Pergi ke kandungan

Yu Kil-chun

Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.
Yu Kilchun
Kelahiran(1856-11-21)21 November 1856
Gye-dong, Bokcheon, Hanseong, Joseon
Meninggal dunia30 September 1914(1914-09-30) (umur 57)
DikebumikanSan 1-16, Changu-dong, Hanam, Korea Selatan[1]
AnugerahPingat Taegeuk, kelas pertama
Nama Korea
Hangul
유길준
Hanja
兪吉濬
PDSYu Giljun
MRYu Kilchun
Art name
Hangul
구당, 천민, 구일
Hanja
矩堂, 天民, 矩一
PDSGudang, Cheonmin, Guil
MRKudang, Ch'ŏnmin, Kuil
Courtesy name
Hangul
성무
Hanja
聖武
PDSSeongmu
MRSŏngmu

Yu Kil-chun (Korea유길준; 21 November 1856 – 30 September 1914) ialah seorang ahli politik Korea. Yu hidup pada dekad-dekad terakhir Dinasti Joseon dan Empayar Korea, sebelum pendudukan Semenanjung Korea oleh Jepun. Semasa muda, beliau mempelajari klasik Cina. Tidak seperti kebanyakan orang pada zaman itu, beliau kemudian menerima idea serta kesusasteraan asing.

Yu mencapai beberapa pencapaian yang dianggap sebagai "yang pertama" dalam sejarah Korea. Pada tahun 1883, beliau termasuk antara rakyat Korea terawal yang melawat Amerika Syarikat. Beliau juga merupakan rakyat Korea pertama yang belajar di luar negara di Jepun dan yang pertama menuntut di Amerika Syarikat. Selain itu, beliau menulis antara buku dan terjemahan terawal tentang hal-ehwal Barat dalam bahasa Korea moden, yang memberi pengaruh besar kepada gerakan pembaharuan dalam Empayar Korea. Beliau juga dikenang kerana sumbangannya dalam bidang linguistik Korea.

Yu merupakan antara aktivis kemerdekaan dan pembaharu Korea yang paling awal. Beliau mengemukakan pelbagai cadangan untuk memodenkan kerajaan Korea, termasuk penubuhan raja berperlembagaan serta peningkatan penyertaan rakyat dalam pemerintahan. Cadangan ini menimbulkan konflik antara beliau dengan institusi diraja Korea, yang akhirnya memaksanya melarikan diri ke Jepun. Di sana, beliau merancang satu percubaan rampasan kuasa terhadap monarki Korea, namun percubaan itu gagal. Ketika beliau akhirnya diberi pengampunan dan dibenarkan pulang, Semenanjung Korea sudah pun berada di bawah pengaruh kuat Jepun. Yu kemudiannya mengalami kemurungan dan meninggal dunia beberapa tahun selepas bermulanya penjajahan rasmi ke atas Korea.

Pada hari ini, Yu dikenang sebagai seorang chinilpa, iaitu pembelot Korea yang bekerjasama dengan Jepun. Selepas pembunuhan Permaisuri Myeongseong, beliau dinamakan sebagai salah seorang daripada Empat Pengkhianat Eulmi yang terlibat membantu dalam pembunuhannya.

Kehidupan awal

[sunting | sunting sumber]

Yu dilahirkan pada 21 November 1856 di Seoul, Joseon.[1] Beliau berasal daripada klan Gigye Yu.[2][1] Beliau merupakan anak kedua kepada Yu Jin-su dan isteri kedua ayahnya, Nyonya Yi dari klan Chungju Yi.

Pada usia muda, beliau mempelajari klasik Cina daripada bapanya serta datuk sebelah ibu, Yi Gyeong-jik. Pada tahun 1870, ketika berumur empat belas tahun, Yu menyertai kelompok ilmiah Park Gyu-su, yang merupakan sahabat rapat kepada mendiang Putera Mahkota Hyomyeong, dan seorang sarjana terkemuka aliran Bukhak (북학; 北學; harfiahnya "kajian utara"), iaitu salah satu cabang dalam gerakan reformasi sosial Silhak.[2] Gerakan tersebut menyokong pembelajaran dari luar negara bagi tujuan memodenkan negara, suatu idea yang dianggap luar biasa di Joseon ketika itu. Yu dengan cepat mengembangkan minat dalam membaca buku-buku asing.

[sunting | sunting sumber]

Pada tahun 1881, Yu dihantar ke Jepun sebagai pengiring dalam satu misi luar negeri Joseon. Semasa berada di sana, beliau dibenarkan tinggal dan melanjutkan pelajaran selama setahun di Sekolah Keiō (kemudian dikenali sebagai Universiti Keiō).[2] Hal ini menjadikannya pelajar pertukaran Korea pertama di Jepun.[2] Apabila Peristiwa Imo berlaku pada tahun 1882, Min Yeong-ik mengesyorkan agar Yu kembali ke Korea, dan beliau berbuat demikian pada Januari 1883.[2]

Yu termasuk antara rakyat Korea terawal yang menjejakkan kaki di Amerika Utara.[2] Pada Julai 1883, beliau mengiringi Min dalam misi khas Korea pertama ke Amerika Syarikat.[2] Semasa berada di sana, beliau sekali lagi berpeluang tinggal untuk belajar. Beliau menetap selama kira-kira satu tahun setengah dengan sokongan ahli zoologi Amerika, Edward S. Morse, yang pernah dikenalinya ketika berada di Jepun. Pada musim luruh 1884, Yu mendaftar di Governor Dummer Academy (kini dikenali sebagai The Governors Academy) di Byfield, Massachusetts.[2] Ini menjadikannya rakyat Korea pertama yang belajar di Amerika Syarikat.

