberapa pertempuran penting termasuk Pertempuran Toba–Fushimi, dan turut terlibat dalam operasi laut memburu Enomoto Takeaki serta saki-baki armada Tokugawa ke Hokkaido pada tahun 1869. Selepas kejayaan Pemulihan Meiji, beliau melanjutkan pelajaran di Tokyo dan memasuki Akademi Tentera Laut Imperial Jepun pada tahun 1870. Ketika Pemberontakan Satsuma, beliau sempat kembali ke Kagoshima, namun atas nasihat Saigō Takamori, beliau kembali ke akademi sebelum pertempuran bermula.
Kerjaya tentera
[sunting | sunting sumber]Selepas tamat pengajian pada tahun 1874, Yamamoto menyertai pelayaran latihan ke Eropah dan Amerika Selatan antara 1877 hingga 1878, yang memberikannya pengalaman pelayaran yang luas. Beliau kemudiannya menulis sebuah manual artileri laut yang menjadi rujukan standard Tentera Laut Imperial Jepun. Yamamoto berkhidmat sebagai pegawai eksekutif kapal penjelajah Naniwa, dan kemudian sebagai kapten kapal Amagi. Antara tahun 1887 hingga 1888, beliau mengiringi Menteri Tentera Laut Kabayama Sukenori dalam lawatan rasmi ke Amerika Syarikat dan Eropah. Pada tahun 1890, sebagai komander kapal Takao, beliau melaksanakan misi sulit ke Korea untuk bertemu Jeneral Dinasti Qing, Yuan Shikai sebelum mengambil alih pemerintahan kapal Takachiho.
Bermula tahun 1893, di bawah naungan Menteri Tentera Laut Saigō Tsugumichi, Yamamoto muncul sebagai tokoh utama dalam kepimpinan Tentera Laut Imperial Jepun. Beliau melaksanakan pelbagai pembaharuan, termasuk usaha menghapuskan amalan pilih kasih terhadap pegawai dari Satsuma, membanteras penyelewengan dalam kalangan pegawai, serta memperjuangkan kedudukan Tentera Laut yang setara dengan Tentera Darat dalam Majlis Perang Tertinggi. Yamamoto juga menyokong dasar ketenteraan yang tegas terhadap Empayar China semasa Perang China–Jepun Pertama (1894–1895). Hasil peranannya, beliau dinaikkan pangkat sebagai Laksamana Muda pada tahun 1895 dan Naib Laksamana pada tahun 1898.
Menteri Tentera Laut
[sunting | sunting sumber]Pada November 1898, Yamamoto dilantik sebagai Menteri Tentera Laut di bawah pentadbiran kedua Yamagata Aritomo. Dalam jawatan ini, beliau melihat Empayar Rusia sebagai ancaman utama kepada Jepun dan menasihati kerajaan bahawa perang dengan Rusia berpotensi dimenangi walaupun dengan kos besar kepada armada Jepun. Beliau menaja pegawai muda berbakat seperti Akiyama Saneyuki dan Hirose Takeo untuk menjalankan risikan di Amerika Syarikat, Britain dan Rusia. Di dalam negara, Yamamoto mendorong pemodenan limbungan kapal, industri keluli dan penggunaan arang batu berkualiti tinggi, serta menyokong kuat Perikatan Inggeris-Jepun. Beliau dinaikkan pangkat sebagai Laksamana pada tahun 1904 dan dianugerahkan gelaran bangsawan baron (danshaku) pada tahun 1902.
Perdana Menteri Jepun
[sunting | sunting sumber]Pada Februari 1913, Yamamoto Gonnohyoe dilantik sebagai Perdana Menteri Jepun, menggantikan Katsura Tarō, serta menjadi pemimpin parti politik Rikken Seiyūkai. Semasa penggal pertamanya, beliau memansuhkan peraturan yang mewajibkan Menteri Tentera Laut dan Menteri Tentera Darat Jepun terdiri daripada pegawai aktif. Peraturan ini sebelum itu membolehkan pihak tentera menguasai kerajaan awam dengan menarik balik menteri mereka dan menyebabkan kabinet runtuh. Langkah pembaharuan ini menjadikan Yamamoto dikenali sebagai seorang pemimpin yang berhaluan liberal, serta penyokong tuntutan rakyat terhadap demokrasi dan pemerintahan berperlembagaan. Bagaimanapun, pentadbirannya terpalit dengan tuduhan rasuah, dan beliau terpaksa meletakkan jawatan bersama seluruh kabinet pada April 1914 berikutan skandal persenjataan laut Siemens–Vickers, walaupun penglibatan peribadinya tidak pernah dibuktikan.
Di bawah pentadbiran penggantinya, Ōkuma Shigenobu, Yamamoto dipindahkan ke simpanan tentera laut. Sepanjang Perang Dunia Pertama dan rundingan perjanjian perlucutan senjata selepas perang, beliau tidak lagi memainkan peranan penting dalam pentadbiran negara.
Yamamoto kembali memegang jawatan Perdana Menteri pada 2 September 1923, mengetuai apa yang dikenali sebagai "kabinet gempa bumi", susulan kematian mengejut Perdana Menteri Katō Tomosaburō selepas gempa bumi besar Kantō. Dalam tempoh ini, beliau menunjukkan kepimpinan dalam usaha pemulihan Tokyo yang musnah teruk akibat gempa bumi tersebut. Beliau juga cuba melaksanakan pembaharuan sistem pilihan raya bagi membenarkan hak mengundi sejagat untuk lelaki. Namun demikian, beliau dan kabinetnya sekali lagi terpaksa meletakkan jawatan pada Januari 1924 berikutan Peristiwa Toranomon, iaitu cubaan pembunuhan terhadap Putera Pemangku Maharaja Hirohito pada 27 Disember 1923.
Selepas itu, Yamamoto berundur sepenuhnya daripada kehidupan politik. Cadangan untuk melantik beliau sebagai salah seorang genrō mendapat tentangan keras daripada musuh politik lamanya, Saionji Kinmochi, yang juga menghalang sebarang usaha untuk melantiknya ke Majlis Penasihat Diraja. Pada Disember 1933, sembilan bulan selepas kematian isterinya, Yamamoto meninggal dunia di kediamannya di Takanawa, Tokyo, pada usia 82 tahun akibat komplikasi pembesaran prostat benigna. Makamnya terletak di Perkuburan Aoyama, Tokyo.[3]
Nota
[sunting | sunting sumber]- ^ sebutan Jepun: [ja.ma.mo.to (|) ɡoꜜm.beː][1]
- ^ Nama Gonnohyōe (AFA: [ɡonnoçoːe])
Catatan
[sunting | sunting sumber]- ^ Kindaichi, Haruhiko; Akinaga, Kazue, penyunting (10 March 2025). 新明解日本語アクセント辞典 (dalam bahasa Jepun) (ed. 2nd). Sanseidō.
- ^ Gibney, Frank (1995). Buritanika Kokusai Daihyakkajiten. TBS-BRITANNICA. 山本権兵衛. OCLC 55231838.
- ^ [1] Diarkibkan 2012-04-25 di Wayback Machine Sakanoue-no-kumo Photo archives (Japanese)
Pautan luar
[sunting | sunting sumber]| Wikimedia Commons mempunyai media berkaitan Yamamoto Gonnohyōe |