Namun demiian, pengajiannya sekali lagi terhenti disebabkan insiden di tanah airnya iaitu Kudeta Gapsin. Beliau menamatkan pengajiannya pada Disember 1884 dan pulang ke Korea melalui Eropah.[2] Dalam perjalanannya, beliau singgah di beberapa negara Eropah utama.[2]

Kembali ke Korea

[sunting | sunting sumber]

Namun, sebaik sahaja kembali ke Korea, Yu dilihat sebagai seorang yang penuh curiga apabila dibabitkan dengan anggota Parti Gaehwa yang propembaharuan. Yu kemudian ditangkap. Dengan bantuan Han Kyu-seol, Yu akhirnya berjaya mengelakkan hukuman mati, dan dibenarkan menjalani hukumannya di rumah Han sehingga tahun 1892.[2]

Semasa dalam tahanan, Yu menulis sebuah buku mengenai pengalamannya yang bertajuk Pemerhatian tentang Pengembaraan di Barat (서유견문; 西遊見聞; Seoyu Gyeonmun) dan menerbitkannya pada tahun 1895. Buku tersebut hampir 600 halaman panjangnya, ditulis dalam gabungan Hangul dan Hanja, dan memperkenalkan peradaban Barat kepada pembaca Korea. Buku itu menggesa pelaksanaan beberapa reformasi, termasuk penubuhan raja berperlembagaan, pembaharuan ketenteraan, perdagangan antarabangsa, serta sistem mata wang dan percukaian yang moden. Ia juga membincangkan idea-idea seperti kontrak sosial. Idea-idea ini kemudian menjadi inspirasi penting kepada Reformasi Gabo.[2]

Pada penghujung Pemberontakan Petani Donghak dan Perang China–Jepun Pertama yang menyusul selepas itu, Yu bekerja dalam kerajaan sebagai sebahagian daripada puak pro-Jepun.[2] Dari tahun 1894 hingga 1895, Yu berkhidmat dalam kerajaan di bawah Perdana Menteri Kim Hong-jip, yang berhasrat memodenkan Korea. Pada tahun 1895, beliau menjadi Timbalan Menteri Negara bagi Pejabat Dalam Negeri.

Pada tahun 1895, beliau menerbitkan kamus dan buku tatabahasa Korea pertama.[1]

Pada Oktober 1895, Yu dilabelkan oleh Raja Gojong sebagai salah seorang daripada "Empat Pengkhianat Eulmi" kerana bekerjasama dengan Jepun dalam tempoh yang membawa kepada pembunuhan Permaisuri Myeongseong. Selepas pembunuhan itu, Yu menghubungi Inoue Kaoru, Menteri Luar Jepun, untuk membincangkan insiden tersebut.

Yu semasa akhir hayatnya pada 1910.

Pada Februari 1896, semasa Raja Gojong berlindung di legasi Rusia, puak pro-Jepun runtuh, dan Yu melarikan diri ke Jepun. Yu, bersama sekumpulan graduan muda Korea dari Akademi Tentera Imperial Jepun, cuba melancarkan kudeta terhadap kerajaan Korea, tetapi percubaan itu gagal. Kejadian tersebut mencetuskan ketegangan diplomatik antara kedua-dua negara, dan Yu kemudiannya dipenjarakan di Kepulauan Ogasawara. Yu akhirnya dibenarkan kembali ke Korea pada 1907, apabila Raja Gojong dilucutkan takhta. Beliau kemudian berkhidmat sebagai naib pengerusi Akademi Belia Korea.[2][1]

Pada tahun 1909, Yu menulis dan menerbitkan sebuah buku mengenai tatabahasa Korea.[2]

Apabila Korea diilhak oleh Empayar Jepun pada tahun 1910, Yu menentang pengilhakan tersebut. Beliau menolak gelaran Danshaku yang dianugerahkan kepadanya oleh kerajaan Jepun.[2] Selepas itu, beliau mengalami kemurungan.[2][1]

Pada 30 September 1914, Yu meninggal dunia akibat menderita komplikasi penyakit buah pinggang.[1]

Pada tahun 1910, Yu dianugerahkan Pingat Taegeuk Kelas Pertama oleh Empayar Korea.[2][1]

Pada tahun 2003, Peabody Essex Museum di Salem, Massachusetts mengadakan pameran khas mengenai beliau.[1]

Bapa
  • Yu Chinsu (유진수; 兪鎭壽; 1825–1898)
Ibu
  • Nyonya Yi dari klan Hansan Yi (정부인 한산 이씨; 韓山 李氏; 1824–1900)
Adik-beradik
  • Abang: Yu Hoejun (유회준; 兪會濬; 1847 – ?)
  • Adik: Yu Sŏngjun (유성준; 兪星濬; 1859/1860 – 27 Februari 1934)
Isteri dan Anak
  • Nyonya Kim dari klan Gyeongju Kim (경주 김씨; 慶州 金氏; ? – 1874) – Tiada anak
  • Nyonya Yi dari klan Chungju Yi (충주 이씨; 忠州 李氏); anak perempuan Yi Kyŏngjik (이경직; 李敬稙)
    • Anak lelaki: Yu Man'gyŏm (유만겸; 兪萬兼; 13 Julai 1889 – 13 Disember 1944)
    • Anak lelaki: Yu Ŏkkyŏm (유억겸; 兪億兼; 23 Oktober 1896 – 8 November 1947)
  1. ^ a b c d e f g h i 유길준 [Yu Kilchun], Encyclopedia of Overseas Korean Culture (dalam bahasa Korea), dicapai pada 2023-07-08
  2. ^ a b c d e f g h i j k l m n o p q r 유길준 (兪吉濬) [Yu Kilchun] (dalam bahasa Korea), dicapai pada 2023-07-08

References

[sunting | sunting sumber]